Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kebun laman hijau bekal makanan khasiat buat masyarakat

SHAH ALAM, 5 DIS: Kebun laman hijau dan pertanian bandar membantu membekalkan makanan berkhasiat kepada rakyat negeri ini di sebalik krisis kenaikan harga sayur di pasaran.

Kaedah itu yang menghasilkan pelbagai tanaman mampu diberi atau dijual kepada penduduk sekitar pada harga berpatutan, kata EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar.

“Apabila timbul isu kenaikan harga barang, masyarakat memilih makan untuk kenyang hingga mengabaikan aspek zat pemakanan itu sendiri.

“Jadi dengan adanya kebun komuniti dan laman hijau, ia bukti kita bersedia untuk bantu masyarakat. dan menyediakan hidangan berkhasiat kepada keluarga,” kata Rodziah Ismail.

Beliau mengulas laporan kenaikan harga sayur selepas merasmikan Majlis Anugerah Laman Hijau Strata 2021 di Pusat Konvensyen Mindlands, Seksyen 7 di sini hari ini.

Wakil rakyat Batu Tiga turut menyifatkan kenaikan harga makanan ketika pandemik Covid-19 tidak wajar dan menggesa kerajaan mencari penyelesaian segera bagi mengelak rakyat terbeban.

“Saya bimbang kerana sekarang kita berada di penghujung tahun, bermakna semua moratorium diberikan kerajaan sebelum ini akan tamat dan rakyat perlu membayar semula hutang tidak lama lagi.

“Kerajaan belum beri jawapan status moratorium sama ada dilanjutkan atau sebaliknya, justeru isu kenaikan harga barang harus ditangani segera dan menyatakan tindakan susulan,” kata Rodziah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Negara tidak berdepan isu kurang bekalan makanan sepanjang pandemik

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memaklumkan negara tidak berdepan isu kekurangan bekalan makanan sepanjang berdepan pandemik Covid-19.

Timbalan menterinya Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata antara langkah diambil ialah dengan mengerah pasukan pemantau bagi melihat keperluan dan kekurangan dihadapi rakyat setiap hari.

“Kekangan kita ketika ini antaranya bergantung pada banyak barangan import berikutan penggunaan sentiasa meningkat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PAKATAN-Kulim Bandar Bharu) yang bertanya apakah dasar digariskan kementerian mampu mengatasi isu sekuriti makanan seperti mengurangkan kebergantungan pada makanan diimport.

Selain itu katanya kementerian mengambil langkah untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan kepada 75 peratus daripada keperluan negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pada ketika ini, dasar kita berkaitan beras yang menjadi makanan ruji negara adalah 70:30, iaitu 70 peratus kita hasilkan dan 30 peratus lagi diimport.

“Walaupun kita selesa dengan dasar ini, MAFI mengambil pendekatan mengkaji kemungkinan kita pertingkatkan lagi pengeluaran beras negara sebanyak 75 peratus untuk lima tahun akan datang.

“Ini akan dilaksanakan menerusi beberapa pendekatan yang kita berkeupayaan untuk mencapainya,” katanya.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Ketua kampung ronda elak penduduk putus bekalan makanan

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pandemik Covid-19 tidak menghalang dua ketua kampung wanita menjalankan tanggungjawab menyalurkan bantuan kepada penduduk terputus bekalan makanan.

Salasiah Sahat, 45, berkata setiap hari rondaan dilakukan sekitar Kampung Parit 16, Binjai Jaya, Sungai Panjang bersama seorang ahli jawatankuasanya (AJK).

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan program bersama penduduk terhad. Jadi salah satu cara ialah melakukan rondaan di sekitar kampung yang mempunyai 472 kediaman.

Salasiah Sahat

“Setakat ini bekalan makanan mencukupi cuma ada juga penduduk yang mohon bantuan supaya membelikan keperluan kerana menjalani kuarantin,” katanya yang dilantik ketua kampung pada 2019.

Sementara itu, Ketua Kampung Kampung Baharu Sabak Bernam, Azizah Samin, 57, berkata beliau mengagihkan 80 bungkusan makanan setiap Jumaat kepada pesakit Covid-19, warga emas dan ibu tunggal.

“Saya melakukan rondaan secara bersendiri setiap petang selain memberi khidmat penghantaran ke pusat vaksin kepada penduduk yang tiada kenderaan,” katanya.

Pada 1 April lalu EXCO perumahan, kesejahteraan bandar dan pembangunan usahawan berkata penglibatan wanita dalam pembangunan negeri ini terus diperkasa dengan pelantikan ketua kampung meningkat kepada 16 orang.

Rodziah Ismail berkata pertambahan itu membuktikan Selangor sentiasa ke depan dengan tidak meletakkan gender sebagai syarat.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lima sekeluarga positif Covid-19 terima bantuan makanan LZS

SHAH ALAM, 9 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan makanan kepada lima sekeluarga yang berputus bekalan kerana menjalani kuarantin.

Agensi berkata keluarga dari Kuala Langat itu dikuarantin di rumah selepas mereka disahkan positif Covid-19.

“Pihak kami bergegas membeli barang keperluan makanan dan menyerahkan kepada keluarga yang terkesan ini.

“Serahan makanan tetap disampaikan walau hanya diletakkan di luar pagar,” katanya menerusi Facebook.

LZS juga mendoakan semoga keluarga terbabit sembuh daripada wabak dengan segera.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama PKPS-Fama tingkat kecekapan urus bekalan makanan

SHAH ALAM, 6 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) semalam memeterai perjanjian persefahaman (MoU) secara maya.

Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama itu dapat menambah kecekapan pengurusan bekalan dan rantaian pemasaran agromakanan bagi menjamin bekalan makanan negeri ini.

“Kerajaan Negeri menyambut baik kesediaan Fama untuk bersama merencana hala tuju strategik isu jaminan bekalan makanan Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bersama Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya (kiri) dan Dato’ Nor Azmie Diron (kanan) menyaksikan MoU antara PKPS dan Fama secara maya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 5 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“PKPS, anak syarikat Kerajaan Negeri yang menumpukan sektor pertanian adalah rakan usahasama terbaik bagi merealisasikan hasrat perkongsian pintar ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

MoU berkenaan ditandatangani EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dato’ Abdul Ghariff Ramin dan Ketua Pengarah Fama Dato’ Zainal Abidin Yang Razali.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron.

Amirudin berkata pengalaman dan pengetahuan teknikal Fama dalam mengendalikan kemudahan penyimpanan makanan atau pusat operasi (PO) menjadi teras kepada perkongsian strategik itu.

“PKPS sedang meneliti kaedah mengendali PO sendiri selain mengenal pasti lokasi strategik untuk membangunkan kemudahan ini supaya hasil pertanian diurus lebih baik,” katanya lagi.

Melalui MoU itu, PKPS dan Fama juga akan memanfaatkan perkongsian data pasaran, pangkalan data pembekal, petani serta penggunaan rangkaian pemasaran termasuk pasaran antarabangsa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Bekalan makanan cukup, rakyat usah bimbang

SHAH ALAM, 6 NOV: Bekalan makanan dijamin mencukupi meskipun pekerja asing dalam sektor pengeluaran makanan tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

Menteri kanan (keselamatan) berkata kementerian berkaitan sentiasa memantau perkara tersebut terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Setiap kali dengar pembentangan, kita dapati bekalan makanan mencukupi dan mudah diperolehi, jadi tiada keperluan untuk rakyat bimbang disebabkan tiada warga asing.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Perdana Putra pada 24 Jun 2020. Foto BERNAMA

“Bukan bermakna tiada warga asing (bekerja dalam industri pengeluaran makanan) kita tidak boleh mengeluarkan bekalan makanan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media semalam.

Beliau berkata pekerja asing dalam industri itu termasuk pembinaan dan perladangan masih tidak dibenarkan masuk bagi mengekang penularan Covid-19.

Ismail Sabri berkata kebenaran hanya diberikan kepada pekerja asing yang terlibat dalam pengurusan tertinggi syarikat pelaburan dalam negara dan kumpulan pakar tertentu.

“Kita benarkan pakar tertentu misalnya kapal selam yang tiada di Malaysia untuk melakukan pembaikan jika berlaku kerosakan, namun selepas dua tiga hari bekerja, mereka akan pulang ke negara asal,” katanya.