Categories
NASIONAL

Tiada keperluan mendadak semak semula belanjawan

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Tiada keperluan mendesak untuk menyemak semula Belanjawan 2019 ekoran penyusutan harga minyak mentah dunia, baru-baru ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia juga ekoran faktor turun naik harga minyak berkenaan.

“Ini bergantung kepada banyak mana penurunan (harga minyak) itu, namun kita tidak akan segera mengambil tindakan (semakan semula belanjawan) kerana harganya akan naik semula selepas mengalami penurunan.

“Kita hanya perlu bersedia apabila harganya naik,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan persembahan teater Ola Bola the Musical 2019 bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, di Istana Budaya di sini, malam tadi.

Harga minyak mentah dunia pada masa ini mencecah AS$66 setong, manakala Belanjawan 2019 dibuat berdasarkan harga minyak mentah, pada paras AS$70 setong.

Mengulas pengumuman Kabinet menetapkan had maksimum harga runcit petrol RON95 yang dikurangkan kepada RM2.08 seliter berbanding RM2.20 seliter sebelum ini, Dr Mahathir berkata, keputusan itu diambil kerana kerajaan mampu menyerap lebihan kos jika berlaku kenaikan harga di pasaran.

“Keputusan itu ditetapkan kerana kita boleh menyerap (lebihan) kos terbabit,” katanya.

Keputusan mengurangkan harga maksimum petrol RON95 itu diumumkan selepas mesyuarat Kabinet, semalam.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, keputusan itu juga sejajar dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pada Januari lalu, kerajaan melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan dengan harga runcit petrol RON95 dihadkan pada RM2.20, manakala diesel pada RM2.18 seliter.

Harga runcit semasa petrol adalah RM2.08 seliter bagi RON95, RM2.38 seliter bagi RON97 manakala diesel RM2.18 seliter.

*Sumber: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan akan semak Belanjawan 2019 jika harga minyak susut di bawah USD50

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Kerajaan Persekutuan hanya akan menyemak Belanjawan 2019 jika harga minyak mentah susut kurang daripada US$50 setong, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Kementerian Kewangan menyediakan belanjawan berasaskan harga minyak mentah pada US$70 setong.

Harga minyak merosot ke paras terendah dalam tempoh setahun Selasa lepas, turun antara empat dan tujuh peratus sepanjang minggu lepas, diheret turun oleh kelembapan ekonomi dunia, selain kebimbangan terhadap lebihan bekalan dalam pasaran minyak.

West Texas Intermediate (WTI) turun di bawah US$47 setong manakala Brent susut ke paras US$56.

Punca kemerosotan mengejut itu disumbangkan oleh pelbagai faktor.

Peningkatan inventori minyak mentah selain unjuran pengeluaran minyak syal menjejaskan harga minyak, namun kejatuhan harga diburukkan lagi oleh jualan secara menyeluruh dalam sektor kewangan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ peruntuk RM29.8 kutipan sisa pepejal, RM23.6 juta pembersihan awam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 DIS: Sebanyak RM27.1 juta diperuntukkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk kutipan sisa pepejal menerusi Belanjawan Selangor 2019.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 36 peratus, berbanding RM19.9 juta, pada 2018.

Katanya, bagi pembersihan awam pula sebanyak RM29.8 juta diperuntukkan berbanding RM23.6 juta dengan peningkatan 26 peratus.

“Peningkatan peruntukan bagi 2019 bukan disebabkan pengambilalihan oleh KDEB Waste, sebaliknya berdasarkan jumlah inventori semasa yang terdapat di kawasan, selain daripada sudut ‘economies of scale’.

“Ini bagi memastikan kontraktor yang bakal dilantik mampu melaksanakan kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam dengan menyediakan segala keperluan seperti jentera serta tenaga buruh yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan sesi soal jawab bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Sze Han berkata, kos pengutipan sampah bagi setiap unit rumah ditetapkan MPSJ adalah hampir sama dengan kadar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berstatus perbandaran lain, di Selangor.

Katanya, kos itu juga berbeza mengikut status dan kemapuan PBT.

“Anggaran harga KDEB Waste adalah berpandukan kadar harga untuk setiap premis digunapakai syarikat konsesi di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), di peringkat persekutuan.

“Malah, KDEB Waste akan menampung segala kekurangan kos operasi melalui mekanisme ‘cross subsidized’ daripada sedikit keuntungan diperoleh melalui perkhidmatan diberikan di PBT lain serta bantuan Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri,” katanya.

Categories
SELANGOR

MBI anjur taklimat Belanjawan’19 buat GLC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 NOV: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor) menganjurkan sesi taklimat berhubung Rangkuman Belanjawan Negeri Selangor 2019 (Belanjawan’19) kepada semua wakil anak syarikatnya (GLC), di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Taklimat yang menyentuh asas penemuan penyelidikan dan kertas kerja berdasarkan perspektif pembangunan ekonomi 2019 disampaikan Penasihat Ekonomi kepada Dato’ Menteri Besar, Dr Dzulkifli Zakaria.

Katanya, penekanan yang diterjemahkan dalam Belanjawan’19 menyentuh keseluruhan potensi, di bahagian Utara, Sentral dan Selatan Selangor.

“MBI perlu memberikan penekanan kepada ekonomi digital, pembuatan bernilai tinggi, hab aeroangkasa, hab halal, pengangkutan dan logistik bersepadu serta Rumah Mampu Milik.

“Penstrukturan GLC bersistematik perlu bagi membolehkan model kerjasama terbaik dapat diwujudkan bersama Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu capaian komunikasi kepada rakyat, pembangunan industri pelancongan agro, di samping potensi penciptaan peluang pekerjaan kerana Selangor memperlihatkan kadar pengangguran kira-kira 98,000 daripada jumlah keseluruhan pengangguran negara berjumlah 585,000.

Selain itu, Selangor juga perlu memberikan perhatian kepada usaha meningkatkan nilai eksport berbanding import.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Raja Shareen Raja Othman, dalam ucapannya sebelum itu turut mengingatkan GLC Selangor supaya memberikan perhatian sama terhadap Belanjawan Persekutuan yang turut menyentuh beberapa perkara berkaitan negeri.

Ia termasuk isu pembangunan kawasan bebas cukai di Pulau Indah dan aeroangkasa di Lapangan Terbang Subang.

Categories
SELANGOR

Terima kasih Kerajaan Negeri – Pengerusi Tahfiz Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 NOV : Keprihatinan Kerajaan Negeri untuk memantapkan institusi pendidikan tahfiz menerusi Belanjawan Selangor 2019 mendapat pujian.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Negeri Selangor (PITAS), Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa Al-Hafiz berkata, beliau berharap supaya bantuan yang diperuntukkan Kerajaan Negeri dikhususkan kepada latihan guru dan pengurusan maahad.

Katanya, ini memandangkan ada guru-guru di sebahagian besar institusi tahfiz tidak terlatih.

“Bantuan sebanyak RM10 juta untuk baik pulih sekolah agama juga perlu dinaikkan pada masa akan datang memandangkan jumlah sekolah agama, kafa, maahad tahfiz semakin meningkat saban tahun.

“Walaubagaimanapun, saya mewakili maahad-maahad tahfiz di seluruh Selangor mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari atas keprihatinan membela pendidikan tahfiz, semoga beliau terus dirahmati ALLAH dalam pentadbirannya,” katanya menerusi kenyataan di laman instagram.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan memperuntukkan sebanyak RM1,940,400 kepada Jabatan Agama Islam Selangor untuk meneruskan pelaksanaan program fast track SPM pelajar tahfiz persendirian dengan memanfaatkan fasiliti sedia ada sekolah-sekolah JAIS.

Pada masa sama, kerajaan turut akan memperuntukkan RM24 juta bagi penambahbaikan infrastruktur sekolah-sekolah di Negeri Selangor supaya tahap infrastrukturnya lebih selamat dan kondusif.

Pemberian itu termasuklah bantuan sebanyak RM10 juta bagi di Sekolah Agama Rakyat.

Sehingga kini, Selangor mempunyai sejumlah 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah swasta tahfiz yang berdaftar dengan JAIS.

Selaras itu, program kecekapan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) formal untuk pelajar tahfiz juga akan diperkenalkan.

Program yang dikenali dengan nama Perantis Tahfiz TVET yang akan dilaksanakan secara projek perintis di empat daerah terpilih iaitu Hulu Langat, Petaling, Klang dan Gombak yang menyasarkan 100 pelajar tahfiz tulen untuk diberikan kemahiran.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan perluaskan dana pelindungan kesihatan nasional B40 kepada 36 penyakit kritikal

GEORGE TOWN, 24 NOV: Kerajaan akan memperluaskan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional untuk golongan isu rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) kepada 36 jenis penyakit kritikal utama.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata skim yang akan dilaksanakan bermula 1 Januari tahun depan akan memberikan perlindungan kepada golongan B40 yang sakit dan dimasukkan ke wad Hospital Kerajaan.

Menurutnya, dalam pengumuman Belanjawan 2019, skim ini hanya melibatkan empat jenis penyakit kritikal utama tetapi kini akan diperluaskan kepada 36 jenis penyakit kritikal utama.

“Sekiranya mereka (B40) dimasukkan ke wad hospital kerajaan tetapi tidak mampu membuat bayaran, mereka boleh memohon untuk mendapatkan bayaran untuk tempoh maksimum selama 14 hari pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata skim ini akan diuruskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dimana pemohonan akan di buat secara dalam talian .

“Setakat ini, BNM sedang menguruskan laman web untuk pemohon sebelum pelaksanaan 1 Januari tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata kerajaan juga akan menaikkan harga siling getah ke RM2.50 sekilogram daripada RM2.20 sekarang sebagai bantuan kepada para penoreh menghadapi harga komoditi pasaran antarabangsa yang semakin menurun.

“Berikutan kejatuhan harga getah, pendapatan para penoreh getah telah terjejas dan penetapan harga lantai ini akan mampu sedikit sebanyak membantu mereka,” katanya.

Tambahnya, harga subsidi padi juga akan di naikkan kepada RM360 setan daripada RM300 setan sekarang.

Dalam perkembangan lain, Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan memberi amaran kepada pemimpin MCA agar tidak bermain isu politik dalam hal pendidikan.

Katanya, tindakan MCA yang bercadang untuk menaikkan kadar yuran di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) berikutan kekurangan dana daripada kerajaan bukan langkah yang bijak.

“Saya ingin memberi amaran kepada mereka (MCA) jangan bermain-main dengan api. Jangan kait isu politik dan usaha pendidikan negara.

“Keputusan mereka dengan menghukum para pelajar dengan menaikkan kadar yuran akan mendatang masalah yang lebih buruk sekiranya kerajaan mengambil tindakan keatas mereka,” katanya.

Pada 12 November lepas, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah dilaporkan berkata, MCA mungkin akan menaikkan kadar yuran di TAR UC berikutan kekurangan dana suntikkan daripada kerajaan dalam pengumum Belanjawan 2019.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: MBI yakin mampu laksana Rumah Mampu Milik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 NOV: Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yakin mampu menyelesaikan projek rumah mampu milik seperti disasarkan dalam Belanjawan Selangor 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman berkata, MBI yakin Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kawasan terbabit akan memberi kerjasama dalam memberi kebenaran merancang.

“Kesemua tanah ini adalah tanah milik MBI, maka sudah tiada masalah untuk MBI menjayakan projek perumahan mampu milik ini.

“MBI juga akan mendapatkan pemaju yang berkelayakkan untuk menjalankan kerja projek ini,” katanya kepada Media Selangor selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2019 di Dewan Negeri Selangor di sini, semalam.

Projek terbabit membabitkan sebanyak 5,000 unit di Bangi Lama (1,100), Sungai Sering Hulu Klang (2,500) dan Paya Jaras (1,400).

Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan MBI akan membina rumah mampu milik berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi.

Rumah berharga tidak melebihi RM250,000 itu juga dilengkapi dua parkir kereta, perabot seperti kabinet dapur, pemanas air dan penghawa dingin di setiap bilik.

“Kerajaan Negeri mensasarkan pembinaan sebanyak 30 ribu rumah dalam masa lima tahun demi memenuhi cita-cita ini,” kata Amirudin.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penjawat awam hargai & gembira bantuan khas kewangan sebulan gaji

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 NOV: Penjawat awam terharu dengan bantuan khas kewangan sebulan gaji seperti diumumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada pembentangan Belanjawan Selangor 2019.

Penjawat Awam, Nurhamizah Othman berkata, bantuan kewangan itu sememangnya dinantikan penjawat awam di Selangor.

“Penjawat awam juga banyak bertungkus-lumus sepanjang setahun dalam membantu Kerajaan Negeri dan masyarakat.

“Sumbangan ini seharusnya dipuji dan saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana tidak pernah melupakan jasa penjawat awam,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Penjawat Awam, Mohd Fontenza Mohd Rawi berkata, pengumuman bantuan khas kewangan itu di luar jangkaan memandangkan prestasi hasil ekonomi kini agak menurun.

“Saya amat berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari kerana sering memberi berita gembira kepada penjawat awam setiap kali pembentangan Belanjawan Selangor,” katanya.

Selain itu, Penjawat Awam, Siti Fairus Mahd Sah berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana terus memberi kepercayaan kepada penjawat awam.

Terdahulu, Amirudin menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2019 mengumumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam yang akan dibayar pada 20 Disember depan yang akan memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM34.53 juta.

Amirudin berkata, bantuan khas kewangan berkenaan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap keazaman penjawat awam untuk menunaikan tanggungjawab dan kecekapan mereka mentadbir.

Categories
SELANGOR

Yakin Kerajaan Negeri kekal komitmen memberdaya rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 24 NOV: Bekas Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan Belanjawan Selangor 2019 sebagai usaha Kerajaan Negeri mengekalkan komitmen untuk memberdaya rakyat.

Menerusi twitter, Mohamed Azmin berkata, belanjawan sulung Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari itu juga adalah manifestasi usaha mensejahterakan negeri.

“Saya yakin dasar-dasar yang diumumkan untuk mempertingkatkan sosio-ekonomi rakyat Selangor pasti berjaya. Tahniah Selangor dan Amirudin,” tulisnya.

Semalam, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak RM2.56 bilion dianggarkan untuk perbelanjaan bagi Belanjawan Negeri Selangor 2019.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.28 bilion atau 50 peratus telah diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan 50 peratus lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri akan melaksanakan perbelanjaan seimbang di antara peratusan belanja pembangunan dengan peratusan belanja mengurus.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: KPI penentu pemberian bonus 2019

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Selangor akan menggunakan sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menentukan kadar pembayaran bonus buat penjawat awam mulai tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata penggunaan sistem itu menyaksikan tiada lagi pembayaran bonus secara langsung seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Pemberian bonus boleh ditingkatkan tetapi saya tidak tetapkan lagi. Kita boleh tambah lagi pada masa hadapan tetapi tidak boleh melangkaui sempadan. Ia akan berasaskan prestasi agensi dan individu.

“Insitut Pemberdayaan Pekerja dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) akan melakukan garis panduan yang kemudiannya akan kita selaraskan,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2019 (Belanjawan’19) di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Dalam pembentangan belanjawan sebelum itu, Amirudin mencadangkan pembayaran bantuan khas kewangan tambahan satu bulan gaji yang akan dibayar pada 20hb Disember 2018 memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM34.53 juta.

BACA: https://selangorkini.my/2018/11/belanjawan19-sebulan-gaji-bantuan-khas-kewangan-penjawat-awam/

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Sasaran kadar defisit 17% munasabah & berdaya saing

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menjelaskan penyusutan Belanjawan 2019 hampir 17 peratus pada kadar sekitar RM200 juta berbanding 2018 bukan disebabkan halangan kewangan.

Katanya, belanjawan sebelum ini dibentangkan pada kadar defisit yang tinggi susulan langkah Kerajaan Negeri menampung perbelanjaan projek besar seperti pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang dan Semenyih.

“Ia bukan soal halangan. Dalam beberapa belanjawan sebelum ini kita telah menggunakan rizab (simpanan) agak banyak untuk projek-projek seperti Labohan Dagang 1 dan Semenyih. Ini dimulakan dengan kos sangat besar sekitar RM500 juta atau RM600 juta.

“Selepas projek-projek itu siap, projek pembangunan susulan yang saya umumkan juga tidak memerlukan dana sebegitu besar. Sebab itu kita dapat kurangkan defisit hingga sekitar RM300 juta berbanding RM800 juta pada tahun lepas,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2019 (Belanjawan’19) di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Katanya, kadar 17 peratus disifatkan munasabah dan berdaya saing berbanding sebelum ini selain kejayaan sebelum ini yang berjaya mengurangkan defisit malah pernah merekodkan lebihan pada tahun 2015 walaupun mensasarkan defisit tinggi pada peringkat awal.

“Tahun ini kita anggarkan defisit RM800 juta tetapi saya anggap kita akan mampu mengurangkan RM500 juta hingga RM600 juta daripada sasaran awal. Kalau berjaya memenuhi semua tuntutan dan kutipan, kita mampu mengurangkan sehingga defisit RM400 juta,” katanya.

Katanya, pengurangan kutipan hasil bukan sahaja berlaku di Selangor malah turut berlaku di tempat lain tetapi Kerajaan Negeri akan terus mencari sumber baru bagi meningkatkan hasil.

Categories
SELANGOR

Selangor sasar naik taraf MPSJ kepada Bandaraya

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri tekad meningkatkan kecekapan tadbir urus kerajaan dengan mengambil pelbagai langkah pada tahun 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, antara langkah diambil dengan mensasarkan menaik taraf Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya dan dua Majlis Daerah lain dinaikkan kepada Majlis Perbandaran.

“Kerajaan Negeri mensasarkan dua Pihak Berkuasa Tempatan untuk dinaiktaraf dari Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran iaitu Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Kuala Langat. Manakala peningkatan status dari MPAJ kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya,” katanya.

Amirudin berkata, selain menaik taraf PBT, bagi agenda memperkasakan Pejabat Dewan Negeri Selangor (DNS) di bawah Peraturan-Peraturan Tetap 1965 telah meluluskan penubuhan sembilan Jawatankuasa Pilihan / Jawatankuasa Pilihan Khas untuk Penggal Keempat Belas.

Langkah ini bertujuan memastikan Pembangunan Smart Selangor dilaksanakan dengan telus dan berintegriti seperti mana Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC), Jawatankuasa Pilihan Mengenai Pejabat Daerah Dan Tanah (JP-PADAT) dan lain-lain.

Katanya, selain itu Sistem Smart Hadir turut diperkenalkan bagi tujuan merekodkan kehadiran dan keberadaan semua peringkat daripada Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri, Pegawai Kanan Kerajaan, Pegawai Bertugas hingga Pekerja Am.

Katanya, pemantauan kehadiran ini dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak dingini berlaku.

“Yang Berhormat Tuan Speaker Dewan Negeri juga telah bersetuju hanya satu laluan utama sahaja dibuka sepanjang persidangan berlangsung dan penambahbaikan kepada sistem akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya lagi.