Categories
NASIONAL

MB : Terima kasih Chong Wei

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 JUN : Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di atas jasa beliau selama ini.

Amirudin berkata, seluruh rakyat Malaysia seharusnya berterima kasih kepada pemain badminton dunia itu.

“Kami rakyat Malaysia yang seharusnya berterima kasih kepada Datuk Lee Chong Wei.

“Mengharumkan nama negara di persada dunia. Ikon contoh yang menyatukan rakyat Malaysia tidak mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik. Anda wira kami! #TerimaKasihChongWei,” tulisnya di Facebook.

Hal itu bagi mengulas kenyataan Chong Wei yang menzahirkan terima kasih kepada rakyat Malaysia ketika mengumumkan persaraannya daripada arena itu, semalam.

Terdahulu, Chong Wei dalam satu sidang media mengumumkan keputusan bersara daripada arena badminton itu walau berat hati berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Antara pencapaian Chong Wei adalah tiga pingat perak dalam Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016) dan tiga kali naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015), selain muncul pemain terbanyak memenangi gelaran Super Series sebanyak 46 kali.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mendapan tanah pangsapuri Petaling Perdana mendapat perhatian

pangsapuriSHAH ALAM 28 OGOS : Isu tanah mendap yang membelenggu warga Pangsapuri Petaling Perdana akan dipanjangkan kepada Bahagian Teknikal Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk tindakan lanjut.

Setiausaha Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Kamaruzzaman Ahmad Nor berkata MBPJ telah membuat lawatan ke pangsapuri 25 Ogos lepas dan pemerhatian awal mendapati mendapan tanah berlaku akibat aktiviti pereputan bawah tanah.

“Langkah itu sebagai membantu JMB dan jika ada keperluan pembaikan, pihak JMB dan pemaju perlu bertanggungjawab dalam isu itu,” jelas beliau kepada pemberita dalam kiriman sistem pesanan ringkas (SMS).

Sebelum ini, penduduk dilaporkan hidup dalam ketakutan apabila pangsapuri mereka mengalami keretakan serius. Masalah ini berlaku sejak lima tahun lalu.

Difahamkan, pangsapuri itu dibangunkan di atas bekas tapak perlombongan.pangsapuri 2

“Tanggungjawab sebenar ialah kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) kerana ia terletak dalam kawasan mereka. Dalam JMB itu pula, pemaju juga terbabit. Maka pemaju juga boleh membantu kerana mereka mengetahui sejarah pembinaan dan semua isu teknikal pangsapuri itu,” tambah Kamaruzzaman.

Ketika itu, Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo mensasarkan ‘setinggan sifar’ dengan menghapuskan kawasan setinggan di sekitar Petaling Jaya dan menempatkan 11 kampung terkesan ke pangsapuri berkenaan.

Mengulas lebih lanjut, Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata isu itu sudah dibangkitkan kepada pihak pemaju sejak 2010.

“Isu itu pernah dipanjangkan kepada pemaju pada tahun 2010 dan pihak pemaju ada menghantar laporan namun dalam laporan terbabit menyatakan perumahan itu selamat diduduki dan tiada masalah struktur,” jelas Haniza.

Haniza turut meminta penduduk mengaktifkan JMB supaya saluran aduan dan bantuan antara Kerajaan Negeri dan penduduk dapat diuruskan lebih lancar.