Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Projek penahan banjir Sungai Langat dalam proses tender – EXCO

KAJANG, 19 JULAI: Projek pembinaan benteng penahan banjir di Sungai Langat dalam proses tender oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

EXCO alam sekitar berkata projek jangka pendek membabitkan pembinaan sepanjang 150 meter di sungai itu dijangka siap tahun ini dengan kos keseluruhan RM200,000.

“Dalam proses tender. Kita harap selepas siap ia mampu menghalang air hujan masuk ke kawasan ini,” kata Hee Loy Sian ketika meninjau keadaan banjir di Jalan Mandaling hari ini.

Ahli Dewan Negeri Kajang berkata jabatan itu juga memohon peruntukan berjumlah RM140 juta daripada kerajaan pusat bagi projek tebatan banjir di sungai berkenaan.

“Ini melibatkan projek besar yang mungkin berlanjutan sehingga lima tahun, jadi kita harap (kerajaan pusat) boleh bantu dan segerakan pelaksanaannya.

“Kita khuatir jika hujan lebat paras air akan naik lagi seperti terjadi (semalam) yang bukan hanya menjejaskan penduduk di pekan Kajang, malah di Batu 9, Batu 10 dan Batu 13 Hulu Langat,” katanya.