Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan Pakatan: Skim Insuran Luar Bandar bantu petani, nelayan dan penternak

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT : Skim Insuran Luar Bandar adalah antara inisiatif Pakatan Rakyat (PR) yang bakal diwujudkan, selain menyediakan kemudahan seperti Skim Insuran Petani, Nelayan dan Penternak (SIPNP) yang lebih menyeluruh.

Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat menyatakan skim itu perlu bagi membolehkan petani menangani kesan ketidaktentuan cuaca, perubahan musim dan kejadian luar jangka yang boleh menjejaskan sumber pendapatan dan kelestarian hidup bagi mengatasi kemiskinan.

Di bawah skim sedia ada, pampasan untuk nelayan yang meninggal dunia dan elaun masuk wad hospital disediakan, namun mengetepikan risiko lain seperti tangkapan berkurangan akibat musim tengkujuh yang menyebabkan kesihatan dan keselamatan nelayan terjejas.

Cadangan SIPNP itu berdasarkan pendekatan kawasan bagi kerugian yang disebabkan perubahan musim dan pendekatan individu bagi kerugian membabitkan bencana alam serta serangan wabak penyakit.

Dianggarkan, kerajaan pusat hanya perlu membelanjakan sebanyak RM365.5 juta setahun untuk melaksanakan skim berkenaan, berdasarkan andaian premium tahunan keseluruhan adalah RM1,000 yang akan dikongsi sama rata bersama penternak, petani dan nelayan.

Sasaran bagi penyertaan skim itu adalah lebih kurang 50 peratus daripada bilangan keseluruhan petani, penternak dan nelayan atau 735,000 orang.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan Pakatan: Graduan dapat gaji RM4,000 sebulan, harga makanan disemak

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT : Pakatan Rakyat (PR) bercadang memperkenalkan skim insentif kepada syarikat dalam industri terpilih yang menawarkan program pelatih pengurusan bagi graduan berkelulusan tinggi dengan gaji permulaan sebanyak RM4,000 sebulan.

Usaha itu adalah selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia antara negara berpendapatan tinggi dan meningkatkan pendapatan isi rumah menjelang 2018.

PR turut mencadangkan pengukuhan khidmat nasihat kerjaya di universiti dan institusi pengajian tinggi, program latihan yang berkesan sebagai sebahagian daripada kurikulum yang diwajibkan di semua universiti awaam, selain menjadikan Bahasa Inggeris wajib lulus untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada masa sama, PR akan meletakkan mekanisme bagi memastikan levi yang dikenakan ke atas pekerja asing diturunkan dengan menghapuskan yuran orang tengah yang dibayar majikan.

Kutipan levi pekerja asing itu akan disalurkan kepada program peningkatan kemahiran bagi kumpulan pekerja berpendapatan rendah.

Selain itu, PR turut mencadangkan empat langkah dalam pembentangan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat dalam usaha menyemak kenaikan harga makanan di pasaran, di Parlimen, hari ini.

Cadangan yang dibentangkan dalam belanjawan berkenaan membabitkan perkenalan rejim liberal bagi industri beras dan gula, melakukan pelarasan halus sistem kawalan harga untuk semua barang makanan asas, sekatan ke atas penyelewengan dan penyeludupan subsidi bagi bahan pertanian dan diesel nelayan.

PR turut menggariskan usaha meningkatkan kekerapan penguatkuasaan Akta Anti Pertandingan dan Pencatutan serta cadangan baru Akta Anti-Monopoli terutama ketika musim perayaan.

PR juga bercadang untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk pengeluar makanan asas yang terbukti cekap dan menjimatkan kos iaitu sebagai sebahagian dari dasar keselamatan makanan nasional negara.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Belanjawan Pakatan: RM50 juta laksana program atasi pengangguran belia

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT – Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat memperuntukkan RM50 juta untuk melaksanakan beberapa langkah membantu golongan belia bertujuan mengurangkan kadar pengangguran membabitkan kira-kira tiga peratus kadar pengangguran negara.

Belanjawan berkenaan mensasarkan peningkatan peluang dan kebolehpasaran belia dalam kumpulan umur 15 hingga 29 tahun bagi mengurangkan ketidaksepadanan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan, selain membantu belia membuat keputusan lebih baik berkenaan masa depan mereka.

Usaha itu perlu dilakukan membabitkan penganjuran program bimbingan kerjaya untuk belia di sekolah, institusi latihan vokasional dan institusi pengajian tinggi dengan kerjasama bakal majikan dan penyedia pendidikan.

Bagi sektor awam dan swasta, semua majikan digalak untuk menyediakan latihan atau program latihan industri seperti “Program Penyesuaian Pelajar” sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang membolehkan belia mendapat pengalaman dan pendedahan terhadap dunia pekerjaan.

Selain itu, penganjuran program hari kerjaya peringkat kebangsaan perlu dilanjurkan dengan lebih kerap bagi memudahkan belia mencari peluang pekerjaan dan menubuhkan “Pusat Pekerjaan” di setiap daerah bagi proses penempatan kerja dalam jangka masa panjang.

PR turut mencadangkan penganjuran bengkel keusahawanan yang dikhaskan untuk golongan belia dalam usaha pembangunan usahawan muda negara, selain mewujudkan kerjasama lebih erat dengan institusi kewangan seperti SME Bank untuk memberi kredit mikro sebagai modal permulaan perniagaan.

Tawaran insentif cukai dan bukan cukai perlu dislaurkan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mendorong pekerjaan dan meningkatkan penyertaan lebih ramai belia dalam tenaga kerja seperti potongan cukai dua kali bagi syarikat yang mengupah golongan berkenaan, selain melatih mereka untuk tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing.

Penekanan terhadap kemahiran teknikal dan sikap yang betul bagi mendapat kerja perlu dibuat supaya institusi pendidikan tidak terlalu memberi tumpuan kepada kelayakan kertas tetapi menyediakan pelajar untuk menghadapi realiti yang diperlukan pasaran kerja.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Belanjawan Pakatan: KSN dan KSU perlu sedia pelan atasi pembaziran, ketirisan

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT : Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian perlu meneliti serta menyediakan pelan tindakan bagi mengatasi ketirisan juga pembaziran seperti yang diumumkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil bagi memastikan tindakan susulan kepada penemuan laporan itu dan langkah perlu diambil untuk menangani sebarang isu.

Perkara itu boleh dilakukan pada mesyurat tahunan antara KSN dan KSU dengan menubuhkan satu jawatankuasa atau petugas di peringkat kementerian yang diketuai KSU masing-masing dengan menetapkan sasaran bagi mengelak pembaziran dan ketirisan.

Skop jawatankuasa itu termasuk mengenalpasti dan menutup jurang daripada segi mengurangkan proses berulang, meningkatkan kecekapan sistem yang hasilnya dapat mengurang ruang sistemik bagi sebarang kemungkinan kebocoran.

Jabatan kerajaan harus mengkaji semula tahap pihak berkuasa dan menentukan tahap pengkuasaan serta tanggungjawab di pelbagai peringkat berkenaan.

Garis panduan atau dokumen urus tadbir yang mengawal perjalanan dan proses bagi setiap kementerian perlu dikaji semula untuk merangkumi tahap paling rendah bagi pihak berkuasa dalam usaha memastikan jurang itu ditangani secara berkesan.

Keputusan itu kemudian akan dibandingkan dengan sasaran yang ditetapkan sebelumnya dan dibentangkan di Parlimen oleh menteri yang diamanahkan untuk sasaran itu, sebelum diumumkan kepada orang ramai untuk diteliti.

-NFN-