Categories
NASIONAL

FOMCA: Bazir makanan 8,000 tan sehari, masyarakat patut ada kesedaran

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 SEPT: Rakyat perlu mempunyai kesedaran pembaziran makanan 8,000 tan sehari yang semakin serius kerana ia memberi kesan jangka panjang terutama pembuangan sisa pepejal, kata Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata menjadi tugas pihak berkuasa tempatan (PBT) mengutip sisa pepejal, namun masyarakat perlu berusaha mengawalnya berikutan pusat pelupusan tidak lagi mampu menampung jumlah sampah semakin banyak.

bazir_makananBeliau berkata kurangnya kesedaran untuk mengitar semula bahan buangan termasuk makanan juga antara faktor yang menyebabkan timbunan sampah semakin ‘membusung’.

“Sisa makanan ini banyak kegunaan antaranya boleh diberikan kepada ternakan serta jika diproses boleh juga dijadikan baja organik dan bahan api.

“Jika sampah itu hanya dibuang begitu sahaja, ia akan memberi kesan jangka masa panjang malah kekurangan pusat pungutan sampah dan kebanyakannya berada pada kedudukan tidak sesuai (berhampiran sungai) akhirnya menyebabkan pencemaran disebabkan bahan buangan itu,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya rakyat bersederhana dalam pengambilan makanan supaya kebimbangan terhadap isu pembaziran dapat dikurangkan.

FOMCABeliau juga mencadangkan supaya sebuah pusat pengumpulan makanan diwujudkan supaya boleh dimanfaatkan orang ramai untuk menyalurkan lebihan makanan kepada golongan yang memerlukan.

“Jadi lebih bagus jika kita dapat kumpulan lebihan makanan ke pusat pengumpulan makanan supaya ia boleh diberikan kepada mereka yang memerlukan seperti anak yatim dan rumah kebajikan.

“Ia perlu dijadikan sebagai amalan oleh semua masyarakat,” katanya lagi.

Rakyat membuang makanan sehingga 8,000 tan atau lapan juta kilogram sehari dan jumlah itu mampu menampung bekalan makanan untuk enam juta orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Ab Rahim Md Noor, berkata kos pengurusan sisa pepejal termasuk makanan yang dibuang itu juga melibatkan kos berbilion ringgit.

Beliau berkata peratusan komposisi sisa makanan didapati meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus pada musim-musim perayaan.

EZY