Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hakim perlu bebas buat keputusan secara adil, saksama

PUTRAJAYA, 2 APRIL: Setiap hakim perlu kekal bebas dalam memutuskan sesuatu kes tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak dalaman atau luaran.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, sebaliknya, kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman untuk memberi keadilan yang tidak berat sebelah adalah asas kepada badan kehakiman.

Justeru, katanya, hakim perlu melaksanakan tugas dengan standard yang tinggi, berintegriti dan berlaku adil dengan memberi peluang kepada semua pihak untuk didengar dan melayan mereka secara adil.

“Jika anda mempunyai pengetahuan mengenai fakta yang dipertikaikan atau mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak atau kepentingan dalam hasilnya, anda harus menarik diri daripada menentukan perkara itu, “ katanya ketika berucap merasmikan Program Induksi Pesuruhjaya Kehakiman (JC), di sini, Isnin lalu.

Teks ucapannya dikeluarkan kepada media semalam.

Tengku Maimun menyampaikan surat pelantikan jawatan kepada sembilan JC dan turut menyaksikan lima Hakim Mahkamah Tinggi mengangkat sumpah ke jawatan Hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata hakim mempunyai hak untuk menyoal saksi bagi mendapatkan penjelasan semasa memberi keterangan tetapi tidak boleh melakukan pemeriksaan utama atau pemeriksaan balas dan menyoal saksi sehingga keterlaluan.

Beliau turut menegaskan dalam melaksanakan tugas kehakiman, hakim tidak mempunyai keistimewaan untuk memilih kes dan oleh itu terikat mendengar kes yang menarik perhatian awam atau kes membabitkan tokoh masyarakat.

“Walaupun Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan saya bertanggungjawab dalam hal-hal dasar dan memastikan hakim mematuhi dasar sedemikian, kami tidak dalam apa jua keadaan pun mengarah atau menentukan keputusan anda,“ katanya.

Menurutnya, para hakim mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk memutuskan kes mengikut undang-undang dan fakta serta bertanggungjawab mendukung integriti dan kebebasan badan kehakiman.

Tengku Maimun berkata nilai integriti bukan sahaja kemampuan menolak rasuah tetapi juga menghormati sepenuhnya nilai-nilai teras kebebasan, tidak berat sebelah, integriti peribadi, kesopanan, kesaksamaan, kecekapan dan ketekunan.

“Anda tidak perlu bimbang dengan apa yang orang lain boleh katakan tentang keputusan anda sama ada pihak eksekutif, cawangan perundangan, masyarakat umum bahkan rakan anda sendiri. Anda biasa dengar hakim dilabel sebagai konservatif atau hakim liberal.

“Tetapi hanya satu label yang saya pentingkan iaitu hakim tidak berat sebelah,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan hakim menulis alasan penghakiman yang akan meningkatkan penelitian dalam hujahan dan analisis keterangan yang membolehkan Mahkamah Rayuan memahami keputusan mahkamah rendah dengan jelas.

“Ia juga memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam sistem kehakiman,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Ingin bebas punca utama kanak-kanak, remaja lari rumah

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Polis mendedahkan antara faktor utama kanak-kanak dan remaja dilaporkan lari dari rumah di negara ini pada 2019 disebabkan ingin bebas daripada kongkongan keluarga atau penjaga.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) ACP Choo Lily berkata itulah penemuan pihaknya dalam 662 kes daripada 1,302 kes kehilangan mereka dalam lingkungan usia 12 hingga 15 tahun.

“Selain keinginan mencari kebebasan, punca yang menyumbang kepada gejala lari dari rumah adalah mengikut rakan sebaya yang mencatatkan 184 kes dan masalah keluarga 170 kes.

“Ada juga yang dilaporkan hilang kerana mengikut kekasih, mengikut sama ada ibu atau bapa bagi ibu bapa yang telah bercerai, selain tidak minat untuk belajar serta mencari kerja pada usia yang muda,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Bernama baru-baru ini.

Terdapat juga mangsa yang melarikan diri daripada pusat perlindungan wanita atau kanak-kanak atau dijumpai mati lemas dalam tali air atau longkang.

Jelasnya lagi, terdapat remaja dilaporkan hilang namun apabila ditemukan, mereka enggan pulang ke pangkuan keluarga kerana sudah selesa dengan kehidupan dan pekerjaan mereka.

Menurut statistik, daripada jumlah keseluruhan 1,302 kes yang dilaporkan, 1,186 sudah ditemui manakala yang lain masih berstatus hilang.

Selain itu, Choo berkata Johor mencatatkan kes kanak-kanak dan remaja hilang tertinggi iaitu 193 orang, diikuti Selangor (189), Sabah (182) dan Sarawak (115).

Pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan mangsa seperti membuat semakan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau syarikat telekomunikasi kerana kemungkinan mereka untuk mendaftar dengan dua pihak ini adalah tinggi.

“Walaupun jumlah kes dicatatkan untuk mangsa yang masih hilang rendah, kami memandang serius akan perkara itu.

Sementara itu, Choo berkata sistem National Urgent Response Alert atau NUR Alert yang dilancarkan pada 2007 dilihat berkesan dan membantu pasukannya dalam mengenal pasti mangsa yang dilaporkan hilang.

Beliau berkata, polis bekerjasama dengan 48 ahli lain dalam sistem NUR Alert terdiri daripada pelbagai kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan bagi mengumpul maklumat dan mencari kanak-kanak hilang berusia bawah 12 tahun.

“Melalui siaran Nur Alert ini, dalam kebanyakan kes kita dapat mengesan mangsa dengan cepat. Orang awam boleh membuat laporan atau tampil untuk membantu mangsa dan tindakan lanjut akan diambil oleh pihak polis,” jelasnya.

Choo berkata, ibu bapa atau penjaga boleh terus melaporkan kehilangan anak mereka tanpa perlu menunggu tempoh 24 jam seperti kes kehilangan orang dewasa.

Mengulas lanjut, terdapat trend penurunan kes kehilangan yang dilaporkan daripada tahun 2017 sehingga tahun lepas.

“Dua tahun lepas (2017), sebanyak 1,505 kes dilaporkan dan menurun kepada 1,318 kes yang dilaporkan pada 2018. Daripada jumlah kes kanak-kanak dan remaja hilang selama tiga tahun sejak 2017 iaitu sebanyak 4,125 kes, 95 peratus atau 3,948 kes sudah dijumpai dan hanya 177 atau lima peratus yang masih hilang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Anwar bebas 10 Jun, PRU-14 antara Mac hingga Mei

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 9 DIS: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan pada 10 Jun tahun hadapan, kata Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.

Sivarasa berkata, pembebasan Anwar itu nanti turut memberi kesan terhadap keputusan Perdana Menteri untuk menetapkan pembubaran Parlimen.

“Disegi perundangan pilihan raya mestilah diadakan selewat-lewatnya Ogos nanti dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan pada 10 Jun.

“Jadi, ini bermakna mereka akan adakan pilihan raya antara bulan tiga hingga bulan lima sebelum Ramadan,” katanya kerana mereka takut adakan pilihan raya selepas Anwar bebas.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Peduli Rakyat Kota Damansara di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Subang di sini, hari ini.

Jelasnya, rakyat haruslah membuat pilihan bijak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti demi menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Serangan makin teruk terhadap wartawan

SHAH ALAM, 2 NOV: Dua pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pada 1 November lalu, memberi amaran bahawa dunia ketika ini menyaksikan “serangan yang semakin teruk” terhadap wartawan dan setakat ini lebih 30 maut selepas dijadikan sasaran, lapor agensi berita China Xinhua.

Sehubungan itu, Agnes Callamard dan David Kaye menggesa semua negara mengambil tindakan segera bagi mengatasi perkara itu.

“Selain meragut nyawa individu terbabit dan memisahkan mereka daripada orang tersayang, semua serangan ini bertujuan menghancurkan peranan wartawan sebagai jagawan umum (public watchdog) yang penting dalam masyarakat demokratik,” kata mereka lapor BERNAMA.

“Apabila pihak berkuasa gagal mengambil tindakan lanjut dan meyiasat serangan itu secara bebas untuk mengheret pelaku ke muka pengadilan, maka ini bermakna pembunuh dan sekutunya mencapai objektif mereka,” kata mereka menjelang ‘Nov 2 International Day to End Impunity for Crimes Against Journalists.’

Satu resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2013 tmengiysytiharkan 2 November sebagai International Day to End Impunity for Crimes Against Journalists susulan pembunuhan dua wartawan Perancis di Mali, pada 2 November 2013 .

 

Categories
NASIONAL

Fitnah 2: Anwar yakin bebas 10 Februari

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 5 FEB: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi keyakinan yang beliau akan dibebaskan, 10 Februari ini berdasarkan kepada perincian fakta dan undang-undang kukuh yang sudah dibentangkan di Mahkamah Persekutuan.

Anwar berkata, beliau yakin keputusan akan berpihak kepadanya berdasarkan perjalanan kes dengan kesungguhan panel peguam bela.

“Saya yakin dibebaskan berdasarkan undang-undang, keterangan saksi dan fakta kes.

anwar“Kalau bukan berdasarkan pertimbangan undang-undang, hukum atau kesaksian dan fakta, itu luar daripada jangkaan saya. Saya menjangkakan bebas berdasarkan perkara ini,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku ‘Etnic Relations In Malaysia’ karya Dr Syed Hussin Ali di SACC, di sini, hari ini.

Anwar berkata, Mahkamah Persekutuan kali ini berbeza dengan pengalaman beliau 16 tahun lalu kerana kali ini ruang sepenuhnya diberikan kepada panel peguam bela untuk mengemukakan hujah.

“Berbeza dengan pengalaman saya 16 tahun lalu, kesannya bukan sahaja kepada panel hakim tetapi rakyat dapat ikuti hujah itu dari dekat,” katanya.

Anwar, 67, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati beliau bersalah atas tuduhan membabitkan pembantu peribadinya.

Mahkamah Rayuan, pada 7 Mac 2014 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan itu.

anwar&wanPada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan sama atas alasan mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti berkenaan integriti sampel DNA yang diambil untuk ujian daripada mangsa.

Anwar diwakili sepasukan 15 peguam diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Majistret Bebaskan Tian, Haris dan Tamrin

tian pix

SHAH ALAM, 24 MEI : Mahkamah Majistret hari ini menetapkan untuk membebaskan Naib Presiden PKR, Tian Chua bersama dua aktivis politik, Haris Ibrahim dan Datuk Tamrin Abdul Ghafar daripada tahanan polis.

Ia susulan tindakan Majistret Norashikin Sahat menolak permohonan polis untuk menahan mereka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Perkara itu disahkan peguam, R.Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang ketika dihubungi TV Selangor.

“Benar ketiga-tiga mereka dibebaskan apabila Majistret mendapati tiada asas atau bukti kukuh berhubung permohonan reman oleh pihak polis.

“Polis memohon untuk menahan mereka selama tujuh hari bagi tujuan siasatan, akhirnya lepas mendengar hujahan daripada peguam, mahkamah mendapati ia tidak berasas (penahan) dan membebaskan mereka serta-merta,” katanya.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan daripada tahanan polis kira-kira pukul 3.15 petang tadi.

Berita pembebasan mereka juga turut tersebar luas di laman media sosial.

Ketiga-tiga mereka ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 semalam di tiga lokasi berasingan sebelum dimasukkan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur Balai Polis Jinjang sekitar jam 5 petang.

Tian Chua telah ditahan di LCCT pada pukul 12.30 tengah hari semalam semasa menunggu pesawat untuk ke Kuala Terengganu.

Sementara Haris, aktivis pergerakan Asal Bukan Umno (ABU) ditahan pada waktu sama semasa sedang makan tengahari di Segambut sejurus memberikan sokongan kepada Adam Adli di mahkamah.

Manakala anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba, Tamrin ditahan ketika sedang makan di Bangsar.