Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekas CEO SSM, anak lelaki didakwa atas tuduhan rasuah lebih RM5 juta

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 33 pertuduhan menerima suapan, menyalahgunakan kuasa dan bersubahat membabitkan RM5.7 juta berhubung penganjuran program SSM, empat tahun lepas.

Manakala anak lelakinya, Abdulazeez Wan Ruslan, 33, ahli perniagaan, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah dan dua pertuduhan bersubahat dengan ibunya membabitkan RM160,000 pada 2017 dan 2018.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-28, Zahrah, 60, sebagai seorang ejen iaitu Ketua Pegawai Eksekutif SSM, didakwa memperoleh suapan untuk dirinya iaitu wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM5.2 juta daripada Ramulianto Mohram melalui Mohamad Shahren Mohamad Yusri.

Bagi pertuduhan pertama hingga kesepuluh, dia didakwa memperoleh wang berjumlah RM1 juta sebagai upah bagi melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh iaitu meluluskan permohonan penganjuran Program Online Networking Enterpreneurs Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2015 (ONE SSM) di Sarawak, Sabah, Kedah, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Pahang, Melaka dan Terengganu antara November 2015 hingga Oktober 2018.

Untuk pertuduhan ke-11 hingga ke-15, Zahrah didakwa memperoleh wang berjumlah RM1.6 juta sebagai upah bagi meluluskan pelantikan tiga syarikat iaitu SSJ Niaga, Desa Nirwana dan Idea Resources (M) Sdn Bhd bagi Program Perkhidmatan Pengiklanan Papan Tanda Led Komersil SSM di negeri Kedah, Melaka dan Perak.

Mengikut pertuduhan ke-16 hingga 21, tertuduh didakwa memperoleh wang RM2 juta sebagai upah untuk meluluskan pelantikan tiga syarikat iaitu lkhlas Padu Sdn Bhd, Desa Nirwana Sdn Bhd, SSJ Niaga bagi kelulusan memperbaharui terma dan syarat pengiklanan Papan Tanda Led Komersil Bagi SSM di negeri Johor, Melaka dan Kedah bagi tempoh setahun.

Sementara itu, bagi pertuduhan ke-22 hingga 27, dia didakwa memperoleh wang berjumlah RM400,000 sebagai upah bagi meluluskan permohonan untuk menganjurkan Program Karnival Youngpreneurs, Go! (YPGo) anjuran SSM di Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Tenaga Nasional Pahang, Universiti Malaysia Sabah dan Politeknik Kota Bharu.

Manakala bagi pertuduhan ke-28, tertuduh didakwa memperoleh RM200,000 sebagai upah bagi meluluskan pelantikan syarikat Marikaya Enterprise untuk Perolehan Bagi Perkhidmatan Pengurusan Acara Program Bizfair SSM 2018 Peringkat negeri Sabah.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di SSM, Menara SSM@Sentral, Tingkat 30, No.7, Jalan Stesen Sentral 5 dan di pH (rpt: pH) Pastry House, 1 Jalan Tasik Utama 3, Medan Niaga Tasik Damai, Lake Fields, Sungai Besi di sini, antara Disember 2015 hingga Mac 2019.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi kesalahan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-29, wanita terbabit didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM279,000 bagi anaknya, Abdulazeez melalui Mohd Fadzly Abdul Hamid dengan memberi arahan untuk memilih sebut harga yang dibawa oleh Mohd Fadzly untuk melaksanakan projek antaranya program Healthy One di Karnival One di Medan MARA, Kuala Lumpur dengan harga kerja sebanyak RM555,000 dan membekal t-shirt tidak berkolar untuk karnival ONE SSM Sarawak 2016 dengan harga kerja RM77,900, yang mana Abdulazeez secara langsung mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat SSM antara 2015 hingga 2017, mengikut Subseksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ke-30 pula, Zahrah didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan Abdulazeez yang telah secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang tunai RM15,000 daripada Samhan Adnan yang merupakan Pengarah syarikat Fixme Coach Sdn. Bhd. (kemudiannya dikenali sebagai Pocket Trade Sdn. Bhd.) di sebuah restoran di Bandar Tasik Selatan di sini, pada Mac 2018.

Wang itu sebagai upah bagi dirinya (tertuduh) kerana memberikan kelulusan perolehan permohonan Pembangunan Portal Online Networking Entrepreneurs (One Portal) kepada syarikat Fixme Coach Sdn. Bhd, yang mana kelulusan tersebut telah tertuduh berikan pada 8 Mac 2018.

Bagi pertuduhan ke-31, Zahrah juga didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan Abdulazeez, yang telah secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM70,000 daripada Samhan yang merupakan Presiden Kelab Sukan Kecergasan Myfit melalui Mohd Fadzly.

Wang tersebut sebagai upah bagi diri tertuduh kerana telah memberikan kelulusan pada Memorandum Dalaman Seksyen Komunikasi Korporat Bahagian Strategi & Komunikasi Korporat bertajuk Permohonan Kelulusan Bayaran Berjumlah RM225,000 kepada Kelab Sukan Kecergasan Myfit bagi Penganjuran SSM BizRun 2018.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Lakefield, Sungai Besi di sini, pada 6 Februari 2018 itu, mengikut Subseksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Subseksyen 16 (a)(A) dan Subseksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman sama.

Mengikut pertuduhan ke-32 dan ke-33, Zahrah juga didakwa menerima wang masing-masing RM25,000 dan RM50,000 daripada syarikat Big Dataworks Sdn. Bhd dan syarikat Prima Arenaniaga Sdn Bhd untuk Skateboarding Development Malaysia Plt. milik anaknya itu di Maybank Islamic Berhad, Dataran Maybank pada 16 Ogos dan 21 September, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Abdulazeez didakwa telah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan wang tunai berjumlah RM15,000.00 daripada Samhan sebagai upah bagi dirinya kerana telah memastikan ibunya (Zahrah) memberikan kelulusan perolehan permohonan pembangunan One Portal kepada syarikat Fixme Coach Sdn Bhd yang mana kelulusan tersebut telah diberikan pada 8 Mac 2018.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM70,000.00 daripada Samhan melalui Mohd Fadzly sebagai upah bagi diri tertuduh kerana telah memastikan Zahrah memberikan kelulusan pada Memorandum Dalaman Seksyen Komunikasi Korporat Bahagian Strategi & Komunikasi Korporat bertajuk Permohonan Kelulusan Bayaran berjumlah RM225,000.00 kepada Kelab Sukan Kecergasan Myfit bagi Penganjuran SSM BizRun 2018.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah restoran di Bandar Tasik Selatan di sini pada Mac 2018 dan di sekitar kawasan Lakefield, Sungai Besi di sini pada 6 Februari 2018, mengikut Subseksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman yang sama.

Manakala, bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Abdulazeez didakwa atas tuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan ibunya (Zahrah) ​​​​​​yang telah menerima wang berjumlah RM75,000 daripada syarikat Big Dataworks dan Prima Arenaniaga untuk Skateboarding Development Malaysia Plt. milik tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Dataran Maybank, Aras 1, Tower A, Dataran Maybank, No. 1, Jalan Maarof di sini, pada 16 Ogos 2017 dan 21 September 2017, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 165 Kanun sama yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Allan Suman Pillai menawarkan jaminan RM1 juta bagi kedua-dua tertuduh memandangkan kes ini adalah serius dan memohon kebenaran mahkamah supaya kes mereka dibicarakan bersama.

Bagaimanapun, peguam Hamidi Mohd Noh, yang mewakili dua beranak itu tidak membantah permohonan pendakwaan untuk kedua-dua kes itu dibicarakan bersama selain memohon supaya jumlah jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan Zahrah telah bersara tahun ini manakala Abdulazeez pula baru mendirikan rumah tangga.

“Jaminan yang ditawarkan pendakwaan terhadap kedua-dua anak guam saya terlalu tinggi. Zahrah mempunyai tekanan darah tinggi dan memerlukan rawatan susulan. Jadi, saya memohon RM70,000 diberikan kepada Zahrah dan RM30,000 kepada Abdulazeez,” katanya.

Hakim Azura Alwi kemudiannya membenarkan Zahrah diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin manakala Abdulazeez pula diikat jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM, Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan 26 November untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen.

– BERNAMA