Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar ekonomi sifatkan Belanjawan Selangor 2022 komprehensif

SHAH ALAM, 15 DIS: Pakar ekonomi menyifatkan Belanjawan Selangor 2022 sebagai komprehensif kerana memberi tumpuan kepada semua pihak termasuk golongan berpendapatan rendah (B40).

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd berkata Kerajaan Negeri memfokuskan golongan B40 dan individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 supaya ekonomi mereka terus bertahan.

“Contohnya program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), Kerajaan Negeri membantu golongan B40 menerima bantuan RM300. Bukan itu sahaja, belanjawan juga menyediakan geran-geran perniagaan dan pembiayaan mikro kepada golongan yang terkesan.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri bukan hanya memberi bantuan malah memberi ruang kepada golongan terkesan menaik taraf kehidupan dan menambah pendapatan dengan menyediakan platform perniagaan,” kata Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian pada program Table Talk secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV baru-baru ini.

Pada 26 November lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan 2022 mengumumkan pembayaran RM300 sebulan kepada 30,000 keluarga B40 bermula Februari tahun depan menerusi Bingkas.

Peruntukan RM108 juta disediakan bagi meringankan beban keluarga termasuk ibu tunggal untuk membeli barang keperluan rumah, membayar yuran dan pendidikan anak.

Kerajaan Negeri juga memperuntuk RM2 juta menerusi Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) bagi membantu peniaga kecil negeri ini meningkatkan hasil jualan.

Dalam pada itu, Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang ditubuhkan enam tahun lepas akan menambah baik kemudahan pembiayaan bagi membantu usahawan dengan melibatkan beberapa aspek antaranya pembiayaan, skim baharu, tawaran pinjaman serta pengurangan pinjaman.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Laporan khas Belanjawan Selangor 2020 di SelangorKini

SHAH ALAM, 5 NOV: Pembaca boleh menyemak dasar-dasar utama Belanjawan Selangor 2020 dalam edisi khas akhbar SelangorKini yang diterbitkan pada 2 November lalu.

Laporan pembentangan ucapan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mula diedar dengan tangan di kawasan tumpuan ramai di bandar utama di negeri ini sejak tarikh tersebut.

Syarikat pengedar Promosel Communication mengagihkan 80,000 naskhah edisi itu di Gombak, Ampang, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.

Selain edaran tangan, akhbar edisi khas itu juga diedar melalui pusat khidmat wakil-wakil rakyat di seluruh negeri dan masjid-masjid minggu ini.

Edisi e-akhbar laporan Belanjawan Selangor 2020 turut dimuatkan di laman web AmirudinShari.com dan portal Selangorkini.my (e-Selangorkini).

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Belanjawan Selangor 2020 pembukaan ke arah WKB2030

SHAH ALAM, 29 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan Belanjawan Selangor 2020 yang bakal dibentangkan pada 1 November ini sebagai pembukaan ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang akan memandu hala tuju dan masa depan negeri itu.

Katanya, belanjawan paling dinantikan seluruh rakyat Selangor itu juga adalah penanda aras baharu untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sekali gus menjadi garis penamat kepada Wawasan 2020.

“Malah, saya percaya belanjawan ini akan menjadi penilaian separuh penggal atau separa daripada Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025.

“Tahun hadapan (2020), maka kita ada kira-kira lima tahun lagi. Jadi, titik penting ini membabitkan banyak perkara yang akan diberi keutamaan, khususnya untuk mencapai dan memulakan sesuatu yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Selangor Maritime Gateaway (SMG) To A Better Tomorrow di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) merangkap Pengerusi Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Raja Shahreen Raja Othman dan Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin.

Amirudin Shari melihat rekaan Taman Rekreasi Paya Bakau terletak di Pelabuhan Klang dalam Pelancaran Gerbang Maritim Selangor berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 29 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Menjawab pertanyaan sama ada belanjawan itu mampu memenuhi segala harapan rakyat, Amirudin berkata, beliau akan melihat kepada keutamaan dan kepentingan suara rakyat memandangkan kependudukan di negeri itu sudah mencecah 6.4 juta setakat ini.

“Tidak kurang daripada 12 sesi ‘townhall’ diatur sebelum kita melahirkan belanjawan ini dan sudah pasti kita melihat daripada pelbagai aspek serta bidang.

“Sebagai Kerajaan Negeri, kita juga mempunyai misi dan visi. Disebabkan itu semua polisi penting sebagai latar belakang untuk belanjawan 2020,” katanya.

Rakyat negeri itu boleh mengikuti laporan Belanjawan Selangor 2020 yang akan dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) bermula jam 4 petang, Jumaat ini menerusi laman sesawang amirudinshari.com .

Bagi pengamal media pula, mereka boleh memuat turun logo Belanjawan Selangor 2020 mulai hari ini di laman sesawang sama.

Teks ucapan penuh Belanjawan Selangor 2020 boleh dimuat turun di laman sesawang amirudinshari.com bermula jam 5 petang pada hari pembentangan.

Orang ramai juga boleh melayari pembentangan belanjawan itu menerusi www.selangortv.my atau laporan berita melalui portal www.selangorkini.my .

Berita dan perbincangan di internet mengenai peruntukan tahunan itu boleh dilakukan dengan menggunakan tanda pagar #Selangor2020.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Belanjawan Selangor 2020 dibentang Jumaat ini

SHAH ALAM, 29 OKT: Belanjawan Selangor 2020 akan dibentangkan pada, 1 November ini di Dewan Negeri Selangor bermula jam 4 petang.

Pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataan memaklumkan, belanjawan ini merupakan kesinambungan kepada dua pendekatan besar yang diperkenalkan tahun lalu iaitu dasar klusterisasi serta penjajaran.

“Kerajaan Negeri telah melaksanakan lima sesi konsultasi libat urus bersama dengan semua pemegang taruh berkaitan, selaras dengan fokus Belanjawan Selangor 2020 kepada lima teras utama iaitu pemberdayaan ekonomi, pendidikan, keselamatan dan kesihatan serta aspek sosial.

“Ini juga bertepatan dengan dapatan kaji selidik kehendak awam yang mahukan Kerajaan Negeri memberi fokus pertamanya kepada perumahan, diikuti pendidikan, keselamatan dan kesihatan,” katanya.

Rakyat Negeri Selangor boleh mengikuti pembentangan Belanjawan Selangor 2020 pada Jumaat ini menerusi laman sesawang amirudinshari.com manakala pengamal media boleh memuat turun logo Belanjawan Selangor 2020 mulai hari ini di laman sesawang sama.

Teks ucapan penuh Belanjawan Selangor 2020 boleh dimuat turun di laman sesawang amirudinshari.com bermula jam 5 petang pada hari pembentangan.

Orang ramai juga boleh  melayari pembentangan belanjawan itu menerusi www.selangortv.my atau laporan berita melalui portal www.selangorkini.my .

Berita dan perbincangan di internet mengenai peruntukan tahunan itu juga boleh dilakukan dengan menggunakan tanda pagar #Selangor2020.

Categories
AGENSI SELANGOR

#Selangor2020: MSNS harap perhatian khusus pembangunan sukan

SHAH ALAM, 17 OKT: Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) berharap Belanjawan Selangor 2020 yang bakal dibentangkan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada 1 November ini turut memberi perhatian khusus kepada pembangunan dan infrastruktur sukan di negeri itu.

Pengarah Eksekutifnya, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, ini kerana pihaknya memerlukan peruntukan tambahan untuk persiapan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang diadakan di Johor tahun hadapan.

“Selangor sudah bersedia menyertai SUKMA 2020, jadi kita mengharapkan peruntukan khusus untuk atlet dan MSNS bagi menghadapi temasya SUKMA.

“Selain itu, kita mengharapkan ia lebih bagi membolehkan atlet terbaik supaya mereka lebih bersedia untuk ke tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada Media Selangor.

Adi Faizal berkata, terdapat 24 teras sukan di negeri itu yang menyumbang pelbagai pingat antaranya bowling padang, bola sepak dan e-sukan.

Bagi 2019, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM400,000 bagi pembangunan dan penganjuran e-sukan.

Sebanyak RM12 juta juga diberi untuk tahun ini bagi pembangunan sukan Bola Sepak Selangor.

Pembentangan langsung Dato’ Menteri Besar pada petang Jumaat itu boleh dilayari menerusi www.selangortv.my atau laporan berita melalui portal www.selangorkini.my.

Berita dan perbincangan di internet mengenai peruntukan tahunan ini menggunakan tanda pagar #Selangor2020.

Perkembangan lanjut berhubung belanjawan ini dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui berita di dua portal ini dan juga media sosial rasmi Media Selangor.

Difahamkan, belanjawan negeri kali ini akan memberi tumpuan antaranya kepada pendidikan, keselamatan, belia dan memajukan lagi aspirasi Negeri Pintar, Smart Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Belanjawan #Selangor2020 dibentang 1 November

SHAH ALAM, 17 OKT: Selepas pembentangan Belanjawan 2020, orang ramai kini boleh memberi tumpuan kepada Belanjawan Selangor 2020 melalui siaran langsung daripada Dewan Negeri Selangor, pada 1 November ini.

Pembentangan langsung Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada petang Jumaat itu boleh dilayari menerusi www.selangortv.my atau laporan berita melalui portal www.selangorkini.my.

Berita dan perbincangan di internet mengenai peruntukan tahunan ini menggunakan tanda pagar #Selangor2020.

Perkembangan lanjut berhubung belanjawan ini dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui berita di dua portal ini dan juga media sosial rasmi Media Selangor.

Difahamkan, belanjawan negeri kali ini akan memberi tumpuan antaranya kepada pendidikan, keselamatan, belia dan memajukan lagi aspirasi Negeri Pintar, Smart Selangor.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Belanjawan 2020: Golongan belia tidak tercicir

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Kerajaan Negeri yakin belia tidak akan tercicir sebaliknya terus melipat gandakan usaha untuk memanfaatkan golongan itu menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2020, pada 1 November nanti.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, beliau yakin Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari akan memberi lebih fokus terhadap golongan belia di Selangor.

Katanya, golongan belia juga seharusnya pandai memainkan peranan untuk terus bekerjasama dan mendekati Kerajaan Negeri.

“Jika diikutkan banyak program bersifat pembangunan belia di Selangor namun mereka perlu bijak memainkan peranan dan tidak hanya membiarkan peluang diberikan kerajaan berlalu begitu sahaja.

“Golongan belia juga perlu berusaha untuk memajukan diri mereka sekali gus merebut peluang disediakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Perasmian Anime dan Gaming One Belt One Road (OBOR) di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam.

Mohd Khairuddin berkata, Selangor juga berusaha mendekati rakyat terutama golongan belia dengan mewujudkan permainan e-sukan yang bukan boleh menambahkan pendapatan sekali gus menguji minda mereka.

Katanya, Selangor antara negeri pertama di Malaysia yang menjayakan permainan e-sukan kerana menganggap permainan itu boleh pergi jauh terutama pada era globalisasi kini.

“Bagaimanapun, saya sentiasa menyokong insiatif Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan program bersifat pembangunan belia,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pendidikan antara tumpuan Belanjawan Selangor 2020

SHAH ALAM, 4 OKT: Kluster pendidikan akan menjadi tumpuan utama Kerajaan Negeri dalam intipati Belanjawan Selangor 2020 yang akan dibentangkan November hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) berteraskan hubungan internet semakin menjadi perhatian dunia menerusi penggunaan aplikasi seharian.

“Guru Besar perlu ambil maklum perkembangan IR 4.0 untuk memenuhi ruang pekerjaan pada masa hadapan seperti yang digagas Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah Negeri Pintar 2025.

“Kerangka pendidikan adalah akar penting yang akan kita tekankan dalam belanjawan akan datang.

“Tiada guna kalau kemajuan dikecapi tidak mampu digalas dan dikembangkan oleh anak-anak yang kita didik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Majlis Apresiasi Dato’ Menteri Besar Bersama Majlis Guru Besar Selangor di Dewan Megawati, Kediaman Rasminya di sini, hari ini.

Sebahagian Guru Besar mendengar ucapan Amirudin Shari dalam Majlis Apresiasi Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Majlis Guru Besar Selangor bertempat di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 4 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Amirudin berkata, beberapa program pendidikan yang telah dilaksanakan sebelum ini seperti Tuisyen Rakyat dan Selangor Brain Bank akan dikembangkan dengan perbincangan bersama Majlis Guru Besar (MGB) Selangor.

Di samping itu, Kerajaan Negeri turut berhasrat untuk mengembangkan program Tuisyen Rakyat kepada pelajar sekolah kebangsaan supaya pelajar yang menduduki peperaksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh keputusan cemerlang sama seperti pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

MGB Selangor terdiri daripada 449 ahli dalam kalangan Guru Besar sekolah rendah yang diketuai Sukimin Juki selaku Yang Dipertua.

Objektif majlis itu adalah untuk menghargai Guru Besar yang disifatkan sebagai wira tidak didendang (unsung hero) dalam bidang pendidikan di samping kesetiaan sepanjang berkhidmat mendidik pelajar.

Dalam majlis sama, Amirudin menyampaikan Anugerah Khas Kepimpinan kepada enam bekas ahli jawatankuasa tertinggi MGB Selangor dan sijil penghargaan kepada semua Pengerusi, Setiausaha serta Pegawainya.

Bagi Anugerah Setia Perkhidmatan, tujuh orang Guru Besar menerima Anugerah Platinum atas perkhidmatan lebih 25 tahun, 12 penerima Anugerah Emas (20 tahun) serta 20 penerima Anugerah Perak (15 tahun).

Categories
EXCO SELANGOR

Muzium, bangunan bersejarah bakal dinaik taraf

SHAH ALAM, 2 OKT: Muzium, bangunan dan kawasan bersejarah bakal dinaik taraf menerusi peruntukan Belanjawan Negeri 2020.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, Kerajaan Negeri memberi perhatian khusus terhadap nilai kesenian dan kebudayaan yang terdapat di Selangor.

“Kita menjangkakan aspek ini membabitkan muzium, bangunan dan kawasan bersejarah bakal dinaik taraf dari segi infrastruktur juga sebagainya.

“Ini akan difokuskan menerusi Belanjawan Negeri 2020, kita akan lakukan yang terbaik sempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Abdul Rashid berkata, industri pelancongan akan terus dipromosikan menerusi FAM Trip dan kerjasama negara luar.

Katanya, pihaknya akan membawa pemain industri tempatan dan luar negara ke Selangor khususnya tempat pelancongan terbaik di negeri ini.

Menerusi Belanjawan Negeri 2019, Kerajaan Negeri memperkasakan program seni kebudayaan berteraskan elemen tradisi dan warisan dengan memperuntukkan
sejumlah RM1.5 juta bagi melaksanakan Festival Alam Melayu Negeri Selangor dan ‘Rentak Selangor International Festival’.

Sejumlah RM2.5 juta turut diperuntukkan sebagai dana tunas untuk penubuhan galeri seni halus Shah Alam Modern Arts (SAMA) dalam jangka masa lima tahun sebagai usaha memposisikan Selangor sebuah pusat seni kontemporari utama di Asia Tenggara.

Categories
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Belanjawan 2020 Selangor dijangka dibentang awal November

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kerajaan Negeri dijangka membentangkan Belanjawan 2020 pada awal November ini bagi menampung keperluan dan memperkasa rakyat di Selangor tahun hadapan.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim berkata, belanjawan berkenaan akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dengan membabitkan satu angka yang amat signifikan untuk rakyat secara keseluruhan.

“Seperti biasa, saya yakin ia akan merangkumi semua aspek sosioekonomi, kebajikan dan hala tuju untuk pembangunan Selangor pada tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, beliau optimis beberapa polisi dan dasar baharu bakal dikemukakan pemimpin tertinggi itu selaras hasrat Kerajaan Negeri yang sentiasa menghargai rakyat.

“Setakat ini saya belum terima apa pembaharuan yang akan dibuat, tetapi memang diketahui biasanya beliau (Amirudin) mempunyai perancangan ke arah itu.

“Sama-sama kita menunggu perkembangan pada November nanti,” katanya.

Belanjawan Selangor sering menjadi tumpuan masyarakat seluruh negara berikutan kemampuan Kerajaan Negeri menampilkan pelbagai inisiatif baharu untuk rakyat.

Selain pengumuman bonus, antara yang paling mencuri perhatian adalah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.56 bilion untuk perbelanjaan bagi Belanjawan Selangor 2019 bersandarkan kepada kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan terus berdaya saing.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.28 bilion atau 50 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala selebihnya untuk perbelanjaan pembangunan.