Categories
ADN AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

ADN Permatang agih 300 pek makanan asas, bantu penduduk dikuarantin

SHAH ALAM, 7 MAC : Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menyediakan sebanyak 300 pek makanan asas kepada keluarga yang sedang menjalani kuarantin di rumah.

Wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin berkata daripada jumlah itu 150 sudah diagihkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Kita mengambil inisiatif ini selepas mengambil kira keadaan penduduk atau keluarga dijangkiti Covid-19 yang perlu menjalani kuarantin diri, menyebabkan mereka sukar mendapatkan barang keperluan asas.

“Jadi, dengan cara ini saya harap ia dapat meringankan beban mereka sepanjang tempoh kuarantin,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata, inisiatif itu akan diteruskan dari semasa ke semasa berdasarkan laporan diterima daripada pihak MPKK dan ketua komuniti kawasan masing-masing.

Selain itu, individu yang sedang dalam tempoh kuarantin dan memerlukan bantuan tersebut juga boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang di 03-3281 2069 atau 010-557 3736.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPB: KPDNHEP jamin bekalan asas cukup, harga stabil

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpuas hati dengan jumlah barangan keperluan asas terutama stok makanan yang ada dalam pasaran negara.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata selain memastikan bekalan mencukupi, kementerian juga akan mengambil langkah agresif bagi menjamin kestabilan harga ketika negara mendepani gelombang ketiga pandemik Covid-19.

“KPDNHEP memantau rantaian pembekalan barangan di peringkat pengilang, peladang, pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalan barangan itu mencukupi selain mengelak isu manipulasi harga oleh peniaga,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan dan pemeriksaan di sebuah pasar raya di sini malam tadi.

Rosol turut menasihati pengguna tidak membuat pembelian panik, khususnya melibatkan barangan keperluan asas ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mengenai tindakan penguatkuasaan yang dijalankan KPDNHEP, beliau berkata sebanyak 81 kes membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan harga dan bekalan barangan direkodkan sejak pelaksanaan PKPB di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Daripada jumlah itu, 29 kes membabitkan kesalahan di bawah Akta Timbang Sukat 1972 diikuti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (24 kes), Akta Perihal Dagangan 1972 (10 kes), Akta Perlindungan Pengguna 1999 (9 kes), Akta Cap Dagangan 2019 (5 kes), Akta Kawalan Bekalan 1961 (3 kes) serta Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (1 kes).

“Kes membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM117,880 dan 57 kompaun dengan nilai kompaun yang telah dibayar setakat ini ialah RM14,200,” katanya.

-BERNAMA