Categories
AGENDA NASIONAL

Sedia awal hadapi kemarau panjang menjelang 2026

SHAH ALAM, 17 NOV: Belanjawan #Selangor2022 diharap merangka persediaan awal bagi berdepan kemarau panjang yang dijangka pada 2026, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata perancangan teliti perlu dimulakan sekarang bagi mengelak masalah meskipun ramalan tersebut dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Persiapan tidak boleh saat akhir. Kita akan lihat sumber air mentah kebanyakan milik persendirian. Kita kena bincang termasuk pemasangan paip supaya bila sampai masa kita terus guna.

“Air empangan sekarang memang tidak cukup, hanya separuh daripada keperluan sahaja,” katanya selepas meninjau rumah pam di pintu air Taman Sri Muda, Seksyen 25 hari ini.

Wakil rakyat Pandan turut berharap dana besar bagi menaik taraf jalan raya negeri yang uzur demi kepentingan dan keselamatan orang ramai.

Selain itu, Ir Izham berkata rangkaian internet perlu diperluas ke seluruh negeri dan dibincangkan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Semalam terima banyak aduan tentang syarikat telco. Banyak kawasan terputus internet, tidak boleh berhubung. Kita negeri maju jadi kena tumpu bagaimana untuk tingkat isyarat komunikasi,” katanya.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada 26 November
menumpukan usaha merancakkan semula ekonomi selepas pandemik Covid-19 reda.

Pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor serta portal.

Maklumat pantas dan infografik isi menarik pula dimuatkan di media sosial dengan tanda #Selangor2022.

Categories
SELANGOR

Pengusaha tadika, taska harap khabar gembira Belanjawan #Selangor2022

SHAH ALAM, 17 NOV: Belanjawan #Selangor2022 yang akan dibentangkan Jumaat depan diharap memberi khabar gembira buat pengusaha Taman Didikan Awal Kanak-Kanak (Tadika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) negeri ini.

Pengusaha Tadika Gemilang Suridah Salleh berkata banyak pengusaha terpaksa ‘gulung tikar’ berikutan tidak mampu bertahan sepanjang pandemik Covid-19 melanda.

Katanya geran khas wajar disediakan kepada pengusaha berdaftar untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan yang terjejas susulan pandemik.

“Pendapatan kami merudum sedangkan segala kos ditanggung adalah sama. Jadi, besar harapan sekiranya ada mekanisme bagi membantu tadika kecil seperti kami menyelesaikan keadaan gawat.

“Sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan supaya kami boleh perbetulkan keadaan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Pengusaha Tadika Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Bersepadu Putra Perdana (PPICDC) Nazratul Ain berkata Kerajaan Negeri dicadang menawarkan subsidi kepada guru tadika dan taska untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

“Kalau boleh kita mahu menyediakan pendidikan berkualiti kepada kanak-kanak dan untuk itu, guru yang mengajar juga perlu dalam kalangan mereka yang berkualiti,” katanya.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada 26 November ini bakal menumpukan kepada merancakkan semula ekonomi bagi membantu rakyat pasca wabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata usaha yang bakal ditekankan dalam belanjawan kali ini antaranya menambah hasil dan bantuan kepada penduduk terjejas pandemik.

Pembentangan boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan #Selangor2022 dibentang 26 November, bakal tumpu usaha rancak ekonomi

SHAH ALAM, 16 NOV: Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada 26 November ini bakal menumpukan kepada merancakkan semula ekonomi bagi membantu rakyat pasca wabak Covid-19.

Pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Liputan berita majlis penting itu yang bermula jam 3 petang boleh diikuti melalui portal Selangorkini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain, termasuk Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) serta Tamil (selangorkini.my/ta/).

Edisi Inggeris boleh dicapai melalui pautan selangorjournal.my

Maklumat pantas dan infografik berhubung isi menarik dan program utama Kerajaan Negeri akan dimuatkan di media sosial Media Selangor pada petang Jumaat tersebut.

Akhbar Selangorkini edisi Belanjawan #Selangor2022 juga diterbitkan dan mula diedar pada 27 November.

Amirudin sebelum ini berkata usaha yang bakal ditekankan dalam belanjawan kali ini antaranya menambah hasil dan bantuan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.