Categories
NASIONAL

Tukar segera beg udara tidak berfungsi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 6 JUN: Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Teknologi Maklumat antara JPJ dengan semua syarikat pengeluar kenderaan bagi menyelaras kenderaan yang mempunyai masalah beg udara tidak berfungsi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu diputuskan ketika beliau mempengerusikan satu mesyuarat bersama pengeluar kenderaan di Malaysia membincangkan isu kemalangan maut yang berlaku baru-baru ini dipercayai berpunca daripada kerosakan beg udara.

Katanya, jawatankuasa tu bertujuan untuk menyelaras semua data dan informasi berhubung pemilik dan kenderaan yang mempunyai masalah beg udara yang tidak berfungsi ini.

“Antara proses yang akan dilaksanakan, JPJ melalui Bahagian Penguatkuasa akan mengeluarkan Notis Arah Periksa Di Bawah Seksyen 61 APJ 1987 kepada Pemilik Berdaftar kenderaan untuk menukar beg udara di pusat servis kenderaan dalam tempoh 14 hari.

“Sekiranya Notis JPJ P22 juga tidak dipatuhi, tindakan senarai hitam akan
dilakukan bagi memastikan pembaharuan LKM tidak dapat dilaksanakan.” katanya dalam kenyataan.

Siew fook berkata, mengikut statistik kenderaan yang menghadapi masalah beg udara jenis Takata, rata-rata kurang daripada 50 peratus pemilik yang membuat penukaran beg udara.

Katanya, hanya kenderaan jenama Honda sahaja merekod jumlah tertinggi iaitu sebanyak 78.9 peratus telah membuat penukaran.

“Ini adalah membimbangkan kerana terdapat lebih daripada 350,000 kenderaan pelbagai jenama dan jenis yang belum menukar beg udara.

“Ingin saya tekankan bahawa langkah ini bukanlah bertujuan untuk mendenda, sebaliknya ia adalah bagi menjamin keselamatan nyawa mereka kerana penukaran beg udara adalah percuma dan tiada sebarang bayaran dikenakan,” katanya.

Tak boleh perbaharui cukai jika tidak tukar

Anthony Loke berkata, sebanyak 71,315 kereta pelbagai jenama tidak boleh memperbaharui cukai jalan jika tidak menukar beg udara susulan statistik merekodkan lapan kes kemalangan membanitkan beg udara jenis Takata sejak 2014.

“Saya telah arahkan JPJ untuk tidak membenarkan pemilik kenderaan yang terlibat memperbaharui cukai jalan sekiranya tidak mengemukakan surat pengesahan daripada Honda yang mereka telah menukar beg udara,” katanya.

Pada masa sama katanya, JPJ akan mengeluarkan notis kepada 358,233 pemilik kereta bagi 49 model pelbagai jenama yang belum menukar beg udara Takata bermasalah, bermula minggu depan.

Katanya, pemilik diberi tempoh 14 hari selepas notis pertama diterima namun jika masih gagal notis 14 hari kedua akan dikeluarkan dan tindakan saman RM300 atau RM2,000 bagi kes yang dibawa ke mahkamah.

“Tindakan saman adalah langkah terakhir untuk memberi kesedaran kepada pemilik kerana ia membabitkan isu keselamantan.

“Namun jia saman pun masih gagal, pemilik kenderaan akan disenarai hitam dan tidak boleh memperbaharui cukai,” katanya.

=EZY=