Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKNS lancar projek rumah dua tingkat Rafflesia 2 di Bernam Jaya

SHAH ALAM, 10 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan 87 unit rumah teres dua tingkat, Rafflesia 2 yang akan dijual pada harga bermula RM457,000 seunit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mahmud Abbas berkata kediaman seluas 1,615 kaki persegi terletak di Bernam Jaya, Hulu Selangor sesuai buat mereka yang berkeluarga mahupun individu bekerjaya.

Menurutnya, beliau yakin projek itu mendapat sambutan menggalakkan kerana berada di lokasi strategik iaitu dihubungkan melalui dua jalan utama, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh dan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).

“Bakal pembeli projek ini akan menikmati yuran guaman dan duti setem MOT secara percuma selain diskaun 10 peratus untuk pembelian projek PKNS pertama dan tambahan dua peratus lagi kepada pembeli sedia ada.

“Saya yakin Rafflesia 2 berupaya menonjolkan kemampuan PKNS dalam memberikan peluang kepada pembeli rumah pertama untuk memiliki kediaman menarik dan kualiti binaan yang baik,” katanya menerusi kenyataan.

Mahmud Abbas berkata sempena pelancaran Rafflesia 2, PKNS turut mengadakan cabutan bertuah bagi 24 pemenang dengan hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM80,000 termasuk hadiah utama berupa wang tunai RM20,000.

“Selain itu, kita turut menawarkan Program Rujukan kepada 10 pembeli pertama iaitu mereka akan menerima insentif RM1,000 bagi setiap pelanggan yang dibawa mengikut syarat ditetapkan,” katanya.

Rafflesia 2 turut diapit dengan pembangunan projek PKNS iaitu Dillenia dan Kamelia Residensi serta sesuai bagi mereka yang mengimpikan kawasan perumahan tenang dikelilingi pemandangan alam hijau.

Untuk maklumat lanjut hubungi talian PKNS X Line 03-5022 0188 atau layari http://www.pkns-property.com dan Facebook PKNS Property.

Categories
SELANGOR

PKNS serlah keunikan Bernam Jaya

OLEH NADIAH ZAMLUS

BERNAM JAYA, 24 JULAI: Mempunyai pemandangan alam semula jadi menarik berlatar belakangkan Banjaran Titiwangsa menjadikan Bernam Jaya berpotensi sebagai lokasi aktiviti sukan lasak.

Pengurus Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Ishak Hashim berkata, kawasannya yang strategik antara sempadan Selangor dan Perak menjadikannya sebagai lokasi pilihan bagi penganjuran PKNS Trail Run & Duathlon 2018.

“Acara itu mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima hampir 1,000 penyertaan daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur.

“Memang lain daripada lain, jarang sekali acara larian membabitkan ‘off road track’ seperti dianjurkan PKNS.

“Sambil berlari, peserta boleh menikmati kehijauan flora & fauna,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Program yang diadakan pada 21 hingga 22 Julai itu mempertandingkan dua acara, iaitu Trail Run dan Duathlon, membabitkan larian 21 kilometer (km), 10km dan 5km.

Pertandingan itu turut menawarkan hadiah keseluruhan RM72,000 kepada pemenang.

Ishak berkata, selain bermatlamat menyebar luas mesej kesihatan kepada masyarakat, PKNS juga memperkenalkan Bernam Jaya sebagai kawasan giat dibangunkan meliputi projek perumahan dan rumah kedai.

Katanya, ia dilaksanakan menerusi projek Estera @ Bernam Jaya dan Bernam Square 3, di sini, baru-baru ini.

“Berinspirasikan nama bintang, Estera bakal menjadi mercu tanda kepada pembangunan perumahan baharu di sini, yang dilancarkan di Galeri Jualan Bernam Jaya, pada 7 Julai lalu meliputi 157 unit rumah link 2 dan 2 ½ tingkat Fasa 5B, Laman 1 di Bernam Jaya.

“Estera menawarkan dua varian, iaitu Jenis A (36 unit) dan Jenis B (121 unit) yang dijual pada harga RM500,000 hingga RM632,200 seunit.

“Kami turut menawarkan diskaun 10 peratus kepada bakal pembeli, manakala 12 peratus diskaun untuk Skim Pemilikan Kedua PKNS,” katanya.

Estera yang terletak berdekatan Pekan Tanjung Malim, mempunyai akses mudah melalui Jalan Persekutuan KL-Ipoh dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020. .

Categories
SELANGOR

1,500 sertai PKNS Bernam Jaya Mountain Bike Jamboree 2014

Oleh: LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 7 DIS: Lebih 1,500 peserta dari dalam dan luar negara menyertai PKNS Bernam Jaya Mountain Bike Jamboree 2014, di sini, hari ini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Kebudayaan, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan menggalakkan program berbentuk kesukanan dan gaya hidup sihat.

Amirudin1“Insya Allah tahun hadapan, Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan Festival Basikal Selangor bagi mendekati golongan peminat sukan ini.

“Kita mahu promosikan supaya rakyat Selangor bukan sahaja kaya dengan pembangunan fizikal tetapi sihat dan mempunyai pembangunan berkualiti,” katanya ketika menyempurnakan program berkenaan yang turut dihadiri Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah.

Pertandingan itu diadakan bagi memberi penghargaan kepada penggemar sukan berbasikal, selain mempromosikan Bernam Jaya sebagai bandar pembangunan PKNS.

Terdapat enam kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Junior (13-18 tahun), Lelaki Terbuka (19-30 tahun), Lelaki Masters Junior (31-40 tahun), Lelaki Masters Senior (41-50 tahun), Lelaki Masters Super Senior (51 tahun ke atas) dan Wanita Terbuka (15 tahun ke atas).

LOGO-PKNSSetiap pemenang menerima medal ekslusif 50 tahun PKNS selain berpeluang memenangi hadiah cabutan.

Antara hadiah menarik adalah Moto X Bike, kenderaan pelbagai permukaan (ATV),Pocket Mini Bike dan televisyen LED bernilai RM30,000.

PKNS Bernam Jaya Mountain Bike Jamboree julung kali dianjurkan pada tahun 2010 dengan penyertaan 1,000 peserta.

-NFN-