Categories
AGENSI SELANGOR

Laporan sebar berita palsu Covid-19 kurang, polis terus pantau

SHAH ALAM, 20 FEB: Tindakan tegas terhadap penyebar berita palsu berhubung Covid-19 menunjukkan hasil apabila laporan polis berkaitan perbuatan itu semakin kurang, kata Ketua Polis Selangor.

Datuk Noor Azam Jamaludin bagaimanapun berkata polis akan terus memantau media sosial bagi mengelak kebimbangan ramai, lapor Berita Harian.

“Tindakan tegas sudah dilakukan pihak berkuasa termasuk polis bagi mendakwa mereka yang melakukan kesalahan itu di mahkamah dan ia sangat berkesan bagi membendung penyebaran berita palsu berkenaan Covid-19,” katanya pada majlis serah terima tugas ketua polis daerah Sepang yang baharu semalam.

Mengulas insiden anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya yang terbabit dalam pergaduhan di pusat komersial USJ 9, Subang Jaya Noor Azam berkata polis sedang mengumpul keterangan saksi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Dapatkan fakta daripada sumber sahih

KUALA LUMPUR 13 FEB: Penting bagi semua pihak mendapatkan kebenaran dan fakta daripada sumber yang sahih berhubung penularan koronavirus 2019 (COVID-19), kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Setiap orang mesti bertanggungjawab apabila berkongsi maklumat dan lebih baik bagi kita untuk tidak berkongsi jika sumber dan kesahihannya diragui,” katanya dalam kenyataan media.

Dr Noor Hisham berkata, maklumat terkini mengenai situasi COVID-19, nama rasmi bagi novel koronavirus 2019, di Malaysia boleh didapati di saluran media sosial rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Berdasarkan penilaian terkini KKM, keadaan jangkitan COVID-19 adalah terkawal dan dalam fasa pembendungan awal. KKM akan terus mengukuhkan kesiapsiagaan bagi kemungkinan fasa seterusnya iaitu pembendungan akhir dan seterusnya, fasa mitigasi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sebar berita Covid-19 tidak sahih, 23 kertas siasatan dibuka

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Polis membuka satu lagi kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19) di media sosial, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah 23 kes.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi) Datuk Mohd Roze Shaari berkata kertas siasatan baharu itu melibatkan satu kes di Tumpat, Kelantan.

“Setakat ini, tiga kes telah dituduh di mahkamah masing-masing di Kuala Lumpur, Terengganu dan Sabah,” katanya kepada Bernama.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak berkongsi sebarang kenyataan ataupun artikel tidak sahih berkaitan dengan jangkitan Covid-19.

Bermula semalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan Covid-19 sebagai nama rasmi bagi penyakit virus korona 2019.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

Sebar berita palsu Covid-19, pesara didenda RM5,000

SANDAKAN, 12 FEB: Seorang pesara Jabatan Keretapi Negeri Sabah hari ini didenda RM5,000 atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda itu bagi kesalahan menyebarkan berita palsu berhubung jangkitan Covid-19.

Majistret Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu terhadap Aliuudin Amit, 67, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan secara sedar mengedarkan satu kenyataan dalam aplikasi WhatsApp mengatakan seorang banduan meninggal dunia kerana Covid-19 di Penjara Sandakan.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 70, Jalan Selunsung, Taman Sempelang, Kota Kinabalu pada jam 9.34 malam, 23 Januari lepas.

Edaran kenyataan itu dibaca pegawai di Pejabat Timbalan Penguasa Jabatan Penjara Sandakan pada 10.46 pagi, 24 Januari lepas.

Aliuudin didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, Aliuudin, yang tidak diwakili peguam, berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu dan bertegas dia tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa atas perbuatannya itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Franklin Ganggan Bennet memberitahu mahkamah rayuan itu bukan faktor utama untuk pertimbangan hukuman ringan.

Sebaliknya, beliau berkata mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam berikutan kesalahan itu adalah serius dan boleh menyebabkan ketakutan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Aliuudin membayar denda itu.

Bermula semalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan Covid-19 sebagai nama rasmi bagi jangkitan koronavirus 2019.

– BERNAMA