Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekas Ketua Audit Negara terima anugerah dari CyberSecurity Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Anugerah CyberSecurity Malaysia 2019, di sini, malam tadi.

Anugerah itu disampaikan Pengerusi CyberSecurity Malaysia, Tan Sri Jeneral (B) Mohd Azumi Mohamed sebagai mengiktiraf sumbangan cemerlang Madinah kepada negara dan pembangunan sektor keselamatan siber tempatan.

Madinah ketika ditemui pemberita menzahirkan rasa terharu dengan pengiktiraf itu selain bangga dengan perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai oleh sektor keselamatan siber negara, ketika ini.

“Melihat perubahan era digital ini, cyber security is the key bukan sahaja kepada aspek sosial media tetapi untuk melindungi perkara lain seperti aspek kerajaan dan kehidupan warga negara,” katanya.

Beliau berkata, agensi itu perlu terus diperkasakan untuk memastikan ia sentiasa bersedia menangkis serangan siber terhadap negara.

Madinah menjadi antara pelopor kepada usaha melaksanakan Dasar Bioteknologi Kerajaan, Dasar IT dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara ketika berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (kini dikenali Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), pada 2008 hingga 2013.

Pada 23 Februari 2017, beliau dilantik sebagai Ketua Audit Negara bagi tempoh dua tahun pada 23 Februari 2017 dan menamatkan perkhidmatannya pada 22 Februari lalu.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nurini Kassim.

Acara kemuncak bagi Program Anugerah, Persidangan dan Pameran (CSM-ACE) CyberSecurity Malaysia 2019 yang dilancarkan pada Isnin lepas itu, turut menyaksikan seramai 16 individu dan syarikat menerima anugerah berdasarkan kejayaan, hasil inovasi dan kepimpinan industri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan A Jalil, 73, meninggal dunia di kediamannya di Sungai Buloh, semalam.

Hadenan, yang juga Pro-Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meninggalkan isteri, Puan Sri Faridah Abdul Hamid dan tiga anak.

Pengerusi dan Pengarah Kumpulan Protasco Berhad, syarikat pembinaan jalan dan kejuruteraan, Allahyarham adalah lulusan Universiti Malaya dalam bidang ekonomi pada 1970 sebelum memulakan kerjaya dalam pentadbiran dan diplomatik.

Karier awal beliau bermula di pelbagai kementerian termasuk sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Ketua Setiausaha di Kementerian Kerja Raya.

Selepas bersara daripada jawatan akhirnya sebagai Ketua Audit Negara, Hadenan yang juga anak kelahiran Melaka berkhidmat di beberapa syarikat seperti Unilever (M) Holding Sdn Bhd, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, PNB Commercial Sdn Bhd dan Malayan Banking Bhd.

Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Protasco, Datuk Sri Ir Chong Ket Pen berkata, Hadenan bukan sahaja pengerusi tetapi juga sebagai ketua keluarga Protasco.

“Bagi pihak syarikat, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas semua sumbangan beliau sepanjang sembilan tahun bersama Protasco.

“Kehadiran dan kepimpinannya akan terus menjadi ingatan semua,” katanya dalam satu kenyataan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ambrin sedia tampil jadi saksi siasatan semula 1MDB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 SEPT: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang menyatakan kesediaannya untuk menjadi saksi berhubung siasatan semula pendakwaan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang juga Ahli Dewan Diraja Selangor komited untuk tampil bekerjasama memberi kenyataan jika diperlukan pihak berkuasa.

“Kita mempunyai laporan daripada Jabatan Audit yang sudah digunakan sebagai asas kepada Kerajaan Persekutuan, jadi jika perkara ini hendak dibawa ke mahkamah dan memanggil saya sebagai saksi, saya akan pergi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440H Peringkat Negeri Selangor, di Dewan Solat Atas, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, malam tadi.

Sebelum itu, Ambrin turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1440H Peringkat Negeri Selangor atas sumbangan dan jasa bakti membangunan ummah di negeri itu.

Beliau menerima wang tunai RM20,000, trofi, sijil penghargaan, set sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah.

Turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Tengku Laksamana Selangor, Tengku Dato’ Seri Sulaiman Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Mengiringi Tengku Laksamana, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.