Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Peluang kerja antara fokus Belanjawan Selangor 2022

SHAH ALAM, 3 NOV: Peluang pekerjaan yang menjadi penjamin kelangsungan hidup antara fokus dalam Belanjawan Selangor 2022.

Dato’ Menteri Besar berkata pembentangan pada 26 November depan turut mengandungi beberapa usaha selaras dengan pembukaan semula sektor ekonomi.

“Saya pasti peluang pekerjaan menjadi pemberi harapan serta penjamin kelangsungan hidup. Aspek ini akan menjadi antara fokus utama dalam merangka Belanjawan (Selangor 2022) ini dengan harapan ia mampu memberikan penyuntik kepada ekonomi Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi perutusan Hari Deepavali hari ini.

Pada 8 Oktober, beliau berkata semua Ahli Dewan Negeri termasuk pembangkang dan bebas terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022 yang diadakan secara berasingan dalam pelbagai bentuk dan kaedah.

Pembentangan pada 26 November itu akan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.

Amirudin berkata antara aspek ditekankan adalah Program Inisiatif Peduli Rakyat yang diperluas kepada kelompok terkesan pandemik Covid-19.

Categories
ADN SELANGOR

Belanjawan 2022: Tambah peruntukan naik taraf jalan raya, parit, internet

BANTING, 27 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting berharap Kerajaan Negeri dapat menambah peruntukan untuk menaik taraf infrastruktur awam dalam Belanjawan 2022.

Lau Weng San berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan untuk mengekalkan kedudukan Kuala Langat sebagai daerah kedua terbesar di Selangor menerima pelaburan asing.

“Antara infrastruktur yang boleh dinaik taraf adalah jalan raya, sistem perparitan, saliran dan internet.

“Infrastruktur ini penting untuk mengekalkan kedudukan Kuala Langat sebagai daerah kedua terbesar meenrima pelaburan asing,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Weng San, Belanjawan 2022 penting untuk memulihkan ekonomi Selangor ke paras sebelum pandemik Covid-19.

“Kerajaan Negeri sebelum ini sudah lakukan pelbagai usaha untuk membantu rakyat terkesan kerana pandemik, kini perlu buat persiapan memulihkan ekonomi,”katanya.

Pada 8 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua ADN dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022.

Pembentangan Belanjawan Selangor dibuat pada 26 November dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.

Categories
ADN SELANGOR

Libat urus pembangkang beri nilai tambah belanjawan negeri

SHAH ALAM, 24 OKT: Sesi libat urus memberi peluang kepada wakil rakyat pembangkang menyuarakan pandangan bagi menambah baik intipati Belanjawan Selangor 2022.

Menyambut baik penglibatan itu, Ahli Dewan Negeri Sijangkang berkata idea yang dikongsi mampu memberi nilai tambah terhadap pembangunan yang memanfaatkan rakyat negeri ini.

“Kadangkala, apa yang dicadangkan pembangkang dalam perbahasan amat baik, rugi jika tidak dipertimbang. Perbincangan berkait pembangunan harus dibuat bersama, ” kata Dato’ Dr Ahmad Yunos Hairi ketika dihubungi.

Beliau berkata pembangunan pesisir pantai Sungai Klang yang pernah dirancang pemerintah terdahulu antara cadangan untuk dimasukkan dalam belanjawan negeri pada 26 November.

“Mungkin mulai tahun depan perlu difikirkan semula pembangunan pesisir Sungai Klang kerana kita lihat ia bakal memberi impak kewangan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Selain itu, Dr Ahmad Yunos turut mencadangkan Kerajaan Negeri menumpukan pembangunan masyarakat Orang Asli terutama dari aspek pendidikan dan sosioekonomi.

Beliau juga mahu wakil rakyat kerajaan dan pembangkang diberi peruntukan munasabah bagi memenuhi keperluan rakyat negeri ini.

Pada 15 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengadakan sesi libat urus Belanjawan Selangor 2022 bersama wakil rakyat pembangkang dan bebas.

Selain Dr Ahmad Yunos, perbincangan turut disertai ADN Kuang Sallehuddin Aminuddin, ADN Teratai Lai Wai Chong dan wakil ketua pembangkang Mohd Zaim Tawfek.

Pada 8 Oktober, Amirudin berkata semua ADN terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022 yang diadakan secara berasingan dalam pelbagai bentuk dan kaedah.

Categories
EXCO SELANGOR

Belanjawan Selangor 2022 utama kebajikan rakyat

SUBANG JAYA, 23 OKT: Kerajaan Negeri tetap mengutamakan kebajikan rakyat dalam Belanjawan Selangor 2022, meski berdepan cabaran kewangan akibat pandemik Covid-19, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata kaedah inovatif akan diguna dalam belanjawan supaya perbelanjaan penting bukan sahaja dapat dikekalkan malah merancakkan pembangunan ekonomi negeri.

“Tahun depan merupakan tahun mencabar bagi seluruh negara termasuk Selangor dan kita jangka ada sedikit penurunan bajet memandangkan kewangan terkesan susulan pandemik.

“Tetapi kita boleh guna kaedah inovatif iaitu menyediakan belanjawan yang bukan sahaja dapat mengekalkan perbelanjaan penting sebaliknya merancakkan pembangunan ekonomi negeri,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pembukaan bilik pameran hiasan dalaman dan jubin Yellow Box by Homa di Taman Perindustrian Subang di sini hari ini.

Selain itu, Chang Khim turut mencadangkan Kerajaan Negeri menganjurkan lebih banyak sesi webinar berbanding fizikal tahun hadapan bagi program melibatkan sektor industri dan perdagangan.

“Kita boleh perbanyakkan program atau mesyuarat menerusi dalam talian berbanding lawatan secara fizikal…dengan cara ini semua program dapat digerakkan meskipun dengan impak kewangan kecil,” katanya.

Pada 8 Oktober lalu, Amirudin menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan (ADN) dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022.

Pembentangan Belanjawan Selangor dibuat pada 26 November dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Baik pulih infrastruktur jalan luar bandar antara fokus Belanjawan 2022

SHAH ALAM, 21 OKT: Pembangunan dan baik pulih infrastruktur jalan raya di kawasan luar bandar antara fokus pada Belanjawan Selangor 2022.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata setakat ini jalan raya rosak dikenal pasti kebanyakan di kawasan Kuala Langat dan Sabak Bernam.

“Pembaikan dapat dilakukan cuma sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhenti dan akan mula gerakkan kontraktor.

“Selain itu kita juga memfokuskan pembinaan kebuk-kebuk sampah di kampung kerana melihat pembuangan sisa tidak bersistem dan mengganggu pemandangan,” kata Borhan Aman Shah.

Terdahulu beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Tablet kepada Penghulu yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Foyer Bangunan SUK di sini semalam.

Borhan turut memaklumkan pihaknya juga memfokuskan untuk memperkasa pentadbiran dan pengurusan ketua kampung supaya lebih sistematik.

Pada 8 Oktober lalu, Amirudin menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan (ADN) dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022.

Pembentangan Belanjawan Selangor dibuat pada 26 November dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wakil rakyat cadang tambah baik inisiatif untuk rakyat

SHAH ALAM, 9 OKT: Ahli Dewan Negeri Seri Setia berharap Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menawarkan 33 kemudahan kepada penduduk ditambah baik supaya lebih ramai memperoleh manfaat.

Halimey Abu Bakar juga meminta Kerajaan Negeri mempertimbang untuk menambah peruntukan sedia ada untuk sesebuah inisiatif berkenaan jika tidak mencukupi.

“Kalau peruntukan habis untuk sesebuah skim, kerajaan perlu pertimbang tambah sedikit hingga hujung tahun,” katanya dalam Sesi Townhall Belanjawan 2022 di sini semalam.

Sesi itu membabitkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin, Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor (BBC) dan pegawai kanan Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki pula membawa isu pemulihan ekonomi, aktiviti belia melibatkan pengundi baharu dan usaha memperkasa wanita.

“Ketiga-tiga isu tersebut penting. Ini juga peluang untuk memulihkan situasi ekonomi terutama dalam DUN Balakong.

“Biarpun pendapatan Kerajaan Negeri kurang berbanding tahun-tahun lalu tetapi penting untuk beri bantuan dan peruntukan kepada sektor utama,” katanya.

Wakil rakyat DUN Sentosa Dr Gunaraj George pula mencadangkan penganjuran kempen Selangor bersih dan hijau dalam menangani masalah sampah.

“Selangor negeri membangun dengan pesat tetapi ada masalah seperti sampah. Jika tidak ditangani, ia bawa tanggapan kepada masyarakat yang kita tidak mampu tangani,”katanya.

Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa Suzana Shaharudin pula mengambil peluang memberi cadangan supaya diwujudkan kursus pensijilan kepada golongan menjaga kanak-kanak hingga berusia empat tahun.

“Kerajaan Negeri diharap dapat pertimbang dan melakukannya di setiap DUN kerana kursus ini bagus untuk perkembangan kanak-kanak sebelum memasuki persekolahan.

“Saya juga berharap belanjawan dapat memfokuskan kepada wanita, belia dan kanak-kanak,”katanya yang pertama kali menyertai sesi itu.