Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Bantuan RM300 untuk keluarga kurang mampu dalam fasa akhir penyelarasan

SHAH ALAM, 6 FEB: Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) kini di peringkat penyelarasan akhir sebelum diagih kepada golongan yang layak.

Perkara itu dimaklum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengulas pertanyaan pengguna Facebook Muhammad Hazim mengenai bantuan RM300 yang dibentang dalam Belanjawan Selangor 2022 pada November lalu.

“Peruntukan RM300 sebulan adalah untuk program Bingkas, bukan Kiss (Kasih Ibu Smart Selangor).

“Program tersebut belum bermula kerana dalam penyelarasan fasa akhir,” katanya, hari ini.

Pada 4 Disember lalu dilaporkan seramai 21,000 penerima bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) dan Kiss Ibu Tunggal (Kiss-IT) akan menerima manfaat Bingkas.

Amirudin berkata inisiatif terbaharu melalui Belanjawan #Selangor2022 membolehkan golongan terbabit mendapat RM300 sebulan berbanding RM200 pada masa kini.

Belanjawan negeri dibentangkan Amirudin pada November lalu memperuntukkan RM108 juta bagi inisiatif Bingkas, yang bakal memanfaatkan 180,000 individu di negeri ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan RM300 sebulan ringan beban keluarga kurang mampu

SHAH ALAM, 1 DIS: Inisiatif Kerajaan Negeri melaksanakan program baharu, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) membantu rakyat meneruskan kehidupan mendepani pasca Covid-19.

Pengerusi Persatuan Penduduk Impian Murni, Saujana Impian Rosile Saat berkata bantuan RM300 itusebulan boleh digunakan penduduk untuk membayar yuran sekolah dan membeli keperluan harian.

“Penambahbaikan ini sangat membantu golongan-golongan sasaran seperti ibu tunggal dan kurang berkemampuan yang pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ketua Kampung Kampung Baharu Sabak Bernam, Azizah Samin

“Namun saya berharap wakil rakyat dapat membantu menguar-uarkan bantuan tambahan atau penambahbaikan yang dilakukan Kerajaan Negeri supaya lebih ramai rakyat dapat dibantu,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Ketua Kampung Kampung Baharu Sabak Bernam, Azizah Samin berkata pihaknya sentiasa menerima baik usaha Kerajaan Negeri dalam meringankan beban penduduk.

“Namun jika boleh dipertimbangkan, bantuan lama dikekalkan supaya jumlah penerima bantuan dapat ditingkatkan kerana ramai terkesan akibat Covid-19,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Belanjawan Selangor memaklumkan Kerajaan Negeri meluaskan capaian dan menambah baik program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT) yang dinamakan Bingkas.

Program baharu ini akan memperuntukkan RM3,600 setahun atau RM 300 sebulan kepada setiap keluarga yang layak.

Kerajaan Negeri menyasarkan sebanyak 30,000 keluarga di Selangor akan menerima manfaat Bingkas dengan peruntukan RM108 juta dan jangkaan 180,000 penerima manfaat.