Categories
AGENDA NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi menjelang pembentangan Belanjawan 2022

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada urus niaga pagi Jumaat dengan minat belian ke atas unit tempatan muncul kembali menjelang pembentangan Bajet 2022 petang ini, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, nilai ringgit meningkat kepada 4.1445/1480 berbanding dolar AS daripada 4.1485/1520 penutupan petang Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata para peniaga menantikan pengumuman belanjawan petang ini kerana ia boleh menjadi faktor penentu kepada keyakinan mereka mengenai prestasi ringgit.

Pada awal Januari 2021, unit tempatan itu mencecah paras 4.00 berbanding dolar AS, menyusut ke paras rendah setakat tahun ini pada 4.24 pada pertengahan Ogos dan kembali pulih untuk diniagakan pada paras semasa antara 4.14 dan 4.19.

Beliau menambah ringgit nampak memberangsangkan pada masa ini selepas mencapai paras sokongan sebelumnya iaitu RM4.1498.

“Paras sokongan seterusnya ialah RM4.1203. Harga komoditi yang tinggi berserta data ekonomi yang positif mungkin telah membantu menyokong nilai ringgit.

“Namun begitu, kemungkinan munculnya kegiatan pengambilan untung kerana ringgit dilihat berada dalam kedudukan terlebih beli dari sudut teknikal,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah dengan pembentangan Bajet 2022 lewat hari ini, indikator makroekonomi utama seperti defisit fiskal dan unjuran keluaran dalam negara kasar akan dipantau dengan lebih dekat.

“Umumnya, ringgit dilihat boleh terus meningkat,” tambah beliau.

Sementara itu, pada pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.6499/6533 daripada 3.6493/6527 sebelumnya dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.8428/8469 daripada 4.8094/8134 semalam.

Unit tempatan turut merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0835/0863 daripada 3.0778/0808 pada Khamis dan lega berbanding pound Britain kepada 5.7173/7222 daripada 5.7075/7123 sebelumnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2022: Pertimbang dana naik taraf jalan raya, tebatan banjir

KLANG, 28 OKT: Kerajaan Negeri berharap Belanjawan 2022 peringkat persekutuan yang dibentangkan esok dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara perkara yang wajar diberi tumpuan adalah berkaitan infrastuktur khususnya jalan raya dan projek tebatan banjir

“Kita berharap beberapa syarat Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi membiayai kerja penyelenggaraan jalan dapat dilonggarkan.

“Kalau diberi kelonggaran dan dipermudahkan syarat-syarat itu, saya percaya banyak isu dapat diselesaikan seperti jalan berlubang yang memerlukan peningkatan dari segi kualiti dan bahan digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan inisiatif Selangor Freelance di Hotel Wyndham Acmar di sini, hari ini.

Berhubung projek tebatan banjir, Amirudin berkata pihaknya sebelum ini memohon kepada kerajaan persekutuan peruntukan RM1.3 bilion bagi tujuan tersebut.

“Saya percaya projek tebatan banjir dapat dibuat secara sekali gus atau berperingkat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut meminta kerajaan persekutuan mempertimbangkan pemberian insentif kepada penggiat pelancongan yang terkesan akibat pandemik untuk merancakkan kembali sektor tersebut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2022 HARAPAN: Bantu isi rumah, perniagaan terjejas pandemik Covid-19 jadi keutamaan 

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 27 OKT: Membantu isi rumah dan perniagaan yang terjejas kehidupan sepanjang dua tahun akibat pandemik Covid-19 antara keutamaan dalam strategi Belanjawan 2022 Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menerusi dokumen strateginya bertema ‘Pemugaran dan Memperkuat Semula’, HARAPAN menyeru suntikan dana segera berjumlah RM45 bilion untuk dana Covid-19 seperti dimeterai dalam Memorandum Persefahaman antara kerajaan persekutuan dan pembangkang.

Pecahan bagi suntikan dana seperti berikut:

-Peruntukan minimum RM4 bilion untuk Kementerian Kesihatan bagi menaiktaraf kapasiti dan keupayaan hospital termasuk kakitangan dan alat kelengkapan perubatan

-RM30 bilion bagi geran pembiayaan dan subsidi untuk sektor ekonomi.

-RM6 bilion untuk insentif pengambilan pekerja menerusi program Malaysia@Kerja sekali gus membantu sektor swasta mencipta peluang pekerjaan baru.

-Peruntukan RM5 bilion untuk isi rumah termasuk menggandakan bantuan kebajikan bulanan untuk menjamin kelangsungan hidup yang terkesan selama setahun. Contoh bantuan untuk B40 daripada RM800 kepada RM1,900.

Turut dicadangkan agar kerajaan memberi bantuan bulanan berjumlah RM100 untuk setiap anak yang tergolong dalam kumpulan isi rumah B40 dan M40. Hanya kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun layak menerima bantuan ini.

HARAPAN turut mencadangkan pengecualian faedah pinjaman kepada golongan isi rumah B50 dengan pendapatan kasar isi rumah kurang daripada RM5,880 sebulan.

Peruntukan berjumlah RM2 bilion untuk pinjaman perniagaan dengan kadar faedah rendah untuk peniaga mikro, kecil dan sederhana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan proses permohonan yang mudah dan fleksibel.

Turut dicadangkan peruntukan berjumlah RM100 juta dalam bentuk Geran Padanan Pembukaan Semula Perniagaan PKS dan Mikro PKS sehingga RM20,000 untuk setiap penerima sebagai insentif membantu mereka memulakan kembali perniagaan yang terpaksa ditutup sepanjang pandemik.

Bagi mempertingkatkan jaringan keselamatan sosial dicadangkan liputan caruman i-Suri diperluas kepada semua suri rumah selain memperluas dan melanjutkan caruman i-Saraan.

HARAPAN turut mencadangkan kerajaan memperuntukkan geran khas berjumlah RM1.035 bilion untuk kos operasi dan modal sekolah bagi 2022 di samping menambah baik kapasiti sekolah kalis pandemik.

Turut disyorkan penambahan nilai geran khas untuk Sabah dan Sarawak sebanyak empat kali ganda kepada RM106.8 juta (Sabah) dan RM64 juta (Sarawak).

Memperuntukkan RM1 bilion untuk membantu pembangunan grid elektrik di seluruh Sabah.

Mengusulkan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) supaya garis kemiskinan kebangsaaan dikaji semula untuk memperolehi paras pendapatan had kemiskinan baharu yang lebih realistik dengan mengambil kira impak pandemik Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN gesa Belanjawan 2022 turut tumpu soal ketirisan bantuan, kemiskinan rakyat

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 27 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa Belanjawan 2022 yang dibentangkan Jumaat ini turut menekankan soal menangani ketirisan selain ketelusan dalam tadbir urus serta pemberian bantuan kepada rakyat.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata soal berkenaan wajar menjadi perkara asas yang perlu diberi perhatian kerajaan.

“Saya beri contoh minyak masak, membantu nelayan dan orang miskin. Minyak masak memang semua orang sokong, cadangan yang baik dapat pahala tapi balanya ialah kerana ada ketirisan yang mencecah RM200 juta. Jadi atas nama membantu rakyat, rompakan berlaku.

“Satu contoh lain dibangkitkan baru-baru ini, tentang penswastaan kontrak keselamatan sekolah, bila dibuat kajian berdasarkan kontrak yang diperolehi, menyebabkan beban kerajaan yang tidak sepatutnya mencecah RM200 juta.

“Maknanya kalau diswastakan dengan cara lebih teratur, ia akan menyelamatkan dana RM200 juta,” katanya pada sesi pembentangan Bajet HARAPAN kepada media di Kompleks Parlimen hari ini serta turut disiar langsung menerusi Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata soal ketirisan dan tata kelola akan dipantau dalam mesyuarat Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

“Perkara ini dipersetujui tapi saya tidak tahu setakat mana, perbelanjaan itu boleh diumumkan.

“Tetapi bagaimana nak pantau kerana ketua audit negara tiap tahun menyebut tentang kelemahan-kelemahan ini tetapi terus berulang,” katanya.

Tambah Anwar antara cadangan lain termasuk menangani kelompongan dalam tindakan menangani ekonomi akibat pandemik Covid-19 termasuk peruntukan untuk memacu kembali kegiatan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Begitu juga kelemahan selama berdekad menangani masalah kemiskinan dan kesenjangan, maka diusulkan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) untuk mengukur kemiskinan.

“Kita mahu hal ini diambil kira supaya lebih berkesan dalam menanganinya, bukan menyebabkan ada sindrom kebergantungan sehingga tidak melepaskan mereka daripada kemiskinan,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat harap lebih banyak dana perkasa ekonomi anak muda

KAJANG, 27 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong berharap lebih banyak dana diperuntukkan bagi memperkasa ekonomi anak muda dalam Belanjawan Selangor 2022.

Wong Siew Kii berkata perkara itu wajar dipertimbangkan berikutan ramai graduan gagal mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian di universiti sekali gus tiada sumber pendapatan.

“Saya cadangkan supaya program bantuan bakul makanan dikurangkan sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha membantu ekonomi golongan muda terutama graduan.

“Sebagai contoh, rakyat sekarang tidak lagi memerlukan ikan tetapi joran. Dengan adanya joran, mereka boleh tangkap sendiri ikan tersebut. Jadi selepas ini mereka mampu berdikari dan cari wang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di pejabat pusat khidmatnya di sini hari ini.

Siew Kii menambah anak muda juga perlu diberi peluang dalam pasaran kerja supaya mampu menonjolkan potensi selain mencari pengalaman.

Pada 8 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan semua wakil rakyat negeri ini terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022 yang diadakan secara berasingan dalam pelbagai bentuk dan kaedah.

Pembentangan belanjawan negeri akan dibuat Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 November.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB libatkan pembangkang bincang Belanjawan Selangor 2022

SHAH ALAM, 21 OKT: Dato’ Menteri Besar mengadakan sesi libat urus Belanjawan Selangor 2022 bersama wakil rakyat pembangkang dan bebas pada 15 Oktober.

Pertemuan yang berlangsung di Hotel Concorde di sini bagi membincangkan intipati belanjawan yang lebih konstruktif demi manfaat rakyat negeri ini, jelas Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Saya ucap terima kasih dan penghargaan kepada wakil pembangkang dan bebas,” katanya di Facebook.

Perbincangan disertai Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuang Sallehuddin Aminuddin, ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunos Hairi, ADN Teratai Lai Wai Chong dan wakil ketua pembangkang Mohd Zaim Tawfek.

Sementara itu, Sallehuddin ketika dihubungi berkata isu menangani kilang haram antara yang dibangkitkan untuk dipertimbang dalam Belanjawan Negeri pada 26 November.

“Saya membawa isu supaya ada pasukan khas negeri menangani kilang haram. Kita tidak mahu hanya bergantung kepada pihak berkuasa tempatan sahaja kerana ia tidak selesaikan masalah,” katanya.

Pada 8 Oktober, Dato’ Menteri Besar berkata semua ADN terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022 yang diadakan secara berasingan dalam pelbagai bentuk dan kaedah.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Cadang bangun pesisir pantai Morib-Bagan Lalang, lonjak pelancongan

KLANG, 11 OKT: Cadangan pembangunan di pesisiran pantai dari Morib ke Bagan Lalang dibawa dalam Belanjawan 2022, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata sepanjang kawasan itu boleh dibangunkan dan dijadikan tempat pelancongan.

“Saya akan bincang perkara ini dengan stanco pelancongan supaya dapat menjana ekonomi Selangor,” katanya ketika ditemui dalam sesi taklimat Belanjawan 2022.

EXCO Kerajaan Negeri Borhan Aman Shah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sesi itu membabitkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama pimpinan komuniti Selangor di Hotel Wyndham di sini.

Borhan yang juga Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat berharap Belanjawan 2022 dapat menyediakan lebih banyak peluang kepada anak muda untuk mengukuhkan ekonomi.

Bagi Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow Hsiad Hui sesi taklimat ini merupakan peluang untuk mengetahui perancangan Kerajaan Negeri selain berkongsi pandangan.

“Dalam sesi taklimat tadi saya mencadangkan supaya kawasan Hulu Bernam boleh dijadikan sektor penanaman dan penternakan selain mampu menjana ekonomi warga tempatan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Belanjawan 2022 tumpu pendidikan, bantuan Covid-19

SHAH ALAM, 9 OKT: Belanjawan 2022 menekankan usaha bagi menambah hasil, memfokus aspek pendidikan dan bantuan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri mahu memastikan belanjawan pada kali ini juga dapat menggerakkan sektor ekonomi.

“Kita cuba memenuhi keperluan penting yang kerajaan hendak bantu untuk kembalikan kehidupan rakyat selepas Covid-19

“Antara intipati bagaimana hendak menambah hasil, memfokus pendidikan dan bantuan terkesan akibat pandemik,” katanya pada sesi Townhall Belanjawan 2022 di sini semalam.

Beliau juga memberi jamiman cadangan yang dibawa wakil rakyat di negeri ini dipertimbang untuk dimasukkan dalam belanjawan itu yang kini pada peringkat akhir.

“Kita dalam peringkat akhir dan ada dalam sebulan lebih lagi, sempat untuk aturkan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri libatkan ADN sedia Belanjawan 2022

SHAH ALAM, 8 OKT: Semua Ahli Dewan Undangan (ADN) terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sesi belanjawan pada tahun ini berbeza dan diadakan secara berasingan dalam pelbagai bentuk dan kaedah.

“Pada hari ini secara spesifik bersama Ahli Dewan Negeri untuk memberi pandangan dalam belanjawan. Mereka memberi cadangan dan harus tahu keadaan Kerajaan Negeri secara langsung atau kedudukan sebenar peruntukannya.

“Penglibatan ADN ini membolehkan mereka faham secara keseluruhan apa yang berlaku dan mengemukakan cadangan,” katanya.

Beliau ditemui pada sesi Townhall Belanjawan 2022 hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Nor Azmie Diron.

Amirudin berkata beliau juga akan membuat perjumpaan bersama wakil pembangkang dalam masa terdekat.

“Tujuan perjumpaan ini adalah untuk membincangkan bagaimana pembentangan belanjawan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPS kaji, kongsi pandangan awam untuk Belanjawan 2022

SHAH ALAM, 13 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjalankan kaji selidik dengan mendapatkan maklum balas awam untuk merangka Belanjawan 2022.

Pengarah jabatan korporatnya berkata kajian bermula dari 9 Mac hingga 9 April demi memastikan anggaran pendapatan dan perbelanjaan bakal dibentangkan komprehensif serta memenuhi keperluan pemegang taruh.

“MPS berharap orang ramai mengambil peluang ini dengan berkongsi pandangan bagi memastikan belanjawan disediakan mengikut keperluan semua,” kata Mohamad Zin Masoad dalam kenyataan.

Cadangan boleh dikemukakan melalui borang dalam talian di pautan https://forms.gle/yXfh9DRFQA6LbLTt6 atau melayari laman sesawang www.mps.gov.my .

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi jabatan itu di talian 03-6126 5824.