Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: Hanya tiga peratus rakyat mampu tampung persaraan

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Pengeluaran berkaitan dengan Covid-19 sejak dua tahun lepas memberi impak besar kepada simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan hanya tiga peratus pencarum mampu menampung kehidupan selepas bersara.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata ramai ahli berumur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan KWSP yang amat rendah susulan pengeluaran berkaitan Covid-19, iaitu i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra.

“Walaupun dengan pandemik Covid-19, 80 peratus lelaki Malaysia dan 90 peratus wanita Malaysia akan mencapai umur 60 tahun, manakala satu daripada tiga lelaki dan dua daripada tiga wanita akan mencapai umur 80 tahun.

“Kini, kami menganggarkan hanya tiga peratus rakyat Malaysia yang mampu untuk bersara,” katanya pada webinar Siri Penceramah Persatuan Alumni Felow Perdana hari ini.

Beliau merupakan antara ahli panel dalam webinar yang mengupas tajuk ‘Penjagaan Kesihatan dalam Tumpuan’ itu.

Dalam pembentangannya, Nurhisham berkata menjelang akhir tahun ini, 54 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun akan mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun simpanan mereka.

Majoriti mereka yang mengeluarkan keseluruhan simpanan KWSP apabila mencecah umur 55 tahun akan menggunakannya dalam tempoh dua hingga tiga tahun, katanya.

Namun, beliau mengakui pengeluaran-pengeluaran itu adalah dibenarkan disebabkan keadaan yang luar biasa.

“Kami amat bersimpati dengan nasib ahli kami dan berharap (pengeluaran) itu telah mencapai tujuan yang dimaksudkan untuk membantu mereka dari segi kewangan.

“(Melangkah ke hadapan,) pembukaan semula ekonomi dan langkah-langkah yang diumumkan dalam Bajet 2022 akan membantu melegakan tekanan yang dihadapi ahli kami,” katanya.

Mengulas mengenai kesan sekiranya satu lagi pusingan pengeluaran dibenarkan, Nurhisham berkata bagi yang telah membuat pengeluaran daripada simpanan KWSP, mereka perlu bekerja untuk tambahan empat hingga enam tahun hanya untuk menampung jumlah yang mereka keluarkan sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata mereka tidak akan mempunyai simpanan yang cukup untuk bersara memandangkan had umur persaraan dijangka tidak dinaikkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pemain beregu wanita bersara daripada badminton

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Pemain beregu badminton wanita negara, Chow Mei Kuan mengambil keputusan untuk bersara daripada sukan itu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan semalam berkata mereka cuba memujuk pemain berusia 26 tahun untuk kekal beraksi tetapi tidak berjaya.

Bagaimanapun, BAM telah menerima peletakan jawatan itu yang berkuat kuasa pada 15 Sept.

“Setiap orang di BAM menzahirkan penghargaan kepada Mei Kuan terhadap sumbangan besarnya kepada pasukan kebangsaan dan mendoakan yang terbaik dalam usahanya di masa hadapannya,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Mei Kuan yang menjadi gandingan Lee Meng Yean mengharungi perjalanan sukar dalam penyertaan sulung mereka di Olimpik Tokyo, baru-baru ini.

Beregu itu tersingkir dalam peringkat kumpulan dan mencatatkan satu kemenangan daripada tiga perlawanan Kumpulan A.

Kemenangan tunggal mereka hadir pada perlawanan akhir selepas menewaskan beregu Great Britain Chloe Birch-Lauren Smith of Great Britain, 21-19, 21-16 dalam perlawanan di Musashino Forest Sport Plaza.

Selain Meng Yean, Mei Kuan berpasangan dengan beberapa pemain sebelum ini seperti, Vivian Hoo, Lai Pei Jing, dan Shevon Jemie Lai.

Kejayaan terbesar anak kelahiran Kuala Lumpur itu dalam kerjayanya apabila meraih pingat emas dalam acara beregu wanita semasa berpasangan dengan Vivian di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Mei Kuan-Vivian menewaskan Lauren Smith-Sarah Walker dari England 21-12, 21-12 pada final.

Mei Kuan yang mula bermain badminton seawal tujuh tahun merekodkan 211 kemenangan dalam kerjayanya sejak menyertai skuad kebangsaan pada 2012.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Dunia saran Malaysia teliti semula dasar usia bersara

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Malaysia perlu meneliti semula dasar mengenai had usia persaraan berikutan statusnya sebagai negara yang mempunyai masyarakat berusia atau menua, kata Wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia Firas Raad.

Dalam kenyataan hari ini, beliau turut menyifatkan aspek demografi Malaysia berganjak ke era dengan kadar kesuburan dan kematian rendah berbanding paras lebih tinggi sebelum ini.

“Malaysia melangkaui pencapaian bermakna dalam trajektori pembangunannya tahun ini dan negara dengan masyarakat menua berdasarkan takrifan konvensyen antarabangsa iaitu tujuh peratus atau lebih penduduk berusia 65 tahun dan ke atas,” katanya.

Firas juga menekankan bahawa kemampuan mencecah usia lebih lanjut sedemikian juga bermakna rakyat negara ini perlu bekerja bagi tempoh lebih lama.

Jika dibandingkan dengan kalangan negara-negara berpendapatan tinggi dan pertengahan-tinggi lain pada masa ini, kadar pekerjaan mereka berusia 55-64 tahun di Malaysia adalah rendah, khususnya dalam kalangan wanita, katanya.

Malah, sebagai perbandingan negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Thailand menyaksikan lebih 65 peratus rakyat berusia 55-64 tahun masih aktif dalam pasaran tenaga kerja.

“Bagaimanapun di Malaysia, golongan itu adalah 45 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Firas berkata, antara pilihan dasar itu ialah dengan meningkatkan had minimum usia persaraan yang rendah secara beransur-ansur daripada 60 tahun kepada 65 tahun dan seterusnya dikaitkan dengan unjuran jangka hayat selepas itu.

Beliau menyifatkan dasar sedemikian diperlukan bagi menggalakkan pekerjaan produktif dan inklusif untuk semua pekerja, termasuk golongan berusia menerusi pekerjaan kurang memerlukan fizikal serta persekitaran tempat kerja dilengkapi dengan pengupayaan secara digital.

“Pilihan dasar pertama ialah menyediakan peluang dengan peningkatan aspek latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang mengambil kira keadaan khusus golongan pekerja berusia lebih tua.

“Ini pada akhirnya dapat mewujudkan rangka kerja kawal selia untuk pekerjaan produktif dan fleksibel untuk pekerja terbabit selain mempermudah pekerjaan secara separuh masa atau lain yang anjal,” katanya.

Pada masa sama, Firas turut menekankan kepentingan untuk menangani isu atau kekangan dihadapi wanita berkaitan kerja.

Menurutnya, inisiatif-inisiatif relevan itu termasuk penyediaan kemudahan penjagaan anak yang berkualiti dan berpatutan; pembaharuan persekitaran perundangan berkaitan; menambah baik sokongan untuk ibu bapa sejajar dengan norma perundangan antarabangsa serta dasar-dasar yang menangani aspek jantina dan sikap.

“Pada akhirnya, gabungan dasar-dasar yang tepat ini dapat membantu Malaysia menangani masyarakat menua, mempertingkat kesejahteraan semua dan meningkatkan perkongsian bahawa pengalaman mengharungi usia tua bukanlah bebanan tetapi fasa kehidupan yang penuh dengan kebebasan, penyertaan sosial dan produktiviti,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Amy Kwan janji terus tabur bakti bangun gimnastik

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Ratu gimrama negara Amy Kwan Dict Weng berjanji untuk terus menabur bakti dalam pembangunan gimnastik dengan berkongsi kepakarannya.

Gimnas berusia 25 tahun itu, memutuskan untuk bersara selepas 21 tahun terlibat dalam acara kegemarannya, akan memulakan episod baharu dalam hidupnya sebagai jurulatih.

Dalam perkongsian di laman Facebooknya, Amy berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan, penyokong dan setiap yang terlibat sepanjang beliau berkecimpung dalam sukan gimrama itu.

“Ia satu perjalanan yang ada turun naik. Tangisan, darah, kecederaan dan pembedahan. Ada ketikanya saya rasa seperti putus asa, tapi dugaan ini menjadikan saya lebih kuat dan membentuk siapa saya hari ini.

“Maaf jika saya mengecewakan semua kerana bersara pada usia yang masih muda. Ini bukan perancangan asal tapi saya percaya Tuhan ada perancangan lebih baik untuk saya. Jangan bersedih, saya masih sebahagian daripada sukan yang menarik ini.

“Sudah tiba masa untuk saya menurunkan ilmu kepada generasi seterusnya. Sekali lagi, terima kasih, saya sayang semua. Amy Kwan undur diri sebagai gimnas kebangsaan,” kata pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast di Facebooknya berserta video kenangannya.

Sejak menyertai skuad kebangsaan pada 2008, Amy memenangi pelbagai kejohanan termasuk pingat emas acara riben individu, perak acara berpasukan dan dua gangsa dalam acara keseluruhan individu dan gelung di Gold Coast dan dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara dan Olimpian Terbaik Wanita pada 2018.

Amy turut meraih gangsa dalam acara riben di Kejohanan Asia 2018, selain dua emas dan dua perak di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, manakala di Sukan SEA Filipina pada 2019, beliau membawa pulang pingat gangsa.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

93 peratus netizen tidak setuju naik had umur bersara

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kira-kira 93 peratus daripada 6,200 responden pelayar maya tidak bersetuju dengan cadangan kerajan untuk melanjutkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun.

Keputusan itu diperoleh berdasarkan kaji selidik Media Selangor di Facebook, antara 12.34 tengah hari semalam hingga 9 pagi tadi.

Tinjauan SelangorKini mendapati, seramai 5,700 responden tidak bersetuju dengan cadangan itu, manakala 452 responden (tujuh peratus) bersetuju had umur bersara yang sesuai bagi rakyat Malaysia antara 60 hingga 65 tahun.

Kaji selidik itu dibuat susulan kenyataan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menyatakan bahawa kementerian berkenaan sedia memperhalusi cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia untuk meningkatkan had usia persaraan seperti dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk memperhalusi beberapa perkara, termasuk permintaan kenaikan pemberian elaun kos sara hidup (Cola).

Selain mengundi, netizen turut memberi pelbagai reaksi di ruangan komen, antaranya Latifah Ibrahim Latifah, yang berpendapat cadangan had umur persaraan itu sangat tidak wajar kerana menutup ruang dan peluang terhadap anak muda untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan.

“55 tahun pencen. Bagi peluang orang muda atau belia nak bekerja. Orang muda banyak idea dan rancangan yang baik. Bagi veteran, masa yang ada tumpu dan lebihkan bersama keluarga serta bekalan akhirat pula,” tulisnya.

Komen ditinggalkan Zulkapri Zainuddin pula menganggap cadangan meningkatkan had umur itu sebagai membebankan kerajaan untuk tempoh jangka panjang.

“Kebanyakan selepas 55 tahun ramai yang sakit dan akan meninggikan kos rawatan kerajaan. Selalu MC (sijil cuti sakit). Selepas 55, baki usia boleh beramal ibadat dengan lebih tekun,” tulisnya.

Sementara itu, Hamba Dunia berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan itu kepada kakitangan dalam sektor tertentu yang memerlukan kepakaran dan pengalaman.

“Bagi saya 55 sudah memadai dan kerja specialist (pengkhususan) mungkin memerlukan lanjutan atas faktor kepakaran serta pengalaman,” tulisnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan bakal teliti cadangan tingkat had umur persaraan

IPOH, 2 SEPT: Kerajaan akan meneliti cadangan untuk meningkatkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun di negara ini seperti yang dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura.

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk memperhalusi beberapa perkara sebelum membuat keputusan berkenaan perkara itu.

“Kita sudah memberi beberapa pandangan dan tujukan kepada Kementerian Kewangan termasuk berhubung permintaan kenaikan pemberian elaun kos sara hidup (Cola),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Kempen Menanam Pokok di Taman Dr Seenivisagam, Ipoh bersama Adun Kepayang, Dr Ko Chung Sen dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, di sini hari ini.

Semalam, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun Cola bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta melalui Belanjawan 2020 selain meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.

Ditanya sama ada cadangan itu relevan kerana dikhuatiri mengurangkan peluang pekerjaan kepada generasi muda, Kula Segaran berkata, cadangan peningkatan had umur bersara itu dilihat mampu memberi kebaikan kepada negara pada masa hadapan.

“Negara ini kekurangan tenaga kerja dan bukannya kekurangan peluang pekerjaan. Kita mengambil ramai pekerja asing ekoran negara ini kekurangan tenaga kerja,” katanya.

Katanya, kebanyakan kadar pengangguran di negara ini terdiri daripada golongan muda termasuk graduan yang baru menamatkan pelajaran.

Beliau berkata, golongan muda yang tidak mempunyai pekerjaan dicadangkan menyertai Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional yang menekankan pendekatan kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja mahir tempatan, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan dalam bidang berkaitan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Singapura bakal lanjut usia bersara kepada 65 tahun

SINGAPURA, 19 OGOS: Singapura akan melanjutkan umur persaraan untuk perkhidmatan awam republik itu kepada 65 tahun, pada 2021 berbanding 62 tahun sekarang.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, pada Rapat Hari Kebangsaan 2019 yang berlintas langsung di ITE College Central di sini semalam.

Umur untuk pengambilan semula bekerja juga dilanjutkan kepada 70 tahun daripada 67 tahun, katanya.

“Sebagai majikan utama, Kerajaan akan akan menjadi contoh bagi pegawai awam,” katanya dan menggalakkan syarikat swasta juga melakukan perkara sama.

Beliau berkata, perubahan itu akan membantu pekerja lebih tua untuk terus bekerja dalam tempoh lebih lama dan menjadi lebih berdikari daripada segi kewangan.

Melanjutkan had umur persaraan dan had umur bekerja semula adalah antara empat cadangan yang dikemukakan Kumpulan Kerja Tiga Pihak mengenai Pekerja Lebih Tua yang ditubuhkan oleh Kementerian Tenaga Manusia tahun lalu.

Kumpulan kerja itu terdiri daripada wakil dari Kerajaan, kesatuan buruh dan sektor swasta.

“Saya fikir ini adalah cadangan yang munasabah. Kerajaan menerima cadangan itu sepenuhnya,” katanya.

Dua lagi cadangan adalah untuk menambah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pusat bagi pekerja yang lebih tua; dan untuk mencapai semua ini secara berperingkat, sekitar 2030.

Had umur persaraan di Singapura kali terakhir dilanjutkan ialah 20 tahun lalu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ketua Hakim Negara Richard Malanjum bersara hari ini

PUTRAJAYA, 12 APR: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum bersara hari ini selepas berkhidmat selama 27 tahun dalam badan kehakiman.

Malanjum, anak kelahiran Sabah pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman itu, berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara selama sembilan bulan, dan 12 tahun selaku Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Beliau mencapai umur persaraan wajib pada usia 66 tahun, Oktober tahun lepas, dan dilanjutkan selama enam bulan berakhir hari ini.

“Kepada semua rakan hakim saya, berikan yang terbaik dan jangan mengharapkan apa-apa!,” dalam kata perpisahannya.

“Bagi saya…saya akan terus membantu mereka yang tidak bernasib baik dan terpinggir dalam apa jua cara yang mungkin.”

Malanjum mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara kesembilan pada 11 Julai tahun lepas, menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada bulan yang sama.

Pegawai khasnya, Mohd Aizuddin Zolkeply berkata Malanjum telah mengambil cuti awal minggu ini dan kini berada di luar negara.

Malanjum menyertai perkhidmatan kehakiman pada 1992 sebagai Pesuruhjaya Kehakiman. Beliau pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dan kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan seterusnya Hakim Mahkamah Persekutuan.

Malanjum memperkenalkan konsep pengurusan bersama dan berkumpulan, di mana hakim yang memegang empat jawatan tertinggi (Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak) diberikan kuasa dan tanggungjawab sama dalam segala hal berkaitan dasar serta penyertaan dalam pengurusan badan kehakiman.

Beliau juga melaksanakan sistem “time sheet” di mahkamah di Semenanjung, iaitu sebuah sistem secara berkomputer bagi menggalakkan pengurusan masa mahkamah yang lebih berkesan dalam kalangan hakim dan pegawai kehakiman.

Sistem berkenaan sebelum itu diperkenalkan Malanjum di mahkamah di Sabah dan Sarawak, ketika menjadi Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Beliau juga memperkenalkan E-review, sistem pengurusan kes dalam talian tanpa kehadiran pihak-pihak dalam kes mahkamah untuk pengurusan kes.

Bagi mengelak sebarang dakwaan dan elemen negatif dalam pembahagian kes dan pemilihan panel hakim, Malanjum juga melaksanakan pemilihan panel Hakim Mahkamah Persekutuan melalui pengundian untuk mendengar kes-kes di Mahkamah Persekutuan.

Beliau juga membuat perubahan mengenai bilangan hakim sebagai panel di Mahkamah Persekutuan bagi mendengar kes-kes melibatkan perlembagaan dan kepentingan awam.

SUMBER/FOTO: BERNAMA

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Zidane umum tinggalkan Real Madrid

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 1 JUN: Zinedine Zidane, 45, mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai pengurus Real Madrid selepas berkhidmat selama dua tahun lima bulan.

Kredit Foto: Goals.com

Pengumuman mengejutkan itu dibuat lima hari selepas Real Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kali ke-13 menewaskan Liverpool 3-1 hujung minggu lalu.

Zidane yang memanggil sidang media sambil ditemani Presiden Real Madrid, Florentino Perez, menyifatkan sekarang masa sesuai untuk mengucapkan selamat tinggal selepas mengecapi peringkat tertinggi Eropah.

“Saya sayangkan kelab ini. Saya rasa kelab memerlukan kejayaan berterusan dan perubahan,” katanya.

Zidane mengambilalih tugas mengemudi Real Madrid daripada Rafa Benitez dengan rekod 104 kemenangan daripada 149 perlawanan keseluruhan.

Bagaimanapun, musim ini Real Madrid sekadar menduduki tangga ketiga La-Liga dengan jarak 17 mata di belakang juara, Barcelona.

Sepanjang menemudi Los Blancos, Zidane berjaya menjulang sembilan kejuaraan dengan tiga trofi UCL, dua juara Kelab Dunia FIFA, dua piala Super Eropah, satu kejuaraan La Liga dan Piala Super Sepanyol.

 

Categories
EKSKLUSIF

Persaraan tak halang Khusrin terus berbakti

Ikhlas dan komited dalam melakukan tugasan menjadi prinsip Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Kerajaan Selangor. Ketegasan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu melaksanakan tanggungjawab menjadikan beliau disegani ramai terutama dalam kalangan penjawat awam. Bakal menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 3 Januari 2016, Mohammed Khusrin berharap usaha beliau dapat diteruskan pada masa hadapan. Ikuti temubual wartawan Selangor Kini, AFEEQA AFEERA bersama beliau di pejabatnya di Bangunan SUK, di sini, pada 15 Disember lalu.
Boleh ceritakan pengalaman Dato’ Setia selepas hampir 30 tahun berkhidmat di Selangor?

Saya mula berkhidmat di Selangor sejak Jun 1986 dan hujung tahun ini genap lima tahun sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dengan menempuhi pelbagai pengalaman pahit manis.

Tugas pertama saya adalah sebagai Penolong Setiausaha Sektor Pertanian di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada 1986. Ketika itu kakitangan tidak ramai iaitu empat pegawai dan empat kerani.

IMG_0693Berbeza dengan apa dilihat sekarang, bilangan kakitangan semakin bertambah dan ia satu perkembangan baik. Saya percaya ia dapat membantu penjawat awam merancang pembangunan dengan lebih teratur dan sistematik.

Dahulu, beban kerja begitu besar kerana perlu berkhidmat kepada Exco berkaitan dan banyak mesyuarat untuk menyelaraskan permohonan diluluskan pada ketika itu.
Apakah budaya kerja atau prinsip diamalkan untuk memastikan kualiti kerja terbaik?

Sebagai penjawat awam, pelaksana dan perancang, kita melaksanakan apa juga dasar Kerajaan Negeri dengan ikhlas tanpa melibatkan diri dalam politik kerana ia sering bertukar.

Kita perlu lakukan tugas sebaiknya dan memberi komitmen selagi apa yang diarahkan tidak bercanggah dengan peraturan atau undang-undang.

Saya memegang prinsip mudah iaitu kita tidak boleh menyebelahi mana-mana parti politik dan menjalankan tugas dengan bertanggungjawab juga amanah dalam memberi perkhidmatan sepenuhnya kepada kerajaan pemerintah ketika itu.
Dilantik sebagai SUK pada 2011, apakah fokus utama Dato’ Setia ketika itu?

Pada peringkat awal pelantikan, saya memang berdepan sedikit kontroversi jadi tugas utama ketika itu adalah menyatukan pegawai kerajaan supaya fokus ke hadapan.

IMG_0720Krisis yang berlaku ketika itu adalah perkara luar daripada jangkaan dan saya perlu menghadapinya, namun saya bersama pegawai lain bekerjasama menjalankan perkhidmatan.

Ia selaras dengan prinsip profesional diamalkan, jadi isu pelantikan SUK tidak perlu diperbesarkan sebaliknya kita perlu bersama walaupun timbul masalah.

Apabila diarahkan untuk melakukan sesuatu, saya akan ikut sahaja dan memberikan yang terbaik.
Adakah kontroversi ketika awal pelantikan memberi tekanan kepada Dato’ Setia?

Tidak dinafikan pada peringkat awal memang menimbulkan ketegangan berikutan saya diarah untuk dilantik sebagai SUK dan berhadapan situasi tidak diterima hampir sebulan.

Saya tidak dapat menjalankan tugas yang sepatutnya, jadi saya terima perkara itu sebagai satu cabaran dan tugas saya adalah membuktikan boleh bekerja dengan baik.

Selepas peristiwa itu, saya diterima untuk menduduki mesyuarat Exco dan menjalankan tugas mengikut kemampuan serta memberi kepercayaan kepada mereka bahawa saya tiada kepentingan.

Saya hanya buat kerja berdasarkan tanggungjawab diberi dan serahkan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri sama ada mereka berpuas hati atau tidak.

Alhamdulillah, selepas beberapa lama mereka menerima saya dengan baik dan dapat bekerjasama walaupun pada peringkat awal mereka sangsi akan kebolehan saya.
Apakah cabaran apabila berhadapan karenah penjawat awam?

IMG_0707Jumlah kakitangan awam di Selangor lebih 20,000, jadi saya terima banyak maklum balas daripada wakil rakyat dan masyarakat bahawa mereka culas dan tidak mengikut waktu kerja.

Ini adalah tanggungjawab saya sebagai ketua untuk memberi kesedaran kepada mereka dan perlu menyelesaikan masalah berbangkit.

Sebagai penjawat awam, kita perlu memastikan sistem kerja dilaksanakan dengan baik dan cekap, sebab itu perlu membuat kejutan kepada mereka.

Budaya leka bekerja perlu dibanteras, saya hanya mulakan dan berharap setiap ketua jabatan dapat memantau kakitangan masing-masing serta mematuhi peraturan ditetapkan.

Ini adalah amanah yang akan disoal di akhirat kelak berkenaan tanggungjawab ketika di dunia.
Adakah keculasan penjawat awam berjaya diatasi selepas kaedah ‘kejutan’ dilakukan Dato’ Setia?

Perubahan budaya tidak boleh berlangsung dalam waktu singkat, tetapi Alhamdulillah apabila kejutan dilakukan dengan turun padang nampak sedikit perubahan.

Dulu mereka suka melepak di kafeteria, kini amalan itu semakin berkurangan. Cuma, saya harap usaha itu dapat diteruskan dengan kerjasama semua pihak.

Ketua jabatan perlu memastikan kakitangan mereka berada di tempat kerja dan tahu apa mereka buat ketika waktu pejabat untuk membuang persepsi negatif rakyat.
Apakah kelebihan bekerja di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali?

Saya pernah berkhidmat dengan beberapa Menteri Besar Selangor sebelum ini dan setiap seorang daripada mereka mempunyai cara tersendiri.

Seperti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau membawa imej korporat dan cuba menerapkan budaya itu dalam perkhidmatan awam dan berlaku kejutan dalam kalangan penjawat awam ketika itu.

Ada yang merasakan kurang senang ekoran pendekatan tegas digunakan dan adakala penjawat awam merasa kecewa serta terasa hati dengan budaya berbeza itu.

IMG_0759Tetapi Alhamdulillah, selepas pentadbiran diambil alih Mohamed Azmin, suasana sekarang lebih baik dan mesra kerana beliau lebih menghormati penjawat awam.

Kita bekerja dengan lebih berlapang dada, ikhlas dan mudah tanpa rasa tertekan. Hubungan dengan Menteri Besar juga agak baik berbanding agak tegang sebelum ini.
Pengalaman pahit dan manis sepanjang berkhidmat sebagai SUK?

Belum pernah berlaku dalam sejarah apabila SUK dilantik, timbul kontroversi tidak sepatutnya sedangkan perkara itu boleh diselesaikan melalui perundingan dan perbincangan.

Itu yang saya cuba buat ketika ini supaya peralihan jawatan SUK dapat berlaku dengan baik supaya isu yang pernah dihadapi saya tidak timbul.

Itu satu pengalaman yang cukup pahit dan tidak pernah berlaku di Malaysia apabila dalam sebulan muka saya berada di dada akhbar setiap hari.

Tetapi, saya terima dengan hati terbuka dan ia sudah menjadi sejarah dalam hidup.

Pengalaman manis pula adalah berpeluang berkhidmat dengan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan SUK.

Dalam suasana pentadbiran baru, hubungan baik juga berjaya diwujudkan antara istana dengan Kerajaan Negeri dan ia menjadi pengalaman paling bermakna dalam hidup saya.
Pandangan Dato’ Setia berkenaan prestasi Kerajaan Selangor hari ini?

Selangor memiliki sumber kewangan kukuh termasuk kedudukannya yang strategik dan ia boleh ditingkatkan (pembangunan) dengan adanya kerjasama baik antara semua pihak.

IMG_0612Saya nampak trend yang ada sekarang adalah beberapa Ahli Majlis di pihak berkuasa tempatan (PBT) cuba menyekat pembangunan dan ia sangat membimbangkan.

Keadaan ini bahaya kerana banyak projek berdepan kelewatan ekoran berlaku bantahan tidak sepatutnya.

Kita tidak mahu terlalu banyak karenah birokrasi kerana jika mahu maju ke hadapan, kita perlu buat keputusan cepat.

Jika projek itu membabitkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat, maka kita perlu memberi sokongan sepenuhnya seperti mengatasi kesesakan jalan raya.

-NFN-