Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor cadang semak belanjawan, bantu golongan terjejas

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan Negeri bercadang menyemak semula Belanjawan 2021 selepas Aidilfitri susulan perebakan Covid-19 belum berakhir.

Dato’ Menteri Besar berkata perbelanjaan baharu perlu dirangka dengan menangguhkan projek tertentu bagi membolehkan lebih banyak bantuan disalur kepada rakyat berpendapatan rendah dan peniaga kecil.

“Mungkin ada projek atau program yang tidak dapat dilaksanakan pada awal tahun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita jangka semak belanjawan pada Mei atau Jun namun tertakluk kepada status terkini darurat, sama ada boleh adakan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) atau tidak,” kata Dato’Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita sempena Sambutan Ulang Tahun Hijrah Selangor keenam di Perbadanan Perpusatakaan Awam Selangor (PPAS) hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata urusan untuk mengadakan sidang DNS memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sekiranya terdapat keperluan dari segi pindaan rang undang-undang atau pun pembentangan rang undang-undang, maka perlu perkenan Istana Negara.

“Buat masa ini Jabatan Perbendaharaan dan pegawai kewangan negeri sedang memperkemaskan pindaan peruntukan untuk program tertentu, selepas semuanya siap baru kita boleh laksana langkah seterusnya,” katanya.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pemulihan ekonomi Malaysia bergantung dagangan global – kajian

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Belanjawan 2021 Malaysia akan mengurangkan kemerosotan ekonomi, tetapi pemulihan ekonomi bergantung kepada perdagangan global, menurut Moody’s Analytics.

Ahli Ekonominya, Denise Cheok berkata sekatan pergerakan di Eropah dan Amerika Syarikat mewujudkan risiko penurunan ketara, walaupun terdapat vaksin.

“Pengedaran vaksin mengambil masa dan perbelanjaan pengguna dijangka hanya meningkat secara beransur-ansur,” katanya dalam nota hari ini.

Belanjawan 2021 Malaysia adalah yang terbesar dalam sejarah negara, dengan sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan untuk tahun semasa.

Mengenai eksport negara, katanya Malaysia akan menaikkan cukai eksport ke atas minyak sawit mulai Januari 2021.

“Ini dijangka meningkatkan eksport pada Disember berikutan pembeli daripada permintaan beban hadapan India dan China,” katanya.

Beliau berkata eksport pertanian Malaysia pada November didorong oleh permintaan yang tinggi terhadap minyak sawit dan produk yang berkaitan.

Sementara itu, katanya jualan runcit, yang rendah sejak suku kedua tahun lepas, dijangka kekal berada di bawah paras sebelum pandemik Covid-19 hingga pertengahan tahun ini.

Cheok berkata sentimen pengguna dan pelabur terjejas pada November selepas lonjakan kes Covid-19 dicatatkan yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan separa di kebanyakan negeri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: Sentimen pelabur bertambah baik, jejaki prestasi positif global

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Sentimen pelabur bertambah baik pada November disebabkan terutamanya oleh perkembangan global yang positif.

Dalam sorotan November, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata perkembangan ini termasuk prospek ekonomi yang bertambah baik berikutan hala tuju dasar Amerika Syarikat (AS) yang lebih jelas susulan berakhirnya Pilihan Raya Presiden AS serta perkembangan positif berhubung kelulusan dan pengagihan vaksin Covid-19.

“Hasilnya, indeks ekuiti global mencatatkan keuntungan secara keseluruhan, termasuk kutipan semula pinjaman daripada sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik.

“Berlatarbelakangkan keadaan ini, FBM KLCI meningkat sebanyak 6.5 peratus pada bulan itu,” katanya.

Menurut bank pusat, risiko yang bertambah baik juga mendorong aliran masuk bukan pemastautin yang berterusan ke dalam pasaran bon domestik susulan aktiviti mencari keuntungan oleh pelabur yang menyumbang kepada ringgit menambah nilai sebanyak 2.2 peratus berbanding dolar US.

Meskipun pasaran bon kerajaan terus disokong oleh aliran masuk ini, ketidakpastian berhubung undian parlimen bagi Belanjawan 2021 telah mendorong kepada kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10-tahun yang lebih tinggi sedikit menjelang akhir bulan.

BNM berkata sistem perbankan berada pada kedudukan yang baik untuk menyerap kejutan pendapatan dan menyokong aktiviti pengantaraan.

“Nisbah modal sebahagian besarnya tidak berubah berikutan terbitan baharu instrumen hutang yang telah mengimbangi penurunan sedikit modal Ekuiti Biasa Kumpulan 1 (CET1) daripada bayaran dividen dan pengurangan keuntungan belum direalisasi daripada komponen modal instrumen kewangan.

“Lebihan penampan modal bank-bank berjumlah RM125.1 bilion pada November 2020,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Kerajaan tiada upaya bangkit atasi masalah ekonomi

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan tidak berupaya untuk menjalankan tanggungjawab berkesan ketika negara memerlukan anjakan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

Ketua pembangkang berkata walaupun Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini namun perkara itu tidak menambah keyakinan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kelemahan dalam butir belanjawan menyebabkan ahli parlimen pembangkang sebulat suara membantah Rang Undang-Undang (RUU) perbekalan itu.

“Kerajaan PN akan terus berdepan dengan masalah keyakinan dan ini dibuktikan hari ini apabila ia hanya berjaya mempunyai tidak lebih dari 112 sokongan.

“Kerajaan lemah seperti ini akan terus tunduk kepada watak-watak rakus yang berkepentingan dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan,” katanya menerusi kenyataan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata Belanjawan 2021 mencerminkan kerajaan PN hanya mengutamakan hayat politik mereka lebih daripada kebajikan hidup rakyat.

Beliau juga kesal berikutan beberapa ahli parlimen mengundi menyokong belanjawan tersebut meskipun sebelum ini mereka menyuarakan kebimbangan terhadap isu simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), peruntukan besar kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan dana untuk peniaga.

“Oleh kerana kerajaan PN mengaitkan kononnya gaji dan prestasi penjawat awam akan terkesan sekiranya belanjawan tidak diluluskan maka terdapat sejumlah ahli parlimen memilih untuk mendukung belanjawan tersebut.

“…dan sebagai solidariti ke atas jutaan penjawat awam yang turut terkesan di era ekonomi pandemik ini meski belum tentu mereka bersetuju dengan kerajaan PN,” katanya.

Mengulas lanjut, ahli parlimen Port Dickson berkata kelemahan tatakelola dan prestasi pengurusan kewangan memberi kesan terhadap usaha menarik pelabur.

Katanya penurunan penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings baru-baru ini juga menunjukkan lemahnya prestasi pengurusan ekonomi dan tahap tatakelola negara.

“Kita sedang kembali ke era gelap di mana kerajaan akan terus menginjak prinsip ketelusan, tatakelola yang baik dan pengurusan dana yang cekap.

“Keyakinan daripada pelabur akan turut terkesan, dan berkemungkinan negara-negara serantau akan meninggalkan kita dalam pelbagai lapangan terutama sektor ekonomi dan pembangunan,” katanya.

Terdahulu, bacaan ketiga Belanjawan 2021 lulus dengan undian belah bahagi menyaksikan 111 setuju, 108 tidak setuju manakala seorang tidak hadir.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN gesa tolak Belanjawan 2021, tidak penuhi kehendak rakyat

SHAH ALAM, 14 DIS: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa semua ahli parlimen pembangkang dan Kerajaan supaya menolak Belanjawan 2021 dalam pengundian kali ketiga di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan media bersama, PAKATAN berkata Belanjawan 2021 tidak menepati objektif dan matlamat bagi memerangi Covid-19, membantu rakyat dan menghidupkan semula ekonomi.

“Rakyat sedia maklum bahawa apa diumum menteri kewangan sama ada sewaktu pengumuman atau penggulungan Belanjawan 2021 mahupun dalam siri kenyataan media tidak memenuhi apa dipohon dan diharapkan ramai ahli-ahli Parlimen malah juga rakyat.

“Ini termasuklah isu KWSP, isu moratorium pinjaman bank, isu bantuan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) dan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, isu pendidikan anak-anak kita, pendapatan yang berkurangan, pekerjaan yang hilang, kos sara hidup yang makin meningkat dan banyak lagi,” kata kenyataan itu.

PAKATAN berkata sebelum ini mereka membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa, dan akhirnya membuat undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga esok.

Kenyataan media bersama itu diwakili pimpinan Parti Keadilan Rakyat Saifuddin Nasution, Parti Amanah Negara Datuk Dr Hatta Ramli dan Parti Tindakan Demokratik Anthony Loke.

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Midf Research kekalkan unjuran KDNK 2020 pada -4.8 peratus

KUALA LUMPUR, 1 DIS: MIDF Research mengekalkan unjurannya bagi prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada -4.8 peratus bagi 2020.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata ekonomi dijangka terus bertambah baik berdasarkan kepada perkembangan dan petunjuk semasa.

“Bagaimanapun, kami menjangka ekonomi berkembang perlahan-lahan kerana sentimen masih lemah disebabkan peningkatan semula jangkitan kes Cocid-19 di negara ini dan di seluruh dunia, dengan risiko negatif lain seperti situasi politik, peningkatan dasar perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik,” kata MIDF Research.

Di Malaysia, lonjakan kes Covid-19 menyebabkan kerajaan terpaksa mengenakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri.

“Meskipun kami melihat PKPB sekarang kurang ketat berbanding sebelum ini dan kebanyakan aktiviti ekonomi dibenarkan untuk terus beroperasi dengan mematuhi tatacara operasi piawai ia masih tetap memberi impak kepada kekuatan permintaan domestik disebabkan sekatan pergerakan fizikal.

“Dengan kata lain, kami menyedari impak utama daripada PKPB ke atas ekonomi adalah disebabkan terutamanya perbelanjaan lemah pengguna dan kesan limpahannya ke atas industri perkhidmatan, terutamanya subsektor berkaitan pengguna seperti perdagangan runcit, restoran, hotel, pelancongan, pendidikan dan rekreasi,” katanya.

MIDF Research berkata meskipun sempadan antarabangsa masih ditutup, sokongan daripada aktiviti pelancongan domestik akan terbatas berikutan PKPB.

“Bagaimanapun, kami percaya risiko kepada penggunaan sedikit sebanyak akan diimbangi oleh peningkatan pembelian secara dalam talian, perkhidmatan penghantaran ke rumah dan perkhidmatan kewangan dalam talian seperti e-dompet dan perbankan dalam talian.

“Selain itu, pakej rangsangan yang diumum kerajaan serta penurunan kadar dasar semalaman pada 125 mata asas akan terus menyokong pemulihan,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata meskipun peningkatan kes Covid-19 masih menjadi kebimbangan utama, perbelanjaan fiskal dirancang yang digariskan dalam Belanjawan 2021 menyediakan sokongan bagi mencergaskan semula ekonomi Malaysia daripada kesan negatif pandemik global itu.

“Selain itu, pemulihan seterusnya permintaan domestik dan luaran menjadi faktor utama bagi pemulihan menuju ke 2021,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar dakwa belanjawan masih boleh ditolak peringkat jawatankuasa

SHAH ALAM, 29 NOV: Belanjawan 2021 masih boleh ditolak pada bacaan dan perbahasan di peringkat jawatankuasa jika tidak memenuhi aspirasi rakyat, dakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata ahli parlimen diingatkan jangan terlalu gembira kerana belanjawan tersebut kini baharu diluluskan pada peringkat dasar.

“Kami menolak secara lisan tetapi tidak meminta perpecahan untuk membolehkan perbahasan di peringkat jawatankuasa berlanjutan.

“Bagaimanapun, 15 Disember akan menjadi keputusan utama sama ada Belanjawan 2021 itu diterima atau tidak,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) menerusi wawancara dengan The Vibes semalam.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara selepas sebahagian besar ahli Parlimen termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undian secara belah bahagi.

PAKATAN menyatakan sokongan selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan beberapa pindaan dan pemberian tambahan yang membantu rakyat seperti isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium.

Perbahasan Belanjawan 2021 ini akan diteruskan ke peringkat jawatankuasa bermula esok dan pusingan undian seterusnya akan menyaksikan sama ada ia akan diluluskan dengan sebarang pindaan atau sebaliknya.

Anwar menegaskan semasa perbahasan di peringkat tersebut dan bacaan RUU perbekalan peringkat ketiga, PAKATAN akan menolak Belanjawan 2021 sekiranya tidak memenuhi keperluan rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perubahan intipati belanjawan dorong PAKATAN sokong – Anwar

SHAH ALAM, 29 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan beberapa pindaan dan pemberian tambahan diumum kerajaan dalam Belanjawan 2021 membantu rakyat dan tidak perlu dibantah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perubahan intipati menyentuh isu seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium mendorong pihakya menyokong belanjawan dibentang pada 6 November lalu.

“Seminggu sebelumnya saya mengeluarkan kenyataan sekiranya tuntutan kita tidak dipenuhi, kita memilih untuk menolak keseluruhan Belanjawan 2021. Apa yang berlaku (Khamis lalu) ialah menteri kewangan membuat perubahan besar.

“Malah, pindaan dibuat membantu rakyat, mengapa kita harus tolak. Tetapi jika tidak dipenuhi, PAKATAN pilih untuk tolak,” katanya menerusi wawancara dengan The Vibes semalam.

Pengerusi PAKATAN berkata perubahan tersebut seperti mana dicadangkan termasuk program pengeluaran i-Sinar KWSP dengan had pengeluaran dinaikkan kepada RM10,000.

Selain itu, katanya, ia termasuk moratorium automatik pembayaran balik pinjaman bagi mereka yang berada dalam kategori berpendapatan rendah (B40) serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Khamis lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan beberapa pindaan dan pemberian tambahan hingga disokong PAKATAN serta diluluskan pada peringkat dasar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021: PAKATAN teliti peruntukan untuk Jasa, KKM

SHAH ALAM, 29 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan meneliti peruntukan RM85.5 juta dalam Belanjawan 2021 bagi mewujudkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Ketua pembangkang berkata dana yang besar itu lebih sesuai dibelanjakan untuk kebajikan rakyat dan diberi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani virus Covid-19.

“RM85.5 juta yang tidak diketahui untuk Jasa dan keperluan dana besar untuk KKM antara isu akan diteliti PAKATAN di peringkat jawatankuasa,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi wawancara dengan The Vibes semalam.

Beliau memaklumkan pihaknya tidak akan memberi laluan mudah pada peringkat tersebut yang dimulakan esok berbanding Khamis lalu selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan beberapa pemberian tambahan hingga diluluskan pada peringkat dasar.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2021, PAKATAN membidas peruntukan besar untuk Jasa yang menjangkau lebih RM80 juta.

Sebelum ini, Jasa dibubarkan pada Mei 2018 oleh kerajaan PAKATAN selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaji semula Belanjawan 2021 bagi logistik, simpanan vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Meskipun pengumuman perjanjian pembelian vaksin Covid-19 oleh kerajaan Malaysia semalam adalah satu perkembangan yang mendapat pujian pelbagai pihak, sebuah badan pemikir percaya Belanjawan 2021 untuk Kementerian Kesihatan (KKM) harus dikaji semula terutama yang berkaitan dengan keperluan logistik dan penyimpanan vaksin itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata vaksin Covid-19 memerlukan suhu penyimpanan ultra sejuk negatif 70 darjah Celsius, yang kapasitinya melebihi kebanyakan kemudahan penjagaan kesihatan utama sedia ada di dalam negara.

Justeru itu, beliau berkata ia bergantung kepada ketersediaan unit penyimpanan di peringkat negeri bagi memastikan rantaian suhu sejuk yang diperlukan vaksin adalah tidak terjejas.

“Kita perlu memastikan bahawa KKM mendapat dana dan tenaga kerja yang diperlukan bagi melaksanakan tugasan apabila vaksin itu boleh didapati pada 2021, terutama apabila vaksin ini mempunyai keperluan logistik dan penyimpanan khusus yang memerlukan pelaburan dari segi infrastruktur serta latihan.

“Adakah kita akan membeli kotak ais khas Pfizer? Sudahkah kita memperuntukkan dana bagi sistem penyimpanan rekod yang akan diperlukan? Kami tidak yakin peruntukan sedia ada mencukupi bagi tujuan ini,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Pada 24 November lepas, kerajaan Malaysia, melalui KKM, telah memeterai satu perjanjian awal pembelian dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan sejumlah 12.8 juta dos vaksin Covid-19 bagi memenuhi keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata melalui perjanjian itu, Pfizer telah berjanji untuk memberikan sebanyak sejuta dos, 1.7 juta dos, 5.8 juta dos dan 4.3 juta dos vaksin Covid-19 masing-masing dalam suku tahun pertama, kedua, ketiga dan keempat 2021.

Selain itu, Azrul menjangkakan cabaran dalam proses penghantaran vaksin Covid-19 ke kawasan luar bandar susulan kebimbangan dari segi keterbatasan dan pragmatik.

Beliau berkata pengagihan vaksin dalam poten yang dinyatakan pengilang ke lokasi sebenar pemvaksinan dalam masyarakat boleh menjadi amat mencabar terutama apabila ia membabitkan vaksin jenis mRNA).

Beliau turut menggesa kerajaan untuk melabur dalam komunikasi vaksin bagi menangani dan mengatasi penyebaran maklumat salah yang berleluasa ketika ini berkaitan Covid-19 dan vaksin secara umum.

“Dekad terakhir ini telah menyaksikan peningkatan ketara dalam keraguan terhadap vaksin. Ia (komunikasi vaksin) tidak boleh bergantung kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat daripada sektor swasta semata-mata bagi tujuan itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN teliti Belanjawan 2021, nyata pendirian peringkat kementerian

SHAH ALAM, 27 NOV: Keputusan tidak membuat undi belah bahagi Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 semalam sebagai langkah meneliti keseluruhan belanjawan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata melalui tindakan itu, ahli parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) boleh melihat dengan lebih terperinci penerangan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Ahli parlimen berhak mempersoal sama ada ia merupakan peruntukan tambahan atau hasil pemotongan dari mana-mana kementerian.

“Kita boleh soalkan juga jumlah sebenar belanjawan, kesan terhadap situasi kewangan negara, isu pemandu teksi dan pengusaha kantin mendambakan bantuan selain isu pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta moratorium,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pengerusi PAKATAN berkata pendirian mereka masih boleh ditegaskan melalui peringkat jawatankuasa.

“Sejarah perjalanan parlimen Malaysia belum pernah meminda belanjawan dengan jumlah atau dengan cara seperti ini.

“Ini tanda kesediaan Perikatan Nasional melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa, termasuk melanggar parlimen,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU itu selepas mendapat sokongan majoriti ahli parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2021 lulus dengan lebihan suara bersetuju

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan, yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Belanjawan 2021 dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lepas dan seramai 82 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung dari 9 November hingga 19 November.

Menteri-menteri berkenaan mula menggulung pada 23 November sebelum Tengku Zafrul menggulung bagi pihak Kementerian Kewangan hari ini diikuti dengan pengundian untuk meluluskan Belanjawan itu.

Mengikut Takwim Dewan Rakyat, ia kini akan dibahas di peringkat jawatankuasa selama 10 hari sebelum undi belah bahagian sekali lagi diadakan.

– BERNAMA