Categories
AGENDA NASIONAL

RM3.8 bilion bangun infrastruktur, dua di Selangor

SHAH ALAM, 6 NOV: Hampir RM3.8 bilion disalurkan bagi pembangunan insfrastruktur termasuk dua projek di Selangor.

Menteri kewangan berkata ia meliputi pembinaan Jambatan Ketiga Klang fasa dua dan fasa tiga projek lingkaran Pulau Indah.

“Kerajaan juga akan memperkasa Orang Asli di Hulu Selangor dan melakasana inisiatif keusahawanan orang kelainan upaya (OKU) dikendalikan Komuniti Belia Selangor (SAY) bagi membiayai golongan terjejas Covid-19,” kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau mengumumkan perkara berkenaan ketika pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan itu dirangka berdasarkan tiga matlamat induk iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tawaran 500,000 kerja baharu tahun depan atasi pengangguran

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Kerajaan akan melaksanakan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang melibatkan penyediaan 500,000 peluang pekerjaan baharu, bermula tahun depan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia termasuk pelaksanaan pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula, melalui perbelanjaan kerajaan yang berjumlah RM3.7 bilion.

“Kadar purata pengangguran sejak 10 tahun lalu merekodkan 3.2 peratus atau sekitar 500,000 penganggur, berikutan pendemik Covid-19, ia telah meningkat kepada 5.3 peratus atau 820,000 penganggur pada Mei 2020 iaitu tertinggi sejak 1989.

“Melalui pembukaan semula ekonomi dan pelaksanaan inisiatif Prihatin dan Penjana, kadar pengangguran telah turun kepada 4.7 peratus pada Ogos 2020,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan meneruskan usaha pengambilan pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang kini dikenali sebagai PenjanaKerjaya menerusi empat insentif dengan peruntukan RM2 bilion.

Katanya, bagi insentif pertama adalah untuk kumpulan pekerja bergaji RM1,500 ke atas yang mana akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan.

Bagi insentif kedua pula, majikan akan diberi insentif tambahan sebanyak 20 peratus, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60 peratus untuk menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan.

“Untuk insentif ketiga pula, sektor dengan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan, akan diberi insentif khas sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan dengan 40 peratus disalurkan kepada majikan dan 20 peratus kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing.

“Ketiga-tiga insentif ini akan diberikan untuk tempoh enam bulan,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata menerusi insentif keempat, mereka yang telah diambil bekerja di bawah PenjanaKerjaya, kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan akan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan awam terima bantuan khas RM600

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Kerajaan mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM600 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini berkata bagi pesara kerajaan dan veteren tidak berpencen pula bantuan khas kewangan RM300 akan diberikan.

Katanya kedua-dua bantuan ini akan dibayar pada awal 2021.

“Sejak dilantik sebagai menteri hampir lapan bulan lalu, dan datangnya saya daripada sektor korporat, mata saya terbuka kepada betapa komitednya dan teguh setianya penjawat awam dalam menjalankan amanah yang diberi.

“Tanpa mengenal penat lelah, mereka berkhidmat melangkaui ekspektasi, and rose beyond the call of duty untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cukai pendapatan individu turun satu mata

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan mengumumkan penurunan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan yang dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia membabitkan individu pemastautin bagi banjaran pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000.

Antara inisiatif bagi meringankan beban kewangan rakyat semasa tempoh krisis Covid-19 ialah:

*Menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40, bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000 bermula Disember 2020
– menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan
– pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan

*Peminjam golongan M40 hanya perlu membuatkan pengisytiharan kendiri pengurangan pendapatan bagi memohon bantuan bayaran balik bermula Disember 2020

*Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja dikurangkan kepada sembilan peratus bermula Januari 2021 selama 12 bulan

*Pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan sehingga RM6,000 selama setahun

*Elaun Mencari Kerja dilanjutkan pada 2021 selama tiga bulan dengan kadar 80 peratus (bulan pertama), 50 peratus (bulan kedua hingga keenam) dan 30 peratus (tiga bulan terakhir)
– Peruntukan sebanyak RM150 juta yang memanfaatkan 130,000 pencari kerja

*Had pengecualian pendapatan bagi bayaran pampasan kehilangan kerja dinaikan kepada RM20,000 setiap tahun genap perkhidmatan untuk dua tahun taksiran

*Peruntukan RM200 juta untuk program Pengedaran Barang Perlu, gas petroleum cecair (LPG) dan Community Drumming termasuk meluaskan pelaksanaannya ke 34 kawasan baharu yang akan dinikmati 1.1 juta rakyat

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan kebajikan 400,000 OKU naik tahun depan

SHAH ALAM, 6 NOV: Kadar bantuan kebajikan untuk 400,000 orang kelainan upaya (OKU) dinaikkan tahun hadapan, kata menteri kewangan.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 hari ini berkata peruntukan tersebut keseluruhannya bernilai RM2.2 bilion.

Berikut perincian bantuan:

* Bantuan OKU tidak berupaya bekerja naik daripada RM250 kepada RM300

* Bantuan warga emas, penjagaan OKU dan pesakit kronik terlantar naik daripada RM350 kepada RM500

* Elaun pekerja OKU naik daripada RM400 kepada RM450

* Bantuan kanak-kanak keluarga miskin naik daripada RM100 seorang anak dengan maksimum RM450 sekeluarga berumur tujuh hingga 18 tahun atau RM200 seorang anak berumur enam tahun ke bawah kepada RM150 dengan maksimum RM1,000 sekeluarga

*Had pelepasan cukai bagi pasangan OKU dinaikkan daripada RM3,500 kepada RM5,000

Categories
AGENDA NASIONAL

RM95 juta biaya mikrokredit khas perkasa peniaga wanita

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Sejumlah RM95 juta pembiayaan mikrokredit khas disediakan kerajaan bagi memperkasa usahawan wanita di negara ini, umum Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Berucap pada pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini, beliau berkata pembiayaan itu disediakan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekum Nasional), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan AgroBank.

Tengku Zafrul berkata selain itu sebanyak RM50 juta juga disediakan di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YaPEIM) bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam melalui Ar-Rahnu BizNita.

“Program bimbingan terutama aspek pembungkusan dan pelabelan, strategi pemasaran serta bimbingan teknikal perniagaan juga akan diberikan kepada lebih 2,000 usahawan wanita melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizMe),” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan menyediakan program khusus untuk kontraktor wanita Bumiputera bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam kontrak kerajaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

B40 dapat baucar RM50 beli produk perlindungan diri

SHAH ALAM, 6 NOV: Golongan berpendapatan rendah (B40) menerima baucar RM50 bagi memperluas perlindungan sosial melalui Program Baucar Perlindungan Tenang.

Menteri kewangan berkata baucar tersebut membolehkan golongan berkenaan membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri.

“Kerajaan juga melanjutkan tempoh pengecualian duti setem ke atas semua produk Perlindungan Tenang dengan sumbangan tahunan tidak melebihi RM100 untuk tempoh lima tahun lagi,” kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Persekutuan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Caruman KWSP sembilan peratus mulai Januari 2021

SHAH ALAM, 6 NOV: Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan daripada 11 kepada sembilan peratus mulai Januari tahun depan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata langkah itu bagi meningkatkan pendapatan boleh guna dalam tempoh 12 bulan.

“Ini akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga RM9.3 bilion,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.

Kadar caruman berkanun syer pekerja beberapa kali diturunkan sebelum ini.

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dibentang pada 5 Mac mengumumkan kadar tersebut diturunkan daripada 11 kepada tujuh peratus berkuat kuasa April.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu hilang kerja boleh keluar simpanan Akaun 1 KWSP

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dalam tempoh 12 bulan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata langkah itu bagi membantu individu yang hilang pekerjaan dan meringankan beban kewangan 600,000 ahli terjejas.

“Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari dan pengeluaran Akaun 1, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai ialah sehingga RM12,000.

“Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran akaun satu melibatkan RM4 bilion. Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.

KWSP memperkenalkan i-Lestari pada April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran RM500 sebulan selama 12 bulan yang memanfaatkan 4.7 juta individu.