Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2022 dibuka hari ini

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Permohonan bagi Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2022 untuk pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di dalam dan luar negara telah dibuka hari ini, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

JPA dalam kenyataan memaklumkan permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang permohonan secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my sehingga tarikh tutup pada 22 Februari 2022.

“Borang permohonan lengkap serta dokumen sokongan yang diperlukan perlu dikemukakan dan diterima oleh pihak JPA sebelum atau pada 22 Februari 2022 sama ada secara serahan tangan atau pos,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPA, BYDPA menawarkan sebanyak 12 biasiswa iaitu enam untuk pengajian peringkat Sarjana dan enam untuk pengajian PhD di dalam dan luar negara dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-undang dan Kewangan Islam.

JPA memaklumkan calon yang ingin memohon perlu mempunyai keputusan akademik yang amat cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) minimum 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana.

“Syarat permohonan BYDPA adalah warganegara Malaysia dan berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Jan 2022.

“Penglibatan secara aktif dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya adalah satu kelebihan buat calon Sarjana manakala bagi calon PhD ia adalah diwajibkan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, JPA memaklumkan syarat kelayakan lain adalah telah mendapat tawaran tanpa syarat (unconditional offer) bagi pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.

Maklumat lanjut mengenai penawaran ini, boleh layari portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03–8885 3879/3569/3438/3371/3571 pada setiap hari bekerja mulai 9 pagi hingga 5 petang atau e-mel kepada [email protected].

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Biasiswa Yang di-Pertuan Agong boleh dimohon mulai hari ini

PUTRAJAYA, 15 MAC: Permohonan bagi Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2021 untuk peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam dan luar negara dibuka mulai 5 petang ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini berkata permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my.

Menurut JPA, tarikh akhir bagi mengemukakan borang permohonan yang lengkap berserta dokumen sokongan secara serahan tangan atau pos adalah pada 9 April ini.

“BYDPA menawarkan sebanyak 12 biasiswa iaitu enam di peringkat sarjana dan enam di peringkat PhD untuk calon mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam,” katanya.

JPA berkata keutamaan diberikan kepada calon yang mendapat keputusan akademik amat cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana.

JPA berkata keutamaan juga diberikan kepada calon yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kokurikulum, mahir dalam lebih satu bahasa antarabangsa, atau menghasilkan kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan dan reka cipta.

Katanya, calon yang mendapat tawaran pengajian secara sepenuh masa atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penajaan di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan JPA mengikut bidang pengajian turut diberi keutamaan.

Syarat kelayakan lain ialah warganegara Malaysia dan berumur tidak lebih 35 tahun pada 1 Jan 2021.

“Calon yang memenuhi syarat permohonan serta melepasi saringan lanjut akan disenarai pendek untuk menghadiri temu duga,” katanya.

JPA berkata pengajian peringkat sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan atau disertasi atau tesis.

Maklumat lanjut mengenai penawaran itu boleh didapati melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03–8885 3879/3569 pada setiap hari bekerja mulai jam 9 pagi hingga 5 petang atau e-mel kepada [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong kurnia biasiswa kepada 11 pelajar IPT

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2020/2021 kepada 11 penuntut institusi pengajian tinggi di Istana Negara di sini.

Enam penerima biasiswa bagi pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ialah Noor Amiera Alias pelajar Rehabilitasi Pediatrik (Kanak-kanak) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Amalina Hanani Ismail (Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Imperial College of London); Muhammad Hafizul Hazmi Wahab (Sains Komputer, Universiti Putra Malaysia (UPM); Ong Yi Ni (Kimia, University of Oxford); Bryan Lim Wei Tern (Kecerdasan Buatan dan Robotik, Imperial College of London) dan K. Sivasanghari (Kejuruteraan Aeroangkasa, UPM).

Sementara itu, pelajar yang menerima biasiswa bagi pengajian Sarjana ialah Mohamad Khairul Hafizi Rahimi (Kejuruteraan Elektrik, UKM); Nur Khairina Khairu Najihan (Mekatronik, Universiti of Tokyo); Farah Syazana Aspar (Jurisprudens dan Etika Perubatan, University of Melbourne); Rohaisha Jamil (Undang-undang, King’s College London) dan Low Suey Yee (Parasitologi, UPM).

Setakat 2019, BYDPA telah menaja 161 pelajar iaitu 82 untuk pengajian di peringkat PhD dan 79 individu di peringkat Sarjana dengan tajaan meliputi empat bidang utama iaitu Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam.

Biasiswa BYDPA mula diperkenalkan pada 2006 dan sebanyak 14 sesi penawaran bagi pengajian di peringkat Sarjana dan PhD.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman ketika ditemui pemberita berkata biasiswa berkenaan mengiktiraf kebolehan luar biasa pelajar-pelajar Malaysia antaranya dalam bidang akademik dan kokurikulum.

“Saya berharap supaya semua penerima biasiswa ini akan membawa nama yang baik dan pulang dengan kejayaan cemerlang kerana mereka membawa nama institusi Yang di-Pertuan Agong semasa pengajian mereka…saya berdoa mereka berjaya dalam pengajian dan kembali berkhidmat kepada negara dan raja,” katanya.

Penerima biasiswa bagi PhD, Bryan Lim, 24, berkata beliau berharap akan menyumbang semula kepada negara dalam bidang kecerdasan buatan (AI) sejurus tamat pengajian dan pulang ke tanah air kelak.

“Perasaan memang gembira kerana tanpa biasiswa ini saya memang tidak boleh melanjutkan pelajaran saya ke peringkat PhD…jadi memang rasa bangga dan akan lakukan yang terbaik” katanya yang juga bekas pemain tenis negara.

Bagi Mohamad Khairul Hafizi, 24, pula beliau berhasrat menjadi warga pendidik dalam bidang kejuruteraan selepas tamat pengajian di peringkat Sarjana nanti.

Beliau yang berasal daripada Kelantan turut berharap dapat menyumbang kembali kepada negara untuk mendidik generasi akan datang dalam meminati dan mempelajari bidang sains dan teknologi.

-BERNAMA