Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh bicara 1MDB dijangka langkau kes pecah amanah Najib-Irwan

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan mengambil masa panjang.

Ia dijangka melangkaui tarikh perbicaraan kes pecah amanah RM6.6 bilion berkaitan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dihadapi bekas perdana menteri itu bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan perbicaraan kes pecah amanah itu selama 32 hari pada setiap hari September dan Oktober 2021 kecuali Jumaat, bagi memberi laluan kepada perbicaraan dua kes jenayah (1MDB dan laporan audit) membabitkan Najib selesai.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan kes 1MDB akan mengambil masa lama kerana ketika ini masih di peringkat pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman dan pendakwaan dijangka memanggil 60 saksi.

“Saya ingin tanya Yang Arif (Muhammad Jamil) sekiranya perbicaraan kes 1MDB melangkaui tarikh perbicaraan (kes pecah amanah) adakah Yang Arif akan mengambil kira tarikh sambung bicara 1MDB dengan kes ini (pecah amanah)?

“Ini kerana perbicaraan kes 1MDB nampak panjang… saya pohon satu tarikh pengurusan kes pada 21 Mei yang telah dipersetujui kedua-dua pihak untuk memaklumkan status terkini dua kes jenayah (1MDB dan laporan audit) membabitkan anak guam saya,” katanya semasa pengurusan kes itu hari ini.

Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan Serigar tidak membantah perkara itu, bagaimanapun memohon kehadiran anak guamnya dikecualikan semasa pengurusan kes pada 21 Mei kerana tertuduh yang mengambil kursus undang-undang di sebuah kolej swasta akan menduduki peperiksaan.

Mahkamah menetapkan 21 Mei ini untuk pengurusan kes dan membenarkan kehadiran Mohd Irwan Serigar dikecualikan pada tarikh itu serta mengekalkan tarikh bicara sebelum ini.

“Buat masa ini tarikh bicara pecah amanah yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan,” kata hakim.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Syahril Nik Ab Rahman. Kedua-dua Najib, 67, dan Mohd Irwan Serigar, 63, hadir di mahkamah hari ini.

Pada 24 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan Serigar mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Najib selesai beri keterangan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selesai memberikan keterangan selama empat jam berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung dakwaan kemasukan wang lebih RM2 bilion ke akaun peribadi beliau.

Selesai memberi keterangan, Najib meninggalkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Menara KPJ pada jam 1.38 tengah hari tadi sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Najib kemudian tiba di kompleks mahkamah terbabit pada jam 1.48 tengah hari dibarisi peguam yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, Najib ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada jam 4.13 petang semalam berhubung dakwaan kemasukan wang lebih RM2 bilion ke akaun peribadinya.

Ahli Parlimen Pekan itu dijangka menghadapi beberapa pertuduhan dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.

Beliau juga pernah didakwa dengan tujuh pertuduhan jenayah, pada Julai dan Ogos lalu.

Terdahulu, pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Namun, Najib tidak mengaku salah atas pertuduhan menerima wang sama (RM42 juta) hasil aktiviti haram ke dalam dua akaun miliknya, pada 8 Ogos lalu.

Najib dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin sementara menunggu sebutan semula kes dan kesemua tujuh pertuduhan untuk dibicarakan bersama kerana membabitkan saksi serta dokumen sama.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pada 4 Oktober lalu.

– Bernama

Categories
NASIONAL

Najib bakal hadapi 21 pertuduhan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal menghadapi 21 pertuduhan membabitkan AS$681 juta (RM2.8 bilion), kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata, sembilan dan lima pertuduhan masing-masing membabitkan penerimaan wang haram dan penggunaan wang haram.

Manakala, katanya, tujuh pertuduhan lagi membabitkan pemindahan wang haram ke entiti lain.

“Tangkapan dan pertuduhan ini dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Noor Rashid berkata, Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 3 petang ini, untuk proses pertuduhan oleh Timbalan Pendakwa Raya mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahkan untuk menahan bekas Perdana Menteri itu di perkarangan ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di Menara KPJ, di sini, hari ini selepas sahaja mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, Najib dibawa ke ibu pejabat AMLA bagi dirakam percakapannya berhubung siasatan mengikut Seksyen 4(1) AMLATFA 2001.

Kehadiran Najib ke ibu pejabat itu bertujuan membantu siasatan oleh pihak polis yang bekerjasama dengan pasukan penyiasat SPRM berhubung siasatan kes sama.

 

Categories
NASIONAL

Selesai di SPRM, Najib dibawa ke Menara KPJ

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini dibawa ke ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di Menara KPJ Jalan Tun Razak, di sini, awal pagi ini.

Hal itu bertujuan merakam percakapan beliau berhubung siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Kehadiran Najib itu juga bertujuan membantu siasatan pihak polis yang bekerjasama dengan pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes sama.

Memetik laporan Berita Harian, Najib tiba di perkarangan lobi Menara KPJ pada jam 9.20 pagi dengan diiringi dua motosikal pengiring polis dan sebuah kenderaan SPRM.

Kehadirannya Najib turut disambut beberapa pegawai AMLA yang dilihat menunggu di lobi bangunan itu seawal jam 8.30 pagi.

Difahamkan, ini merupakan kali ketiga Najib dipanggil selepas beliau pernah dipanggil juga pada 27 Ogos dan 30 Ogos lalu berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semalam, Najib ditahan SPRM pada jam 4.13 petang di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

SPRM dalam kenyataan semalam berkata, Najib ditahan berhubung kes 1MDB berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

Berdasarkan kenyataan itu, SPRM memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan polis bagi merakam percakapan Najib sebelum beliau dibawa ke mahkamah petang ini.

 

Categories
NASIONAL

Najib mengaku tidak bersalah, ikat jamin RM1 juta

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap semua empat pertuduhan dibacakan terhadapnya berhubung kes berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Pengakuan itu direkodkan di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim, Sophian Abdul Razak dan Najib dilihat mengangguk selepas setiap pertuduhan dibacakan.

Bagaimanapun, Sophian menetapkan bayaran ikat jamin RM1 juta untuk semua pertuduhan dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon budi bicara Hakim agar pendahuluan RM500,000 dibayar hari ini dan bakinya pada hari Isnin, jam 3.00 petang, manakala pasport Najib diserahkan hari ini.

Sopian mengangguk sebagai tanda bersetuju dan Peguam Negara, Tommy Thomas tidak membantah.

Dalam prosiding sebelum itu, Tommy Thomas memohon ikat jamin RM1 juta bagi setiap pertuduhan dan dibayar secara tunai tetapi dibantah Muhammad Shafee yang mewakili Najib dengan menyatakan jumlah itu terlalu tinggi.

Muhammad Shafee mencadangkan supaya ikat jamin ditetapkan antara RM500,000 hingga RM800,000 untuk semua pertuduhan dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada pihak berkuasa.

Beliau turut memohon pertimbangan hakim menerima geran tanah dan banglo anak guamnya di Taman Duta sebagai tukaran nilai ikat jamin tetapi dibantah Tommy Thomas.

Terdahulu prosiding pendakwaan bermula jam 9.06 pagi dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Bagi tiga pertuduhan pecah amanah, Najib selaku penjawat awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat SRC International didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM42 juta yang di Menara Ambank, Jalan Raja Chulan antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat serta denda.

Beliau turut didakwa menggunakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk suapan RM42 juta ketika mengambil bahagian atau terlibat membuat keputusan bagi Kerajaan Malaysia bagi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda sehingga lima kali jumlah suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (akta 574) yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan denda.

 

 

Categories
NASIONAL

AS percepat siasatan 1MDB

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUN: Penyiasat Amerika Syarikat mempercepatkan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas Barisan Nasional tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Reuters melaporkan, lebih banyak bukti bertukar dengan pihak berkuasa Malaysia ketika ini.

Sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Malaysia, Amerika Syarikat dan Switzerland menyiasat dakwaan bahawa Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekutunya menerima sebahagian daripada wang AS$4.5 bilion yang didakwa daripada 1MDB.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pula percaya, kerajaan baharu bersedia bekerjasama ketika pihak berkuasa AS melihat Najib secara aktif cuba menghalang penyiasatan.

Seorang pegawai penguatkuasa undang-undang AS berkata, walaupun pihak pendakwaan AS menimbangkan kemungkinan mendakwa Najib dan sekutu, namun mereka lebih berminat jika Malaysia sendiri memfailkan pertuduhan jenayah terhadap mana-mana pegawai kerajaan Malaysia.

“Permohonan rasmi berhubung perkara itu belum dibuat tetapi pegawai atasan sedang membincangkannya dalam kalangan pemimpin kerajaan,” katanya.

Difahamkan Najib kini mendapatkan khidmat bekas Peguam Negara AS, John Ashcroft dan firma peguambela David Boles yang berpangkalan di New York untuk mewakili beliau berhubung penyiasatan AS.

Dalam beberapa siri rampasan aset tahun lalu, pihak pendakwa AS dalam kertas mahkamah mendakwa sebahagian wang yang daripada 1MDB dimasukkan ke dalam akaun individu dikenali sebagai ‘Malaysian Official 1’ (MO1).

Categories
NASIONAL

Pakatan Akan Bawa Usul Penubuhan IPCMC Dalam Parlimen

kitsiang anwar mustafa 01

PETALING JAYA 3 JUN : Pakatan Rakyat (PR) akan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ketika persidangan Parlimen diadakan pada 24 Jun nanti.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Pakatan berharap usul tersebut akan mendapat sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional, yang sebahagiannya didakwa menyokong cadangan itu.

Ini kerana suruhajaya tersebut yang pernah dicadangkan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, penting menangani kes salahlaku anggota polis seperti kematian di dalam tahanan.

Beliau menjelaskan Pakatan telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi tujuan itu yang dianggotai dua Ahli Parlimen dari setiap parti gagasan itu.

“Kita memerlukan sokongan majoriti mudah di Parlimen iaitu 112 bagi kelulusan suruhanjaya bebas ini. Kita sudah ada 89 Ahli Parlimen dari PR maka kita perlukan sekurang-kurangnya 23 lagi untuk tujuan ini.

“Kita harap enam Ahli Parlimen PR dalam jawatankuasa akan berusaha mendapatkan sokongan Ahli Parlimen BN bagi penubuhan IPCMC,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Lim berkata, maklumat diperoleh menyatakan parti komponen BN seperti MIC dan MCA turut menyokong cadangan penubuhan IPCMC itu.

Menurutnya, Ahli Parlimen BN yang prihatin dalam perkara itu perlu menyatakan sokongan supaya insiden kematian dalam lokap tidak berulang lagi.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan rasa kesal dengan kematian yang berlaku dalam lokap dengan yang terakhir melibatkan mangsa, N Dharmendran, 32.

“Ini kita bantah sekeras-kerasnya kerana berulang kali berlaku sudah dibantah sejak kes Kugan tetapi masih berterusan berlaku.

“Oleh demikian gesaan kita mengenai IPCMC diteruskan … Pada masa sama kita mahu Menteri Dalam Negeri jangan bagi alasan … Tetapi siasatan yang telus dan tindakan segera untuk menghentikan segala bentuk jenayah terhadap orang yang dituduh,” ujarnya.

Dharmendran ditahan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur apabila beliau hadir membuat laporan tetang kejadian tembak-menembak di Bandar Tun Razak pada 11 Mei lalu.

Peguam keluarga mangsa, N Surendran mendakwa laporan bedah siasat pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur, merumuskan bahawa Dharmendran mati selepas dipukul objek tumpul secara berterusan.