Categories
AGENDA NASIONAL

Isu bendera: Polis panggil MABA beri keterangan

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Empat individu daripada Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) sudah memberi keterangan kepada polis berhubung paparan imej Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima semasa perasmian Kejohanan Kebangsaan Piala Lum Mun Chak Bawah 15, di Stadium Maba, di sini, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata selain mereka, beberapa individu lagi termasuk wakil dari syarikat kontraktor teknologi maklumat yang menguruskan imej itu akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Saya menjangkakan wakil syarikat itu akan dipanggil pada malam ini atau esok pagi bagi membantu siasatan kes ini.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk sebab video itu dimuat naik ke media sosial,” katanya pada sidang media harian Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini pihaknya menerima sembilan laporan berhubung kejadian itu dan polis akan menyiasat sama ada video yang dimuat naik itu secara sengaja dilakukan untuk mencipta perkara yang tidak tenteram dalam negara.

“Video ini tular di media sosial dan kita menerima komen yang negatif daripada masyarakat kerana perbuatan sedemikian. Saya yakin kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Imej Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima itu dipaparkan menerusi klip video yang berdurasi 1 minit 42 saat bersama logo Westport ketika nyanyian lagu Negaraku semasa perasmian kejohanan itu.

Semalam, polis telah memanggil presiden Maba (Datuk Lua Choon Hann) bagi memberi keterangan tentang insiden berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin: Polis siasat pelbagai aspek kes bendera

BANGKOK, 27 NOV: Polis menyiasat isu bendera Malaysia dengan bintang pecah lima daripada pelbagai aspek mengikut Kanun Keseksaan dan tindakan sewajarnya akan diambil, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata insiden paparan Jalur Gemilang yang hanya mempunyai lima bucu bintang itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia walaupun pihak penganjur telah memohon maaf.

“Kita tidak mahu hal ini terus berlaku dan dilakukan oleh sesiapa sekali pun.

“Pihak polis sedang menyiasat daripada beberapa sudut berdasarkan peruntukan (undang-undang) yang boleh diguna pakai… kita tunggu hasil siasatan dan tindakan sewajarnya boleh diambil,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Muhyiddin berada di sini kerana menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN berkaitan Jenayah Rentas Negara (AMMTC) ke-13.

Sejak Isnin, satu video berdurasi seminit 42 saat menunjukkan Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima dipaparkan di skrin ketika majlis pembukaan Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak bawah 15 tahun anjuran MABA tular di media sosial.

Paparan bendera Malaysia yang silap itu ditayangkan ketika para hadirin sedang menyanyikan lagu Negaraku pada majlis pembukaan tersebut telah mendapat pelbagai kecaman dari netizen.

Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia yang salah ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 itu.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan menyifatkan inisiden itu ‘sangat memalukan’ dan kementeriannya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu sebelum memutuskan tindakan yang selanjutnya.

Presiden MABA Datuk Lua Choon Han berkata pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan itu. Kontraktor produksi siaran langsung pembukaan kejohanan itu juga ditamatkan perkhidmatan setelah didapati cuai memaparkan Jalur Gemilang yang salah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan dua individu bantu siasatan bendera pasang terbalik

LANGKAWI, 31 OGOS: Polis menahan dua individu petang ini bagi membantu siasatan kes bendera negeri Kedah dan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di premis mereka yang terletak di Jalan Pandak Mayah, di sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan dibuat 5 petang ini selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat orang awam 11.42 pagi tadi.

Beliau berkata pengadu tersebut melaporkan dia yang mempunyai urusan di kawasan berkenaan ternampak kedua-dua bendera dipasang secara terbalik di premis yang terletak di Pekan Pandak Mayah itu.

“Siasatan mendapati tempat kejadian merupakan sebuah kedai runcit serbaneka di suatu kawasan bangunan lot kedai dua tingkat yang telah beroperasi sejak 15 tahun lalu.

“Hasil siasatan ke atas dua individu yang ditahan iaitu pemilik premis seorang lelaki berusia 60 dan wanita berusia 50 tahun, mereka mengaku terlibat dengan kes yang disiasat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama.

Beliau berkata, suspek yang ditahan juga telah membuat satu laporan polis menyatakan bendera tersebut tersilap pasang.

“Suspek juga menyatakan kekesalan di atas kejadian tersebut. Ekoran daripada kejadian ini suspek telah membetulkan semula kedudukan kedua-dua bendera tersebut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Zuraida lancar Kempen Kibar Jalur Gemilang Parlimen Ampang

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG, 22 OGOS: Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Parlimen Ampang, di perkarangan luar Pusat Membeli Belah Spectrum, Bandar Baru Ampang, semalam.

Beliau menyampaikan Jalur Gemilang kepada semua wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta ketua komuniti, sekitar Parlimen Ampang.

Dalam ucapannya, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia mengembalikan martabat negara dengan semangat baharu sempena sambutan Hari Kemerdekaan, pada 31 Ogos ini.

“Dengan adanya kerajaan baru, tidak kira bangsa dan agama, maka kita akan terus berkhidmat kepada semua. Kita juga akan bekerjasama dengan kerajaan (negeri) yang ditadbir pembangkang dan bantu kerana tiada falsafah menganak tirikan,” katanya.

Zuraida berkata, beliau gembira untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-61 tahun ini kerana buat pertama kalinya pemerintahan negara bertukar dan diangkat menjadi salah seorang menteri, di peringkat Persekutuan.

“Saya gembira dapat mengucapkan Selamat Hari Merdeka sebagai menteri kerajaan menerusi saluran televisyen yang tidak pernah saya gambarkan selama ini.

“Terima kasih kepasa semua warga Ampang kerana terus memilih saya mewakili Parlimen Ampang dan akan meneruskan tanggungjawab seperti diamanahkan,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut meletakkan Jalur Gemilang di kenderaan agensi kerajaan seperti polis, bomba dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Categories
SELANGOR

Kelab Budayawan Aktif Gombak edar 500 bendera jalur gemilang

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 21 OGOS: Kelab Budayawan Aktif Gombak mengagihkan 500 ‘goodies bag’ dan bendera jalur gemilang kepada penumpang bas serta pengguna jalan raya di Plaza Tol Gombak bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-61.

Pengerusinya, Syed Husain Fahmi Syed Ahmad berkata, program julung kali itu diadakan bertujuan menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Katanya, setiap rakyat perlu menzahirkan rasa syukur dan gembira terhadap kemerdekaan, di negara ini.

“Selaras dengan tema hari kebangsaan tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku, maka program ini diharapkan dapat menyemai semangat sayangkan negara.

“Malaysia adalah negara kita semua dan harus tanam semangat cintakan negara,” katanya kepada SelangorKini, di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, turut hadir merasmikan program berkenaan.

Syed Husain turut mengajak rakyat pelbagai kaum supaya terus bersatu hati dan menyeru mengibarkan bendera Jalur Gemilang di semua tempat termasuk kediaman, premis perniagaan dan kenderaan masing-masing.