SHAH ALAM, 4 OKT: Pasukan Belia Selangor (bawah 19) menunjukkan taring di minggu pertama Liga Juara-Juara Selangor (SCL2019) apabila membenam salah satu pasukan pilihan, SA Klasiko FC 3-0.
Belia Selangor membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 melalui Husni Idris sebelum keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Belia Selangor mengekalkan penguasaan permainan apabila menambah dua lagi jaringan menerusi Devesshraja di minit ke-59 dan Ahmad Danial di minit ke-70.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium MPSJ pada 28 September itu turut menobatkan pemain Belia Selangor, Ahmad Danial sebagai pemain terbaik perlawanan.
Aksi lain di minggu pertama turut menyaksikan juara bertahan, Puchong Fuerza Gamestop FC dipaksa bergelut bagi memastikan dapat berkongsi mata dengan Bangi Jang’s Trooper FC.
Dalam aksi yang juga berlangsung di Stadium MPSJ pada 28 September itu, Jang’s Trooper terlebih dahulu mendahului melalui jaringan Hasrul Nurkholis pada minit ke-13 sebelum Puchong Fuerza menyamakan kedudukan di minit ke-24 menerusi jaringan Adli Zulgafli.
Hasrul yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan ternyata menjadi duri dalam daging buat Puchong Fuerza apabila sekali lagi menjaringkan gol untuk Jang’s Trooper sekali lagi berada di hadapan pada minit ke-35.
Bagaimanapun Puchong Fuerza menarik nafas lega apabila Hakim Zainal menyelamatkan pasukan itu daripada keciciran mata dengan gol penyamaan 2-2 pada minit ke-60 dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan penuh perlawanan minggu pertama SCL2019:
(Semua perlawanan diadakan di Stadium MPSJ)
Belia Selangor 3 – 0 SA Klasiko FC
Puchong Fuerza Gamestop FC 2 – 2 Bangi Jang’s Trooper FC
Cyberjaya Teleflow FC 0 – 0 Kuala Selangor Batu Dua FC
Sg Lang Baru Up FC 2 – 2 Subang II FC
MPKJ FC 3 – 0 Bukit Kapar FC
Gombak RRM FC Ultimate 1 – 1 SA PIB FC
NPNG Damansara Damai FC 2 – 2 MBSA FC