Categories
GLOBAL

Seorang rakyat Malaysia antara 3 warga asing dibunuh di Afghanistan

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 2 OGOS: Agensi Berita Tempatan Afghanistan TOLO NEWS melaporkan sumber polis mengesahkan mayat tiga warga asing ditemui di daerah Mussahi pagi ini.

Dilaporkan tiga rakyat asing yang bekerja di Kabul dibunuh pada hari Khamis pagi oleh lelaki bersenjata tidak diketahui.

Seorang India, seorang rakyat Malaysia dan seorang rakyat Macedonia dilaporkan telah diculik pada awal pagi dan mayat mereka kemudiannya ditemui di daerah Mussahi di wilayah Kabul.

Mereka diculik dari PD9 di bandar raya ini.

Polis telah mengesahkan insiden itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut walaupun dipercayai lelaki itu bekerja untuk syarikat logistik.

Tiada kumpulan yang masih belum bertanggungjawab untuk kejadian itu.

Sementara itu, REUTERS melaporkan seorang diplomat kanan di sini berkata, ketiga-tiga mereka bekerja untuk syarikat perkhidmatan makanan dan katering kedua terbesar di dunia, Sodexo.

 “Seorang rakyat India, seorang Malaysia dan seorang Macedonia diculik dan dibunuh. Kami sudah menemui mayat mereka,” kata jurucakap Ketua Polis Kabul, Hashmat Stanekzai kepada Reuters.

Seorang pegawai keselamatan Afghanistan berkata, mereka menemui kad pengenalan bersebelahan mayat mangsa dan sedang mencari maklumat daripada syarikat berkenaan.

 

SUMBER: https://www.tolonews.com/afghanistan/three-foreigners-killed-after-being-kidnapped-kabul#

Categories
GLOBAL

Rangkuman Berita Antarabangsa dalam SEMINGGU

DISEDIAKAN OLEH: MOHD EZLI MASHUT

Berikut adalah berita menarik dan penting antarabangsa yang berlaku dalam seminggu:

1. Sebastian Kurz pemimpin termuda dunia

VIENNA – Pemimpin Parti Rakyat Austria, Sebastian Kurz memenangi Pilihan Raya Umum negara itu, sekali gus menjadikan beliau sebagai ketua kerajaan termuda di dunia.

Kurz, 31 yang pernah mencipta sejarah sebagai Menteri Luar termuda Eropah mengumumkan kemenangannya Isnin lalu selepas lebih 90 peratus undi dikira. – AFP

 

2. New Zealand pilih PM baharu

WELLINGTON – Pemimpin pembangkang New Zealand, Jacinda Ardern dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri baharu negara ini selepas pemimpin populis, Winston Peters menyokong wanita berusia 37 tahun itu untuk membentuk kerajaan.

Keputusan itu dibuat Peters selepas keputusan pilihan raya pada 23 September lalu ‘terikat’ memberikan Parti Buruh jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan perikatan dengan Parti Pertama New Zealand yang diketuai Peters dan Parti Greens – AFP

 

3. Peperangan di Marawi berakhir

BANDAR MARAWI – Filipina bersiap sedia untuk mengisytiharkan berakhirnya pertempuran di bandar ini yang terletak di selatan Filipina selepas hampir lima bulan ditawan oleh militan pro-Daesh.

Dipercayai pada masa kini, tinggal kira-kira 20 anggota militan di bandar itu termasuk lima pemimpin mereka ketika tiga batalion tentera mula berundur, kata komander pasukan, Leftenan Jeneral, Carlito Galvez. – REUTERS.

 

4. Masjid di Kabul di bom, 59 terkorban

KABUL – Sebanyak 59 orang terbunuh apabila pengebom bunuh diri meletupkan diri dalam dua serangan ke atas masjid secara berasingan di sini kelmarin, kata beberapa pegawai.

Dalam serangan pertama di sebuah masjid Syiah di sini sekurang-kurangnya 39 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh, manakala 45 yang lain cedera apabila pengebom meletupkan perantinya ketika umat Islam menunaikan solat Maghrib. – AFP

 

5. 15,000 kanak-kanak kecil mati setiap hari akibat penyakit boleh dirawat

NEW DELHI – Di sebalik penurunan kadar kematian bayi, sebanyak 15,000 kanak-kanak berumur bawah lima tahun meninggal dunia pada setiap hari di seluruh dunia akibat pelbagai penyakit yang dapat dibendung, kata laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Laporan itu memberi amaran bahawa lebih 60 juta anak kecil akan mati bermula sekarang hingga tahun 2030 akibat penyakit yang dapat disembuhkan ekoran sebahagian negara di Asia Selatan dan Afrika gagal memberikan rawatan lebih baik. – AFP

 

6. 340,000 kanak-kanak Rohingya menderita

GENEVA: Lebih 340,000 kanak-kanak Rohingya hidup dalam keadaan menyedihkan di kem-kem pelarian di Bangladesh dengan dikelilingi persekitaran yang kotor selain dihimpit masalah kekurangan makanan, air bersih dan penjagaan kesihatan, lapor Tabung Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Menurut laporan bertajuk Outcast and Desperate yang ditulis oleh pegawai UNICEF, Simon Ingram, kira-kira 12,000 kanak-kanak menyertai kem pelarian di Bangladesh setiap ming­gu dan kebanyakan daripada mereka mengalami masalah trauma dengan kekejaman tentera Myanmar yang mereka saksikan. – REUTERS

 

7. Najis dinosaur suburkan bumi

Sekumpulan penyelidik dari Amerika Syarikat (AS) berjaya membuktikan najis dinosaur boleh membantu menyuburkan seluruh muka bumi dan kesannya masih dirasai hingga hari ini.

Hasil kajian tersebut juga menunjukkan, haiwan purba bersaiz besar itu sangat penting terhadap ekosistem berbanding penemuan sebelum ini. – MAIL ONLINE

 

8. Artifak zaman Uthmaniyyah dipamer di London

Satu siri artifak Uthmaniyyah yang jarang ditemui dipamerkan dalam pameran London oleh Sotheby’s – salah satu daripada broker seni terbesar di dunia.

Koleksi peribadi Serge Brunst, penghias terkenal dari Beirut, termasuk contoh-contoh buku tulisan tangan yang jarang ditemui termasuk al-Quran, karpet istana, porselin, artifak dan barangan lain dari zaman Uthmaniyyah. – ANADOLU NEWS AGENCY

 

9. Erdogan – Putin bincang isu serantau & ekonomi

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin membincangkan isu-isu serantau dan ekonomi melalui telefon, kata sumber presiden Turki.

Kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk menyelaraskan dan bekerjasama rapat dengan isu-isu serantau, termasuk proses Astana di Syria.

Kedua-dua pemimpin juga menyatakan kepuasan terhadap jumlah dagangan bersama yang telah meningkat sebanyak 21.7 peratus dalam lapan bulan pertama 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.- ANADOLU NEWS AGENCY

 

10. ISTANBUL: Usaha berterusan Malaysia untuk membantu pelarian Rohingya yang kini berlindung di Bangladesh mendapat pujian dan penghargaan daripada negara-negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8) khususnya oleh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan – BERNAMA

 

11. Samsung versi lama lebih gempak daripada Iphone 8?

PENJUALAN produk terbaharu gergasi teknologi Apple Inc, Iphone 8 pada tahun ini dilaporkan agak kelam sambutannya berbanding pelancaran produk keluarannya sebelum ini.

Dakwa pengkaji produk dari majalah ternama di Amerika Syarikat, Consumer Report, tiga jenis telefon bimbit versi lama keluaran Samsung lebih mendapat perhatian serta hebat prestasinya berbanding keluaran terbaharu Apple ini. – AGENSI

 

12. Pandan bakal jadi pilihan penting chef di AS dan UK

SHAH ALAM: Siapa sangka tumbuhan yang mudah ditanam di belakang rumah serta tidak perlu penjagaan rapi dan rumit bakal menjadi sumber tambahan masakan penting dan trend baharu perisa di Amerika Syarikat (AS) dan Britain (UK).

Chef dan trend setter popular dalam bidang masakan di Amerika Syarika, Nigella Lawson berkata, tumbuhan itu adalah pandan apabila bakal jadi bahan masakan kegilaan tukang masak di US dan UK.

Beliau berkata ia hanya waktu dan masa sesuai sahaja sebelum daun pandan mula ‘menyerang’ dapur di Britain. – SELANGORKINI

 

13. Menakutkan, matahari jadi merah, langit jadi kuning di UK

GLOBAL: Masyarakat United Kingdom menyaksikan fenomena ‘unik’ dan jarang-jarang berlaku apabila Matahari kelihatan berwarna merah dan langit kekuningan.

Suasana itu mendapat perhatian pengguna media sosial dengan memuat naik ke laman sosial berkongsi suasana ‘menakutkan’ itu seolah-olah ‘hampir kiamat’.

Perubahan di langit itu dipercayai disebabkan oleh Taufan Ophelia, yang kini bergerak dari pantai barat Ireland dan bergerak ke utara di seluruh Scotland.
Ia menyebabkan matahari kelihatan merah dan langit kelihatan kuning di beberapa bahagian England, termasuk Midlands dan barat daya. – SELANGORKINI

 

14. MOGADISHU: Angka korban disebabkan letupan trak berjumlah 358 mangsa dengan 56 lagi masih hilang, kata Menteri Komunikasi Somalia.

Letupan itu didakwa dilakukan militan As-Syabab merupakan tragedi pengeboman terburuk sejarah negara itu dan dianggap tragedi 9-11 versi Somalia. – BBC NEWS

Categories
GLOBAL

Apa yang berlaku DUNIA hari ini? Suspek serangan bom dikenalpasti, China rancang bina bandar baru, jualan kereta Korea Selatan jatuh merudum

Berikut adalah rumusan dan rangkuman berita antarabangsa sehingga jam 03.00 PETANG: 4 APRIL 2017, seperti dilaporkan agensi berita antarabangsa:

 
1. MOSCOW: Suspek kejadian bom di St Petersburg, dipercayai warga Russia kelahiran Kyrgyz, lapor agensi berita Interfax yang memetik perkhidmatan keselamatan Kyrgyzstan, hari ini. – Reuters

 

2. CHINA: Kerajaan China merancang untuk membangunkan bandar baru berkeluasan tiga kali ganda daripada saiz kotaraya New York. Cadangan itu untuk mengatasi masalah pencemaran dan kesesakan jalan raya. THE GUARDIAN

 

3. SEOUL: Korea Utara memberi amaran akan bertindak balas jika masyarakat antarabangsa mula meningkatkan sekatan berikutan ujian senjata terbaharunya.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan ancaman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bahawa negara itu bersedia untuk bertindak terhadap Pyongyang, jika China gagal berbuat demikian. – AFP

 
4. WELLINGTON: Seorang wanita meninggal dunia, manakala sekurang-kurangnya 14 yang lain dimasukkan ke hospital akibat demam kepialu, kata pihak berkuasa kesihatan New Zealand.

Penyakit yang berpunca daripada bakteria itu paling lazim berlaku di negara-negara membangun. – AP

 
5. MOCOA, COLOMBIA: Anggota penyelamat dan ahli keluarga bertungkus-lumus mencari mangsa banjir lumpur dan tanah runtuh di Colombia yang telah mengorbankan 254 orang, mencederakan beratus-ratus yang lain dan memusnahkan seluruh kawasan kejiranan kelmarin.

Air di beberapa sungai melimpah ke tebing di bandar Mocoa pada awal pagi Sabtu lalu menyebabkan banjir, lumpur dan sisa runtuhan melimpah ke jalan-jalan dan memusnahkan rumah ketika penghuninya tidur. – REUTERS

 

6. HANOI: Tentera Filipina membunuh sekurang-kurangnya 10 militan Daesh yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf dalam usaha menyelamatkan tebusan asing termasuk warga Vietnam di selatan Pulau Jolo, wilayah Sulu, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Komander tentera barat Mindanao Mejar Jeneral Carlito Galvez pada Isnin berkata, sehari sebelum operasi menyelamatkan tebusan dilakukan, seramai 32 tentera Filipina cedera dalam satu serangan di kawasan persembunyian kumpulan pemberontak di bandar Talipao yang dipercayai tempat menyembunyikan enam tebusan warga Vietnam. – BERNAMA

 
7. SUVA: Menurut statistik polis Fiji yang dikeluarkan pada minggu ini, dalam tempoh enam tahun lepas, lebih 1,350 rakyat Fiji dilaporkan membunuh diri atau cuba membunuh diri, lapor agensi berita China Xinhua.

Penolong Pesuruhjaya Polis Fiji Isikeli Ligairi berkata pada Simposium Pencegahan Bunuh Diri Kebangsaan pada Selasa, terdapat peningkatan ketara dalam statistik dan angka itu amat membimbangkan. – XINHUA

 
8. SEOUL: Korea Selatan dan Kenya mengadakan rundingan antara kedua-dua negara bagi memperkukuh kerjasama ekonomi termasuk pelaburan dan perdagangan. – YONHAP NEWS

 
9. SEOUL: Jualan kereta ke China oleh Hyundai Motor Co dan Kia Motor Corp. pada Mac jatuh mendadak berbanding tahun lepas ekoran pertikaian antara Seoul dan Beijing berhubung isu sistem senjata pemintas Amerika Syarikat THAAD.

Data dikeluarkan pengeluar kereta Korea Selatan menjual 72,032 di China pada Mac menjunam 52 peratus berbanding 150,592 unit kereta pada 2016- YONHAP NEWS.

 
10. SYRIA: Badan pemantau antarabangsa melaporkan berlaku serangan ‘gas beracun’ sehingga mengorbankan 18 masyarakat awam.

 

DISEDIAKAN OLEH: MOHD EZLI MASHUT

Categories
GLOBAL

Apa yang berlaku DUNIA hari ini? Harimau punca lapangan ditutup, lagi kapal dirampas, teknik CIA didedah Wikileaks

Berikut adalah rumusan dan rangkuman berita antarabangsa sehingga jam 10.30 PAGI: 4 APRIL  2017, seperti dilaporkan agensi berita antarabangsa:
1. KATHMANDU – NEPAL . Nepal terpaksa menutup lapangan terbang antarabangsanya selama setengah jam ekoran seekor harimau bintang dikesan berada berhampiran dengan landasan.

Jurucakap lapangan terbang di Kathmandu berkata, pegawai hidupan liar dan keselamatan mencari haiwan itu dipercayai bersembunyi di dalam longkang selepas ia ditemui oleh seorang juruterbang. – AFP

 

2. MOSCOW: Sepuluh orang terbunuh dalam letupan sistem metro St Petersburg hari ini, kata sumber perkhidmatan kecemasan Rusia kepada Reuters.

Terdapat letupan dalam 2 gerabak kereta api di 2 stesen metro, kata perkhidmatan kecemasan St Petersburg. – INTERFAX

 

3. MOCOA, Colombia: Pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa terselamat di dalam banjir lumpur di selatan Columbia yang sudah mengorbankan 262 mangsa, termasuk 43 kanak-kanak.

Sebahagian besar mangsa memanjat atap bumbung atau berpaut pada pokok selepas lautan lumpur, batu dan serpihan merempuh perkampungan di Mocoa, lewat Jumaat lalu. – AFP

 

4. KAHERAH: Pasukan arkeologi Mesir mencatatkan penemuan terbaru iaitu sisa piramid yang dibina pada Dinasti ke-13, kira-kira 3,700 tahun lalu.

Ketua Sektor Antikuiti Antik Mesir, Mahmoud Afifi dalam satu kenyataan hari ini berkata, sisa piramid itu terletak di bahagian utara piramid Raja Sneferu di dalam kawasan makam diraja Dashnur di selatan Kaherah. – AP

 

5. SEOUL – Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan latihan ketenteraan bersama sebagai persediaan menangani ancaman peluru berpandu kapal selam Korea Utara, kata Kementerian Pertahanan.

Latihan yang bermula selama tiga hari itu melibatkan lebih 800 tentera selepas Presiden AS, Donald Trump memberi amaran bahawa AS bersedia untuk bertindak secara bersendirian dalam menyekat program senjata nuklear Korea Utara. – AFP

 

6. KHARTOUM: The Turkish Cooperation and Coordination Agency (TIKA) menyerahkan sumbangan kemanusiaan kepada 1,300 pelarian Sudan di Selatan negara itu. Sumbangan itu diagihkan kepada mangsa pelarian di bandar Kosti negera itu. ANADOLU AGENCY

 

7. CHINA: Kerajaan China menyasarkan 80 peratus warganegaranya untuk boleh berkomunikasi dalam bahasa Mandarin menjelang 2020. Ketika ini jumlah yang berkomunikasi berjumlah 70 peratus. – BBC NEWS

 

8. WASHINGTON: Kempen dijalankan Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) berhadapan ‘masalah’ ekoran pendedahan teknik digunakan agensi itu oleh Wikileaks. – BBC NEWS

 

9. KINABATANGAN,: Tiga mayat dipercayai mangsa banjir lumpur di Ladang Sen Fu, dekat Tongod, ditemui di dua lokasi berasingan di Tongod. Dua mangsa pertama ditemui malam tadi oleh penduduk Kampung Masaum, manakala satu lagi ditemui tadi pagi di kampung berhampiran iaitu Kampung Mangkawago. – BH ONLINE

 

10. SOMALIA: Lanun dipercayai merampas sebuah kapal laut dagang milik India dalam satu kejadian di pantai Somalia. Kejadian itu adalah kedua dalam seminggu selepas aktiviti lanun di perairan itu tidak berlaku sejak bertahun. – AL JAZEEERA

 

11. KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Moscow sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti Malaysia di St Petersburg bagi memastikan tiada rakyat negara ini terbabit dalam insiden letupan kereta api bawah tanah, semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra juga mahu rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden itu dan memerlukan bantuan konsular supaya menghubungi pihak kedutaan besar Malaysia di sana segera.

Mana-mana pihak yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pejabat keduataan Malaysia di Moscow, +7 495 419 9898 / +7 495 419 9899 atau e-mel : [email protected]. – BH ONLINE

 

DISEDIAKAN OLEH: MOHD EZLI MASHUT

Categories
GLOBAL

Apa yang berlaku DUNIA hari ini?

Berikut adalah rumusan dan rangkuman berita antarabangsa sehingga jam 12.00 TENGAH HARI, 28 MAC 2017, seperti dilaporkan agensi berita antarabangsa:
1. SYDNEY: Lebih 25,000 orang yang tinggal di kawasan pantai di wilayah Queensland Australia dipindahkan sebelum Taufan Debbie melanda kawasan itu tengah hari ini.

Taufan kategori empat itu dijangka membadai bahagian pantai dari bandar Ayr hingga bandar Bowen dengan angin sekencang 260 kilometer sejam. – ASTRO AWANI

 

2. MAPUTO: Sekurang-kurangnya lima orang dikhuatiri terkorban apabila sebuah pesawat kecil terhempas di Zimbabwe berhampiran sempadan dengan Mozambique.

Pihak berkuasa Mozambique berkata, enam orang termasuk dua kru berada dalam pesawat yang terbang dari bandar pelabuhan Beira ke Mutare di sempadan timur Zimbabwe. – AFP

 

3. BERLIN: Pencuri memecah masuk Bode Museum di ibu kota ini pada awal pagi Isnin dan melarikan syiling emas gergasi seberat 100 kilogram bernilai jutaan dolar.

Jurucakap polis, Stefen Petersen, berkata pencuri dipercayai masuk ke muzium itu menerusi sebuah tingkap kira-kira jam 3.30 pagi, memecahkan kabinet di mana syiling ‘Big Maple Leaf’ disimpan. – AP

 

4. LONDON  – Gara-gara tidak puas hati dengan sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Liverpool, Manchester City didenda 35,000 pound (RM193,550) atas kesalahan bertindak terlalu agresif ke atas pengadil perlawanan. – AFP

 

5. MOSCOW – RUSIA. Pihak berkuasa Rusia, kelmarin memberkas kira-kira 500 penunjuk perasaan termasuk pemimpin pembangkang, Aleksei Navalny yang menyertai protes antirasuah besar-besaran di ibu negara yang disifatkan sebagai demonstrasi terbesar dalam tempoh lima tahun terhadap Presiden Vladimir Putin.

Bantahan disertai ribuan penunjuk perasaan itu turut diadakan di seluruh negara termasuk di Saint Petersburg, Vladivostok, Novosibirsk, Tomsk dan beberapa bandar lain.- AGENSI

 

6.TOKYO – Seramai lapan pelajar sekolah tinggi di Jepun mati akibat tertimbus dalam runtuhan salji semasa keluar mendaki gunung, kata beberapa pegawai.

Pihak berkuasa tempatan dan polis mengesahkan runtuhan salji berlaku di gunung berkenaan dalam wilayah Tochigi, utara Tokyo awal semalam. – AFP

 

7. NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT: Amerika Syarikat, Britain dan Peranchis adalam antara 40 negara yang memboikot perbincangan mengenai pengharaman senjata nuklear di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – AL JAZEERA

 

8. KUALA LUMPUR: Malaysia dan Perancis memeterai enam memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang ekonomi dan perdagangan, hari ini. Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan Presiden Perancis, Francois Hollande dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. – BH ONLINE

 

9. ANKARA, TURKI: Kerajaan Turki dan Pakistan memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua buah negara melalui pertemuan Perdana Menteri Turki Binali Yildirim dan Speaker Parlimen Pakistan Ayaz Sadiq. – ANADOLU AGENCY

 

10. PARIS: Pemanasan global memburukkan kemarau dan banjir apabila ia turut mengganggu aliran arus udara pada altitud tinggi yang bergerak dari barat ke timur di seluruh hemisfera utara, kata penyelidik, hari ini seperti dilaporkan dalam jurnal Scientific Reports. – AFP

 

DISEDIAKAN OLEH: MOHD EZLI MASHUT