BANGI, 26 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) bekerjasama dengan BeAna Home Quran Sdn Bhd (BeAna) dan Maahad Tahfiz Al-Hidayah (Matah) dalam usaha memantapkan pembangunan akademik.
Bahagian Perancangan Strategik dan Komunikasi Korporat Kuis berkata jalinan kerjasama dalam tempoh lima tahun itu dijangka dapat meningkatkan jumlah pelajar tahfiz untuk menyambung pengajian ke institusi berkenaan.
“Kerjasama Kuis dan BeAna tertumpu dalam bidang kepakaran akademik khususnya dalam Al-Quran, fardu ain, hafazan dan bahasa Arab. Juga tidak ketinggalan ialah berkaitan latihan industri.
“Manakala bersama Matah pula lebih tertumpu kepada bidang latihan dan pendidikan, ia memfokuskan pemerkasaan untuk meningkatkan akademik pelajar tahfiz serta penyelidikan berkaitan penerbitan modul juga kursus jangka pendek,” katanya dalam kenyataan.
Hubungan kerjasama antara tiga institusi itu dimeterai menerusi majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Dewan Senat, Kuis pada Rabu lalu.
Hadir sama Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Komuniti & Industri, Prof Madya Dr Mokmin Basri; Pengarah Urusan BeAna, Anna Rosdijanti Ahmat Rusdi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid.
Kuis adalah institusi pengajian tinggi Islam di bawah Kerajaan Negeri dan dimiliki sepenuhnya Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
Penubuhannya secara rasmi pada 15 Februari 1995 membuktikan komitmen Selangor dalam membangunkan agenda pendidikan dan kecemerlangan ilmu.