Categories
NASIONAL

Himpunan Mansuh PTPTN, Pemanas Demo BERSIH 3.0

SHAH ALAM,5 APRIL : Walaupun terdapat tekanan daripada pihak kerajaan, anak muda dan mahasiswa akan tetap meneruskan himpunan bagi menggesa pihak kerajaan memansuhkan PTPTN dan menuntut disediakan pendidikan percuma kepada seluruh rakyat Malaysia, tegas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhamad Safwan Anang @ Talib.

Menurut Safwan , himpunan yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada jam 2 Petang, 14 April ini adalah sebagai persediaan atau “acara warming up” sebelum BERSIH 3.0.

“Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) juga menyeru supaya seluruh masyarakat termasuk pemimpin politik, NGO dan rakyat akan turut bersama menyertai himpunan mansuh PTPTN dan BERSIH 3.0 bagi kesejahteraan negara pada masa akan datang,” kata beliau dalam kenyataan medianya.

Tambah Safwan, berikutan laporan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa pilihan parlimen untuk penambahbaikan proses pilihan raya (PSC), gerakan pendesak reformasi pilihan raya BERSIH 2.0 berasa kecewa kerana mereka tidak membawa lima tuntutan yang lepas.

“Kami melihat terdapat beberapa perkara dalam PSC yang sesuai untuk digunapakai. Namun begitu, terdapat juga banyak perkara yang tidak tencapai seperti yang diharapkan.

“Oleh itu, kami menggesa anak muda, dan mahasiswa supaya turun BERSIH 3.0 bagi menuntut keadilan dan pilihan raya yang bersih untuk kali ini,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Teras: Rakyat Tiada Pilihan Selain Gerakkan BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 5 APR : Rakyat di negara ini tidak mempunyai pilihan selain menyertai BERSIH 3.0 sebagai suatu suara sepadu rakyat selain memberi tekanan kepada kerajaan supaya di adakan pilihanraya yang adil dan bersih.

Selama ini peranan yang telah diberikan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mewujudkan pilihanraya yang adil telah gagal dilaksanakan kerana terdapat banyak campurtangan politik di pihak kerajaan Umno-BN.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Azmi Hamid berkata, Perhimpunan Bersih 3.0 ini amat relevan dilaksanakan kerana Malaysia adalah negara demokrasi dan rakyat menuntut suatu sistem pilihanraya yang adil dan bersih daripada segala penyelewengan.

“Malaysia telah dalam proses untuk menjadi sebuah negara yang demokrasi dan sudah tentunya mahukan sistem yang terbaik dalam pilihanraya kerana pilihanraya adalah satu rukun dalam konsep demokrasi,” ujar Azmi ketika di hubungi MediaSelangor.

Selain itu katanya, Bersih 3.0 diharap memberi kesan yang diharapkan dan diambil perhatian yang serius oleh Kerajaan Pusat dan SPR kerana sudah banyak hal-hal membuktikan adanya perkara yang tidak lancar dan penyelewengan yang akan mencacatkan pilihanraya akan datang.

Pada 28 April ini BERSIH 3.0 akan di adakan di Dataran Merdeka yang bermotokan “Duduk dan Bantah” yang akan diketuai Sastrawan Negera, A Samad Said.

Berhubung himpunan BERSIH 3.0, Azmi berkata kerajaan dan SPR seharusnya lebih peka dengan tuntutan dan kehendak rakyat dan bukannya menghukum rakyat yang mahukan perubahan dan ketelusan dalam pilihanraya.

“Pengundi muda  yang mempunyai akses maklumat yang lebih terperinci akan menjadi tunjang BERSIH 3.0 kerana mereka mahukan undi mereka dihormati dan bersih dari segala penyelewengan yang dilakukan sebelum ini.

“Kita mendapat maklumbalas dari pengundi-pengundi muda yang mahukan suatu sistem pilihanraya yang adil dan bersih kerana terdapat banyak bukti-bukti penyelewengan yang dilakukan oleh SPR,” jelas Azmi.

BERSIH 3.0 dilancarkan ekoran kegagalan laporan jawatankuasa terpilih khas parlimen untuk menambahbaik pilihan raya yang didakwa tidak menunjukkan komitmen untuk melaksanakan pilihan raya yang bersih seperti mana yang dituntut BERSIH 2.0 sebelum ini.

BERSIH 2.0 pada 9 Julai tahun lalu menuntut lapan perkara. Antaranya: membersihkan sistem pilihan raya, pembaharuan pengundian pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang adil, 21 hari tempoh berkempen, pengukuhan institusi awam, hentikan rasuah politik, dan hentikan politik kotor.

Categories
NASIONAL

Pak Samad: Lebih 500,000 Akan Sertai BERSIH 3.0


KUALA LUMPUR 4 April: Dianggarkan lebih 500 ribu rakyat dijangka akan menyertai himpunan BERSIH 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April ini selain 32 buah negara di seluruh negara turut menganjurkan himpunan pada hari yang sama.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Datuk A.Samad Said sebagai mengambarkan ledakkan kebangkitan rakyat menuntut satu perubahan dalam sistem pilihanraya di negara ini.

Bercakap pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor hari ini A.Samad Said yang mesra dengan panggila Pak Samad berkata, anggaran penglibatan rakyat itu berdasarkan maklum balas banyak pihak yang bertanya kepadanya bila Bersih 3.0 akan diadakan.

“Saya sendiri berada dimana-mana dan orang tanya bila Bersih 3.0.

“Daripada interaksi, berjumpa dalam majlis atau dalam facebook, saya mengkhayalkan setidak-tidanknya kita akan mengumpulkan seramai 500,000 (akan hadir),” dipetik Harakah Daily.

Menurut Sasterawan Negara itu juga, jumlah itu tidak mustahil kerana ianya akan berlangsung serentak di seluruh negara malah seluruh dunia.

“Jadi dengan apa yang diwawarkan kalau tidak melakukan ini dengan penuh ghairah, kita tidak akan dapat merubah pemerintahan yang menggunakan semua cara untuk kekal selama 54 tahun,” tambahnya lagi.

Perhimpunan dengan tema ëDuduk dan Bantahí ini adalah anjuran bersama 84 NGO lain yang akan diadakan serentak di seluruh negara dan dunia.

Perhimpunan ini juga adalah lanjutan daripada BERSIH 2.0 yang berjaya dilancarkan pada 9 Julai tahun lalu dengan penglibatan puluhan ribu rakyat bagi menuntut lapan penambahbaikan dalam sistem pilihanraya.

Terkesan dengan kebangkitan rakyat, Kerajaan kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Penambahbaikan berhubung Pilihan Raya (PSC) untuk mencadangkan tututan rakyat itu dilaksanakan sebagai menambahbaik sistem pilihan raya.

Malangnya, menerusi laporan jawatankuasa PSC yang dikemukakan di parlimen semalam, hanya memberi kelebihan kepada Umno-BN.

“Jawatankuasa pilihan khas dan kerajaan tidak mengambil serius terhadap tuduhan penipuan.

“Justeru, Bersih 2.0 akan berkumpul ‘duduk bantah’ secara aman di seluruh negara dan diseluruh dunia. Sabtu 28 April jam 2 hingga 4 petang…ini adalah Bersih 3.0,” katanya.

Categories
NASIONAL

AIC: Jadikan 28 April Tarikh Keramat Rakyat

SHAH ALAM,4 APRIL : Anwar Ibrahim Club (AIC) menyatakan sokongan terhadap penganjuran BERSIH 3.0, yang dilancarkan oleh Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0  di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Presiden Anwar Ibrahim Club ,Saifuddin Shafi Muhammad berkata tarikh 28 April 2012 itu seharusnya menjadi tarikh keramat agar segala kepincangan pilihanraya dapat dipertontonkan di mata dunia, bahawa negara ini sedang dalam kancah penipuan terang-terangan dan wajar segera diselamatkan.

“AIC melihat beberapa perkara seperti yang dinyatakan oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH 3.0 itu mempunyai asas yang kukuh dan berintegriti, tidak mewakili pihak berkepentingan tetapi sebagai satu desakan untuk kerajaan segera bertindak bagi memberikan rakyat Malaysia satu bentuk pilihanraya yang lebih terjamin,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Shafie ,keraguan paling besar adalah terhadap kecelaruan daftar pemilih induk, sama seperti yang dinyatakan dalam Laporan Minoriti Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang jelas membuktikan wujud tangan-tangan ghaib untuk memastikan kerajaan sedia ada terus selesa mengekalkan tampuk kekuasaan dengan cara mencurangi rakyat.

“Maka adalah wajib rakyat seluruhnya untuk turun “duduk bantah” dan menyatakan pendirian tegas rakyat bahawa tidak boleh berlaku sebarang proses pilihanraya selagi daftar pemilih induk dipenuhi dengan kekeliruan dan keraguan yang munasabah.

Rakyat terutamanya anak-anak muda harus segera bangkit bagi menghalang penjajahan serta pembodohan minda terus-terusan berlaku dan menekan kita ke dasar untuk lima tahun akan datang,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Mohd Sabu: PAS Akan Gerak 100 % Jentera Sertai BERSIH 3.0

SHAH ALAM 4 APRIL : PAS akan mengerakan seratus peratus jenteranya untuk turut serta memobalisasi Perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini sebagai menyokong usaha menuntut satu perubahan yang sihat dalam sistem pilihanraya di negara ini.

Timbalan Presiden PAS Pusat Mohamed Sabu berkata keputusan Jawatankuasa Penambahbaikan berhubung Pilihan Raya (PSC) di Parlimen baru-baru ini jelas menafikan kehendak rakyat yang inginkan perubahan pada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.

“Kami dari PAS sedang mengerakkan usaha memberi ransangan terhadap ahli-ahli kita untuk turut serta pada hari itu.

“Kami juga akan menggunakan Majlis Penerangan termasuk Harakah untuk memberi liputan dan perkembangan terkini dalam menjayakan perhimpunan tersebut,”jelas Mohamed.

BERSIH 3.0 yang dijadual akan berlangsung 28 April ini di Dataran Merdeka dan beberapa lokasin pusat bandar Kuala Lumpur.

Menurut Mohd Sabu, BERSIH 3.0  akan dijadikan sebagai medan perhimpunan untuk memberi tekanan kepada kerajaan berhubung tuntut lapan perkara BERSIH 2.0 yang belum dipenuhi kerajaan.

Perhimpunan dengan tema ‘Duduk dan Bantah’ ini adalah anjuran bersama 84 NGO lain yang akan diadakan serentak di seluruh negara dan dunia.

Perhimpunan ini juga adalah lanjutan daripada BERSIH 2.0 yang berjaya dilancarkan pada 9 Julai tahun lalu dengan penglibatan puluhan ribu rakyat bagi menuntut lapan penambahbaikan dalam sistem pilihanraya.

Menyedari kebangkitan rakyat, Kerajaan kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Penambahbaikan berhubung Pilihan Raya (PSC) untuk mencadangkan tututan rakyat itu dilaksanakan sebagai menambahbaik sistem pilihan raya.

Malangnya, menerusi laporan jawatankuasa itu hanya satu sahaja tuntutan yang dilakasanakan.

Mengulas lanjut berhubung perkara ini, Mohamed yang mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata perhimpunan ini perlu dilancarkan sebagai amaran keras kepada kerajaan yang anggkuh kepada rakyatnya.

“BERSIH 3.0 ini perlu dilancarkan kerana daripada lapan tuntutan hanya satu sahaja yang diluluskan iaitu dakwat kekal.

“Bagaimana dengan daftar pemilih yang bersih, akses kepada media, ia langsung tidak ditambah baik seperti mana hyang dituntut rakyat,”katanya..

Mohamed menambah, perkembangan terbaru ini jelas menunjukkan negara masih jauh ketinggalan dalam mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi.

Selain memberi perbandingan jelas antara Malaysia dengan Myanmar, Mohamed berkata negara kita ketinggalan jauh dalam usaha menambahbaik sistem pilihanraya berbanding negara itu yang keluar dari kepompong diktator dengan mengamalkan sistem pilihanraya yang bersih dan adil.

“Malangnya, kerajaan terpaksa mengunakan cara ini dengan misi utama mereka untuk kembali menawan Selangor  menerusi manipulasi daftar pemilih.

“SPR (Suruhanjaya Pilihanraya) sepatutnya menjadi pengendali Pilihanraya bertindak menjadi agen kepada pemerintah, ini yang masalah,” jelas beliau lagi.

Justeru katanya rakyat tidak mempunyai pilihan lain selain mengadakan protes secara terbuka pada 28 April ini.

Categories
NASIONAL

BERSIH 3.0 Sekiranya PSC Tidak Penuhi Tuntutan BERSIH 2.0


PETALING JAYA, 18 MAC : BERSIH 3.0 kemungkinan besar akan diadakan sekiranya Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) yang akan dibincangkan Minggu depan di Parlimen tidak meluluskan sebahagian besar tuntutan BERSIH 2.0 lalu.

Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya komited dengan perancangan itu dan kejayaan mengadakan perhimpunan BERSIH 2.0 adalah bukti jelas majoriti rakyat inginkan perubahan di dalam pengendalian pilhanraya di negara ini.

Tambahan pula, katanya, penubuhan PSC juga memberi petanda suara rakyat kini tidak boleh dipertikaikan lagi oleh pihak berkuasa di negara ini.

“Kalau kita tidak dapat tuntutan kita, ya mungkin ada kemungkinan yang tinggi. Datuk Ambiga pun dah cakap ada kemungkinan kita akan adakan BERSIH 3.0,” katanya kepada TVSelangor ketika ditemui di majlis perhimpunan Wanita Suara Perubahan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Padang Astaka di sini hari ini.

Antara tuntutan dibuat BERSIH 2.0 bagi merealisasikan piliharaya berish dan adil di negara ini khususnya bagi Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) nanti adalah bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil dan kukuhkan institusi awam.

Maria Chin berkata, pihaknya kini sedang menanti keputusan yang akan dibuat PSC berhubung tuntutan dibuat Bersih 2.0.

Berhubung Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), beliau mendakwa, pihak berkuasa itu tidak menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan adil dan saksama.

“Saya rasa SPR tidak menjalankan tugasnya dengan baik. Kalau mereka terus begini tidak menunaikan tuntutan Bersih 2.0, saya rasa mereka lebih bagus letak jawatan,” katanya.

Maria Chin juga mengulas tindakan SPR yang melakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya menyebabkan pengundi berpindah tempat mengundi tanpa pengetahuan mereka yang turut melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, pendekatan itu adalah tidak berasas dan pengundi boleh mengambil tindakan dari segi undang-undang terhadap SPR.

“Saya rasa itu salah dan harap pengundi yang telah ditukar kawasan boleh mengambil tindakan undang-undang.

“Mereka mesti buat laporan kepada SPR dan bantahan kalau pindaan itu tidak adil dan mereka tidak diberitahu oleh SPR. Macam Tan Sri Khalid yang ditukar tetapi dia tidak tahu dan SPR tidak boleh kata ini “administrative error”,” ujarnya.

Maria Chin berkata, perhimpuan Wanita Suara Perubahan yang diadakan pada hari ini adalah satu lagi petanda jelas kebangkitan kaum wanita di dalam menuntut perubahan di dalam pentadbiran kerajaan di negara ini. Lebih 2 ribu hadirin menyertai perhimpunan berkenaan.

Katanya, kerajaan harus memberikan perhatian dan beralku adil dalam perkara ini dan tidak meminggirkan suara mereka.

Categories
NASIONAL

Mohd Sabu: BERSIH 3.0 Sebelum PRU-13

SHAH ALAM, 12 MAC : Perhimpunan BERSIH 3.0 akan dilancarkan sekiranya mendapati daftar pemilih yang dijalankan oleh Suruhan Pilihanraya (SPR) dilakukan secara tidak bersih menjelang Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 akan datang.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata pihaknya dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sedang meneliti pelbagai aspek berkenaan himpunan itu menjelang PRU ke 13 itu nanti.

” Pihak kita dan rakan-rakan kita dari NGO sedang mmbuat penelitian, jikalau kami mendapati daftar pemilih dan lain-lain perkara masih lagi tidak diselesaikan oleh Umno-BN, kemungkinan besar kita akan berkumpul sekali lagi untuk BERSIH 3.0,” katanya dalam ucapan di Majlis Makan Malam sempena Sambutan empat tahun pentadbiran PR.

Hadir sama di majlis itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta ahli exco kerajaan negeri Selangor.

Katanya, Pakatan Rakyat (PR) boleh mengambil alih pentadbiran Putrajaya sekiranya pilihanraya diadakan secara bersih dan tidak terdapat penipuan.

” Kalau pilihanraya tidak bersih belum tentu kita dapat mengambil alih sebab itu pertubuhan BERSIH berusaha daripada tahun 2007 yang lalu diikuti tahun lepas di himpunan BERSIH 2.0 yang menuntut lapan perkara antaranya ialah daftar pemilih hendaklah bersih,” katanya.

Jelasnya lagi, SPR perlu menjawab banyak perkara antaranya penambahan pengundi yang melebihi 20 peratus di sembilan parlimen di kawasan Selangor.

” Hal ini kerana penambahan pengundi di Parlimen Subang sebanyak 35 peratus manakala Kota Raja pula sebanyak 28 peratus dan Petaling Jaya Utara pula hanya tujuh peratus pengundi baru, kenapa berlaku begitu tidak seimbang antara dua parlimen yang berjiran ini.

” Apakah usaha yang sedang dilakukan, kawasan yang betul-betul Umno-BN boleh menang mungkin mereka pindahkan pengundi-pengundi melayu ke kawasan yang mereka anggap boleh menang dan rampas pada PRU 13 akan datang,” katanya.

Tambahnya, daftar pemilih amat penting bagi rakyat Malaysia sepertimana tuntutan rakyat yang mahukan negara demokrasi dan bebas rasuah.

” Sepatutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berbangga jika berlaku peralihan kuasa melalui demokrasi dalam pilihanraya berbanding negara lain yang banyak berlaku pertumpahan darah sebelum peralihan kuasa berlaku.

” Tetapi kalaulah pilihanraya tidak bersih inilah negara menjerumus kepada ketidakketentuan dan tidak aman sedangkan kita semua rakyat malaysia tidak mahu huru hara dan mahukan keamanan, biarlah PRU 13 berjalan dengan bersih untuk kita ambil alih putrajaya dan Perdana Menteri boleh menjadi ketua pmbangkang yang baik,” katanya.