Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 50 peratus aduan berkait larangan bekerja dari rumah

PENDANG, 13 JULAI: Aduan membabitkan majikan tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah (BDR), merekodkan hampir 50 peratus aduan yang diterima Kementerian Sumber Manusia menerusi aplikasi ‘Working for Workers’, sejak 1 Feb hingga Ahad lepas.

Timbalan Menterinya Datuk Awang Hashim berkata, sebanyak 2,292 aduan berkaitan isu itu diadukan oleh pekerja, lebih tinggi berbanding isu-isu lain termasuk berkaitan gaji tidak dibayar atau pembayaran gaji lewat (1,414 aduan) dan potongan upah tidak mengikut undang-undang (462 aduan).

“Kita menerima 5,675 aduan dari Februari hingga semalam menerusi aplikasi itu, berkenaan majikan yang mendiskriminasi hak pekerja dan daripada jumlah ini sebanyak 4,105 aduan, telah diambil tindakan.

“Ini tidak patut berlaku kerana kerajaan telah melancarkan Program Subsidi Upah (PSU) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), yang mana kerajaan membantu majikan membayar gaji pekerja mereka.

“Kita akan teruskan operasi bagi mengesan majikan yang mendiskriminasikan hak pekerja dan akan berkolaborasi dengan agensi serta kementerian terlibat, untuk keluarkan kompaun dan buka kertas siasatan jika perkara ini terus berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Parlimen Pendang hari ini.

Sementara itu, Awang berkata sebanyak 806 kertas siasatan dibuka, di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446) terhadap majikan, atas pelbagai kesalahan sejak Februari hingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 130 kes telah didakwa di mahkamah yang melibatkan jumlah denda sebanyak RM487,000, dan sebanyak 408 kes pula dikompaun dengan jumlah keseluruhan RM5,534,000.

“Sebanyak 49 arahan pindah turut dikeluarkan, melibatkan 49 majikan dengan 2,930 pekerja terlibat. Bagaimanapun, setiap aduan akan kita buat siasatan terlebih dahulu, dengan bertemu majikan sama ada aduan diterima betul atau bagi ‘win-win situation’,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KSN: Kakitangan awam bekerja dari rumah sepenuhnya

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Perkhidmatan awam akan melaksanakan kaedah bekerja dari rumah (BDR) sepenuhnya susulan pengumuman pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki berkata arahan itu tidak termasuk perkhidmatan barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.

Beliau berkata perintah itu bertujuan untuk mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

“Semua mesyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan serta tiada perjumpaan atau aktiviti fizikal dibenarkan.

“Perkhidmatan kaunter ditutup dan segala urusan adalah melalui perkhidmatan dalam talian kecuali kaunter perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu-pintu masuk antarabangsa yang melibatkan perkastaman, imigresen serta kuarantin,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zuki turut memaklumkan pelaksanaan BDR adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 – Dasar Bekerja Dari Rumah yang jelas memperincikan aspek-aspek yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh melaksanakan urusan peribadi dalam waktu bekerja.

“Sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada BDR akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah P.U (A) 395 – Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kehadiran ke pejabat hanya boleh dibenarkan bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR dengan tidak melebihi kapasiti 20 peratus di pejabat.

Antara urusan yang dibenarkan kehadiran di pejabat ialah pembayaran kontrak, invois atau gaji, pembayaran atau pengagihan bantuan bulanan dan berkala kepada rakyat, penyelenggaraan atau keselamatan permis dan pengurusan teknikal ICT bagi tujuan penyelenggaraan sistem serta mesyuarat dalam talian.

Turut dibenarkan penyediaan kertas atau dokumen melibatkan jemaah menteri, penggiliran kakitangan bagi tempoh maksimun empat jam dan kehadiran ke pejabat perlu disertai dengan dokumen arahan rasmi dan pas pekerja.

Mohd Zuki juga berkata pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan kepada arahan yang dikeluarkan.

“Sebarang pengecualian arahan itu perlu mendapat kelulusan Pejabat KSN,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dasar bekerja dari rumah masih terpakai – menteri

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Dasar bekerja dari rumah bagi perkhidmatan awam dan industri di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) masih terpakai walaupun kesemua negeri kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kehadiran pegawai di kawasan PKPB adalah pada tahap 30 peratus, manakala bagi kawasan PKPP pada tahap optimum dan boleh beroperasi sepenuhnya.

“Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada ketua jabatan untuk melaksanakan arahan ini mengikut kesesuaian cara kerja masing-masing.

“Pihak MITI dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam akan membuat pengumuman sekiranya terdapat perubahan bagi pelaksanaan dasar itu untuk industri terlibat dan perkhidmatan awam,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kebenaran mengadakan acara siaran langsung dengan kehadiran penonton bagi kawasan PKPB dan PKPP serta penggambaran luar studio bagi industri kreatif negara, bermula esok.

Antara tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang ditetapkan termasuk kehadiran 50 peratus kapasiti ruang acara di kawasan PKPB manakala bagi kawasan PKPP, jumlah kehadiran adalah mengikut keluasan premis dan tertakluk kepada penjarakan sosial.

Bagi kebenaran penggambaran di luar studio di kawasan PKPB dan PKPP, Ismail Sabri berkata ia tertakluk kepada SOP Pembangunan Kandungan Kreatif serta perlu mematuhi syarat ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai SOP bagi kebenaran tersebut boleh dirujuk di laman sesawang KKMM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan tidak boleh potong gaji kakitangan kerja dari rumah

SHAH ALAM, 22 OKT: Majikan perlu membayar gaji seperti biasa meskipun kakitangan bekerja dari rumah, kata menteri sumber manusia.

Datuk Seri M Saravanan berkata majikan juga tidak boleh memaksa atau mengarahkan pekerja mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji sepanjang tempoh itu.

“Ini selaras dengan perintah dan kenyataan dikeluarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

“Bagaimanapun majikan boleh berbincang dengan pekerja untuk sebarang tindakan atau keputsan demi kepentingan bersama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua pihak boleh menghubungi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia(JTKSM) melalui talian 03-8886 2352, 03-8886 2409 dan 03-8888 9111 untuk pertanyaan lanjut.

Bermula hari ini, sejuta pekerja sektor awam dan swasta bahagian pengurusan serta pengawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah diarahkan bekerja dari rumah susulan peningkatan jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat: Penjawat awam boleh kerja waktu anjal, dari rumah

PUTRAJAYA, 3 MEI: Ketua jabatan boleh mempertimbang dan memberi kelonggaran kepada sebahagian pegawai awam untuk menggunakan waktu kerja anjal manakala sebahagian lagi bekerja di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman menerusi surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 2 Mei mengenai operasi pejabat semasa PKPB berkata, kelonggaran itu boleh dibuat sama ada secara penggiliran atau sepenuh masa agar penggunaan sumber manusia dapat dioptimumkan.

Ini, katanya bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam sentiasa berada di tahap yang baik dan efektif serta mengambil berat tentang keselamatan dan kebajikan penjawat awam.

“Pertimbangan dan kelonggaran kepada mana-mana pegawai untuk bekerja dari rumah sama ada secara penggiliran atau sepanjang tempoh yang ditetapkan hendaklah berasaskan bahawa urusan atau tugasan pegawai berkenaan tidak memerlukan keberadaan pegawai di pejabat pada setiap masa atau sepanjang tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Pada 1 Mei, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa bermula 4 Mei di bawah PKPB, dan semua pejabat kerajaan juga akan beroperasi sepenuhnya mulai tarikh berkenaan.

Mohd Khairul Adib berkata bagi pegawai awam yang mempunyai anak berusia 12 tahun ke bawah atau anak-anak berstatus orang kurang upaya (OKU) yang bersekolah dan memerlukan penjagaan berterusan, ketua jabatan juga boleh mempertimbangkan pegawai berkenaan untuk bekerja dari rumah.

“Bagi pasangan suami isteri yang merupakan penjawat awam, hanya seorang sahaja yang boleh menggunakan kemudahan bekerja dari rumah pada satu-satu masa sehingga sekolah atau pusat jagaan dibuka semula,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Khairul Adib berkata ketua jabatan juga hendaklah memastikan pematuhan kepada semua peraturan, garis panduan dan surat edaran yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan JPA sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.

Arahan itu pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Arahan bekerja dari rumah ada kelebihan dan kelemahan

SHAH ALAM, 19 MAC: Arahan bekerja dari rumah dilaksanakan sektor awam dan swasta selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19 bermula semalam sehingga 31 Mac dilihat mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri.

Tinjauan Bernama mendapati, ada dalam kalangan pekerja pernah diarahkan bekerja dari rumah oleh majikan sebelum ini namun terdapat pekerja yang pertama kali melalui pengalaman sedemikian.

Seorang pekerja syarikat perkhidmatan perkapalan di Klang, Nurnasha Edrinanieza Mohammed, 24, berkata bekerja dari rumah bukan perkara baharu baginya namun tempoh masa dua minggu yang diarahkan kerajaan mungkin ‘mengganggu’ sedikit proses kerjanya.

“Majikan memang menyokong penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan itu dan membenarkan saya membawa pulang komputer riba bagi melicinkan proses kerja. Namun, apa yang sukar adalah apabila mesyuarat terpaksa dilakukan secara dalam talian.

“Pada saya, ini dilihat kurang efektif kerana ada beberapa perkara yang kita perlu berbincang secara bersemuka. Namun, demi mengekang penularan wabak, kita kena akur,” katanya kepada Bernama, di sini.

Pereka grafik swasta di Shah Alam, Muhammad Wahyu Mohd Aini, 25, berkata walaupun teruja kali pertama bekerja dari rumah namun bimbang tumpuannya pada kerja boleh terganggu.

“Pada pendapat saya, bekerja dari rumah ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya. Kelebihannya sudah pasti saya tidak perlu tergesa-gesa bersiap untuk ke tempat kerja.

“Namun kelemahannya adalah disiplin kerja tidak sama seperti di pejabat kerana apabila di rumah, banyak benda boleh mengganggu. Jadi, terpulang kepada diri sendiri untuk menjalankan amanah syarikat,” katanya.

Lain pula pendapat seorang pekerja syarikat perisian komputer di Bukit Tinggi, Klang, Farhan Rahim, 24, yang melihat selain arahan bekerja dari rumah dapat mengekang penularan Covid-19, ia juga boleh menjimatkan perbelanjaan serta kos pengangkutan.

Sungguhpun begitu, katanya, tugasan kerja harian mesti disempurnakan sebaiknya kerana syarikat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada setiap pekerjanya.

“Segala tugasan telah diberikan oleh syarikat sehingga tempoh perintah kawalan itu tamat dan mereka akan mengemas kini perjalanan kerja seluruh kakitangan.

“Jika ada mesyuarat yang dijadualkan, ia akan dibuat secara atas talian namun pada pendapat saya, ada sesetengah perkara lebih mudah diterangkan secara berhadapan,” katanya.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa semalam sehingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Perintah kawalan yang dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Menerusi perintah kawalan itu, semua premis kerajaan dan swasta ditutup kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services).

-BERNAMA