Categories
EXCO SELANGOR

Program blueprint basmi kemiskinan bantu 2,642 peserta sejak 2016

SHAH ALAM, 30 NOV: Kerajaan Negeri membelanjakan RM10 juta bagi membantu 2,642 peserta Blueprint Pembasmian Kemiskinan meluaskan perniagaan sejak 2016.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau berkata bantuan meliputi mesin dan alatan niaga perlu dimohon melalui pejabat daerah dan tanah (PDT).

“Bagi daerah Hulu Langat sahaja, seramai 212 orang lulus permohonan dengan peruntukan sebanyak RM902,450,” kata V Ganabatirau dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Semenyih Zakaria Hanafi yang meminta perincian jumlah penerima bantuan diberikan mengikut Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun, Ganabatirau menjelaskan tiada perincian peserta berikutan permohonan dibuat melalui PDT termasuk perolehan pembelian alatan.

“Program dibuat mengikut daerah dengan borang permohonan perlu dikemukakan kepada pihak berkenaan untuk diproses dan disiasat sebelum dibawa masuk ke mesyuarat jawatankuasa pemilihan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor belanja RM16.5 juta bantu B40 luas perniagaan

SHAH ALAM, 22 NOV: Kerajaan Negeri membelanjakan RM16.5 juta bagi membantu 4,811 peserta Blueprint Pembasmian Kemiskinan meningkatkan usaha niaga sejak 2008.

Bantuan meliputi alatan niaga secara percuma dengan syarat tidak melebihi RM5,000 bagi menambah baik prestasi mereka, kata wakil rakyat Morib Hasnul Baharuddin.

Beliau berkata bantuan termasuk mesin jahit, peti sejuk, ketuhar, dapur tungku bergerak, perkakas membaiki basikal dan mesin pengisar buah-buahan bersaiz gergasi.

Turut diberikan ialah komputer riba, mesin khas pengupas dan pemotong bawang, peralatan set meja, kerusi dan payung penjaja.

“Umumnya melalui program ini, Kerajaan Negeri membantu membeli alatan diperlukan peniaga yang disaring dan layak untuk meningkatkan lagi prestasi perniagaan masing-masing,” katanya di Facebook.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor menyasar golongan miskin dan berpendapatan rendah (B40) yang mempunyai kemahiran untuk berniaga.

Antara perusahaan yang boleh diceburi termasuk jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak, perusahaan kecil dan kraftangan.

Categories
EXCO SELANGOR

Dana bantuan basmi kemiskinan naik kepada RM10,000 setiap penerima

BANGI, 11 NOV: Peruntukan bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan meningkat kepada RM10,000 bagi setiap penerima bermula tahun depan.

EXCO pembangunan sosio ekonomi berkata peruntukan asal bantuan RM5,000 itu dinaikkan susulan berlaku kenaikan harga peralatan atau mesin di pasaran.

“Saya telah membawa perkara ini dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Oktober lalu dan cadangan tersebut dipersetujui.

“Jumlah penerima mungkin akan berkurangan tetapi perkara ini perlu kerana harga peralatan semakin meningkat,” kata V Ganabatirau.

Beliau ditemui selepas program penyerahan sumbangan mesin jahit tepi kepada penerima Nur Faralia Mohammad Hafiz di Kuarters Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat hari ini.

Tambah Ganabatirau, setiap penerima bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dipantau Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan pejabat penghulu.

“Pemeriksaan dilakukan secara rambang supaya memastikan peralatan diberi digunakan sebaik mungkin agar dapat menjana pendapatan,” katanya.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor sejak 2008 memberi peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan sedang dijalankan.

Program itu membabitkan golongan miskin dan berpendapatan rendah mempunyai kemahiran untuk meneruskan perusahaan dalam bidang seperti jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak, perusahaan kecil dan kraftangan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Peniaga lega dapat bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

SHAH ALAM, 29 JUN: Bantuan RM400 kepada peniaga kecil melalui program Blueprint Pembasmian Kemiskinan melegakan golongan itu yang terjejas pendapatan susulan Covid-19.

Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Masyarakat Hulu Selangor Azizan Mat Hashim berkata bantuan tersebut memanfaatkan 201 peniaga di kawasan itu yang kebanyakan menjual makanan.

Azizan Mat Hashim

“Ramai yang terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), justeru bantuan ini menenangkan mereka. Sebenarnya ramai yang layak tetapi kita pilih yang terjejas teruk,” katanya ketika ditemui di Bilik Mesyuarat Kekwa, Bangunan SUK hari ini.

Penghulu Mukim Sungai Buloh 1 Yusri Abdullah pula berkata 45 peniaga kecil terpilih di kawasannya putus pendapatan ketika PKP dan kini berniaga dari rumah.

“Bagus apabila ada bantuan ini. Kita juga melawat rumah mereka untuk lihat sendiri perkembangan perniagaan,” katanya.

Terdahulu, seramai 1,072 individu di seluruh negeri menerima bantuan tersebut dengan peruntukan RM430,000 yang diserahkan EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor sejak 2008 memberi peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Categories
ADN SELANGOR

Peserta Blueprint Pembasmian Kemiskinan gembira dapat bantuan

BANTING, 15 OKT: Penerima program bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan di Kuala Langat menzahirkan kesyukuran selepas menerima peralatan untuk menjalankan perniagaan.

Salah seorang penerima, Goh Moi Yong, 52, berkata beliau akan memanfaatkan motosikal roda tiga yang diterima dan tekad memperluas perniagaan bahan pemprosesan makanan laut yang dijual di pasar pagi sekitar Tanjong Sepat.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memilih saya selaku penerima dan berharap semoga program ini diteruskan pada masa akan datang.

“Motosikal ini memudahkan pergerakan saya untuk berulang alik setiap hari dari rumah ke pasar pagi,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor peringkat Kuala Langat di Dewan Jubli Intan Kampung Olak Lempit Banting, di sini hari ini.

Shafinazreen Norhafizah Suhaimi, 34, pula bersyukur menerima peralatan mesin pengadun tepung dan peti ais beku yang akan memudahkannya memproses makanan sejuk beku seperti karipap serta samosa.

“Saya bersyukur dengan bantuan diberikan ini sekali gus dapat menambah kuantiti makanan sejuk beku yang diusahakan sejak 2015,” katanya yang menetap di Kuala Langat.

Sementara itu, S Janet, 52, berkata kekurangan kelengkapan mesin jahit menyukarkannya untuk menerima tempahan.

“Namun, selepas Kerajaan Negeri meluluskan permohonan memberi mesin jahit lurus ini saya tekad mahu mengambil tempahan lagi dan berharap perniagaan semakin berkembang,” katanya yang boleh menjahit pakaian tradisional India.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor yang dilancarkan sejak 2008 bertujuan menyalurkan bantuan peralatan atau mesin diperlukan berdasarkan perusahaan dan perniagaan yang sedang dijalankan.

Categories
SELANGOR

3,264 terima manfaat Blueprint basmi kemiskinan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 SEPT: Seramai 3,264 individu menerima bantuan Blueprint pembasmian kemiskinan, sehingga Ogos lalu bagi menjana pendapatan tambahan dan meningkatkan taraf hidup.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, Kerajaan Selangor sentiasa proaktif mencapai matlamat kemiskinan sifar dalam segenap dimensi terhadap golongan kurang berkemampuan di negeri itu.

“Kemiskinan dianggap sebagai isu subjektif yang boleh dilihat dari pelbagai sudut dengan kebanyakan pengkaji mengaitkannya terhadap kekurangan pendapatan dan ketidakmampuan individu atau isi rumah untuk memenuhi keperluan hidup.

“Oleh itu, dalam merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri akan terus memastikan semua perancangan pembangunan tidak tersasar dari landasan yang direncanakan sejak awal lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan rancangan pembangunan baru, kerja dasar dan strategi bagi membolehkan matlamat kemiskinan sifar berhasil.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyediakan peluang saksama kepada semua rakyat untuk turut serta dalam pertumbuhan ekonomi tanpa mengira kaum, jantina dan latar belakang,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan bantuan berkenaan kepada 14 inidividu di daerah Hulu Langat dengan peruntukan RM50,050 merangkumi peralatan dan mesin.