Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: 2,000 Peluang pekerjaan tenaga mahir diwujudkan di Selangor – FOKUS

Sinopsis

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kira-kira 2,000 peluang pekerjaan baru bagi pekerja tenaga mahir diwujudkan di Selangor berikutan kejayaan usaha Kerajaan negeri membawa masuk pelabur asing ke negeri itu.

2. Teguran bagi tujuan penambahbaikan sudah menjadi amalan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Selangor sejak 2008. BBC yang dianggotai 44 Adun PR, terus menunjukkan sikap konsisten bagi tujuan penambah
baikan pentadbiran di negeri ini.

3. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak berlaku jujur apabila sengaja menyembunyikan kenaikan harga minyak masak daripada pengetahuan umum ketika pembentangan Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

Categories
SELANGOR

Pelan penempatan semula penduduk Lembah Bertam wajar diberi perhatian

cameron-highlands

CAMERON HIGHLANDS 29 OKT – Kerajaan Pahang digesa membuat pelan penempatan semula penduduk sekitar Lembah Bertam memandangkan kejadian banjir lumpur yang berlaku kerap berlaku, selain insiden terbaru, pada 23 Oktober lalu.

EXCO Kebajikan Selangor, Rodziah Ismail, isu penempatan lebih baik dan selesa perlu diutamakan demi keselamatan rakyat walaupun kerajaan pusat mengumumkan peruntukan RM40 juta bagi melebar serta mendalamkan Sungai Bertam, pada pembentangan Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

“Hal ini kerana tanah rizab sungai tidak lagi menjadi lokasi sesuai untuk penempatan penduduk disebabkan kekerapan taburan hujan setiap hujung tahun.

“Saya ingin menggesa kerajaan Pahang mengambil sedikit sensitiviti dan melihat isu perumahan di rizab sungai atau kawasan penempatan yang sudah tidak sesuai dengan melaksanakan pelan penempatan semula.

“Hasil tinjauan perbualan saya bersama beberapa penduduk, kejadian banjir lumpur ini sudah banyak kali berulang. Justeru sudah tiba masa untuk kerajaan Pahang melihat perkara ini dengan lebih serius dengan menempatkan semula mangsa dan membaikpulih kawasan sekitar,” katanya kepada TV Selangor, di sini, hari ini.

Rodziah mewakili Kerajaan Selangor melakukan lawatan ke kawasan banjir lumpur yang meragut tiga nyawa, selain seorang mangsa yang masih  hilang dan turut memusnahkan 80 kediaman dan kira-kira 100 kenderaan, pada 26 Oktober lalu.

Katanya, kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada mangsa banjir, selain memutuskan peruntukan sumbangan berjumlah RM50,000 yang akan diagihkan dalam kadar segera.

“Peruntukan sudah diluluskan, namun bentuk sumbangan masih belum diputuskan dan akan dibincangkan pada Mesyuarat EXCO minggu ini. Selain itu, terdapat beberapa perkara daripada kejadian ini boleh dijadikan iktibar walaupun bencana berkenaan adalah di luar jangkaan,” katanya. -NFN-

 

Categories
NASIONAL

Najib ‘tak jujur’ bentang Belanjawan Negara 2014

Mohd Azmi Abdul HamidSHAH ALAM 29 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak berlaku jujur apabila sengaja menyembunyikan kenaikan harga minyak masak daripada pengetahuan umum ketika pembentangan Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Hamid, berkata tindakan Najib itu amat dikesali kerana seperti membelakangkan rakyat daripada mengetahui perkara sebenar.

Beliau berkata, Najib yang juga Menteri Kewangan tidak sepatutnya memandang remeh perkara terbabit hanya kerana ingin melayan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan lumayan.

“Ini satu amalan pembentangan yang tidak jujur dan semuanya jadi retorik, apabila yang dikatakan kerajaan sebelum ini untuk memperkukuhkan transformasi ekonomi dan memenuhi janji, tidak berlaku.

“Kenaikan barangan asas keperluan rakyat seperti minyak masak tidak seharusnya yang patut disembunyikan kerana pengguna akan tahu dan akan menjadi isu yang bakal dibangkitkan mereka. Jangan fikir perkara ini tidak dapat dikesan walaupun cuba disembunyikan,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa Putrajaya sengaja menyembunyikan kenaikan harga minyak masak dan memilih untuk mengumumkan secara terbuka pemotongan subsidi gula ketika pembentangan belanjawan.

Sementara itu, Azmi ketika diminta mengulas kenyataan pakar ekonomi Bank Dunia, Dr Frederico Gil Sander yang meramalkan kerajaan akan memotong subsidi petrol kali kedua tahun depan turut menegaskan perkara itu sudah dijangka akan berlaku.

Katanya, tindakan kerajaan pusat menarik subsidi itu adalah disebabkan Malaysia sudah tidak mampu menguruskan sumber dengan baik dan terpaksa mengikut aliran kenaikan harga minyak di pasaran duna.

“Barisan Nasional wajar mempertimbangkan cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk merasionalisasikan kos, bukannya subsidi. Seluruh negara akan menerima akibat daripada pengurusan tidak baik ini apabila dana subsidi yang dapat disimpan sudah disalah guna,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pakar ekonomi ramal harga minyak bakal naik lagi

minyak-naik-

SHAH ALAM 29 OKT : Kerajaan Pusat dijangka akan memotong subsidi minyak kali kedua bagi menangani defisit fiskal yang dihadapi selama 15 tahun berturut-turut dan seterusnya menyebabkan harganya naik di pasaran, pada 2014.

Pakar ekonomi Bank Dunia, Dr Frederico Gil Sander, meramalkan kerajaan pusat bertindak demikian berikutan subsidi minyak adalah jumlah terbesar yang dibelanjakan setiap tahun.

Katanya, dianggarkan RM24.8 bilion atau 53 peratus daripada keseluruhan RM47 bilion wang yang dibelanjakan adalah untuk subsidi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, sekali gus menimbulkan kemarahan dan kritikan daripada rakyat dan Pakatan Rakyat (PR), pada September lalu.

“Kemungkinan akan ada satu lagi pusingan membabitkan rasionalisasi subsidi minyak,” katanya.

Frederico dipetik dari The Malaysian Insider berkata, berdasarkan perkara itu adalah isyarat jelas bahawa Putrajaya akan mengambil langkah rasionalisasi itu hasil daripada pembentangan Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

“Jika dilihat, peruntukan minyak dijangka akan menurun secara signifikan tahun depan. Saya berpendapat, ia adalah isyarat bahawa mungkin berlaku rasionalisasi subsidi minyak bagi memastikan sasaran dapat dicapai,” katanya.

Sebelum ini, pimpinan PR turut mendesak kerajaan pusat menurunkan harga kereta sebelum menaikkan harga minyak kerana kenaikanitu juga menyebabkan kos penyelenggaraan perkhidmatan teksi meningkat 30 peratus, sekali gus menyusutkan pendapatan bersih pemandu teksi.

Kenaikan itu juga memberi impak kitaran ekonomi yang menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia melonjak naik, selain membebankan pengguna.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pengurangan gaji pekerja kontrak JPM bantu elak pembaziran

Ong Kian Ming 01

KUALA LUMPUR 29 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disaran mengurangkan gaji pekerja kontrak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang jauh lebih tinggi daripada penjawat awam.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata pengurangan gaji pekerja kontrak itu akan dapat mengurangkan belanjawan JPM yang melonjak ke paras tertinggi, pada tahun depan.

Katanya, pengurangan itu juga dilihat dapat mengelakkan pembaziran dalam pembayaran gaji yang tinggi bagi jabatan berkenaan.

“Kalau Najib serius meminta rakyat untuk mengubah cara hidup dengan menangani kos hidup yang tinggi kerana subsidi dikurangkan, selain cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan, maka beliau perlu mengurangkan perbelanjaan JPM,” katanya dalam sidang media, di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Kian Ming memberikan contoh gaji dan elaun yang diterima Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Inovasi Malaysia berjumlah RM830,500 setahun iaitu kira-kira RM69,000 sebulan.

Selain itu, CEO Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dibayar gaji dan elaun RM622,000 setahun, manakala CEO bagi TalentCorp pula RM420,000 setahun.

Beliau berkata gaji tiga CEO berkenaan lebih banyak berbanding Ketua Setiausaha Negara yang menerima gaji RM23,577 sebulan.

“Contoh ini membabitkan sebahagian agensi di bawah JPM, namun ada ramai lagi CEO mendapat gaji lebih tinggi seperti pengurus kanan yang sama taraf dengan Gred 54, tetapi dibayar gaji jauh lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, Kian Ming berkata, Najib juga perlu menghentikan penubuhan agensi baru seperti Yayasan Hijau kerana agensi sedia ada seperti Malaysia GreenTech mempunyai fungsi sama dengan yayasan yang bakal dibangunkan itu.

Belanjawan JPM melonjak ke angkang 13 peratus menjadikannya sebanyak RM16.45 bilion dan jumlah itu adalah peruntukan tertinggi memecahkan rekod sebelum ini iaitu RM15.62 bilion (2011), yang diumumkan dalam Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

– NFN-

Categories
NASIONAL

GST sumbang kenaikan inflasi negara

Gst biasa

KUALA LUMPUR 28 OKT : Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilihat boleh menjadi punca kepada kenaikan inflasi, jika isu berkenaan terus dipandang ringan kerajaan pusat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kemungkinan besar penyalahgunaan kuasa berlaku membabitkan kerajaan pusat sebagai jalan mudah untuk meningkatkan hasil dengan segera.

Katanya, hal itu kerana GST sentiasa dianggap berada pada kadar yang lebih rendah berbanding tahap cukai pendapatan.

“CIMB Research meramalkan pelaksanaan GST pada ketika penyelewengan berleluasa dan penguatkuasaan yang lemah akan membolehkan inflasi kepada tahap lima peratus lebih tinggi daripada tahap sekarang.

“Komuniti perniagaan seluruhnya juga menjangkakan penambahan kos sebanyak RM2 bilion untuk penyediaan sistem dan pematuhan perundangan,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Negara 2014, di Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar berkata, pelaksanaan itu akan merangsang kerajaan pusat yang boros untuk menaikkan kadar GST ketika berlaku kesempitan hasil.

“Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) membawa masuk RM16.4 bilion ke dalam kantung negara, manakala pelaksanaan GST pada kadar enam peratus dijangka akan membawa pulangan tambahan sebanyak RM12 bilion dan jumlah itu dibiayai rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Belanjawan Negara 2014 hanya satu pengulangan dan pengekalan sikap boros berbelanja Barisan Nasional yang hanya hanya memberi keuntungan kepada sebilangan kecil rakyat.

“Ia menguntungkan beberapa kumpulan kecil, tetapi menjadi penambahan derita ekonomi dan bebanan kewangan rakyat terbanyak terutama golongan berpendapatan kecil serta sederhana,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Anwar dedah Najib sembunyi kenaikan harga minyak masak

minyak-masak-1KUALA LUMPUR 28 OKT : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sengaja menyembunyikan kenaikan harga minyak masak dan memilih untuk mengumumkan secara terbuka pemotongan subsidi gula.

Beliau turut mempersoalkan tindakan berkenaan ketika pengeluaran minyak sawit sedang melonjak dan rakyat masih dikejutkan dengan kenaikan harga gula.

Anwar berkata, pihaknya tertanya punca Najib ‘segan’ untuk mengumumkan kenaikan harga minyak masak yang bakal dihadapi akibat pengurangan subsidi yang bernilai RM505 juta yang sama dengan penghapusan subsidi gula dalam ucapan Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

“Kenapa kerajaan pilih untuk mengurangkan subsidi dan menyembunyikan kesan pengurangan subsidi minyak masak. Dalam situasi semasa, yang mana pengeluaran minyak mentah kelapa sawit dunia berada pada tahapp yang tertinggi,” kata Anwar dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2014, di Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar turut mempersoalkan tindakan kerajaan pusat yang tidak memilih inisiatif untuk memperuntukkan subsidi minyak kelapa sawit (CPO) kepada setiap isi rumah.

“Sebagai contoh, Indonesia memperuntukkan CPO sebanyak dua liter kepada setiap isi rumah, selain subsidi biofuel. Kenapa Malaysia tiada inisiatif itu sedangkan harga minyak masak akan dinaikkan,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, berkata kesan penghapusan subsidi gula sebanyak 34 sen akan menyebabkan keuntungan dua syarikat gula iaitu Malaysian Sugar Manufacturing dan Central Sugar kepada 20 hingga 25 peratus iaitu sebanyak RM1 bilion setahun, akibat pengukuhan monopoli syarikat itu.

Katanya, tindakan pengurangan subsidi itu menjadikan syarikat korporat mendapat keuntungan berganda tetapi rakyat dibebankan dengan kenaikan harga gula.

“Keuntungan syarikat itu sebelum cukai adalah sekitar sembilan peratus dengan pendapatan kasar industri itu sekitar RM4 bilion dan dengan penghapusan itu, ia akan melonjak naik 20 hingga 25 peratus. Jelas sekali yang rugi dan terus dibebani adalah rakyat dan  Sebaliknya syarikat korporat besar dibelai dan dilindungi kerajaan,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PR turun setiap negeri, bantah laksana GST

GST Grafik Baru

KUALA LUMPUR 28 OKT : Pakatan Rakyat (PR) akan turun ke setiap negeri bagi membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dibentang dalam Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bantahan itu akan dilakukan kerana kerajaan pusat tidak harus melaksanakan GST dalam masa terdekat.

Katanya, rakyat tidak harus dibebankan dengan GST dengan tujuan ‘membayar’ hutang negara yang meningkat setiap tahun dan beliau turut menjangkakan kadar GST akan meningkat kepada lapan peratus, menjelang 2016.

“Ini jenayah dan kamu biarkan ketirisan, rasuah yang perlu ditanggung rakyat. Jadi kami (PR) akan lawan habis-habisan. Bantahan ini juga dilakukan supaya generasi akan datang tidak perlu menanggung hutang negara.

“Saya mahu anak muda bangkit lawan pelaksanaan ini kerana GST adalah satu beban yang terpaksa ditanggung rakyat. GST boleh dilaksanakan jika dilakukan secara telus, namun tidak dalam tempoh terdekat keranaa jenayah rasuah, boros dan ketirisan berleluasa di negara ini.

“Pakatan berpendirian bahawa GST masih belum boleh dilaksanakan dan perlu dikaji sehingga pendapatan rakyat berada pada tahap memuaskan, kutipan cukai pendapatan diperbaiki seluruhnya dan sehingga kedudukan ekonomi lebih memberangsangkan,” katanya dalam perbahasan belanjawan 2014, di Parlimen, hari ini.

-NFN-