Categories
NASIONAL SELANGOR

Faekah : Saman terhadap Kerajaan Negeri bermotif politik

faekah-husin-22

KLANG 29 MAC : Saman pemimpin Umno yang kononnya mahu menolong ibu tunggal dan warga emas terhadap Kerajaan Negeri bermotifkan politik demi mewujudkan perspektif negatif terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Hussin berkata, peguam pemimpin Umno juga menggunakan muslihat untuk mengumpul tandatangan untuk saman tersebut dengan menjanjikan wang kepada mereka yang memberi tandatangan.

Faekah berkata tujuan tindakan hanyalah bagi memenangkan Umno-BN dalam pilihanraya dan merampas Selangor tetapi bukan untuk memenangi kes di mahkamah.

“Apabila kita memohon untuk pembatalan kes, mahkamah menolak dan nak mendengar kes secara perbicaraan. (Datuk Seri) Noh Omar tweet saya 1 – 0 Faekah (kes ibu tunggal), saya sabar. Lepas itu (kes) warga emas, kita cuba batalkan, mahkamah tolak juga.

“Noh Omar tweet saya lagi 2 – 0 Faekah. Saya jawab Datuk Seri peguam, kita belum lawan lagi, belum perbicaraan. Dia jawab dari segi politik dia dah menang.

“Maknanya matlamat mereka adalah untuk adudomba dan propaganda,” katanya dalam ceramah PR “Suara Wanita Suara Perubahan” di Kampung Bukit Naga di sini malam tadi.

Faekah menambah, menurut maklumat yang diterima kes tersebut akan ditamatkan selepas pilihanraya berakhir.

Cara pengumpulan tandatangan golongan ibu tunggal dan warga emas juga, tegasnya, dilakukan secara tipu muslihat oleh peguam yang dilantik Umno.

Usaha tersebut cuba mengaitkan Kerajaan Negeri dengan menjanjikan bantuan kewangan kepada mereka yang menurunkan tandatangan dalam borang yang diedarkan ke seluruh Selangor.

Sedangkan, katanya, tandatangan dikumpulkan itu hanya bertujuan untuk menyaman Kerajaan Negeri.

“Dia nak bertanding di Kota Anggerik, itu yang dia tunjukkan dia lebih Umno dari Umno. Itu yang dia kumpulkan semua wanita.

“Dari maklumat yang kita dapat di mana dia taburkan ke rumah-rumah di Puchong, dia tulis di situ mana-mana ibu tunggal yang mahu RM1,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor sila turunkan nama dan tandatangan,” katanya.

Baru-baru ini Exco Selangor, Elizabeth Wong mendedahkan bahawa borang diedarkan kepada warga emas dengan menjanjikan bahawa Kerajaan Selangor akan memberi elaun sekiranya mereka memberi tandatangan.

Categories
NASIONAL

Serangan Lahad Datu Melenyapkan Pendedahan Bala

Lahad Datu

SHAH ALAM 1 MAC: Serangan polis ke atas kubu kumpulan penceroboh dari selatan Filipina hari ini dipercayai bermotifkan politik dengan cubaan Kerajaan Umno-BN melenyapkan pendedahan P. Balasubramaniam berkenaan misteri pembunuhan Altatunya.

Menurut Ketua Angkatan Muda PKR Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin, tanggapan rakyat akan ke arah ini kerana Kerajaan Pusat seharusnya tidak membenarkan perkara ini berlanjutan jika tindakan diambil daripada awal.

“Kerajaan Umno-BN tidak boleh menyalahkan rakyat dengan persepsi ini, kelemahan ketara dalam kabinet apabila Menteri Luar, Datuk Anifah Aman gagal menggunakan saluran diplomatik menyelesaikan isu ini sehingga mengancam keselamatan rakyat Sabah.

“Dan rakyat berhak menyatakan tindakan serangan ini sebagai sesuatu yang dirancang ditengah-tengah kehangatan manifesto Pakatan Rakyat dan kepulangan penyiasat persendirian Bala yang mahu mendedahkan siapa sebenarnya terlibat dalam pembunuhan wanita Monggolia Altantuya Shariibu,” kata Iskandar.

Tambahnya, tidak timbul ia berlaku secara kebetulan atau tidak, masa yang diambil terlalu lama dan kesan akibat serangan ini amat besar terhadap rakyat Sabah khususnya yang ada kaitan kuat dengan Kesultan Sulu.

“Kini rakyat cemas, saya dimaklumkan pada ketika ini beberapa sekatan polis berlaku di daerah Papar terhadap penduduk yang ada pertalian darah tadi. Perkara ini tidak baik untuk negara.

“Saya sanjung tinggi usaha polis menjaga keamanan, tetapi saya tidak dapat lari daripada berasa simpati dan bersedih dengan kematian yang berlaku. Dan saya ingin tegaskan sekali lagi Kerajaan Pusat terutama Menteri Dalam Negeri perlu bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan,” katanya.

Hari ini menurut laporan Bernama, dua komando polis Malaysia terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata  dari selatan Filipina.

Mereka terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo.