Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Joging, berbasikal dibenarkan sepanjang PKP

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan terbuka tanpa bersentuhan fizikal seperti joging, berbasikal dan senaman dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter kini boleh dijalankan bermula hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan kelonggaran itu diberi setelah Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam mempertimbang rayuannya untuk melihat semula keputusan berhubung tatacara operasi piawai sektor sukan serta rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 hingga 20 Mei 2021.

“Kelonggaran-Kelonggaran lain bagi sektor sukan dan rekreasi akan diperhalusi dalam Mesyuarat Teknikal MKN seterusnya,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook KBS.

Menteri berkenaan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula menzahirkan rasa terima kasih kepada ahli Sidang Khas MKN khususnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan KBS.

Pada masa sama, Reezal Merican menyeru peminat dan penggiat sukan untuk terus melaksanakan aktiviti kecergasan dengan selamat sepanjang tempoh PKP.

“Kita masih belum menang dalam melawan penularan Covid-19. Justeru, semua pihak hendaklah memainkan peranan yang lebih berkesan agar pelaksanaan PKP kali ini benar-benar mencapai matlamat yang dihasratkan” katanya.

Kelmarin, Sidang Khas MKN memutuskan untuk menggantung sementara sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan PKP termasuk semua aktiviti sukan dan rekreasi di premis atau kemudahan komersial, kemudahan awam dan kawasan terbuka.

Bagaimanapun, beberapa aktiviti seperti program latihan berpusat secara kuarantin Majlis Sukan Negara dan Majlis-Majlis Sukan Negeri menggunakan konsep ‘Camp Based Training’ antara yang dibenarkan.

Perkembangan itu secara tidak langsung mengundang pelbagai reaksi masyarakat apabila aktiviti riadah seperti bersenam, joging dan berbasikal bersendirian tidak dibenarkan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Kayuh 12,000km, anak autisme catat rekod dunia

Sebagai kanak-kanak yang disahkan menghidap autisme dan Sindrom Kurang Daya Tumpuan (ADHD) sejak berusia tiga tahun, Ahmad Uzair Ahmad Syauqi kerap berkelakuan hiperaktif.

Mengamuk tidak tentu hala, menjerit tidak tentu masa, memanjat dan melompat pagar jiran, menghantuk kepala ke lantai bahkan mengotorkan dinding rumah dengan najis antara gelagat Uzair.

Tapi itu dulu. Sebelum Uzair diperkenal sukan berbasikal. Sejak aktif melakukan kayuhan, perwatakannya jauh lebih tenang – semakin fokus, mendengar kata dan tidur waktu normal.

Kayuhannya pula bukan calang-calang. Setara bahkan melebihi keupayaan dengan sesetengah orang dewasa. Malah, Uzair menjadi orang paling muda di dunia melengkapkan siri kayuhan dalam Audax Brevet de Randonneur Mondizux (BRM), kejohanan tertua basikal Perancis yang turut popular di negara ini.

Kayuhan 200km hingga 600km dalam satu tahun menjadi Uzair layak tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai Super Randonneur termasuk di negara ini, bahkan di dunia.

Mula berbasikal

Anak ketiga dari empat beradik kepada pasangan Ahmad Syauqi Ahmad Said dan Munirah Hanim Ahmad Jahudi, kedua-dua 38 tahun, mula dibawa kayuh sekitar rumah pada 2019. Keesokannya Uzair mahu lagi dan lagi.

Sebelum ini, usaha memperkenalkannya kepada sukan lain – bola sepak, renang dan tenis – tidak berhasil. Riak Uzair juga ceria apabila diajak berbasikal.

Namun, Syauqi perlu membantu menukar gear kerana anaknya tidak mahir berbuat demikian. Justeru, beliau melengkapkan basikal itu dengan gear elektronik yang disambung dengan basikalnya menggunakan alatan tanpa wayar. Hanya perlu berada dalam jarak 10 meter.

Kumpulan Cycle Uzair Cycle yang ‘menjaga’ dan menyokong minat anak istimewa ini. Foto ARKIB SELANGORKINI

Uzair mula kayuh jarak jauh, bahkan mencecah 600km. Anaknya juga melengkapkan kayuhan acara BRM. Pencapaian itu melayakkan Uzair disenarai dalam Malaysian Book of Records sebagai Super Randonneur termuda Malaysia, juga dunia.

Selepas hampir dua tahun, kelajuannya mencapai purata 28km/jam, tahap individu normal. Tahun lalu, anaknya telah kayuh keseluruhan 12,000km. Uzair kian dikenali hingga tertubuhnya kumpulan Cycle Uzair Cycle. Mereka turut sama ‘menjaga’ anak kecil itu. Bukan mudah kerana Uzair berbeza daripada kanak-kanak lain.

“Sesiapa yang kayuh bersama Uzair perlu beri tumpuan 100 peratus. Uzair tidak boleh minum sambil kayuh atau ada masalah teknikal pada basikal atau topi keledar. Kami perlu sentiasa perhatikan lenggoknya ketika kayuh.

“Uzair kini makin faham. Selalunya seminggu sebelum bermula, kami terangkan kena fokus, tunjukkan laluan, di mana berhenti dan sebagainya. Lama-kelamaan, Uzair boleh faham. Sampaikan bila dipakaikan jersi, dia tahu hari ini kita ada misi,” kata Ahmad Syauqi.

Pengorbanan

Membesarkan Uzair bukan mudah. Ibu bapanya melalui tempoh sukar lantaran anak ketiganya tidak berupaya bertutur dengan baik. Sukar memahami apa yang dimahukan anak itu.

“Pernah Uzair panjat pagar rumah, lompat ke rumah jiran berulang kali. Memang tidak tahu penat. Dulu tidur pada jam 4 pagi. Kami kena peka supaya tidak datangkan bahaya.

“Menjerit sebagai cara menyatakan kemahuannya. Kami lali dengan pandangan jelik orang ramai kerana Uzair buat bising,” kata Munirah.

Ahmad Syauqi Ahmad Said (kiri) menyokong penuh minat anaknya yang aktif berbasikal yang menjadikannya semakin fokus dan mendengar kata. Foto ARKIB SELANGORKINI

Mereka juga membawa Uzair ke kelas terapi pertuturan dan program pendidikan awal untuk murid berkeperluan khas. Pernah, Uzair dibawa ke kelas terapi di Kedah hanya untuk kelas selama sejam.

Meski penat, mereka tempuhi jua. Mahu perkembangan Uzair setara dengan kanak-kanak lain. Namun, hanya empat doktor di negara ini yang ada kepakaran sedemikian. Mereka menunggu berbulan-bulan untuk janji temu pertama. Namun, mereka tidak sesekali berputus asa.

“Melihat Uzair sekarang, banyak kata saya beruntung sebab anak saya ‘behave’ (jaga kelakuan). Tapi mereka tidak nampak Uzair yang dulu. Yang mengamuk lima enam kali sehari, yang kotorkan dinding rumah, yang cederakan diri sendiri.

“Uzair yang sekarang selepas kami harungi tahun-tahun meletihkan. Namun, saya percaya anak autisme mampu berkelakuan normal jika diberi perhatian sebaik-baiknya,” kata Munirah.

Harapan mereka Uzair mampu menyara kehidupan sendiri hasil minatnya dalam berbasikal. Mungkin membuka bengkel sendiri kelak. Siapa tahu ia boleh jadi kenyataan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Berbasikal: Lebih 50 maut dalam kemalangan setakat Oktober

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 56 kematian daripada 137 kes kemalangan melibatkan penunggang basikal di negara ini bagi tempoh awal Januari hingga Oktober lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata selain daripada 56 kematian, 18 lagi cedera dan 63 cedera ringan.

Beliau berkata bagi tempoh sepanjang tahun lepas, JSPT merekodkan sejumlah 201 kes melibatkan 107 kematian, 35 cedera parah manakala 59 cedera ringan.

“Sejak kebelakangan ini aktiviti berbasikal di jalan raya menjadi satu trend baharu rakyat Malaysia sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan mendatangkan bahaya kepada penunggang motosikal serta pengguna jalan raya yang lain.

Walaupun tiada larangan aktiviti berbasikal di jalan raya, JSPT menasihatkan penunggang basikal agar sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan demi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azisman menegaskan aktiviti berbasikal di jalan raya boleh mengganggu kelancaran pergerakan lalu lintas kerana kenderaan lain turut menggunakan laluan sama setiap masa dan boleh mengundang risiko kemalangan.

“Pemandu kenderaan seperti lori, bas, kereta, motosikal dan seumpamanya turut diingatkan supaya bertimbang rasa dan lebih berhati-hati ke atas penunggang basikal kerana mereka ini amat terdedah kepada bahaya semasa berada di atas jalan raya.

JSPT turut menasihatkan mereka yang ingin menjalankan aktiviti berbasikal supaya memilih lokasi dan masa yang sesuai seperti di kawasan yang kurang kenderaan dan bukan di waktu puncak ketika pergi dan balik kerja,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pemilik perlu memastikan peralatan dan basikal yang akan digunakan hendaklah mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk menggunakan rak di bumbung sahaja pada kenderaan untuk mengangkut basikal.

Beliau berkata mana-mana orang yang melakukan kesalahan semasa menunggang basikal di atas jalan raya boleh diambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Antaranya Seksyen 54 (1) APJ 1987 iaitu menunggang secara melulu dan membahayakan, Seksyen 79(2) APJ 1987 mana-mana orang yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah melakukan suatu kesalahan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Raja Muda sertai berbasikal Selangor 600, bantu petugas hadapan

KUALA LANGAT, 12 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis penutup program berbasikal Selangor 600: ‘Our Community, Our Home’ sempena sambutan Hari Malaysia 2020.

Baginda tiba sekitar jam 11 pagi di Perkampungan Budaya Mah Meri, Pulau Carey bersama tiga pelumba basikal iaitu Mariana Mohammad, Adila J Sam dan Agnes Lim selepas menamatkan kayuhan sejauh 80km.

Anjuran Organisasi Selangor Youth Community (SAY), kembara menggunakan format berbasikal diilhamkan Tengku Raja Muda berlangsung selama lima hari bermula 8 September lalu dan berakhir hari ini bertujuan untuk memberi bantuan kepada petugas hadapan dan golongan memerlukan di sembilan daerah di Selangor.

Sepanjang 600km berbasikal, tiga pelumba berkenaan menyelusuri kawasan Sekinchan, Bukit Fraser, Kuala Lumpur, Sepang dan berakhir di Perkampungan Budaya Mah Meri.

Selain itu, mereka turut mengenalpasti beberapa lokasi menarik untuk dipromosikan sebagai pusat pelancongan sepanjang program yang berakhir hari ini.

 

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Buru slot tambahan Sukan Olimpik Tokyo 2020 – Azizulhasni

NILAI, 14 FEB: Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Berlin, Jerman, pada 26 Februari hingga 1 Mac ini menjadi platform bagi skuad negara meraih satu lagi slot tambahan dalam acara keirin dan pecut individu pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang berkata justeru dalam usaha meraih sasaran itu, beliau serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Mohd Zonis perlu berada di kedudukan enam terbaik secara keseluruhan dalam acara pecut pada kejohan tersebut.

“Fokus pada kejohanan dunia adalah untuk mendapatkan satu lagi slot dalam acara pecut supaya di Olimpik Tokyo nanti kita dapat sekurang-kurangnya dua individu bersaing dalam acara keirin dan pecut,” katanya pada sidang media mengenai persiapan skuad trek negara ke Berlin, di sini, semalam.

Selain sasaran berada di pentas podium, katanya, beliau akan menggunakan kejohanan itu untuk melakukan sebarang pelarasan sebelum menghadapi Sukan Olimpik 2020.

Mengenai persiapannya menjelang kejohanan trek dunia itu, Azizulhasni berkata meskipun hanya 90 peratus pulih selepas terbabit dalam kemalangan pada siri Piala Dunia di Brisbane, Australia, Disember lalu, namun persiapan tetap diteruskan.

“Bahu saya masih sakit kalau latihan di gimnasium atau berkayuh di atas ‘roller’ tetapi kayuhan di gelanggang tidaklah menjejaskan, tetapi secara keseluruhannya persiapan sudah mantap,” katanya.

Pada kejohanan trek dunia, Azizulhasni akan bersaing dalam acara keirin, Fadhil dalam acara 1 kilometer ujian masa dan ketiga-tiga pelumba negara itu turut mengambil bahagian dalam acara pecut.

Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dijadual bermula 22 Julai hingga 9 Ogos ini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Berbasikal bantu pelihara alam, kurangkan karbon dioksida

PUNCAK ALAM, 29 JUL: EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail menggalakkan masyarakat mengamalkan aktiviti berbasikal bagi mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida.

Rodziah berkata, ia selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri yang menjadikan Ahad sebagai hari tanpa kenderaan pada setiap minggu.

“Kita berhasrat hari tanpa kenderaan yang diamalkan di Selangor ini dijadikan contoh di seluruh negeri di Malaysia terutamanya supaya amalan gaya hidup sihat itu dapat dipraktikkan dalam kehidupan harian.

“Kini, lorong berbasikal sudah diwujudkan bukan sahaja di Selangor malah di beberapa bandar besar seperti Wilayah Persekutuan sudah mula menyediakannya bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat bersukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Persidangan Kerjasama Industri Basikal Malaysia-China bertempat di Dewan Aktiviti Eco Grandeur, di sini, hari ini.

Sementara itu, Rodziah memuji inisiatif dilaksanakan Syarikat Evanda Sdn Bhd dari negara China itu yang berusaha membina trek berbasikal 10 kilometer (km) di kawasan Eco Grandeur.

“Wujudnya trek sejauh 10km ini dengan mempunyai ciri keselamatan sudah pasti akan menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk menjalani aktiviti berbasikal.

“Terima kasih kepada Syarikat Evanda Sdn Bhd kerana berusaha memastikan masyarakat di Selangor dan Malaysia untuk memulakan kehidupan baru dengan menjadikan aktiviti basikal sebagai keutamaan,” katanya.

Categories
SELANGOR

400 meriahkan ‘The Ride of Honour’ sejauh 22 KM

OLEH : NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 13 MAC: Kira-kira 400 pengayuh basikal memeriahkan program kayuhan basikal ‘The Ride of Honour’ sepanjang 22 kilometer bermula dari Kompleks Kemudahan Kemasyarakatan (3K).

Ia diadakan sempena tanda hormat dan menghormati Allahyarham Shamsul Aizat Mohamad Basar yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhampiran persimpangan Summit USJ pada 24 Disember lalu ketika berbasikal.

CP2A6931(1)Presiden Persatuan Berbasikal Masters Malaysia, Shaharudin Jaffar, berkata objektif Utama acara ini diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan diri kepada orang ramai khususnya pengguna lebuh raya.

“Mesej ini penting buat pengguna supaya peka dengan keselamatan diri sendiri dan bertolak ansur antara satu sama lain semasa menggunakan jalan raya.

“Kita mahu pengguna lebih peka mereka harus berkongsi jalan raya antara satu sama lain bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang kembali,” katanya kepada SelangorKini.

Shaharudin yang juga Bekas Pelumba Basikal Negara berkata misi itu turut dianjurkan bagi mengumpul dana untuk keluarga Allahyarham.

Katanya, ia bagi meringankan beban yang dihadapi selepas kematian Allahyarham.

CP2A7176“Misi ini juga bagi merayu kepada pihak berkenaan untuk menjadikan laluan berbasikal Subang-USJ selamat kepada semua penunggang basikal seterusnya mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

Acara itu juga menyaksikan peserta memakai kemeja T berwarna putih sebagai tanda hormat kepada Allahyarham.

Peserta kayuhan itu juga turut berhenti di kawasan kemalangan Allahyarham yang ditandakan dengan Bendera Malaysia.

Hasil Tinjauan SelangorKini di Persimpangan Summit USJ itu, pengayuh basikal mahupun motorsikal terpaksa memasuki sebahagian lebuh raya dan berkongsi laluan kerana ketiadaan laluan khusus.

Laluan itu wujud pada mulanya semasa reka bentuk asal lebuh raya namun apabila kerja pelebaran dijalankan tiada lagi laluan itu.

EZY

1,000 peserta berbasikal di Pulau Indah, 17 Jan ini


1,000 peserta bakal sertai kayuhan basikal 180km Pulau Indah, 17 Januari ini.

Categories
SELANGOR

1,000 bakal sertai kayuhan basikal 180km Pulau Indah

Oleh : AFEEQA AFEERA

PULAU INDAH, 12 JAN : Pertama kali dalam sejarah, acara kayuhan basikal sejauh 180 kilometer (km) bakal berlangsung di Pulau Indah pada 17 Januari ini.

Acara bertemakan “Ride For Glory” itu membabitkan 1,000 peserta dari dalam dan luar negara seperti Indonesia, Singapura, Great Britain, Amerika Syarikat, China dan Sepanyol.

cycling spectrum 2016Penyelaras Projek Pulau Indah 180, Juned Mustafa, berkata program itu berbeza daripada kebiasaan ekoran jaraknya yang jauh menguji ketahanan fizikal peserta.

“Acara ini unik kerana biasanya paling jauh pernah diadakan adalah 160km dan peserta perlu melalui Pulau Indah, Banting, Bandar Enstek, Sepang dan kembali semula ke Pulau Indah.

“Hanya cuaca akan menentukan peserta mana lebih kuat memandangkan laluan dan jarak itu sangat mencabar,” katanya kepada SelangorKini.

Program kendalian Central Spectrum Sdn Bhd itu bertujuan mempromosikan aktiviti sihat di samping memperkenalkan industi Halal Hub di Selangor.

Pada masa sama, Juned berkata, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu terbuka, junior veteran, veteran dan wanita yang menerima sambutan memberangsangkan.

Katanya, program itu bakal menjadi acara tahunan dan turut membabitkan kakitangan Central Spectrum.

“Kita akan perbaki pada masa akan datang supaya ia menjadi acara tahunan dan menerima lebih ramai penyertaan.

“Kita berpegang kepada konsep pekerja sihat meningkatkan produktiviti, justeru kita mahu semua peserta turut mendapat manfaatnya dan lebih menjaga kesihatan,” katanya.

Acara itu menawarkan RM3,000 bagi juara setiap kategori, RM2,000 bagi naib johan sementara tempat ketiga bakal menerima RM1,500.

EZY

Categories
NASIONAL

KitaLawan: Jom berbasikal keliling K.Lumpur 18 April

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 APR: Gerakan Kita Lawan akan turun ke jalanan (18 April) Sabtu ini, dengan berbasikal di sekitar Kuala Lumpur.

Sekretariatnya, Akmal Nasir berkata taktik berbasikal itu ditukar ekoran sebelum ini gerakannya ditangkap kerana berkumpul.

Kita-Lawan“Sebelum ini, kami berkumpul kemudian ditangkap di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Oleh itu, kami menukar taktik dengan berbasikal pula,” katanya pada forum Black14: dari Reformasi ke #KitaLawan di bangunan Malaysiakini di Petaling Jaya, malam tadi.

Beliau berkata gimik itu menjadi kaedah demonstrasi terbaru #KitaLawan dan yakin ia tidak melanggar undang-undang Akta Perhimpunan Aman.

“Kita belum pernah protes secara berbasikal. Tak menjadi kesalahan, kerana dari segi undang-undang tidak ada akta melarang orang awam berbasikal,” kata Pengarah Strategi AMK PKR itu.

Akmal berkata protes berbasikal itu bermula dari Dataran Merdeka di Jalan Raja Laut ke KLCC dan tempat lain dan butiran lanjut diumumkan kelak.

Pada 2008, polis menahan beberapa aktivis mengambil bahagian dalam kempen Rangkaian Rakyat Tertindas (JERIT) berbasikal ke seluruh Semenanjung menegakkan hak pekerja.

Kumpulan aktivis berbasikal beramai-ramai di jalan sibuk di bandaraya menuntut hak berkongsi ruang di jalan raya.

“Jadi protes berbasikal itu bukan sesuatu baru di Kuala Lumpur atau Malaysia,” katanya.

Panelis lain dalam forum malam tadi ialah aktivis Abdul Malek Husin, Peguam Michelle Yesudas dari Lawyer For Liberty (LFL) dan Editor The Malaysian Insider (TMI), Amin Iskandar.

EZY

Categories
NASIONAL

Peringkat ke-7 Le Tour De Langkawi bermula hari ini

Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 14 MAC: Peringkat ketujuh perlumbaan berbasikal Le Tour De Langkawi (LTdL) 2015 dari Shah Alam ke Genting Highlands, dilepaskan kira-kira jam 11 pagi tadi.
Pelumba dilepaskan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafiddin Idris Shah di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Turut mengiringi Raja Muda, Exco Sukan, Amiruddin Shaari.
Le Tour De Langkawi di Dataran kemerdekaan Shah Alam (9)Seramai 131 pelumba dari pasukan profesional dan amatur akan melalui kawasan Bukit Cerakah, Puncak Alam, Sungai Buloh, Gombak sebelum tiba di Genting Higlands (177km).
Laluan itu membabitkan tiga zon pecutan di Puncak Alam, Sungai Buloh dan Gombak selain tiga zon pendakian di Bukit Cerakah, Genting Sempah dan Bukit Fraser.
Edisi LTdL ke-20 kali ini menyaksikan peserta menempuh laluan di lapan peringkat berbanding 10 peringkat tahun lepas berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.
Peringkat pertama yang berlangsung di Pulau Langkawi semalam meliputi laluan sejauh 101.1 km, peringkat kedua Alor Setar-Sungai Petani (185 km), peringkat ketiga Gerik-Tanah Merah (170 km) dan peringkat keempat Kota Baharu-Kuala Berang (164.5 km).
Peringkat kedua perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 sejauh 185km meliputi laluan Alor Setar-Sungai Petani.
Le Tour De Langkawi di Dataran kemerdekaan Shah Alam (13) Peringkat kelima LTdL pula meliputi laluan Kuala Terengganu-Kuantan (200 km), peringkat keenam Maran-Karak (96.6 km), peringkat ketujuh Shah Alam-Genting Highlands (105.7 km) dan peringkat terakhir Kuala Kubu Baharu-Kuala Lumpur sejauh 96.1 km.
Semalam, pelumba muda Australia, Caleb Ewan, semakin menghampiri untuk mencipta nama sebagai pelumba ketiga merangkul gelaran berganda pada perlumbaan LTdL.
Pelumba berusia 20 tahun daripada pasukan Orica GreenEdge berada di laluan betul untuk menyarung jersi kuning, juara keseluruhan dan jersi biru (Raja Pecut) selepas menjuarai perlumbaan Peringkat 6 dari Maran ke Karak.
-NFN-
Categories
SELANGOR

Wujud R&R popularkan aktiviti berbasikal

Oleh: HAFIZAN TAIB

SEPANG, 15 FEB: Kewujudan kemudahan Rehat dan Rawat (R&R) di Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu, dirancang Kerajaan Negeri bagi menggalakkan aktiviti berbasikal di kalangan orang ramai khususnya penggemar sukan itu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata lokasi itu dipilih khususnya untuk pembinaan R&R kerana ia didapati sesuai dan menjadi tumpuan golongan berkenaan.

kayuh basikal yunus morib 01“Ia membabitkan mereka yang suka berbasikal,” katanya kepada SelangorKini di sini, semalam.

Elizabeth berkata, buat masa ini tiada perancangan untuk membina R&R sama di kawasan lain kerana ingin memberi tumpuan di situ supaya orang ramai menggunakan kemudahan disediakan.

Katanya, melalui pendekatan itu, R&R terbabit akan lebih dikenali dan dikunjungi ramai selain aktiviti berbasikal menjadi lebih popular.

“Setakat ini tidak tetapi kita bagi sokongan R&R ini dahulu kerana ia boleh dikatakan kawasan untuk aktiviti rekreasi berbasikal (recreational cycling),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Negeri ingin mempraktikkan teknologi hijau dalam pembangunan negeri.

“Untuk motosikal? Saya pilih teknologi hijau,” katanya.

Difahamkan, Kerajaan Negeri mewujudkan R&R itu dengan peruntukan kira-kira RM50,000 untuk menarik minat penggemar sukan berbasikal dan orang ramai.

EZY