Categories
AGENDA NASIONAL

TNB: Bekalan elektrik di 77 kawasan di Kelantan sudah pulih

KOTA BHARU, 4 Mac: Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya memulihkan bekalan elektrik di 77 kawasan di Kelantan yang mengalami gangguan akibat banjir.

Pengurus Besar TNB Kelantan Mustapha Kamal Yaacob berkata ketika ini pihaknya sedang giat memulihkan bekalan elektrik di beberapa kawasan lain namun bergantung kepada akses perhubungan dan keadaan setempat.

“Di Tumpat, kawasan yang belum mendapat bekalan elektrik ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, Pulau Seratus, Teluk Renjuna 2, Pulau Dolah, Pulau Suri 1 dan Pulau Suri 2.

“Di Pasir Mas, kawasan masih terjejas ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pengkalan Rakit, JPS Bakat 2, Terusan dan Kebakat,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Mustapha Kamal turut mengingatkan penduduk supaya tidak menyentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh bagi mengelak kejadian buruk.

“Diharapkan penduduk bersabar dan lebih prihatin terhadap perkara ini malah pihak kami amat menghargai kerjasama yang diberikan orang ramai dalam usaha memulihkan bekalan elektrik di kawasan terlibat,” katanya.

Mustapha Kamal berkata TNB juga sedang memulihkan bekalan elektrik secara sementara melalui generator statik di kawasan kepulauan Tumpat berikutan kerosakan talian atas bekalan 11 kilovolt (kV) akibat dilanggar kapal korek yang hanyut semasa banjir, minggu lepas.

Pada 27 Februari lalu, media melaporkan seramai 3,000 penduduk terpaksa bergelap apabila kapal korek yang dibawa arus deras dipercayai telah merempuh tiang kabel elektrik sehingga tumbang di Kampung Pulau Beluru, Tumpat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

831 kawasan di empat negeri terjejas banjir pulih bekalan elektrik

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Bekalan elektrik di 831 kawasan yang terjejas banjir di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur telah dipulihkan setakat pukul 12 tengah hari ini.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) Careline menerusi hantaran di Facebook memaklumkan ia meliputi 510 kawasan di Pahang, 178 kawasan di Selangor, 118 kawasan di Kuala Lumpur dan 25 kawasan di Negeri Sembilan.

“Jika banjir sudah surut di kawasan anda tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan,” menurut hantaran itu.

TNB Careline turut memberitahu 14 kawasan di Selangor, 10 di Pahang dan masing-masing dua kawasan di Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur masih belum mendapat bekalan elektrik demi keselamatan pengguna setempat.

Selain itu menurutnya usaha sedang giat dijalankan oleh TNB bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

TNB Careline juga menasihati pelanggan agar meletakkan peralatan elektrik di tempat yang lebih tinggi dan selamat agar tidak ditenggelami banjir sebagai langkah berjaga-jaga.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kabel terbakar, lapan kawasan di Klang terputus bekalan elektrik

SHAH ALAM, 21 APRIL: Sebanyak lapan kawasan sekitar Klang mengalami gangguan bekalan elektrik susulan kebakaran kabel di pencawang pembahagi utama Puncak Alam.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline dalam kenyataan berkata kawasan terlibat meliputi Bandar Puncak Alam, Taman Alam Sutera, Taman Alam Suria dan Kampung Bukit Hijau.

Turut terjejas bekalan ialah Kampung Bukit Cerakah, Bandar Hillpark, Astana Alam 2 dan sebahagian kecil kawasan Kuala Selangor.

“Pasukan teknikal kami sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik,” kata syarikat tenaga itu di Facebook.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung insiden kebakaran pada jam 5 pagi.

Susulan itu, Penolong Pengarah Operasinya Hafisham Mohd Noor berkata sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dikerah ke lokasi di Jalan Felda 2, Puncak Alam.

Categories
AGENDA NASIONAL

TNB pastikan bekalan elektrik pusat simpan vaksin stabil

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di pusat penyimpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin Covid-19 seluruh negara, kekal stabil sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Datuk Ir. Baharin Din berkata, perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dan sedang diteruskan, bagi memperinci keperluan KKM terutama melibatkan usaha mengelakkan gangguan bekalan di lokasi penyimpanan vaksin.

“TNB akan memastikan sistem bekalan elektrik utama dan alternatif beroperasi dengan baik, di semua pusat penyimpanan dan pusat pemberian vaksin.

“TNB juga merangka pelan kontigensi pemulihan bekalan dengan pantas di beberapa pencawang yang dikenal pasti, melalui pemasangan sistem pengalihan bekalan secara automasi kawalan jauh antaranya ‘Normal Off Point’ (NOP), ‘Automated Transfer Scheme’ (ATS) dan ‘Remote Terminal Unit’ (RTU),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerja-kerja ‘penyelenggaraan berdasarkan keadaan’ (CBM) terhadap pencawang dan pembekal elektrik ke pusat penyimpanan vaksin telah dilaksanakan, bagi mengelakkan kegagalan pada sistem.

TNB juga melakukan sesi keterlibatan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan, untuk memastikan set janakuasa mereka berfungsi dan bersedia untuk beroperasi sekiranya diperlukan.

Pasukan teknikal TNB akan berada dalam keadaan siap sedia, serta set-set janakuasa bergerak akan diletakkan di lokasi-lokasi strategik, bagi memastikan tindakan yang pantas dapat diambil sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan, di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

Malaysia bakal menerima vaksin Pfizer-BioNTech bermula 21 Februari, disusuli pelaksanaan fasa pertama program imunisasi pada 26 Februari.

Bekalan elektrik yang stabil diperlukan kerana vaksin tersebut perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

Baharin memaklumkan syarikat utiliti itu turut menyediakan dua saluran perhubungan khusus (talian khas), kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas dengan TNB jika berlaku gangguan.

Dalam pada itu, Baharin memohon kerjasama kontraktor melakukan pengorekan berhampiran kabel bawah tanah TNB, untuk menghubungi syarikat utiliti itu sebelum memulakan kerja bagi mengelak kerosakan pada kabel, seterusnya menyebabkan gangguan bekalan terutama di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

Orang ramai boleh melaporkan gangguan bekalan atau sekiranya menyedari sebarang kejanggalan pada pepasangan TNB, melalui talian TNB CareLine 15454.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan elektrik tidak dipotong sehingga 30 September – TNB

PUTRAJAYA, 20 JUN: Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersetuju untuk menghentikan aktiviti pemotongan bekalan elektrik sehingga 30 September ini bagi pengguna dengan bil elektrik tertunggak, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Justeru, beliau berkata pengguna tidak perlu risau kerana bekalan elektrik tidak akan dipotong sekiranya mereka menghadapi kesukaran kewangan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lepas susulan penularan Covid-19.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung isu bil elektrik di sini, hari ini. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST) Razib Dawood.

Ditanya sebab pembaca meter TNB tidak bertugas semasa PKP yang menyebabkan berlaku peningkatan bacaan, Shamsul berkata TNB tidak membenarkan mereka keluar membuat bacaan meter selepas mendapat pandangan pelbagai pihak terutama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Keputusan itu atas nasihat MKN mengambil kira kepentingan pelbagai pihak,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, TNB mengikut saranan kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Beliau berkata, TNB hanya fokus kepada perkhidmatan penting yang ada bagi memastikan bekalan elektrik tidak terganggu semasa PKP kerana pengguna sentiasa berada di rumah.

TNB mempunyai sistem untuk mengira bacaan apabila bil terlambat dan tatacara pengiraan adalah teratur yang juga diluluskan ST.

Para pembaca meter TNB memulakan tugas sejak 15 Mei selepas status perkembangan Covid-19 di negara berubah dengan kes harian berkurangan.

-BERNAMA