Categories
AGENDA NASIONAL

Zahid diperintah bela diri 47 kes rasuah, pecah amanah

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69, terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, yang dimiliki Ahmad Zahid.

Mahkamah menetapkan 39 hari untuk mendengar kes pembelaan, bermula 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei, 27-30 Jun, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22, 26-29 Sept , 17-20 dan 31 Okt serta 1-3 dan 7-10 Nov.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang memegang jawatan timbalan perdana menteri dari 2015 hingga 2018, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi dan pendakwaan berpeluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Ahmad Zahid, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, dijadual memberi keterangan pada 26 April ini.

Dalam penghakimannya, Sequerah berkata pihak pendakwaan telah membuktikan semua unsur dalam kesemua pertuduhan dan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Pertamanya berkenaan dengan isu imuniti, selepas mempertimbangkan hujahan oleh kedua-dua pihak, saya mendapati tiada merit kepada soal imuniti,” katanya.

Sebelum ini, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid, berhujah bahawa Ahmad Zahid telah membuat dua kenyataan pada 2 dan 3 Julai 2018, dan berkata dengan membuat pendedahan melalui dua kenyataan itu, Presiden UMNO itu sepatutnya mempunyai imuniti daripada pendakwaan.

Mengenai 12 pertuduhan CBT di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, hakim berkata selepas membuat penilaian maksimum terhadap keterangan pihak pendakwaan, beliau mendapati pendakwaan telah membuktikan unsur kesemua 12 pertuduhan dan telah berjaya membuat kes prima facie terhadap semua 12 pertuduhan.

“Oleh itu, saya memerintahkan tertuduh membela diri atas kesemua 12 pertuduhan,” katanya.

Bagi lapan pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hakim juga mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie bagi kesemua lapan pertuduhan tersebut.

“Saya juga mendapati ada unsur di bawah Seksyen 50(1) Akta SPRM terhadap tertuduh, oleh itu saya memerintahkan tertuduh membela diri atas kesemua lapan pertuduhan itu,” kata hakim itu.

Beliau turut memerintahkan Ahmad Zahid supaya membela diri atas kesemua 27 pertuduhan pengubahan wang haram bagi penemuan yang sama.

Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ahmad Zahid juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Ahmad Zahid kelihatan tenang semasa hakim menyampaikan keputusannya.

Hakim berkata Ahmad Zahid mempunyai tiga pilihan untuk membela diri – memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi, atau memberikan keterangan tidak bersumpah dari tempat tertuduh, atau berdiam diri.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang juga mewakili Ahmad Zahid memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah.

Hisyam berkata pembelaan akan memanggil kira-kira 20 saksi untuk memberi keterangan.

“Yang Arif, pihak pendakwaan telah menawarkan kepada kami sebanyak 37 orang saksi. Kami memerlukan lebih banyak masa untuk menyediakan pembelaan, kami perlu menemu bual serta menyediakan kenyataan saksi.

“Oleh itu, kami tidak dapat memulakan pembelaan pada 28 Mac seperti yang ditetapkan sebelum ini. Bolehkah saya mencadangkan kepada mahkamah supaya memulakan perbicaraan pada 26 April ini,” kata peguam itu.

Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Ahmad Zahid juga menghadapi 40 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara, menjadikan jumlah pertuduhan terhadapnya kepada 87. Kes itu ditetapkan untuk sambungan perbicaraan pada 3 Feb.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Bicara bela diri kes rasuah Ku Nan sambung Isnin ini

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 18 Mei untuk perbicaraan pembelaan kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang didakwa menerima rasuah berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim berkata pihaknya menerima e-mel daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas pada 8 Mei lepas, yang memaklumkan bahawa mahkamah menetapkan 18 hingga 22 Mei untuk menyambung perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

“Pihak pembelaan dijangka memanggil tiga saksi lagi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu,” kata Julia yang mengetuai pasukan pendakwaan kepada Bernama melalui mesej WhatsApp.

Tengku Adnan, 69, memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi pada hari pertama prosiding pembelaannya pada 17 Jan lepas. Beliau telah selesai memberi keterangannya pada 5 Mac.

Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap kes tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong, yang juga Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

18 pelajar UPNM terlibat kes bunuh Zulfarhan diperintah bela diri

KUALA LUMPUR, 31 JUL : Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan 18 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap 18 tertuduh itu.

“Selepas menilai secara maksima semua keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan yang disabitkan,” katanya.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri menghadapi pertuduhan membunuh manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Keenam-enam mereka bersama 12 lagi tertuduh juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Dua belas tertuduh itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.

Bagaimanapun mahkamah melepas dan membebaskan seorang tertuduh iaitu Muhamad Akmal Akif Alias atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Kesemua tertuduh kini berumur 23 tahun.

Mahkamah menetapkan 2 dan 3 Okt, 4 hingga 7 Nov, 18 hingga 20 Nov serta 3 dan 4 Dis 2019 untuk 18 tertuduh itu membela diri atas pertuduhan masing-masing.

Hakim Azman turut menjelaskan kesemua tertuduh mempunyai pilihan untuk membela diri dengan memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi, atau keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh atau memilih berdiam diri.

“Apa pun perlu diingatkan keterangan secara bersumpah adalah tinggi nilainya daripada keterangan tidak bersumpah,” kata Hakim Azman.

Seramai 29 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 29 Jan 2018, termasuk dua saksi mata iaitu pelajar UPNM, Ahmad Senabil Mohd dan Mohd Syafiq Abdullah.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim dan N.Joy Jothi mengendalikan pendakwaan manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dhillon, A.G. Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Datuk Seri M. Ramachelvam, Azizul Shariman Mat Yusoff dan Zamri Idrus.

Sementara itu, bapa Allahyarham Zulfarhan, Zulkarnain Idros, 55, membuat sujud syukur sebaik sahaja keluar dari mahkamah selepas keputusan kes itu manakala ibunya, Hawa Osman, 56, berkata beliau sentiasa terkenangkan anaknya walaupun telah dua tahun pemergiannya.

Muhammad Akmal Akif, yang dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan mangsa itu juga melahirkan rasa syukurnya dan berjanji akan meneruskan pengajian yang tertangguh sebelum ini.

“Alhamdulilah bertahun saya tunggu benda ini (keputusan). Saya nak meneruskan pengajian yang telah tertangguh selama dua tahun ini,” katanya kepada media sambil menangis teresak-esak.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

Mangsa dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap. -BERNAMA