Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: Tiada peruntukan akta benar pengeluaran untuk bencana alam

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bencana alam, menurut KWSP.

Dalam satu kenyataan, dana persaraan itu memaklumkan organisasi itu tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan Akaun 1 atau 70 peratus simpanan ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan lebih cerah.

“KWSP menegaskan komitmennya untuk membantu ahli membina semula kecukupan simpanan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian sebarang pengeluaran khas di bawah skim i-Citra agar masa depan persaraan mereka tidak akan terus dikompromi,” kata organisasi tersebut.

KWSP menjelaskan skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada 2020, diikuti i-Citra pada Julai lepas, bersifat luar biasa kerana inisiatif itu diperkenalkan untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

Katanya, skim pengeluaran itu menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, yang mana 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000.

“Sememangnya tahap yang tidak dapat menjamin persaraan ahli. Majoriti mereka yang telah membuat pengeluaran kecemasan daripada KWSP adalah dalam kalangan bumiputera.

“Hasil daripada pengeluaran itu, sebanyak 4.4 juta atau 54 peratus ahli bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2.0 juta atau 25 peratus mempunyai kurang daripada RM1,000.

“Ini amat membimbangkan kerana bilangan ini mencerminkan peningkatan peratusan ahli yang tidak mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000, iaitu jumlah minimum yang diperlukan oleh ahli apabila mencapai umur 55 tahun,” katanya.

Selain itu, KWSP juga menjelaskan kebimbangan lain selain penyusutan pendapatan masa depan individu, ialah ketirisan selanjutnya akan menjejaskan kedudukan KWSP sebagai sebuah organisasi simpanan persaraan dan pemegang amanah masa depan persaraan ahli.

Sebagai pemegang amanah, KWSP berkata organisasi itu mempunyai kewajipan fidusiari dalam menjaga kepentingan saksama untuk semua ahlinya dan masih terdapat berjuta ahli yang tidak menyentuh simpanan mereka dengan harapan mendapatkan pulangan lebih baik demi menjamin kehidupan persaraan mereka.

“Sehingga kini, terdapat lebih daripada RM270 bilion simpanan KWSP yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang telah mencapai umur lebih daripada 55 dan 60 tahun, mahupun yang mempunyai simpanan lebih daripada RM1 juta dalam akaun KWSP mereka.

“Dibimbangi kemelesetan kepercayaan terhadap KWSP akan memaksa golongan ahli ini mengeluarkan simpanan mereka dengan banyak dan memberi impak negatif terhadap pasaran domestik memandangkan KWSP merupakan tunggak utama dalam pegangan aset pelaburan pasaran modal dan kewangan dalam negara,” katanya.

KWSP turut menekankan fokus kini adalah terus melindungi simpanan ahli, selaras dengan mandatnya, dan memastikan ahli turut memulih serta membina semula simpanan persaraan bagi menjamin persaraan yang selesa.

Dalam masa sama, KWSP bersimpati dengan nasib mangsa banjir dan melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN), peruntukan RM10 juta disalurkan hasil penjimatan perbelanjaan operasi.

Bantuan tersebut, katanya akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan dan disalurkan melalui pertubuhan amal berkredibiliti.

“Dengan hampir 15 juta ahli, sebarang bantuan melalui pertubuhan kebajikan dan melalui usaha sukarelawan KWSP sendiri akan memberi manfaat kepada ahli dan keluarga mereka secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Sebelum ini, terdapat desakan daripada pelbagai pihak yang memohon kerajaan meluluskan pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 wang KWSP untuk memulakan semula kehidupan terjejas akibat banjir teruk yang melanda beberapa negeri di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba siap siaga kecemasan cuaca melampau, bencana alam bulan depan

LABUAN, 10 OKT: Sejumlah 12,000 anggota bomba di seluruh negara siap siaga bagi menghadapi musim monsun timur laut yang akan datang, dengan enam negeri dijangka mengalami banjir, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid hari ini.

Beliau berkata jabatan itu telah meningkatkan keupayaan logistik dan tenaga kerjanya untuk bertindak balas dengan berkesan serta membantu orang ramai sekiranya berlaku bencana.

“Kami telah dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi mengenai monsun akhir tahun (monsun timur laut) yang bermula bulan depan.

“Enam negeri termasuk Sabah diramal mengalami cuaca buruk dan kemungkinan bencana banjir. Kami sudah bersedia dan jika keadaan bertambah buruk, kami akan mendapatkan bantuan dari negeri berhampiran,” katanya kepada pemberita pada penganugerahan pingat jabatan dan perkhidmatan cemerlang di sini hari ini.

Mohammad Hamdan berkata enam negeri yang diberikan tumpuan ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Beliau juga berkata sejak Januari lepas, jabatan itu telah menerima 115,000 panggilan kecemasan dari seluruh negara.

“Secara purata, kami menjawab kira-kira 400 panggilan kecemasan setiap hari dan kami tidak pernah menyangka bahawa semasa pandemik Covid-19, kami akan menerima jumlah panggilan kecemasan yang begitu tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Mohammad Hamdan juga berkata kira-kira 1,300 anggota bomba di seluruh negara telah diuji positif Covid-19 yang kebanyakannya membabitkan jangkitan dalam komuniti.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Sabah meningkat, dua negeri semakin pulih

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Jumlah mangsa banjir di Sabah yang dipindahkan kembali meningkat pagi ini, sementara mangsa di Johor kekal manakala di Pahang dan Sarawak banjir terus beransur pulih dengan penurunan jumlah mangsa, sejak semalam.

Di SABAH, daerah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran dan Papar menjadi daerah terbaharu dilanda banjir pagi ini, selain Pitas, Beaufort dan Paitan yang dilanda banjir sebelum ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat 8 pagi ini jumlah mangsa banjir meningkat kepada 176 orang berbanding 122 orang malam tadi yang dipindahkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri.

Di lima daerah terbaharu dilanda banjir itu, 39 mangsa banjir dipindahkan di Kota Kinabalu, Penampang (11) dan Putatan (4) manakala tiada mangsa banjir dipindahkan di Tuaran dan Papar.

“Hujan lebat di beberapa kawasan menyebabkan paras air mula meningkat di daerah terbabit, walaupun tiada mangsa banjir dipindahkan air banjir didapati sedalam 3.03 meter di Tuaran dan 4.89 meter di Papar pada tahap berjaga-jaga dan waspada,” katanya.

Di PAHANG, banjir yang semakin surut menyaksikan jumlah mangsa turut berkurangan menjadi 4,219 orang daripada 1,192 keluarga di 52 PPS melibatkan lima daerah.

Setakat 7.30 pagi ini, Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan daerah Pekan masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,620 orang diikuti Kuantan (777), Maran (766), Bera (54) dan Temerloh (dua).

Portal infobanjir.water.gov.my pula memaklumkan air Sungai Pahang @Paloh Inai, Pekan masih melebihi paras bahaya.

Sementara di SARAWAK, susulan cuaca bertambah baik, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan terus berkurangan dengan 1,870 orang pagi ini berbanding 3,780 mangsa petang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam laporan terbaharunya memaklumkan sebanyak 16 PPS masih lagi beroperasi di tiga daerah dengan Serian terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 1,088 orang di 10 PPS, diikuti Kuching (775 orang di lima PPS) dan Miri (tujuh orang di satu PPS)

Banjir di JOHOR bagaimanapun tidak berubah pagi ini, dengan jumlah mangsa banjir kekal 93 orang melibatkan 23 keluarga yang ditempatkan di dua PSS, masing-masing di Segamat dan Batu Pahat.

Keadaan itu berikutan terdapat banjir termenung di dua kawasan di daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata 76 orang daripada 20 keluarga melibatkan penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Segamat berada di PPS Sekolah Agama Gemereh.

Di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Bunut, Parit Raja, Batu Pahat pula menempatkan 17 orang daripada tiga keluarga yang merupakan penduduk Kampung Talang Bunut, Parit Raja.

– BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca buruk di Pahang, Johor hingga esok

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk (peringkat jingga) dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pahang dan Johor sehingga esok.

Ketua Pengarahnya Jailan Simon dalam kenyataan hari ini, berkata amaran cuaca waspada (kuning) turut dikeluarkan bagi beberapa daerah lain di dua negeri terbabit serta di Kelantan dan Terengganu bagi tempoh sama.

Menurutnya amaran cuaca peringkat jingga melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Segamat dan Mersing di Johor, manakala amaran peringkat kuning meliputi daerah Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera di Pahang serta seluruh Kelantan dan Terengganu.

“Dalam tempoh berkenaan, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung.

“Pada masa sama, kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, Sarawak dan Sabah dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam.

“Keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur tidak kukuh,” katanya.

Jailan berkata angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah dalam tempoh berkenaan.

Keadaan itu, katanya boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai serta muara sungai kawasan terbabit.

– BERNAMA

Sumber Grafik: Facebook MET Malaysia