Categories
PBT SELANGOR

Kebenaran operasi bazar ketika PKP, MBSA tunggu arahan negeri

SHAH ALAM, 5 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menunggu arahan Kerajaan Negeri berhubung kebenaran meneruskan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam berkata pihaknya akur terhadap apa jua keputusan selepas enam daerah negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita tunggu keputusan Kerajaan Negeri sama ada diteruskan atau tidak. MBSA sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan, kita akur dan patuh,” kata Mohd Rashidi Ruslan.

Beliau yang ditemui pada program Kempen Keselamatan Jalan Raya di sini berkata pemantauan di tempat awam termasuk pasar diperketat menjelang Aidilfitri minggu depan.

“Setakat ini, seramai 200 penguat kuasa ditugaskan tetapi kita akan tambah lagi bilangan termasuk memperketat pemantauan terutama di pasar awam dan bazar Aidilfitri,” katanya.

Enam daerah di Selangor iaitu Petaling, Gombak, Hulu Langat, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikenakan semula PKP berkuat kuasa esok hingga 17 Mei.

Tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor kekal dalam kawasan PKPB.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Taman Setiawangsa dibenar operasi

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Bazar Ramadan Jalan Raja Alang dan Bazar Ramadan Taman Setiawangsa yang sebelum ini diarah tutup, kini dibenarkan meneruskan operasinya seperti biasa hari ini dengan penambahan bilangan anggota penguatkuasa di kawasan bazar berkenaan.

Kedua-dua bazar itu adalah antara 22 bazar yang disenaraikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semalam sebagai yang perlu ditutup selama tiga hari bermula hari ini bagi tujuan sanitasi dan memperkemaskan semula tatacara operasi piawai (SOP).

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah meneruskan operasi diambil selepas pihaknya menerima maklumat terbaharu mengenai bazar berkenaan, dan penambahan bilangan penguatkuasa bertujuan memastikan SOP terus diperketat dan dipatuhi.

“DBKL tidak akan berkompromi atas ketidakpatuhan kepada SOP dan tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada mereka yang terlibat. DBKL juga telah mensyaratkan kepada pihak penganjur untuk bersama-sama memastikan pematuhan SOP dilaksanakan dengan berkesan,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, menurutnya DBKL masih menunggu keputusan terkini daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan berhubung operasi dua bazar Ramadan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Video memasak di KLIA hanya gimik

SEPANG, 20 APRIL: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan bahawa video memasak di tempat terbuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanyalah gimik atau sekadar usaha promosi oleh salah satu gerai makanan dan minuman, Eraman Mini Cafe.

Dalam kenyataan hari ini, MAHB menegaskan bahawa memasak adalah dilarang di kawasan terbuka bangunan terminal seperti mana peraturan dalam Manual Keselamatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang yang tidak membenarkan dapur api terbuka atau plat panas elektrik digunakan selain di dapur yang ditetapkan di dalam bangunan terminal.

“Kafe itu mengadakan gimik yang mensimulasikan memasak hidangan tradisional Melayu ‘gulai kawah’ dengan meletakkan kuali di atas dapur tanpa pembakar gas tetapi hanya dengan alat pemanasan menggunakan bahan bakar pemanasan hidangan yang dikenali sebagai gel Sterno.

“Semua hidangan dimasak dan disediakan di lokasi berasingan dan dibawa ke Eraman Mini Cafe menjelang waktu gerai dibuka,” menurut MAHB bagi mengulas video tular mengenai Bazar Ramadan yang memaparkan pengusaha gerai memasak di kawasan terbuka dalam bangunan terminal.

Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan Eraman Mini Cafe telah beroperasi di Terminal 1 KLIA sejak Oktober tahun lepas dan kini menawarkan pengalaman seperti Bazar Ramadan untuk menarik lebih banyak pelanggan ke gerai tersebut.

Hidangan bufet itu ditempatkan di kawasan seluas 50 kaki x 50 kaki dan makanan yang dibeli dari Eraman Mini Cafe itu juga boleh dimakan dalam gerai itu sendiri, yang kini menawarkan kapasiti maksimum 55 orang pada satu masa.

Menurut MAHB, Eraman Mini Cafe mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Pemakaian pelitup muka diwajibkan dan setiap pelanggan diberi nombor untuk memastikan kapasiti maksimum kafe tidak dilanggar,” katanya.

MAHB mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Akses keluar masuk terhad antara punca bazar Lorong TAR hambar

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Akses keluar masuk yang ketat di setiap seksyen antara punca Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, hambar pada hari pertama beroperasi.

Tinjauan Bernama mendapati peniaga Bazar Aidilfitri berkenaan dipecahkan kepada empat seksyen iaitu A, B, C dan D bermula dari kawasan belakang bangunan Kompleks Campbell hingga susur keluar persimpangan Masjid India.

Bagaimanapun, susun atur pintu masuk dan keluar dianggap tidak praktikal antara seksyen selain turut dikelilingi pagar yang menyebabkan pengunjung perlu berjalan jauh untuk ke satu-satu lokasi.

Peniaga pakaian Azman Usman, 26, berkata penggunaan sistem sehala dengan setiap seksyen hanya mempunyai satu pintu masuk dan satu pintu keluar menyukarkan pengunjung untuk ke bazar tersebut.

“Sepatutnya, pintu masuk dan keluar perlu selari dan ada bersama supaya pengunjung tidak perlu berpusing, berjalan jauh atau berpatah balik untuk ke satu-satu seksyen.

“Ada pengunjung yang tidak mahu berjalan jauh, mereka tidak akan masuk ke semua seksyen dan pastinya akan merugikan kami,” katanya.

Turut senada, peniaga songkok dan songket Masnurohani Sudirman, 29, yang berharap agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat menyusun semula akses pintu masuk dan keluar bagi memudahkan pengunjung untuk ke setiap seksyen di bazar itu.

“Saya harap DBKL boleh bertolak ansur dengan melihat semula susun atur pintu keluar masuk itu. Mungkin boleh fikirkan cara terbaik buat kami kerana peniaga hanya mengharapkan bazar ini untuk mencari rezeki,” katanya.

Bazar Aidilfitri di Lorong TAR dihidupkan semula selepas dua tahun dipindahkan ke Jalan Raja, berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara, namun dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Setiap seksyen di bazar itu menempatkan dua petugas DBKL di setiap pintu masuk dan keluar bahkan pengunjung juga diwajibkan mendaftar MySejahtera serta mengimbas suhu sebelum diberikan pas yang dihadkan kepada 100 orang dalam satu-satu masa.

Pengunjung Mohd Shahwady Juwal, 35, dari Ampang berpuas hati dengan peraturan yang dibuat dan menyifatkannya sebagai satu langkah terbaik dalam menguruskan jumlah kedatangan orang ramai di satu-satu lokasi.

“Saya berasa selamat untuk membeli-belah cuma saya mahu mencadangkan agar susunan peniaga diasingkan mengikut jenis jualan bagi memudahkan pelanggan mencari barang diperlukan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jual bunga api dalam talian dilarang – polis

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Polis mengingatkan bahawa penjualan bunga api secara dalam talian, adalah tidak dibenarkan dan menjadi kesalahan jika ada pihak melanggar syarat serta peraturan.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, pihaknya mendapati terdapat jualan mercun dan bunga api secara dalam talian, yang tular di media sosial.

“Jualan bunga api perlu mendapatkan kebenaran polis, syarat dan peraturan yang dikuatkuasakan hendaklah dipatuhi.

“Sekiranya kegiatan ini (menjual mencun) masih berterusan, kita akan mengambil tindakan tegas mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, penjualan bunga api di premis dan bazar juga tidak dibenarkan, sehingga arahan kebenaran dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Jelasnya, larangan bermain mercun diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Februari 1995 dan larangan bermain bunga api pada 15 Mac 1995.

Larangan itu masih berkuatkuasa sehingga kini, dan tertakluk di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

MBSA lulus 1,815 permit bazar Ramadan tahun ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 8 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan 1,815 permit bazar Ramadan kepada penjaja di bawah pentadbiran itu yang akan berniaga sepanjang Ramadan, pada tahun ini.

Timbalan Datuk Bandarnya, Rashidi Ruslan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,302 diuruskan sepenuhnya pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit, manakala selebihnya di bawah pengurusan swasta.

Katanya, sebanyak 31 lokasi tapak bazar di sekitar Shah Alam disediakan khusus kepada peniaga yang sudah mendapat kelulusan permit berkenaan.

“Antara lokasi itu adalah di Seksyen 6,7,8,16,17,18,19,20,24,25,27,28,31,33,35,U2, U3, U5, U8, U10, U13, U19 dan U20.

“Kadar bayaran permit bagi jenis jualan makanan dan minuman bagi tapak MBSA adalah antara RM258 hingga RM347 mengikut kategori ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan iLesen sempena Majlis Perasmian Taklimat Bazar Ramadan, di Auditorium MBSA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pelesenan MBSA, Rosli Bakar dan Pengarah Urusan Unilever Food Solutions (UFS), Nusrat Perveen.

Pada masa sama, Rashidi berkata, kebanyakan peniaga yang memohon permit berkenaan adalah dalam kalangan peniaga yang sama pada tahun sebelumnya.

Justeru katanya, peniaga diingatkan supaya mematuhi syarat kesihatan ditetapkan seperti memakai apron, topi dan kasut semasa menjalankan operasi perniagaan.

“Peniaga dan pembantu diwajibkan untuk mendapatkan suntikan anti-typhoid (TY2) serta menghadiri kursus pengandalian makanan.

“Selain itu, peniaga hanya dibenarkan berniaga di tempat yang diluluskan sahaja dan diminta menjaga kebersihan di kawasan tapak berniaga atau tindakan kompaun akan dikenakan jika peniaga meninggalkan tapak dalam keadaan kotor serta tidak dikemaskan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Permohonan Bazar Jalan Taiping dan Juadah Ramadan dibuka mulai hari ini

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 1 FEB: Permohonan tapak Bazar Jalan Taiping dan Bazar Juadah Ramadan akan mula dibuka mulai hari ini hingga 28 Februari.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, sejumlah 475 tapak perniagaan di Jalan Taiping diperuntukkan menerusi tender terbuka seperti yang dilakukan tahun sebelumnya.

“Borang permohonan tapak Bazar Jalan Taiping dan Juadah Ramadan boleh didapati, di Kaunter Helpdesk MPK.

“Untuk Bazar Juadah Ramadan, sebanyak 43 lokasi dengan 1,949 petak disediakan MPK kepada peniaga,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bilangan 1/2019.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA: Mohon permit bazar ramadan secara online

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) buat julung kalinya akan melaksanakan permohonan bazar Ramadan secara dalam talian (online), mulai 19 Mac sehingga 30 Mac ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, orang ramai boleh mengisi borang permohonan secara dalam talian dan memuat naik salinan dokumen melalui laman sesawang MBSA iaitu www.mbsa.gov.my sebelum proses pendaftaran dilaksanakan.

“Sebanyak 34 lokasi tapak bazar disediakan MBSA tahun ini antara lokasi tapak bazar terbabit adalah di Seksyen 6, 7, 8, 13,16,17, 18,19, 20, 24, 25, 27, 28, 31,32, 33, 35, U2, U3, U5, U8, U10, U13, U19 dan U20.

“Untuk memohon, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi setiap pemohon dan setiap permohonan hanya dibenarkan mengemukakan satu borang permohonan sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, pemohon perlu mematuhi syarat kesihatan antaranya memakai apron, topi dan kasut semasa menjalankan perniagaan serta mendapatkan suntikan anti-typhoid (TY2) bagi peniaga juga pembantu.

Pemohon yang berjaya juga diwajibkan menghadiri Taklimat Bazar Ramadan bersama pembantu dan permit Bazar Ramadan itu hanya akan diberikan selepas pemohon menghadiri taklimat Bazar Ramadaan.

“Sepanjang bulan Ramadan, peniaga hanya dibenarkan berniaga di tempat yang diluluskan sahaja. Selain itu, keutamaan kebersihan pelu dijaga di kawasan tapak berniaga atau tindakan kompaun boleh dikenakan kepada peniaga meninggalkan tapak dalam keadaan kotor dan tidak dikemaskan,” katanya.

Pada masa sama, Shahrin berkata, tahun ini juga MBSA meneruskan ‘Kempen Bazar Ramadan Hijau’ bagi menguatkuasakan penggantian bungkusan makanan polistirena dan bag plastik kepada penggunaan produk berteknologi hijau.

Categories
SELANGOR

MPK sedia 4,000 petak bazar Ramadhan

SHAH ALAM 24 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan mengeluarkan borang permohonan permit Bazar Ramadan 2014 bermula 2 hingga 30 Mei ini.

Pengarah Jabatan Korporat Dan Kemasyarakatan MPK, Zaireezal Ahmad Zainuddin berkata, terdapat sebanyak 49 tapak dan 4,000 petak bazar disediakan bagi tahun ini.

mpk“Peniaga yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di kaunter Dewan Hamzah dan menyediakan beberapa dokumen termasuk mempunyai lesen atau perniagaan sedia ada.

“Kadar bayaran bagi tapak jualan makanan RM150 dan RM130 (jika melibatkan tapak pasar malam) dan bayaran tambahan sebanyak RM60 kepada peniaga yang menjual air tebu dan kelapa,” katanya dalam kenyataan media.

Zaireezal berkata, pemohon juga perlu menunjukkan suntikan Ty 2 dan bayaran permit atau perniagaan sedia ada semasa menghantar borang serta wajib menghadiri ceramah kesihatan perdana yang diadakan.

Katanya, bagi Bazar Ramadhan Jalan Taiping, sebanyak 400 petak disediakan dan undian akan dijalankan sebanyak dua peringkat iaitu undian saringan bagi menentukan peniaga yang layak untuk undi petak pada 23 Jun manakala undian untuk menentukan nombor petak akan diadakan pada 27 Jun 2014

Menurutnya, bayaran sebanyak RM923 dikenakan kepada peniaga yang menjalankan perniagaan di Jalan Taiping dan ia perlu dibayar secara tunai serta orang ramai diminta untuk mendapatkan maklumat lanjut di ibu pejabat MPK bagi tujuan itu.

EZY