Categories
EXCO SELANGOR

Belanjawan 2022 diharap tidak kurang peruntukan kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 29 OKT: Belanjawan 2022 diharap tidak mengurangkan peruntukan sedia ada untuk kebajikan rakyat, kata EXCO pembangunan sosio-ekonomi.

V Ganabatirau berkata Kerajaan Negeri merupakan tongkat rakyat yang kini mengalami kemerosotan ekonomi akibat dibuang kerja dan pendapatan berkurangan.

“Program seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Bantuan Bina Dan Baiki Rumah (Kerajaan Prihatin) perlu dikekalkan dan jika dipotong mengganggu perancangan dalam 2022.

“Kita menyokong belanjawan ke arah pemulihan ekonomi tetapi berharap peruntukan sedia ada dikekalkan dan membuktikan Selangor kekal menjadi negeri berkebajikan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-SEED) di Bukit Kemuning hari ini.

Pada 8 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan (ADN) dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022.

Pembentangan Belanjawan Selangor akan dilaksanakan pada 26 November dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Jangan kurangkan bajet, kesihatan itu pelaburan

*Kenyataan bersama oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jurucakap Kesihatan KEADILAN, Dr Lee Boon Chye.

Wabak pandemik Covid-19 memberi dampak yang amat besar kepada keadaan kesihatan dan sosioekonomi kita dengan menimbulkan pelbagai kebimbangan dan ketidaktentuan. Sementara dunia sedang mempersiap untuk gangguan teknologi digital, kita dikejutkan pula dengan virus SARS-CoV-2 yang kini terus meledak.

Ada beberapa fakta keras yang kita harus terima dalam merencana respon atau tindakbalas:

1. Wabak ini belum nampak akan tamat dalam masa terdekat. Kes sporadik akan terus mengampuh dengan kemungkinan virus itu akan meledak dalam bentuk endemik.

2. Respon terkait kesihatan awam mesti mantap, dan ini adalah kunci kepada pemulihan ekonomi yang
kukuh. Keduanya tidak boleh diasingkan.

Virus SARS-CoV-2 sangat mudah untuk merebak, terutama dalam kawasan yang tertutup di mana terdapat kontak fizikal yang rapat. Tidak ada penawar untuknya. Meski terdapat beberapa jenis vaksin yang kini masih di peringkat kajian dan pembangunan, namun keberkesanannya tidak dapat dipastikan dalam waktu terdekat.

Langkah kesihatan awam terbukti berkesan dalam ‘meratakan lengkung’ dan ia termasuk langkah seperti pengasingan dan kuarantin, pembatasan fizikal, penggunaan pelitup muka dan juga meningkatkan tahap kebersihan diri dan alam sekitar.

Sementara kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempamerkan aksi yang cemerlang di bawah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam mengemudi negara tatkala wabak, kami yakin lebih banyak lagi yang mampu dibuat dengan campurtangan dan dukungan politik dan kerajaan.

Peruntukan untuk kesihatan awam dan juga pegawai yang relevan wajar ditambah dan ditingkatkan
dalam usaha dan upaya kita memerangi kemelut yang berpanjangan. Peruntukan terkini untuk kesihatan awam seperti yang disebut dalam Belanjawan 2020 adalah sebanyak RM 5.66 bilion dari peruntukan total operasi KKM iaitu sebanyak RM 27.9 bilion.

Untuk sumber manusia pula, sebanyak 78,266 orang staf diperuntukkan untuk kesihatan awam dari jumlah keseluruhan 267,578 staf KKM. Kami menggesa agar peningkatan sebanyak 20% kepada kedua-dua kos operasi dan juga jumlah staf untuk kesihatan awam untuk tempoh dua tahun mendatang.

Ikhtiar kita dalam memperkukuh tahap kesihatan awam akan membolehkan kita untuk menghindarkan negara dan rakyat dari wabak, juga sebagai langkah awal apabila kes-kes dikesan. Meski terdapat peningkatan dalam penggunaan teknologi digital dalam mengesan, kita juga harus sedar pendekatan ini jauh terkebelakang ketimbang pasukan yang diperuntukkan untuk pengesanan kontak di mana mereka mampu untuk memberi nasihat kepada masyarakat secara umum dan juga pada perusahaan dan perniagaan.

Kami juga percaya pendekatan dalam menguji mesti dijalankan. Buat masa sekarang, kita mempunyai
keupayaan tambahan dalam menguji. KKM harus memanfaatkannya untuk ujian sentinel, terutamanya
kelompok masyarakat yang berisiko tinggi seperti di pusat penjagaan warga emas, penjara dan industri kolar biru.

Covid-19 bukan satu-satunya penyakit berjangkit yang sedang merundung negara. Penyakit seperti
Tuberculosis atau TB menjangkiti lebih 20,000 warga setiap tahun, dan demam denggi terus-terusan menjadi masalah dengan menjangkiti lebih 130,000 warga pada 2019. Virus yang mengesankan paru-paru
juga berkemungkinan akan menjadi ancaman di masa hadapan.

Melampaui penyakit berjangkit, Malaysia mempunyai tahap penyakit tidak berjangkit yang tinggi. Kira-kira 8.1% dari warga dewasa (1.7 juta) mempunyai ketiga-tiga risiko penyakit diabetes, darah tinggi dan kolestrol yang tinggi.

Dapatan dari National Health and Morbidity Survey 2019 juga mendedahkan terdapat lebih separuh orang dewasa menghidap penyakit obesiti abdominal, dengan satu per lima kanak-kanak yang mengalami pembesaran yang terganggu. Ini menunjukkan wujudnya epidemik nutrisi yang mesti didepani dengan kadar segera.

Ketika kerajaan sedang bertungkus-lumus merencana strategi atau jalan keluar dari wabak Covid-19, akan terdapat percubaan untuk mengurangkan peruntukan dalam Belanjawan 2021 dan juga RMK-12 yang tertunda.

Kami menggesa kerajaan agar dana yang diperuntukkan dalam mengukuhkan tahap kesihatan awam dilihat sebagai pelaburan, dan bukan semata-mata kos. Kami berpendapat hanya dengan meningkatkan tahap pelindungan dan kesihatan kepada rakyat, kita akan mampu menangani cabaran dan tantangan kesihatan dan ekonomi yang sedang mengesankan negara.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

810 hektar disediakan bangun industri aeroangkasa di Sepang

KLANG, 19 JAN: Kawasan seluas 810 hektar di Sepang bakal dibangunkan bagi memperkasa industri aeroangkasa serta menarik pelaburan asing ke Selangor, kata Dato’ Teng Chang Khim.

EXCO perindustrian dan perdagangan berkata pembangunan industri itu selaras Belanjawan Selangor 2020 serta saling melengkapi kawasan industri aeroangkasa sedia ada.

“Kita juga sudah bincang dengan pemilik tanah untuk bersama mempromosi industri ini secara terbaik,” katanya selepas Program Sumbangan Kembali Ke Sekolah 2020 di Dewan Orang Ramai Taman Eng Ann di sini.

Selain itu, Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri merancang mengadakan misi pelaburan ke luar negara khususnya ke ekspo utama dunia bagi menjayakan agenda pembangunan itu.

“Kita bercadang mahu adakan lawatan ke ekspo aeroangkasa terbesar dunia antaranya di Singapura, London dan Paris,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan syarikat swasta industri aeroangkasa bagi menarik lebih ramai pekerja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia menceburi dalam bidang itu.

“Usaha ini sebagai langkah mengurangkan penggunaan tenaga kerja asing serta membantu pekerja tempatan memperoleh peluang kerjaya dengan sebilangan kos ditanggung kerajaan dan sebahagian swasta,” katanya.

Belanjawan Selangor 2020 menyasarkan sektor aerongkasa menjelang 2030 mewujudkan 32,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan pendapatan tahunan RM55.2 bilion.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2020 dilulus Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2020) diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, selepas mendapat sokongan majoriti anggota Parlimen melalui undian suara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan keputusan itu kira-kira 6.40 petang.

Terdahulu, RUU Perbekalan 2020 dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan disokong Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Guan Eng pada 11 Oktober lalu membentangkan Belanjawan 2020 yang memperuntukkan RM297 bilion, tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2 bilion.

Ia adalah peningkatan RM19.5 bilion berbanding RM277.5 bilion tahun lepas tanpa mengambil kira peruntukan secara ‘one-off’ bagi bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan tertunggak.

Peruntukan itu termasuk RM241 bilion perbelanjaan mengurus, manakala bakinya RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Belanjawan 2020 merupakan belanjawan kedua kerajaan Pakatan Harapan, sejak mengambil alih Putrajaya pada Mei 2018.

Persidangan dewan bersambung Isnin depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Guan Eng nafi Belanjawan 2020 abai Sarawak

MIRI, 27 OKT: Sarawak adalah antara negeri menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2020 dengan pelbagai peruntukan digunakan untuk tujuan pembangunan meliputi semua sektor di negeri ini.

Sehubungan itu , Menteri Kewangan Lim Guan Eng menafikan tuduhan pihak tertentu kononnya kerajaan persekutuan berat sebelah dalam pembahagian peruntukan dan ini dibuktikan dengan Sarawak penerima kedua tertinggi selepas Sabah iaitu menerima peruntukan Perbelanjaan Pembangunan berjumlah RM4.4 bilion untuk tahun 2020.

“Jumlah RM4.4 billion adalah untuk 621 projek di Sarawak pada tahun 2020 meningkat berbanding RM4.3 billion bagi 569 projek di negeri ini pada tahun 2019,”katanya ketika merasmikan Konvensyen Tahunan ke-19 DAP Sarawak di sini hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, prihatin dengan pembangunan di Sarawak, kerajaan persekutuan telah bercadang untuk mengandakan pemberian khas di bawah perkara 112D Perlembagaan Persekutuan mulai tahun depan kepada RM32 juta berbanding RM16 juta yang telah disalurkan sejak 1969.

“Bagi menunjukkan keprihatinan kepada rakyat Sarawak, kerajaan persekutuan bercadang untuk meningkatkan kadar tersebut sehingga RM64 juta dalam tempoh lima tahun,”katanya.

Beliau berkata, di bawah Belanjawan 2020 peruntukan sebanyak RM400 juta akan disalurkan bagi membaiki sekolah daif di Sarawak membuktikan kerajaan persekutuan tidak mengabaikan isu sekolah daif di Sarawak.

“Kerajaan persekutuan telah mengambil langkah untuk berkongsi hasil dengan perkongsian hasil 50 peratus daripada hasil cukai pelancongan yang dipungut di negeri masing-masing apabila pada Mac 2019 kerajaan Sarawak menerima RM2.6 juta yang merupakan 50 peratus kutipan cukai pelancongan di Sarawak pada tahun 2018,”katanya.

Mengenai cadangan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) melibatkan hampir 6,000 rumah panjang serta kampung di Sarawak pada tahun depan, beliau berkata, Kementerian Kewangan bersedia memberi peruntukan kewangan yang sewajarnya bagi memantapkan organisasi tersebut.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan bersetuju dengan penubuhan MPKK sebagai persiapan peringkat akar umbi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 yang diadakan dalam tempoh setahun setengah lagi.

Menurutnya, penubuhan MPKK adalah untuk memudahkan saluran peruntukan kewangan dari kerajaan persekutuan bagi pelaksanaan pelbagai projek di luar bandar selain daripada membentuk barisan pemimpin akar umbi sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri Sarawak selepas PRN12 diadakan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2020: Selangor bakal umum beberapa usaha baharu

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan Negeri akan mengumumkan beberapa usaha baharu yang dapat membawa kebaikan kepada rakyat, termasuk masyarakat India sempena Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan Jumaat ini, kata Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata, sejak dari awal pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN), penduduk di Selangor sebelum ini menikmati manfaat usaha dan inisiatif yang memartabatkan pelbagai aspek.

Katanya, aspek berkenaan termasuk pendidikan, keusahawan, kesihatan dan taraf sosial rakyat di negeri itu.

“Dasar PAKATAN yang bersifat jangka panjang ini bertujuan menjaga kemaslahatan rakyat dan kemampanan fiskal ekonomi negeri serta negara. Perubahan ini hanya dapat disaksikan kejayaannya setelah beberapa tempoh masa berlalu.

“Matlamat pentadbiran ini adalah untuk menaikkan taraf hidup rakyat, sama ada yang berpendapatan rendah mahupun tinggi, termasuk golongan miskin desa juga kota supaya dapat diberi pengupayaan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan media sempena sambutan Hari Deepavali, hari ini.

Amirudin berkata, pengorbanan dan keberanian masyarakat India pada 2007 memberikan nafas baharu pada perjuangan rakyat

Malah, katanya, usaha bersama masyarakat Melayu, Cina dan anak semua bangsa selama 11 tahun kebelakangan ini membuka lembaran baharu dalam politik Malaysia.

“Sejarah ini wajar kita hargai supaya matlamat asal perjuangan seluruh warga Malaysia, yakni kepentingan rakyat akan sentiasa diutamakan dalam apa jua keadaan.

“Apabila kebajikan rakyat terbela, akan hadirlah keamanan dan perpaduan yang kemudiannya akan membawa pula kepada kemakmuran buat semua. Inilah yang kita dapat amati dan nikmati di Selangor sejak 2008,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap perayaan Deepavali disambut masyarakat beragama Hindu dan Sikh dapat mengeratkan silaturahim antara rakan taulan serta sanak keluarga.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli Parlimen Nibong Tebal rebah ketika bahas belanjawan

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman rebah ketika membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang duduk bersebelahan segera menyambut Mansor selepas beliau kelihatan tercungap-cungap ketika membacakan teks ucapannya sebelum rebah dan terduduk di kerusinya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming terpaksa menghentikan persidangan Dewan Rakyat selama lima minit ekoran kejadian terbabit dan mengarahkan bantuan kecemasan diberikan kepada Mansor.

Bekas Ketua KEADILAN Pulau Pinang itu bagaimanapun kelihatan sedar dan dibawa keluar dari Dewan Rakyat dengan kerusi roda selepas diberi rawatan kecemasan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2020: Rebut peluang peroleh sijil halal

KUANTAN, 20 OKT: Usahawan digesa merebut peluang terhadap peruntukan RM10 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 berhubung pensijilan halal, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) itu boleh membantu usahawan yang sebelum ini gagal mendapatkan pensijilan halal kerana tidak menepati kriteria yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Malaysia (JAKIM).

Katanya, dengan memiliki pensijilan halal, usahawan akan memperoleh banyak kelebihan dalam aspek pemasaran produk mereka.

“Memang terdapat banyak kes di mana usahawan gagal memperoleh pensijilan halal kerana mereka tidak menepati syarat yang ditetapkan.

“Peruntukan itu boleh digunakan usahawan untuk membawa perniagaan mereka selangkah ke hadapan dengan menambah baik perniagaan mereka bagi memohon pensijilan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program sambutan Hari Kemahiran dan Keusahawanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Pahang 2019 serta Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) di Serambi Teruntum di sini, hari ini.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta kepada MED bagi khidmat nasihat dan kesedaran untuk pensijilan halal, pembangunan produk halal dan menyediakan platform kepada peserta pasaran untuk bersaing di pasaran halal antarabangsa yang kini dianggarkan bernilai US$3 trilion.

Terdahulu dalam ucapannya, Fuziah berkata golongan wanita yang keluar daripada sektor pekerjaan kerana ingin menjadi suri rumah boleh kembali bekerja jika mengetahui cara yang betul.

“Biarpun sekadar suri rumah, anda juga boleh berjaya dan menjana pendapatan lumayan. Saya sedar tanggungjawab wanita di rumah amat besar namun ia tidak membataskan keupayaan wanita untuk berjaya dan melangkah lebih jauh.

“Saya beri contoh wanita yang saya temui baru-baru ini yang sudah lama tidak bekerja dalam bidang perakaunan. Saya kata cari syarikat kecil yang tiada akaun dan ambil upah buat akaun mereka di mana satu kedai atau syarikat anda boleh ambil upah RM200, kalau lima kedai sebulan sudah dapat RM1,000,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2020 pacu pertumbuhan ekonomi, rapat jurang

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada 11 Oktober lalu pada dasarnya menumpukan kepada cara-cara untuk memacu pembangunan ekonomi negara dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Pengarah Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Johan Mahmood Merican berkata kerajaan mengambil langkah awal untuk memastikan momentum pertumbuhan negara akan berterusan.

“Dari segi wawasan Kemakmuran Bersama, belanjawan ini memberi penekanan kepada merapatkan jurang sama ada dalam kadar pekerjaan dalam kalangan golongan muda, pembangunan di Sabah dan Sarawak, pembangunan luar bandar, serta membantu mereka yang memerlukan seperti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), golongan wanita dan orang kurang upaya, antara lainnya.

“Kita melihat penerimaan belanjawan ini adalah baik setakat ini kerana ia menyeluruh dalam perspektif memastikan pertumbuhan dan merapatkan jurang di Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Perbahasan Pasca Belanjawan 2020 yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Malaysia, di sini, semalam.

Johan Mahmood berkata langkah yang diumumkan seperti cukai, sebagai contohnya, juga dirangka untuk menyokong strategi memastikan pertumbuhan ekonomi, iaitu menerusi insentif khusus, pelaburan, cukai keuntungan hartanah (RPGT), potongan cukai tambahan untuk menyokong wanita kembali bekerja dan sebagainya.

Berhubung usaha melahirkan lebih banyak ‘syarikat unicorn’ (syarikat pemula niaga yang bernilai lebih daripada satu bilion) di negara ini, beliau berkata ia adalah sasaran jangka panjang tetapi butiran lebih terperinci akan digariskan semasa kerajaan melancarkan Rancangan Malaysia ke-12 tahun depan.

Sementara itu, ahli panel Dr Veerinderjeet Singh mencadangkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperluaskan secara perlahan-lahan kepada lebih banyak barang dan perkhidmatan dengan pengecualian bagi barang keperluan.

“Secara amnya, SST merangkumi kira-kira 38 peratus daripada barang dan perkhidmatan manakala Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) meliputi hampir 70 peratus.

“Terdapat cara dan kaedah untuk sebenarnya menaikkan, bagi memadankan hasil di bawah SST (sekarang RM22 bilion) kepada GST (RM47 bilion)…jika kita boleh menggandakannya, dengan syarat terdapat penguatkuasaan dan pendidikan,” kata Veerinderjeet, yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Axcelasia Inc serta ahli Jawatankuasa Pembaharuan Cukai.

Satu daripada caranya, adalah dengan menggunakan peranti teknologi canggih untuk mengesan setiap urus niaga item, yang sama seperti digunakan semasa pelaksanaan GST, katanya.

Berhubung perkembangan lain, pakar ekonomi negara Bank Dunia Shakira Teh Sharifuddin berkata Malaysia diunjur mencapai pertumbuhan 4.6 peratus tahun ini, 2020 dan 2021 berbanding unjuran kerajaan pada 4.7 peratus bagi 2019 dan 4.8 peratus pada 2020.

Ini, katanya, akan disokong oleh penggunaan swasta yang akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.

“Bagaimanapun, kita juga perlu berhati-hati dengan cabaran daripada persekitaran luaran,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guan Eng: Belanjawan 2020 ‘luar biasa’

BERA, 14 OKT: Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyifatkan Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober lalu luar biasa kerana mendapat pujian sebagai ‘belanjawan pilihan raya’.

Katanya, seorang pemimpin Pakatan Harapan ada bertemu dengannya selepas selesai pembentangan itu dan memberitahu peruntukan yang diberikan kali ini sangat menyeluruh seperti yang biasa diberikan pada tahun pilihan raya umum diadakan.

“Saya menjawab bahawa kita perlu buat perubahan daripada kerajaan sebelum ini iaitu belanjawan kita ialah seperti belanjawan pilihan raya walaupun (tarikh) pilihan raya masih jauh. Kita harap boleh buat begini setiap tahun.

“Kita kena berusaha untuk buat perubahan yang telah kita janjikan kepada rakyat dan bagaimana susah sekalipun, kita kena berusaha. Setakat ini, banyak reaksi yang diterima yang pada keseluruhannya adalah positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Pahang di Pejabat DAP Triang di sini semalam, yang turut dihadiri Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah serta barisan kepimpinan parti.

Guan Eng juga menyifatkan belanjawan itu sebagai menyeluruh kerana dibuat secara ‘suci hati bagi membantu rakyat’ menyebabkan pembangkang tidak dapat membalas pembentangan tersebut.

“Jika kita menyaksikan pembentangan itu secara live, pembangkang begitu agresif pada peringkat awal namun bila saya sudah habis (membentangkan belanjawan) mereka semua sudah menghilangkan diri,” katanya.

Katanya, belanjawan itu bukan sahaja bermatlamat meningkatkan ekonomi negara, tetapi juga untuk kebajikan rakyat seperti menyediakan peluang pekerjaan, kesejahteraan wanita, mementingkan aspek pendidikan dan institusi keagamaan.

Sementara itu, Ngah Ngah pada ucapannya mengakui terdapat beberapa kelemahan yang masih wujud selepas lebih setahun perubahan kerajaan berlaku, namun ia boleh diperbaiki dari semasa ke semasa termasuk dalam menunaikan manifesto pilihan raya.

“Misi kita pada 2018 ialah menumbangkan kerajaan rasuah untuk menyelamatkan Malaysia dan kita berjaya. Sekarang masa untuk kita menampal lubang yang banyak dan ini mengambil masa.

“Namun, sekurang-kurangnya kita tidak mengamalkan rasuah dan itu yang paling utama… kita kena bersih dalam hasrat kita membantu rakyat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Caj kesesakan galak warga kota guna pengangkutan awam

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Pengenalan caj kesesakan dapat menggalakkan warga kota menggunakan pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang ketika waktu puncak selain mengurangkan jumlah kereta persendirian yang memasuki kawasan bandar.

Timbalan Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans) Universiti Teknologi Mara Dr Shahrin Nasir berkata, kebanyakan negara-negara maju yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi sudah mengamalkan kadar caj itu bagi mengurangkan kenderaan di atas jalan raya.

“Kebiasaannya sistem pengangkutan awam mereka sangat efisien terutamanya daripada segi ketepatan masa dan kekerapan tren serta bas yang tiba kerana ketika waktu puncak jumlah penumpang sangat ramai.

“Kerajaan seharusnya pada masa yang sama perlu menggalakkan operator untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan awam mereka supaya dapat menampung jumlah penumpang yang ramai pada waktu puncak.

“Selain itu, kadar bayaran parkir di kawasan-kawasan bandar juga perlu dinaikkan bagi mengurangkan kemasukan kenderaan persendirian ke kawasan bandar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2020 pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan iaitu kadar yang sama dengan kadar tol semasa pada waktu puncak selama enam jam sehari, manakala kadar tol akan dihapuskan pada luar waktu puncak.

Penyediaan sehingga 500 bas elektrik di bandar-bandar terpilih seluruh negara pula menunjukkan kerajaan komited dalam menyediakan kemudahan infrastruktur dan mobiliti bukan sahaja terhadap masyarakat bandar tetapi juga di luar bandar.

“Pengumuman peruntukan RM85 juta bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor serta pembinaan Rapid Transit System Link (RTS) juga memberi kelegaan kepada mereka yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura sekali gus dapat mengurangkan kesesakan,” katanya.

Dalam Belanjawan 2020, Guan Eng mengesahkan projek RTS antara Johor Bahru dan Singapura akan diteruskan, namun tiada sebarang anggaran masa bila ia akan disambung semula.

RTS adalah projek rel sepanjang 4 km yang akan dibina untuk laluan rentas antara Bukit Chagar di Johor Bahru hingga ke Woodlands di Singapura, dengan kapasiti penumpang seramai 10,000 orang dalam masa satu jam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl berkata, pembentangan Belanjawan 2020 kali ini dilihat lebih tertumpu manfaatnya kepada pengguna kenderaan persendirian dengan pengurangan kadar tol dan pemberian subsidi petrol.

“Hala tuju kerajaan dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan kenderaan persendirian adalah sangat dipersoalkan… Kenapa masih menggalakkan warga kota menggunakan pengangkutan awam tetapi dalam masa yang sama mengurangkan kadar tol dan subsidi petrol kepada kenderaan persendirian?

“Ia bukan sahaja menambah kesesakan malah turut menyumbang pencemaran udara,” katanya.

Katanya selain mengekalkan pas bulanan pengangkutan awam, kerajaan harus menitikberatkan terhadap nasib pemandu E-hailing dengan memberi subsidi petrol kepada mereka.

“Selain itu, ‘Public Transport Tariff Review Committee’ perlu ditubuhkan bagi mengkaji kadar tarif tiket pengangkutan awam serta Tribunal Pengangkutan Awam bagi sebarang aduan sama ada daripada pemandu ataupun penumpang,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020, Lim berkata kerajaan berhasrat menyediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz dengan kos RM450 juta di bandar terpilih seluruh negara bagi menambah baik pengangkutan awam serta mewujudkan bandar bersih dan hijau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penganalisis: PAKATAN adil agih peruntukan usahawan ikut kaum

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Pengagihan bantuan kewangan kepada usahawan Cina dan India dalam Belanjawan 2020 dilihat sebagai usaha kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) bertindak adil kepada semua kaum di negara ini, kata penganalisis ekonomi.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai ketika berkongsi pandangannya berkata, jumlah pengagihan bantuan itu perlu dilihat berasaskan populasi sesuatu kaum dan bukannya daripada perspektif perkauman.

“Peruntukan mengikut kaum membayangkan bagaimana kerajaan bertindak telus, adil, prihatin dalam pembahagian peruntukan berkenaan,” katanya sambil menambah belanjawan kali ini lebih peka dalam mengambil kira perspektif luas usahawan.

Semasa pembentangan Belanjawan 2020 semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pelbagai kemudahan untuk usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antaranya pinjaman RM100 juta di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina dan pinjaman RM20 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India TEKUN Nasional.

Lim Guan Eng ketika pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen pada 11 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain itu, sebanyak RM445 juta diperuntukkan kepada usahawan bumiputera bagi program keusahawanan di bawah TEKUN Nasional, SMECorp, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd, Pelaburan Hartanah Bhd dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera.

Barjoyai berkata, beliau agak terkejut dengan keprihatinan kerajaan dalam memberi peruntukan yang agak besar kepada usahawan kecil dan bumiputera dalam belanjawan kali ini.

“Ini sebenarnya dilihat sebagai langkah positif memandangkan ia memberikan semangat dan minat untuk mengimbangi perkembangan dalam pembangunan perniagaan usahawan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), Datuk David Chua berpendapat pengagihan peruntukan kepada setiap kaum menunjukkan kerajaan memberi layanan yang adil dan saksama kepada semua kaum.

“Konsep pengagihan peruntukan kepada setiap kaum dapat mengelakkan sebarang rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat…sebenarnya (peruntukan) sebegini dapat mengukuhkan hubungan silaturahim antara pelbagai kaum,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kebangsaan Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong berkata, beliau berasa teruja apabila melihat banyak insentif diperuntukkan kepada PKS.

“Belanjawan 2020 ini, adalah paling bagus sebab ia memfokuskan pembangunan ekonomi. Menerusi peruntukan ini, kita akan bekerjasama dengan kerajaan dalam menggiatkan lagi industri perusahaan termasuk digital serta operasi perniagaan secara automasi,” katanya.

– BERNAMA