Categories
AGENDA NASIONAL

Radzi: KPM buka bilik gerakan, urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) telah membuka bilik gerakan banjir dan Lembaga Peperiksaan sedang mengambil tindakan bagi menguruskan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas di Terengganu dan Kelantan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

“Saya mengambil maklum tentang situasi banjir di Terengganu dan Kelantan yang turut menjejaskan beberapa pusat peperiksaan SPM di negeri tersebut.

“Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan anak-anak calon SPM 2021 dapat membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat,” menurut hantaran itu.

SPM akan berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: SPRM buka bilik gerakan, minta orang ramai salur aduan rasuah

JOHOR BAHRU, 26 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan empat bilik gerakan di seluruh Johor, bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua bilik gerakan tersebut beroperasi dari 8 pagi hingga 12 tengah malam, sepanjang tempoh PRN berkenaan.

Menurut kenyataan itu, bilik gerakan itu terletak di Pejabat SPRM Johor, Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat, Pejabat SPRM Cawangan Kluang dan Pejabat SPRM Cawangan Segamat.

Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui aplikasi Whatsapp di talian 010-8414384, atau menerusi emel [email protected].

SPRM turut mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding, agar tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).

Hari ini adalah penamaan calon bagi PRN Johor manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac depan.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB tinjau bilik gerakan SM Sains Banting, salur bantuan barangan asas

KUALA LANGAT, 27 APRIL: Dato’ Menteri Besar turun padang meninjau bilik gerakan di Sekolah Menengah (SM) Sains Banting yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin mendengar taklimat tertutup oleh Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berhubung situasi terkini.

Beliau kemudian menyampaikan bantuan barangan asas untuk menampung keperluan sepanjang tempoh PKPD.

Ketika ditemui pemberita, beliau berkata seramai 92 individu di sekolah itu positif Covid-19 setakat hari ini.

“Saya dimaklumkan ujian saringan kedua akan diadakan pada 29 April dan 1 Mei, sama-sama kita berdoa semoga tiada lagi kes positif, Insya-Allah,” katanya.

Pelaksanaan PKPD di SM Sains Banting bermula 24 April hingga 7 Mei.

Kuarantin melibatkan seramai 966 individu terdiri 836 pelajar, 70 guru, 21 kakitangan, enam warden asrama, 20 pekerja dewan makan, enam pekerja pembersihan dan tujuh pekerja keselamatan.

Kes indeks pertama melibatkan seorang pelajar tingkatan satu yang dikesan bergejala pada 12 April serta disahkan positif pada 15 April manakala kes kedua dan ketiga pula melibatkan kontak rapat kepada kes pertama.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelajar Selangor Di Mesir Berada Dalam Keadaan Baik dan Terkawal

halimah pc pelajar mesir 5 jul 01

SHAH ALAM, 5 JUL : Seramai 1,479 pelajar Selangor di Mesir dilaporkan berada dalam keadaan baik berdasarkan maklumat terkini yang diperolehi daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, meskipun Mesir dilanda siri perhimpunan besar-besaran baru-baru ini, namun lokasi kejadian adalah jauh daripada penempatan para pelajar.

Menurutnya, pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Selangor Mesir sentiasa bekerjasama dengan pihak KBMK dalam menyalurkan maklumat berhubung situasi semasa yang berlaku di negara itu.

“Segala peraturan, pekeliling dan peraturan berkaitan keselamatan yang dikeluarkan sentiasa disampaikan kepada pelajar-pelajar Selangor untuk dipatuhi.

“Malah pejabat HEP Selangor Mesir sentiasa melaporkan perkembangan dan perubahan situasi semasa yang berlaku kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).”

Dr Halimah berkata demikian di dalam sidang media selepas sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Jelas Halimah, semua pejabat HEP negeri juga diarahkan untuk membuka bilik gerakan beroperasi 24 jam di rumah negeri masing-masing bagi mendapatkan perkembangan semasa, menerima aduan serta mendapatkan maklumat berkaitan rakyat Malaysia dan pelajar.

Tambahnya, satu jawatankuasa khas keselamatan peringkat negeri Selangor juga ditubuhkan bagi membincangkan persediaan dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil sekirannya situasi bertambah buruk.

“Kebanyakan pelajar di sana sudah mula bercuti pada ketika ini setelah tamat peperiksaan akhir tahun. Malah ada sebahagian universiti yang menangguhkan kelas dan peperiksaan,” katanya lagi.

Konflik terbaru di Mesir menyaksikan Presidennya, Mohammed Morsi, yang menang pilihanraya negaranya pada 30 Jun 2012 digulingkan oleh tentera Mesir pada 3 Julai.