Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

IBDE sedia terjemah karya Imam Al Ghazali, mudahkan pembaca

SHAH ALAM, 29 NOV: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) bersedia menjalankan projek terjemahan karya Ihya ‘Ulumuddin’ oleh Imam Al Ghazali ke bahasa Melayu melalui geran permulaan RM1 juta bagi memudahkan pembaca.

Ketua Pengarang Al-Mustaqeem M Radhi berkata pihaknya mengenal pasti beberapa pengarang dan pakar bahasa Arab yang akan menjayakan projek dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun.

“Kita sedia untuk terjemah secara lengkap karya agung itu memandangkan banyak dipakai di nusantara, tetapi belum ada dalam bahasa Melayu yang diterjemah secara terus dari bahasa Arab.

“Berdasarkan pengalaman mengurus projek terjemahan selama beberapa tahun dengan Kerajaan Selangor, kita percaya projek ini mampu disiapkan dalam tempoh ditetapkan bergantung kepada jumlah halaman,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau memuji usaha Kerajaan Negeri yang mempunyai iltizam tinggi terhadap penerbitan dan penghasilan karya agung dunia sekali gus memartabatkan bahasa ibunda.

“Selangor memang lain dari negeri lain kerana pemimpinnya (Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari) komited dalam terjemahan dan terbitan karya dunia ke bahasa Melayu sejak dahulu lagi.

“Malah, Selangor melaksanakan projek Siri Pencerahan Selangor yang belum pernah dibuat di negeri lain. Misalnya dua judul karya Imam Al Ghazali setakat ini berjaya meluaskan khalayak pembaca,” katanya.

Jumaat lalu, Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 berkata Kerajaan Negeri bersetuju menterjemahkan penulisan agung Islam ke bahasa Melayu bagi memastikan karya itu terus diingati.

Beliau memaklumkan terjemahan karya agung Islam akan dimulakan dengan karya Ihya ‘Ulumuddin’ oleh Imam Al Ghazali.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Inisiatif guaman ringan beban rakyat tuntut keadilan

SHAH ALAM, 29 NOV: Dana Bantuan Guaman yang diumum menerusi pembentangan Belanjawan #Selangor2022 bukti Kerajaan Negeri prihatin nasib rakyat.

Suri rumah Nurul Asyekin Ismail, 34, berkata inisiatif itu membuka ruang kepada golongan teraniaya yang kurang mampu untuk mendapat keadilan.

“Ada segelintir masyarakat mungkin perlukan bantuan guaman untuk menegakkan hak mereka tetapi tidak mampu untuk bayar kos perkhidmatan itu kerana mahal.

“Apabila Kerajaan Selangor wujudkan dana ini ia memudahkan golongan kurang berkemampuan itu untuk mendapat khidmat guaman,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Seorang penjawat awam, Hafizah Husin, 34, pula mencadangkan agar inisiatif itu diuar-uarkan dengan lebih meluas agar lebih ramai tahu berhubung perkara itu.

“Inisiatif ini bagus tetapi diharapkan maklumat berkaitan cara permohonan dapat diperjelaskan lagi kepada golongan sasar kerana ada yang tidak tahu bagaimana untuk mendapat khidmat guaman,” katanya.

Melalui Belanjawan #Selangor2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Dana Bantuan Guaman Selangor sebanyak RM1 juta dengan kerjasama daripada Selangor Bar Council dan Selangor Legal Aid Centre.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif baharu itu membantu golongan kurang berkemampuan yang ditindas dan teraniaya mendapatkan bantuan guaman.

“Antara isu dibantu dari aspek guaman adalah keganasan domestik dan kehilangan pekerjaan kepada rakyat Selangor dalam kategori golongan berpendapatan rendah (B40) yang kurang berkemampuan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Wanita Selangor bertuah dapat tingkat tahap pendidikan

SHAH ALAM, 29 NOV: Wanita di Selangor dianggap bertuah kerana diberi ruang untuk meningkatkan tahap pendidikan melalui Program Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Pengarah Operasi BaitulJannah Wan Nuradila Huda Wan Zaidon berkata biasiswa khas RM200,000 setahun seperti diumum dalam Belanjawan Selangor 2022 mampu membina kerjaya wanita dengan lebih baik.

“Ia satu peluang harus direbut kerana program ini sememangnya menggerakkan wanita. Tahap pendidikan yang baik memberi peluang buat mereka membina karier dan asas kendiri,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, wanita juga disaran merebut kekosongan kepimpinan politik atau jawatan tertinggi sesebuah organisasi secara sihat mengikut kelayakan dan keupayaan menggalas tanggungjawab terbabit.

“Wanita harus siap siaga menghadapi tugas sebagai pemimpin melalui ilmu, pengalaman dan corak kepimpinan yang baik sekiranya mahu negeri atau organisasi di negeri ini bertambah maju ke depan,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat akan diperkenal di bawah Wanita Berdaya Selangor dengan peruntukan sebanyak RM200,000 setahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu menyediakan biasiswa kepada wanita terpilih untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana dalam pelbagai bidang.

Biasiswa tersebut dilaksana dengan kerjasama Open University Malaysia (OUM) khusus untuk wanita Selangor yang berada di pelbagai peringkat kepimpinan serta lapangan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kurangkan caj urusan pinjaman Hijrah, mampu ringan beban peminjam

SHAH ALAM, 28 NOV: Pengurangan caj pengurusan peminjam Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sebanyak empat peratus seperti diumum menerusi Belanjawan #Selangor2022 bukti kerajaan prihatin terhadap golongan peniaga.

Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin berkata langkah tersebut membolehkan peminjam menyimpan lebihan yang sepatutnya dibayar di samping bersiap sedia sekiranya berlaku kecemasan pada masa depan.

“Saya amat tertarik dengan pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam (Jumaat lalu) berhubung inisiatif itu yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban usahawan Hijrah.

“Jika sebelum ini peminjam perlu bayar lapan peratus tetapi sekarang dikurangkan kepada empat peratus…ini bermakna mereka ada lebih lagi empat peratus dan boleh simpan baki itu serta guna jika berlaku situasi sukar pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama Rozana berkata keputusan Kerajaan Selangor juga dapat menggalakkan lebih ramai individu memohon pinjaman melalui platform Hijrah sebagai medium untuk memulakan perniagaan.

Pada Jumaat, Amirudin ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 mengumumkan tujuh penambahbaikan yang akan dilaksana dalam skim Hijrah yang mana salah satu daripadanya adalah mengurangkan caj pengurusan peminjam dari lapan peratus kepada empat peratus untuk pinjaman RM30,000 ke bawah.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Naik taraf jalan sedia ada beri manfaat kepada rakyat

SHAH ALAM, 27 NOV: Wakil rakyat Meru menghargai usaha Kerajaan Negeri memberi peruntukan untuk menaik taraf jalan sedia ada.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata peruntukan baik pulih jalan raya agak besar dan pastinya memberi manfaat kepada rakyat terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru.

“Naik taraf jalan raya bukan sahaja di Meru tetapi sehingga ke Sabak Bernam yang dilihat agak kritikal dan perlu pembaikan semula.

“Pembaikan infrastruktur ini perlu dilakukan dan mampu merancakkan ekonomi Kerajaan Negeri sekali gus kepada warga tempatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam.

Tambah Mohd Fakhrulrazi, belanjawan kali ini membantu rakyat selepas berhadapan dengan Covid-19 dengan memfokuskan pada pengurusan dan pembangunan.

“Saya yakin dengan beberapa perancangan akan memberi kesan dan membantu dalam proses pemulihan dalam meningkatkan kembali ekonomi dan taraf hidup rakyat,” katanya.

Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan belanjawan memaklumkan memperuntukan RM65.4 juta untuk menaik taraf jalan sedia ada.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi memastikan jalan sedia ada dapat menampung peningkatan aliran trafik semasa dan mengatasi masalah kesesakan di jalan negeri termasuk cadangan projek naik taraf.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wakil rakyat sokong Rancangan Selangor Satu, cadang libat sektor swasta

SHAH ALAM, 27 NOV: Rancangan Selangor Satu (RS-1) perlu penglibatan sektor swasta bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan.

Ahli Dewan Negeri Banting Lau Weng San berkata usaha Kerajaan Negeri itu dalam memulihkan ekonomi pasca pandemik perlu disokong semua pihak.

“RS-1 adalah sesuatu yang cukup berwawasan daripada infrastruktur tetapi mencabar dalam aspek pelaksanaan dan penyampaian dilakukan dalam masa terdekat.

“Usaha ini agak tersusun untuk kita bangkit selepas pandemik dan rakyat perlu bekerjasama merealisasikannya selain kerjasama sektor swasta,” katanya.

Weng San ditemui selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam.

Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan belanjawan memaklumkan Kerajaan Negeri sedang membangunkan satu pelan pembangunan lima tahun (2022 hingga 2026).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi menumpukan usaha mempercepatkan proses pemulihan ekonomi pasca pandemik dan memacu agenda pembangunan untuk memastikan Selangor terus mengukuhkan kedudukan sebagai pusat pertumbuhan utama ekonomi yang mampan di Malaysia dan Asia.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Skim pendidikan anak Selangor langkah prihatin Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 27 NOV: Pelaksanaan skim Iltizam Anak Selangor menerusi Belanjawan #Selangor2022 menujukkan penambahbaikan khususnya buat ibu bapa mempunyai anak-anak yang baru dilahirkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berkata langkah tersebut menunjukan keperihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan anak-anak ini mempunyai simpanan mereka sendiri.

“Belanjawan ini ada penambahan baik buat anak-anak baru lahir, sebelum ini ada tetapi diberhentikan dan kini diwujudkan semula.

“Walaupun diberi skim simpanan untuk lima tahun tetapi ia cukup besar maknanya buat mereka,” kata Halimey Abu Bakar selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 semalam.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan belanjawan negeri semalam berkata Kerajaan Negeri akan memperkenalkan skim baharu Iltizam Anak Selangor yang akan disertai dengan pembukaan akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bagi anak-anak yang baru lahir.

“Seramai 30,000 anak-anak memohon akan diberikan RM100 setahun untuk tempoh lima tahun dengan peruntukan sebanyak RM3 juta pada 2022,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Tubuh Kursi Siddiq Fadzil komitmen Selangor cerdaskan rakyat

SHAH ALAM, 27 NOV: Penubuhan Kursi Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (Unisel) membuktikan komitmen Kerajaan Negeri mengangkat ketokohan dan sumbangan Allahyarham Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil.

Pengarah eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) berkata pihaknya sebagai badan penyelidik dan penggerak misi pencerdasan masyarakat amat menghargai usaha terbabit sebagai suatu pengiktirafan terhadap tokoh ilmuan itu.

“IDE akan bekerjasama dengan Unisel untuk menjayakan objektif penubuhan kursi ini agar wacana berkaitan keharmonian, kesederhanaan dan pengukuhan nilai seperti yang digagaskan Allahyarham Siddiq Fadzil dapat direalisasikan serta disuburkan dalam masyarakat,” kata Dato’ Ismail Yusop dalam kenyataan semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam mengumumkan penubuhan Kursi Siddiq Fadzil Unisel dengan peruntukan RM1 juta bagi menggalakkan wacana keharmonian serta kesederhanaan.

Allahyarham meninggal dunia pada 31 Ogos merupakan pengerusi IDE dan profesor adjung Unisel. Beliau seorang cendekiawan Melayu Muslim serta ilmuwan rakyat yang kaya dengan idea segar dengan misi pencerdasan, pencerahan dan pemberdayaan umat.

Siddiq Fadzil mempopularkan gagasan konsep Maqasid Shariah dan “Fiqh Maliziy” atau Fiqh Malaysia dalam dakwah, polisi dan kerangka pembangunan negara serta mengungkap konsep “Hidup Bersama Dalam Budaya Damai”, “Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan” sebagai solusi untuk memperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum di Malaysia berteraskan nilai agama Islam dan budaya lokal.

Malah beliau turut mencadangkan konsep “Peace Education” atau Pendidikan Damai sebagai teras mendidik masyarakat dari peringkat akar umbi dan selalu mengungkap pandangan ilmuwan kontemporari seperti Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, Sheikh Dr Ar-Raisyuni dan bahkan turun menyantuni ulama rantau ini seperti Hamka dan Bapak Muhammad Natsir.

Siddiq Fadzil sentiasa menekankan untuk tidak hanya berkiblatkan ilmuwan barat tetapi wajar untuk kita memahami kearifan lokal yang kaya dengan tokoh ilmuwan tersendiri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pembangunan Sabak Bernam langkah berani Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 27 NOV: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati beranggapan pembentangan Belanjawan #Selangor2022 bagi pembangunan koridor utara adalah langkah berani Kerajaan Negeri.

Juwairiya Zulkifli berkata ini kerana peruntukan besar disediakan untuk pembangunan di Sabak Bernam yang mungkin tiada pihak yang bersedia melakukannya.

“Pembangunan ini akan membantu ekonomi dan juga kesejahteraan penduduk di kawasan luar bandar kerana ia melibatkan sektor pelancongan dan agro iaitu aset luar bandar yang harus diangkat.

“Mungkin selama ini tidak diberi perhatian dan dengan keberanian Kerajaan Negeri untuk memberi fokus memajukan kawasan itu yang akhirnya rakyat luar bandar menikmati pembangunan yang sama atau lebih baik berbanding dulu,” katanya selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 semalam.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan belanjawan negeri memaklumkan beberapa inisiatif baharu akan dilaksanakan bagi membangunkan ekonomi di daerah Sabak Bernam secara lebih holistik dan terancang.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara inisiatif penting yang dikenal pasti adalah pembangunan industri hiliran.

Antara pembangunan itu adalah
– Membangunkan Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan seluas 450 ekar melibatkan pelaburan sekitar RM500 juta dari pihak kerajaan dan swasta
– Pembinaan Pusat Sembelihan Ayam di Sekindi dengan peruntukkan RM15 juta
– Pembinaan Kilang Minyak Sawit di Jelutong Jati dengan peruntukan RM50 juta
– Pusat Logistik dan Perdagangan di Sungai Lang dan Hentian di Air Manis seluas 36 ekar dengan nilai pelaburan sekitar RM500 juta

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: Belanjawan #Selangor2022 terus bela nasib rakyat

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri terus membela nasib rakyat apabila Belanjawan #Selangor2022 banyak memfokuskan program kebajikan dan pembangunan infrastruktur.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang berkata perkara itu sering dinanti masyarakat dan sudah pasti ia disokong dalam membantu ekonomi rakyat.

“Antara yang dinantikan tambah baik program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT) yang jumlah bantuan serta penerima ditambah.

“Mungkin ada penambahbaikan dan ada cadangan daripada pihak ADN bagi memantapkan lagi belanjawan dibentang dalam sesi perbahasan nanti,” kata Azmizam Zaman Huri.

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam.

Dalam pada itu, ADN Morib pula menyambut baik peruntukan untuk kerja pembinaan jalan baharu iaitu jalan sambungan Sungai Kelambu – Genting Sanyen, Kuala Langat berjumlah RM10 juta.

“Jalan baharu ini perlu untuk pembangunan di kawasan tersebut dan memudahkan penduduk. Banyak peruntukan yang terus membela nasib rakyat dan dinaik taraf berbanding sebelum ini terutama berkaitan kesihatan serta anak muda,” kata Hasnul Baharuddin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor miliki rizab kukuh, defisit lebih RM200 juta tidak membebankan

SHAH ALAM, 27 NOV: Defisit Belanjawan #Selangor2022 lebih RM200 juta tidak membebankan Kerajaan Negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ini berikutan Selangor mempunyai rizab yang bertambah serta mengukuh dan boleh digunakan.

“Tahun lepas defisit lebih kurang RM100 juta lebih dan kali ini RM200 juta lebih ia disumbang kerana sasaran pendapatan kita pada tahun depan kurang.

“Defisit yang ditambah tidak begitu bermasalah kerana kita mempunyai rizab yang bertambah dan mengukuh serta boleh digunakan ketika krisis. Saya rasa ini masa kerajaan berbelanja untuk memastikan pembangunan projek dapat dilaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Belanjawan #Selangor2022 di sini.

Kerajaan Selangor semalam membentangkan belanjawan negeri dengan anggaran perbelanjaan sejumlah RM2.34 bilion dalam usaha meningkatkan manfaat kepada rakyat, komuniti perniagaan dan ekonomi negeri.

Amirudin berkata dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2.1 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.323 bilion, maka Belanjawan #Selangor2022 akan mengalami defisit berjumlah RM222.7juta.

“Defisit ini adalah lebih tinggi berbanding tahun ini bagi penyediaan peruntukan pembangunan yang substantif untuk mengukuhkan pemacuan ekonomi pasca pandemik Covid-19 sekali gus membina negeri tahan uji dalam pelbagai aspek,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pembangunan RM1 bilion jajaran Sungai Klang

SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak 3,400 unit kediaman dibina di sekitar jajaran Sungai Klang sebagai projek rintis ekonomi berimpak tinggi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) cecah RM1 bilion.

Dato’ Menteri Besar berkata projek itu melibatkan pembangunan 2,000 unit rumah mampu milik serta 1,400 kediaman harga bebas.

“Seluas 600 ekar tanah sepanjang 56 kilometer melibatkan jajaran Sungai Klang dikenal pasti untuk dibangunkan dalam tempoh lapan hingga 10 tahun.

“Menjelang 2030 pesisir sungai itu bakal menyaksikan pembangunan 26,000 unit kediaman akan disiapkan. 50 peratus daripadanya melibatkan kediaman mampu milik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Menurut beliau, kediaman berkenaan mengutamakan keselesaan serta kehidupan rakyat kategori B40 dan M40.

“Rumah mampu milik berkeluasan 900 kaki persegi. Pemilik boleh menyewakan sebahagian bilik untuk menjana pendapatan tambahan,” katanya.