Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: 12 daerah Terengganu, Kelantan terjejas, 6,327 mangsa pindah PPS

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Sebanyak 12 daerah di Terengganu dan Kelantan kini terjejas akibat banjir dengan 6,327 orang ditempatkan di 103 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 9 malam ini.

Di TERENGGANU, lapan daerah yang terjejas akibat banjir iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut, Dungun dan Setiu termasuk tiga daerah baharu mula dilanda banjir sejak lewat petang tadi iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, seramai 3,334 individu daripada 931 keluarga ditempatkan di 71 PPS di seluruh Terengganu, dengan daerah Kemaman mencatatkan jumlah penduduk tertinggi terjejas akibat banjir.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan setakat 9 malam ini, apabila seramai 2,993 orang daripada 881 keluarga berbanding 2,186 orang daripada 622 keluarga, petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan sebanyak 32 PPS dibuka melibatkan masing-masing sembilan di Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas manakala lima di Jeli.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiga sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Temangan, Machang merekodkan bacaan 22.05 meter (m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.08m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.4 m).

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Perlindungan takaful, insurans ringan beban pemilik ketika musibah

SHAH ALAM, 9 FEB: Perlindungan takaful dan insurans bencana rumah serta kenderaan penting bagi memastikan masyarakat tidak terbeban jika ditimpa musibah.

Inisiatif itu juga menjimatkan kos pengguna untuk membaiki semula harta benda yang rosak, kata
pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa Majlis Perancang Kewangan Malaysia.

“Kita tidak tahu bila bencana berlaku. Macam kejadian banjir baru-baru ini, kali terakhir pada 1970-an. Jadi bila ditimpa musibah dan kebetulan masa itu tiada wang, kita tidak perlu risau.

“Kena ambil insurans sebagai persediaan. Kos perlindungan tidak mahal pun. Kalau kita mampu beli barangan mahal, kena ada rasa tanggungjawab terhadap barang kita. Kena terapkan pengurusan risiko untuk mudahkan diri,” kata Anuar Shuib.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara bertajuk Insurans Bencana Alam: Pilihan atau Wajib? yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam tadi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bencana itu termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.

Jumlah itu dikira secara kasar melibatkan 100,000 rumah atau keluarga yang terjejas dengan anggaran kerosakan paling minimum RM10,000.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Kerja lebih keras, siap sedia tangani bencana masa depan

SHAH ALAM, 24 JAN: Semua pihak termasuk penjawat awam harus bekerja lebih keras bagi menghadapi kemungkinan bencana termasuk banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari tidak menolak kemungkinan bencana yang menuntut persediaan dan pergerakan pantas pihak berkaitan seperti bulan lalu berulang pada masa akan datang.

“Saya berterima kasih kepada pegawai daerah yang tak tidur, menerima kritikan dan mendapat bantahan tetapi masih terus bekerja keras laksana perubahan.

“Suasana akan datang mungkin lebih kerap. Silap-silap tiga tahun lagi boleh berlaku (bencana) kerana ini yang sedang kita hadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat tahun baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini hari ini.

Amirudin menambah Kerajaan Negeri sentiasa bergerak pantas melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kepentingan rakyat seperti saringan percuma dan vaksinasi Covid-19.

“Itu antara contoh manifestasi dan terbaharu ketika banjir, saya lihat kita pantas bergerak kerana sudah dilatih dengan perubahan,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Jawatankuasa khas urus perubahan iklim negeri, sedia perihal bencana

SHAH ALAM, 24 JAN: Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat bagi mengurus perkara berkaitan perubahan iklim negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata badan diketuai EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian bertanggungjawab meramal dan merangka strategi bagi mendepani kemungkinan bencana.

“Saya sudah bangkitkan pada mesyuarat EXCO yang lepas. Jadi, dalam tempoh seminggu dua lagi akan ditubuhkan (jawatankuasa perubahan iklim).

“YB Hee Loy Sian akan memanggil tokoh akademik dan NGO (badan bukan kerajaan) alam sekitar untuk kita sedia mendepani sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada penjawat awam di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini hari ini.

Amirudin menambah jawatankuasa tersebut juga akan meneliti kesan sampingan lain seperti harga makanan dan keselesaan hidup rakyat.

“Ini akan bermula dengan mengelakkan kesan perubahan iklim dan pemanasan global dengan menjaga penggunaan karbon, pembangunan mesra alam serta pemeliharaan kawasan hijau,” katanya.

Categories
AGENDA JENAYAH

HARAPAN gesa kerajaan sedia aset hadapi bencana, tumpu perubahan iklim

SHAH ALAM, 21 JAN: Ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa kerajaan membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang bencana banjir besar pada masa depan termasuk menyediakan aset yang mencukupi.

Dalam sesi perbahasan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam ahli parlimen HARAPAN juga mahu kerajaan mengambil serius soal fenomena perubahan iklim yang menjejaskan negara ini.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mahu kerajaan berterus-terang adakah aset negara mencukupi untuk berdepan dengan bencana berskala besar.

“Saya ingin bangkitkan mengenai aset-aset kerajaan selepas melihat pengurusan banjir yang lepas.

“Berterus teranglah adakah aset kita mencukupi untuk berhadapan dengan bencana berskala besar ini? Senaraikan aset-aset ini dan jika perlu Kementerian Kewangan peruntukkan dana yang besar untuk selesaikan masalah ini demi keselamatan,” ujar beliau.

Sementara itu, ahli parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang kawasannya turut terjejas akibat banjir menggesa kerajaan memberi fokus kepada usaha membaik pulih di Lembah Klang.

“Proses membaik pulih banjir di Lembah Klang perlu difokuskan kerana kawasan itu merupakan pusat ekonomi Malaysia,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng pula menggesa proses desentralisasi dilaksana dengan meletakkan Nadma di bawah Kerajaan Negeri bagi memudahkan pengurusan bencana terutama banjir.

“Desentralisasi ini adalah dalam usaha pencegahan banjir, bantuan bencana, usaha menyelamat dan pengurusan pemulihan,” kata beliau yang juga bekas Menteri Kewangan.

Ahli parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar pula menyarankan satu perjumpaan dalam tempoh enam bulan lagi diadakan menerusi jawatankuasa khas yang mampu menyelaras dan mengukur keberkesanan kementerian, negeri dan agensi terlibat dalam mengurus bencana.

“Perjumpaan ini mampu memberi hasil kepada Malaysia agar kalis bencana dan cabaran masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menggesa kerajaan memberikan lebih perhatian kepada soal perubahan cuaca.

“Kita semua sebut hujan berlaku luar biasa tetapi kita harus tahu ini adalah cuaca fenomena baharu yang kita akan lihat lebih lagi pada hari-hari mendatang,” katanya.

“Kita perlu bersiap sedia dan saya harap kerajaan dapat beri cadangan bernas dan ambil tindakan untuk melaksanakannya.”

Ahli parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus pula mengesyorkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mewujudkan satu unit khas di peringkat negeri yang fokus kepada soal bencana.

“Jika bencana tidak berlaku unit ini perlu melawat ke daerah-daerah bagi melihat persiapan depot simpanan makanan dan cadangan pusat pemindahan sementara (PPS),” jelasnya.

Ahli parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah turut menggesa kerajaan memberikan pampasan kepada setiap isi rumah yang terjejas banjir antara RM5,000 hingga RM10,000.

“Oleh kerana tiada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk biayai kerosakan ini, kita boleh dapatkan bantuan daripada pelbagai agensi seperti Petronas,” katanya.

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mendakwa kerajaan pusat tidak serius dalam menangani masalah banjir kerana sepatutnya perkara itu dibincang dalam sidang parlimen pada 20 Disember lalu.

“Berapa banyak pembaziran yang dilakukan dengan memanggil wakil rakyat di seluruh negara tetapi tiada perbincangan, isu banjir juga tidak dibahas walaupun diminta,” jelasnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: Kerja penggalian Sungai Kemensah selesai semalam

SHAH ALAM, 20 SEPT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor selesai melakukan kerja-kerja penggalian Sungai Kemensah di kawasan tanah runtuh dekat Jalan Kemensah Heights semalam.

Pengarah Datuk Ir Gapar Asan berkata pihaknya mengambil tindakan segera dengan menggali sungai yang tertutup menggunakan jengkaut untuk kelancaran aliran air.

“Kerja-kerja penggalian mengambil masa sehari sahaja iaitu semalam. Aliran sungai di Sungai Kemensah itu tertutup akibat kesan runtuhan tanah dari lot banglo terlibat.

“Sekiranya tidak melakukan pembersihan sungai dengan segera ia memberi kesan kepada rumah bandar kerana akan berlaku hakisan pada tiang-tiang premis tersebut,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Ir Gapar kerja-kerja memasang cerucuk besi di kawasan tanah runtuh itu hanya dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Mineral dan Geologi Sains (JMG).

“Cerucuk besi ini bertujuan menahan sementara tanah itu daripada runtuh semula. Sejurus laporan diterima kita akan mula melakukan reka bentuk dan cara pemasangan besi,” katanya.

Pada 18 September, Kerajaan Negeri mengisytihar lokasi kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights sebagai kawasan bencana.

Dato’ Menteri Besar berkata tiga unit banglo terlibat dalam kejadian tanah itu belum selamat diduduki dan penduduk diminta untuk berpindah serta begitu juga dengan 24 unit rumah bandar terlibat turut disaran berpindah buat sementara waktu.

Malah, ketika meninjau lokasi kejadian Dato’ Seri Amirudin Shari turut memberi bantuan awal RM500 kepada 27 keluarga yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh untuk urusan pemindahan atau menampung kos mengeluarkan barang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor serah sumbangan banjir, nyata komitmen bantu negeri terjejas

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Selangor hari ini menyerahkan bantuan kepada Pahang dan Terengganu yang terkesan teruk berikutan bencana banjir, awal bulan ini.

Bantuan sebanyak RM1 juta diserahkan kepada Pahang manakala Terengganu menerima RM500,000 melalui Pakej Kita Selangor yang diumumkan pada 20 Januari.

Penyerahan sumbangan secara maya oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dibuat secara berasingan bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Amirudin dalam ucapannya menyatakan komitmen Kerajaan Selangor untuk terus membantu mana-mana negeri yang dilanda bencana pada masa depan.

Beliau berkata semua pihak perlu menunjukkan sifat manusiawi merentasi sempadan ketika waktu getir dengan membantu sebaik mungkin.

“Saya mewakili rakyat Selangor bersimpati terhadap musibah yang menimpa beberapa negeri terutama untuk bangkit pascabencana, justeru bantuan ini diharap meringankan beban.

“Kerajaan Selangor juga bersedia mengarahkan pasukan sukarelawan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) untuk membantu negeri terjejas,” katanya dalam sidang video.

Kerajaan Negeri mengumumkan sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor berjumlah RM2 juta kepada tiga negeri pantai timur yang terjejas termasuk Kelantan yang akan diserahkan secara maya petang ini.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

APM sasar 20,000 sukarelawan baharu, tingkat upaya hadapi bencana

ALOR GAJAH, 6 DIS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyasarkan pengambilan 20,000 anggota sukarelawan baharu pada tahun depan dalam usaha meningkatkan keupayaan agensi itu untuk menghadapi bencana.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab berkata pengambilan anggota baharu itu difokuskan kepada komuniti di kawasan kerap berlaku bencana supaya mereka dapat memberi bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan sebelum bantuan susulan daripada pelbagai agensi keselamatan lain tiba.

“Bagi pengambilan anggota baharu tahun depan, kami akan memfokuskan kepada komuniti di kawasan berisiko termasuk banjir, tanah runtuh atau ribut dan melatih mereka bagi memastikan anggota baharu ini bersedia untuk berhadapan pelbagai kecemasan di kawasan tempat tinggal mereka.

“Ini kerana kebiasaannya mereka akan lebih tahu apa yang berlaku di tempat asal mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pejabat Daerah Pertahanan Awam Alor Gajah, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali.

Mengulas lanjut, Roslan berkata orang ramai yang berminat untuk menyertai pasukan sukarelawan APM bagi pengambilan baharu tahun depan boleh melayari laman web APM iaitu www.civildefence.gov.my atau hadir ke pejabat APM yang berdekatan.

Sementara itu, beliau berkata APM menerima peruntukan RM25 juta bagi menggantikan ambulans agensi itu yang uzur secara berperingkat bermula tahun depan.

Katanya, buat permulaan RM5 juta akan dibelanjakan untuk membeli 20 ambulans baharu, manakala RM10 juta masing-masing untuk tujuan sama pada tahun 2022 dan 2023.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

NADMA sedia 50,000 kit makanan untuk agihan mangsa bencana

PELABUHAN KLANG, 21 NOV: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyediakan 50,000 kit makanan untuk diagihkan kepada mangsa bencana khususnya banjir di seluruh negara sepanjang musim tengkujuh ini.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi NADMA, Zakaria Shaaban berkata jumlah kit makanan yang disediakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu adalah sebagai permulaan dan ia akan ditambah jika keperluannya meningkat dari semasa ke semasa.

“Kit ini sebagai makanan tambahan mengandungi produk keluaran Agromas yang mudah disediakan seperti biskut, bihun kering, oats, sardin tin, bubur segera pelbagai perisa serta cawan dan sudu garfu plastik.

“Kita sedang dalam peringkat menghantar kit makanan ini ke lima depoh utama seluruh negara untuk diagihkan ke 165 stor bencana. Bagi mangsa banjir di Melaka, kira-kira 500 kit telah dihantar dan sedang diagihkan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses penyediaan kit makanan itu di depoh edaran FAMA, di sini hari ini.

Beliau berkata pengedaran kit berkenaan bukan hanya tertumpu kepada mangsa banjir tetapi juga bencana lain seperti tanah runtuh dan ia akan diberi kepada setiap ketua keluarga yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi bencana termasuk banjir, Zakaria berkata kesiapsiagaan pihaknya termasuk pengurusan aset berada pada tahap tertinggi hasil latihan dan simulasi yang dijalankan sepanjang tahun.​​​​​​​

Sementara itu, Pengerusi FAMA Ishak Ismail berkata sebanyak 67,837 kit makanan disediakan pihaknya hasil kerjasama dengan NADMA sejak 2014, namun pada tahun ini sahaja, sebanyak 50,000 kit makanan perlu dibekalkan kepada mangsa bencana.

“Pertambahan jumlah kit ini menunjukkan keprihatinan kerajaan baharu terhadap kebajikan mangsa bencana khususnya banjir. Malah produk yang kita sediakan juga boleh digunakan dalam jangka masa panjang kerana bertarikh luput sekurang-kurangnya setahun daripada sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai stok bekalan makanan semasa musim tengkujuh, Ishak memberi jaminan bahawa stok yang merangkumi produk makanan basah mahupun industri asas tani adalah mencukupi.

Jelas beliau, pihaknya telah membuat sasaran peningkatan permintaan produk makanan semasa musim banjir dan semua pusat usahawan FAMA di seluruh negara telah diarahkan untuk sentiasa memastikan barangan berkenaan mencukupi bagi mengelakkan manipulasi harga.

SUMBER: BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

GM Klang & 99 Speedmart bantu kakitangan MPK terbabit bencana

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 5 OKT: GM Klang dan 99 Speedmart menghulurkan bantuan berbentuk barangan keperluan kepada empat keluarga kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang menjadi mangsa ribut, pada Isnin lalu.

Majlis penyerahan disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi bersama Pengurus Projek GM Klang, Jack Tan dan Pengurus Bahagian Operasi (Cawangan) 99 Speedmart, Mod Mahrus Mohd Faizal, di Dewan Serbaguna Teluk Pulai.

Empat kakitangan terbabit adalah Mohd Faizal Azmi, Mohd Faizal Jamil, Tamil Selvam Nagappan dan Kanthan Ezhumalai.

Kesemua mereka menerima bantuan wang tunai RM1,000 berserta selimut dan makanan.

Adi Faizal yang ditemui selepas majlis penyerahan berkata, kesemua kakitangan diberikan cuti darurat sepanjang minggu ini ekoran kejadian yang menyebabkan kerosakan bumbung kediaman mereka, di Blok B dan C Kuartes MPK, Jalan Tepi Sungai.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan segera bagi membaiki kerosakan yang berlaku.

“Buat masa ini, kerja baik pulih belum bermula kerana masih dalam proses penilaian oleh Jabatan Kejuruteraan.

“Kita tempatkan mereka (keluarga mangsa) di sini sejak Isnin lalu dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Klang dan akan kembali bertugas pada minggu hadapan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Farid Abdul Aziz ketika ditemui menceritakan kejadian yang berlaku sekitar jam 2 petang ketika beliau sedang menjaga dua anaknya, di rumah.

“Dalam jam 2 petang, bunyi guruh agak kuat dan saya bersama anak ketika itu sedang tidur di rumah. Saya nampak bumbung dan siling blok hadapan runtuh.

“Tempias air hujan juga mula memasuki rumah dan tanpa berfikir panjang, saya membawa dua anak berusia dua serta enam tahun turun menyelamatkan diri,” katanya.

Beliau berkata, ini adalah kejadian pertama sejak menetap di kuarters itu hampir empat tahun.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jepun taja RM2.8 juta geran laksana program atasi bencana

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 JUN: Jepun menaja RM2.8 juta geran bagi melaksanakan program mengatasi bencana dalam kalangan komuniti di negara ini dengan menjadikan Selangor selaku negeri perintis.

Program dinamakan “Strengthening the Disaster Risk Reduction Capacity to Improve the Safety and Security of Communities by Understanding Disaster Risk” (SeDAR) itu diadakan di Hotel Concorde, di sini, semalam.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata, program sebegini bagus dilaksanakan kerana ia sekali gus dapat mendidik komuniti untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi bencana.

“Selangor dipilih sebagai perintis melaksanakan program itu adalah kerana negeri ini merupakan satu-satunya yang mempunyai unit pengurusan bencana tersendiri.

“Malah, Selangor juga menjadi pilihan Jepun sendiri untuk dijadikan selaku perintis dalam melaksanakan program ini,” katanya kepada pemberita.

Selain itu, Muhammad Izzat berkata, program sebegini amat bagus dilaksanakan memandangkan Jepun merupakan antara negeri yang bersih, maju dan bijak menangani bencana yang melanda mereka.

“Pada program itu nanti, Jepun akan berkongsi ilmu pengetahuan mereka kepada komuniti di negeri ini dan dengan itu kita beroleh manfaat untuk diterapkan di negara sendiri,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai daerah yang akan terpilih untuk diserap masuk dalam program itu adalah kawasan yang mempunyai bencana skala besar.

“Setakat ini, daerah yang kita rancang untuk melaksanakan program ini adalah di Klang yang seringkali berlaku banjir dan Hulu Klang selalu terjadinya tanah runtuh,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kerajaan cadang wujud pusat arahan canggih untuk pengurusan bencana

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Kerajaan bercadang mewujudkan sebuah pusat arahan yang canggih bertujuan menyelaras semua bentuk saluran bantuan semasa berlaku sesuatu bencana, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pusat berkenaan akan dikendalikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kita perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi semua kemungkinan. Untuk maju ke hadapan, saya berharap dapat melihat NADMA mengetuai pengurusan bencana dengan mempunyai pusat arahan yang canggih,” kata beliau pada persidangan akhbar hari ini.

Terdahulu, Dr Wan Azizah menyampaikan ucapan perasmian pada Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Mesyuarat Berkaitan ke-32 yang dihadiri 84 wakil dari negara-negara anggota ASEAN dan beberapa pertubuhan dari Australia, Kanada, China dan New Zealand.

Beliau memberitahu pemberita perkara itu masih dalam cadangan.

Bagaimanapun, masih tidak jelas lagi sama ada cadangan itu melibatkan penubuhan pusat yang baru sepenuhnya atau menaiktaraf saja Pusat Arahan Bencana Kebangsaan di Pulau Meranti Puchong yang diurus oleh NADMA sejak 2015.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti berkata, keutamaan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru adalah mengambil tanggungjawab pengurusan bencana secara holistik dan pragmatik termasuk memastikan keselamatan dan privasi wanita semasa bencana.

Beliau berkata, idea berkenaan termasuk menyediakan tempat berteduh yang lebih baik kepada wanita semasa bencana dengan mengadakan ruang privasi agar mereka boleh memiliki privasi dan ruang sendiri.

Beliau berkata keutamaan juga bagi mengurangkan risiko bencana dan meningkatkan gerakan kecemasan menerusi kerjasama negara-negara anggota ASEAN dan dengan orang awam dan sektor swasta tempatan.

“Kita perlu bekerjasama. Ia penting kerana di rantau ini kita menghadapi bencana yang hampir serupa. Kita perlu tolong menolong antara satu sama lain sebagai jiran,” katanya.

SUMBER: BERNAMA