Categories
AGENDA JENAYAH

Ketua balai polis berhibur di balai digantung kerja

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Seorang ketua balai polis yang ditahan selepas dipercayai berhibur di sebuah balai polis di daerah Kajang pada Selasa lepas, digantung kerja mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad berkata tindakan itu dilaksana selepas hasil ujian air kencing pegawai polis berpangkat Sub Insp itu, didapati positif ganja dan direman dua hari bagi membantu siasatan.

Sementara itu, baki tujuh individu terdiri daripada tiga anggota polis dan empat orang awam turut terlibat dalam serbuan itu dibebaskan dengan jaminan.

“JIPS dalam pada itu masih menjalankan siasatan lanjut berhubung salah laku dan tatatertib anggota terlibat manakala yang lain diserahkan kepada bahagian-bahagian berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam serbuan pada 6 petang itu, selain ketua balai, turut ditahan dua anggota polis berpangkap Koperal dan seorang Koperal Sokongan bersama empat wanita, ketika mereka sedang berhibur di dalam bilik khas di balai polis berkenaan.

Semasa serbuan, polis turut merampas antaranya beberapa botol air disyaki air ketum, botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, mikrofon dan televisyen.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Berhibur ketika PKPP, 26 individu ditahan tidak patuh SOP

JOHOR BAHRU, 31 OGOS: Polis menahan 26 individu termasuk dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Bayu 1/2, Taman Nusabayu, Gelang Patah, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata serbuan dibuat pada pukul 12.30 tengah malam hasil maklumat dari orang awam.

Beliau berkata semasa diserbu kesemua mereka yang berumur antara 16 dan 34 tahun didapati sedang minum arak dan berhibur, dan apabila diperiksa 11 daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Bagaimanapun ujian saringan air kencing yang dijalankan menunjukkan kesemua mereka negatif dadah. Selain itu, pihak premis didapati gagal mengemukakan lesen hiburan dan tidak melaksanakan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata 25 warga tempatan yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor dan Seksyen 25(1) Akta Pendaftaran Negara dan Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 manakala tangkapan wanita Indonesia disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Polis juga mengeluarkan kompaun ke atas semua mereka kerana kesalahan pelanggaran SOP PKPP.

-BERNAMA