Categories
AGENDA NASIONAL

Kaji selidik: Separuh rakyat Malaysia beli-belah dalam talian ketika pandemik

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Kaji selidik terbaharu Juwai IQI mengenai Covid-19 mendapati 57 peratus daripada rakyat Malaysia lebih banyak membeli belah dalam talian berbanding sebelum pandemik yang sekali gus membantu melonjakkan urus niaga dalam talian di negara ini.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI Group Kashif Ansari dalam satu kenyataan hari ini berkata Lazada Malaysia mencatatkan kenaikan 300 peratus bilangan penjual baharu dalam talian.

“Bank Negara Malaysia berkata jualan runcit dalam talian meningkat hampir berganda semasa pandemik dan data kami menunjukkan lebih ramai pengguna berbelanja dalam talian berbanding setahun lalu,” katanya.

Kashif berkata pertambahan aktiviti membeli belah dalam talian itu selari dengan perkembangan pesat bahagian-bahagian ekonomi lain yang membawa kepada peningkatan pembayaran tanpa tunai, penggunaan aplikasi super dan penembusan internet mudah alih.

“Peruncit dan pengeluar meningkatkan kehadiran mereka dalam talian agar mereka boleh menjual kepada pengguna yang banyak membeli menerusi telefon mudah alih mereka berbanding membeli secara bersemuka.

“Ia turut berlaku dalam sektor hartanah, yang biasanya dianggap sebagai industri yang paling jarang berurus niaga dalam talian. Pembeli kini boleh melakukan hampir keseluruhan urus niaga tanpa perlu keluar dari rumah mereka,” katanya.

Menurutnya, kaji selidik itu juga mendapati 68 peratus rakyat Malaysia mahu kembali bekerja di pejabat atau di tempat kerja lain sekurang-kurangnya dua hari seminggu pasca pandemik.

Kashif berkata meskipun kesukaran yang dihadapi ketika ini, 71 peratus rakyat Malaysia percaya kehidupan di negara ini akan kembali normal menjelang akhir 2022.

“Namun bukan semua orang optimis. Sejumlah 17 peratus responden menjangka kita hanya akan dapat kembali kepada kehidupan normal pada 2023 manakala sebilangan kecil menjangkakan ia melangkaui 2023,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

GM Klang sedia persekitaran beli-belah selamat, selesa

KUALA LUMPUR, 17 MAC: GM Klang menyediakan persekitaran membeli-belah yang selamat dan selesa untuk pengunjung di pusat borong terkemuka itu, seiring usaha negara dalam memerangi penularan Covid-19.

Pengurus Pengiklanan dan Promosinya Norsuhaida Othman berkata menjangkakan peningkatan pengunjung ke kompleks itu menjelang musim perayaan, GM Klang akan memastikan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan wabak itu dipatuhi.

Beliau berkata GM Klang bukan sahaja menjadi tumpuan orang ramai bagi persiapan Hari Raya, malah menjadi lokasi pilihan bagi peniaga dan usahawan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) untuk menambah stok jualan perniagaan mereka.

“Peniaga dan usahawan PKS mengambil peluang ini untuk merancakkan kembali aktiviti perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik sebelum ini dan mula menambah stok bisnes dengan pelbagai pilihan di GM Klang untuk diniagakan sama ada di bazar, pasar, mahupun secara dalam talian.

“Kami juga dapati ramai sudah mampu untuk mempertingkatkan pembelian stok mereka, ini mungkin disebabkan oleh insentif kerajaan yang diterima,” katanya dalam kenyataan.

Beliau optimis situasi itu adalah petanda positif yang mampu menjadikan transaksi perniagaan dan ekonomi kembali rancak.

– BERNAMA