Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa banjir lega dikecuali bil air, tampung kos beli perkakas elektrik

SHAH ALAM, 6 JAN : Pengecualian bayaran bil air selama sebulan kepada mangsa banjir yang diumumkan Kerajaan Negeri melegakan banyak pihak.

Lizal Mohd Sani

Lizal Mohd Sani, 38, berkata wang yang sepatutnya digunakan bayar bil air boleh menampung serba sedikit pembelian perkakasan elektrik yang musnah dilanda bah.

“Sekurang-kurangnya boleh tampung untuk kami beli periuk nasi atau dapur gas…semua sudah rosak. Alhamdulillah ada pengecualian ini,” katanya kepada SelangorKini.

Norhaidayu Mat Setafar

Manakala, Norhaidayu Mat Setafar,40, berkata kerja pembersihan pascabanjir memerlukan penggunaan air yang banyak dan kerap yang boleh memberi kesan kepada bil bulanan.

“Lega sangat apabila dapat tahu tidak perlu bayar air selama sebulan, sebelum ini bimbang juga jika bil air melambung kerana guna air sangat banyak ketika cuci rumah.

“Inisiatif ini mungkin dianggap kecil bagi sesetengah pihak namun bagi mangsa banjir seperti kami besar maknanya, saya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Bantuan Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi pengecualian bayaran bil air selama sebulan kepada akaun terjejas.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pengecualian bil air: Penghuni flat, rumah strata layak terima manfaat

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerajaan Negeri sedang meneliti pengecualian bayaran bil air Januari kepada pelanggan akaun domestik perumahan strata atau flat terjejas akibat banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sudah menyenaraikan kawasan yang akan memperoleh manfaat itu.

“Kita sudah senaraikan kawasan (terjejas), Air Selangor sedang teliti. Semua kawasan terkesan di Selangor dan Kuala Lumpur akan dapat pengecualian pada Januari.

“Rumah strata juga kita akan lihat prosesnya sebab kita ada masa lagi sehingga hujung Januari ini,” katanya kepada pemberita selepas program serahan sumbangan banjir oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di perkarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau ditanya berhubung pengecualian bayaran bil air kepada mangsa banjir yang tinggal di perumahan strata dan flat atau bil dibayar kepada badan pengurusan bersama (JMB).

Pada 31 Disember lalu, Air Selangor memaklumkan akan memberi pengecualian bayaran bil bagi Januari kepada pelanggan akaun domestik Kod Tarif 10 di Selangor yang terkesan akibat bencana.

Pengecualian secara automatik tanpa perlu mengisi atau menghantar borang merupakan sebahagian daripada program Bantuan Selangor Bangkit yang diumum Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Air Selangor kecualikan bayaran bil Januari kepada mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memberikan pengecualian bayaran bil air bagi bulan Jan 2022 kepada pengguna akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Air Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengecualian tersebut merupakan sebahagian daripada Program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diumumkan Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut kenyataan itu, pengguna terjejas banjir akan menerima pengecualian bayaran bil air bagi tempoh satu bulan secara automatik dan tidak perlu mengisi atau menghantar sebarang borang kepada Air Selangor.

Pasukan penyelamat giat menyelamatkan mangsa terjejas banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bil air bulanan akan terus dikeluarkan sepanjang tempoh pengecualian bayaran namun pengguna yang layak menerima pengecualian tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh dinyatakan.

“Air Selangor memahami kesulitan yang dialami oleh para pelanggan yang terkesan dengan insiden banjir dan berharap agar bantuan ini akan sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300 atau merujuk aplikasi Facebook, Instagram dan Twitter syarikat itu, selain boleh mengajukan pertanyaan dan aduan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir dapat rebat air sebulan, usahawan Hijrah terima moratorium

SHAH ALAM, 21 DIS: Kerajaan Negeri hari ini bersetuju mengecualikan bayaran bil air selama sebulan kepada semua pemegang akaun yang terkesan dengan banjir.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang media khas di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri sebentar tadi.

“Saya berbincang dengan ketua pegawai eksekutif Pengurusan Air Selangor dan dia minta senarai untuk kenal pasti kawasan terjejas,” katanya.

Beliau turut mengumumkan penangguhan bayaran pinjaman selama dua bulan kepada usahawan Hijrah Selangor yang terjejas akibat bencana itu dengan kesan kewangan RM15 juta.

Sebanyak 203 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sembilan daerah seluruh negeri bagi menempatkan 30,632 mangsa banjir setakat jam 8 pagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Perumahan Negara digesa bayar tunggakan bil air PPR Lembah Subang 2

SUBANG JAYA, 24 FEB: Jabatan Perumahan Negara (JPN) digesa menyelesaikan tunggakan bil air Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 berjumlah lebih RM100,000 bagi memboleh bekalan air disambung semula.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berkata hampir penduduk 5,000 di situ tidak sepatutnya berdepan masalah air memandangkan bil mereka dibayar secara terus kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Tunggakan ini adalah dari meter pukul yang digunakan untuk kemudahan awam seperti surau dan dewan. Pengurusan menerusi JPN bertanggungjawab membayar bil ini.

“Difahamkan pengurusan kawasan ini telah menerima lima notis bayaran namun tidak mengendahkan hingga akhirnya bekalan air dipotong kira-kira jam 1 pagi semalam tanpa makluman awal,” kata Halimey Abu Bakar ketika ditemui di PPR berkenaan malam ini.

Bagi membantu penduduk mendapatkan bekalan air bersih, Halimey mengambil inisiatif meminta bantuan Majlis Bandaraya Petaling Jaya menghantar lima tangki air bermula petang tadi.

“Saya akan berjumpa dan mendesak pihak JPN serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung masalah ini demi memastikan ia tidak akan berulang lagi,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPAN: Bil Mei tinggi rangkumi penyelarasan Mac, April

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan bil air bagi Mei 2020 adalah lebih tinggi daripada biasa kerana ia merangkumi penyelarasan bil bagi bulan Mac dan April 2020.

Menjelaskan terdapat banyak aduan pengguna mengenai bil air yang tinggi, SPAN dalam satu kenyataan berkata bil yang dikeluarkan pada bulan Mac dan April adalah mengikut bacaan secara anggaran kerana operator agihan air tidak membuat bacaan meter sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setelah pembacaan meter secara fizikal dibuat oleh operator agihan air pada bulan Mei, pengiraan bil bagi bulan Mei akan dibuat mengambilkira penyelarasan bil anggaran bulan Mac dan April.

“Selain itu, pengguna domestik menggunakan air lebih banyak daripada biasa semasa tempoh PKP yang berpunca daripada aktiviti rutin yang tertumpu di kediaman masing-masing. Ini telah menyumbang kepada peningkatan bil air,” kata SPAN.

Menurut SPAN, satu ketetapan kaedah pengiraan bil air sepanjang pelaksanaan PKP telah dikeluarkan untuk dirujuk dan dipatuhi oleh operator agihan air bagi memastikan caj yang dikenakan kepada pengguna adalah pada kadar yang wajar.

“Sekiranya kaedah pengiraan yang digunakan oleh operator adalah tidak selaras dengan ketetapan yang dikeluarkan oleh SPAN, operator dikehendaki membuat penyelarasan bil pada akaun pengguna yang terlibat,” kata kenyataan itu.

Bagi mengelak kekeliruan berterusan, SPAN meminta operator agihan air untuk membanyakkan sesi penjelasan kepada pengguna berhubung isu itu melalui pelbagai medium penyampaian.

“Pengguna diminta menjelaskan bil air masing-masing dan jika ada lebihan caj setelah penyelarasan dibuat, ia akan direkodkan dalam akaun pengguna untuk bulan seterusnya.

“Bagaimanapun, sekiranya pengguna merasakan bahawa caj yang dikenakan adalah tidak munasabah dan memerlukan penjelasan lebih terperinci, pengguna dinasihatkan menghubungi operator air masing-masing atau mengemukakan aduan ke [email protected],” kata SPAN.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Dapatkan bil air menerusi WhatsApp – Air Selangor

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Pelanggan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) kini boleh menerima bil air melalui aplikasi WhatsApp, jika mereka memilih untuk berbuat demikian.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Abdul Halem Mat Som berkata pelanggan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh mendaftar untuk perkhidmatan e-Bil yang bermula pada 1 April, atau mengemas kini maklumat mereka di laman sesawang http://update.airselangor.com untuk menetapkan kaedah penerimaan bil melalui WhatsApp.

“Pelanggan yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan WhatsApp perlu memastikan nombor telefon yang didaftarkan di laman web ini adalah betul dan boleh menerima mesej melalui WhatsApp.

“Untuk maklumat lanjut dan bantuan mengenai bekalan air, pelanggan boleh menghubungi kami di talian 15300, WhatsApp di 019-2800919 atau 019-2816793, media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram) dan laman web Air Selangor (www.airselangor.com),” Katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Air Selangor juga menggalakkan pelanggan untuk memuat turun aplikasi Air Selangor di telefon pintar mereka melalui aplikasi AppStore atau GooglePlay untuk maklumat mengenai bekalan air atau untuk semakan bil air.

Pelaksanaan e-Bil adalah selaras dengan program transformasi Air Selangor untuk bergerak ke arah perkhidmatan digital dengan pelanggan kini dapat menerima bil air dengan lebih pantas dan mudah sama ada melalui e-mel atau dengan mengakses aplikasi Air Selangor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gabung bil air, bil IWK untuk mudahkan pelanggan

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) memberi jaminan pengebilan bersepadu air dan pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd tidak akan melibatkan kenaikan tarif perkhidmatan pembetungan sedia ada.

Menteri berkenaan Datuk Dr Xavier Jayakumar menjelaskan sebaliknya langkah berkenaan akan memudahkan lagi proses pembayaran apabila pelanggan akan menerima dan membayar satu bil bagi kedua-dua perkhidmatan antara operator bekalan air dan pihak pembetungan.

“Selain itu pelanggan juga hanya perlu menghubungi satu pusat hubungan sekiranya pelanggan mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan berkenaan bil kerana terdapat kakitangan IWK akan berada di pejabat pembekal air.

“Pelanggan juga tidak perlu lagi menghubungi talian yang berlainan untuk isu perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan sekiranya berlaku sebarang masalah,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Xavier menjawab soalan Datuk Mansor Othman (PH-Nibong Tebal) yang ingin tahu sejauh mana usaha kerajaan bagi menggabung bil bekalan air dengan bil pembetungan IWK serta kesannya kepada kerajaan dan rakyat.

Menurutnya pelaksanaan projek rintis bil bersepadu yang telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Mac 2016 memberi kesan positif kepada IWK apabila berlaku peningkatan kadar kumulatif syarikat berkenaan di wilayah itu.

“Kadar kumulatif IWK di Labuan iaitu dari 87 peratus pada 2016 kepada 90.4 peratus pada 2018. Ia juga memberi kesan positif kepada Jabatan Bekalan Air Labuan (JBAL) iaitu peningkatan sebanyak dua peratus daripada RM33.11 juta pada 2016 kepada RM33.82 juta untuk 2018.

“Selepas perlaksanaan pengebilan bersepadu di Labuan, bersama sokongan KATS akan diperluas ke negeri-negeri lain dengan mengadakan perbincangan bersama operator-operator bekalan air negeri,” katanya.

Dr Xavier berkata buat masa kini, Pulau Pinang menunjukkan minat mereka untuk berunding bagi perlaksanaan pengebilan bersepadu itu.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian juga akan memberhentikan pemberian subsidi kepada IWK dalam tempoh lima tahun akan datang namun beberapa program akan dilaksanakan kementeriannya bagi membolehkan syarikat itu berdiri sendiri.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penduduk DUN Sungai Panjang cadang guna kaedah lama hantar bil air

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SABAK BERNAM, 5 APR: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang mencadangkan kepada pihak Air Selangor supaya menguna pakai kaedah lama semula dalam menghantar bil air kepada mereka.

Cadangan terbabit dikemukan berikutan daripada masalah bil air yang tidak sampai ke rumah sebahagian penduduk kawasan itu sejak diperkenalkan sistem e-bil.

Seorang penduduk, Mohd Yatim Paat, 54, berkata, kaedah lama itu adalah pembaca meter sendiri yang menyerahkan bil air kepada pengguna ketika datang membaca meter.

Katanya, masyarakat setempat merungut kerana air dipotong sebab tidak membayar bil, sedangkan ia berpunca daripada bil yang tidak sampai ke rumah.

“Sistem canggih nak hantar pakai telefon pintar dan emel, tapi orang kampung tak pandai baca emel termasuk saya. Kita harap dapat pakai semula cara lama.

“Selain itu, masalahnya berpunca daripada pejabat pos yang menghantar surat dan bil tidak tepat ke rumah,” katanya ketika ditemui SelangorKini selepas Program Jimat Air bersama Air Selangor di Balai raya Kampung Hala Cara Baru Parit 16, di sini.

Sementara itu, Muhammad Yusof Bin Ahmad, 74, yang adalah penduduk kampung itu, berkata, beliau sudah empat bulan tidak memperoleh dan membayar bil airnya.

Katanya, beliau terkejut apabila menyemak bil tunggakannya kini mencecah RM132.

Pada masa sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Dato’ Mohd Imran Tamrin berkata, pihaknya juga meminta Air Selangor untuk mempertimbangkan usulan daripada masyarakat setempat itu.

Imran berkata, kebanyakan penduduk kawasan itu adalah warga tua yang kurang celik berkaitan IT dan teknologi, malah lebih cenderung mendapat bil secara serahan tangan.

Katanya, pihaknya juga berterima kasih kepada Air Selangor kerana sudi turun berdialog bersama penduduk setempat dan mengemaskini data mereka, ia satu usaha yang sangat dihargai.

Bercakap mengenai masalah pos, beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan pejabat pos daerah bagi menyelesaikan kemelut itu.