Categories
SELANGOR

Janji BN beri rumah percuma tidak realistik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 FEB: Janji Barisan Nasional (BN) untuk memberi rumah percuma kepada pasangan muda baru berkahwin sekiranya menang di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disifatkan hanya janji kosong.

Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor, Zuraida Kamarudin berkata, janji yang ditawarkan itu tidak realistik, malahan BN terdahulu gagal memberikan khidmat kepada rakyat, di negeri terbabit.

Malah, beliau turut mempersoalkan kemampuan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, yang tidak mempunyai rekod amanah dan tidak mempunyai kredibiliti.

“Janji beliau tidak ditepati. Jamal tidak ada kredibiliti, tidak ada ‘track record’ yang amanah, jujur dan kita tidak boleh pakai janji orang macam ini.

“Janji kosong BN ini yang digunakan 60 tahun dulu, sebab itu BN kalah, pada 2008 sehingga kini,” katanya lapor FMT.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Jamal yang berjanji akan memberi rumah percuma kepada pasangan muda baru berkahwin jika parti itu berjaya menawan negeri berkenaan, pada PRU14.

Terdahulu, Jamal berkata, pihaknya sudah membincangkan perkara itu dengan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Pada masa sama, Zuraida mengingatkan BN untuk menerima hakikat bahawa rakyat kini lebih mempercayai kemampuan PAKATAN yang mentadbir Selangor.

“Kerajaan Selangor yang ada masa ini, kita cakap dan buat. Sebab itu, saya cakap Jamal tidak rasional dan cakap tak boleh pakai, sebab tidak ambil kira statistik berkenaan kajian, analisa keadaan semasa ekonomi dan kedudukan kewangan,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Plastik 20 sen: BN tandus idea laksana dasar hijau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 FEB : Barisan Nasional Selangor ketandusan idea untuk melaksanakan dasar hijau baru yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat di negeri itu.

Pengarah Komunasi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Naqib Nasaruddin berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri kini lebih fokus memacu insiatif pelaksanaan dasar hijau di Selangor.

Beliau berkata, ia dibuktikan menerusi pelaksanaan dasar bebas beg plastik dan polisterina, namun cuba ditiru BN Selangor sekiranya mampu menawan Selangor, pada pilihan raya depan.

“Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan begitu peka tentang pencemaran alam sekitar dan seterusnya mengambil langkah proaktif untuk mengawal masalah ini dari terus berlanjutan.

“Justeru saya menganggap BN Selangor bankrap idea dan gagal memahami kepentingan rakyat secara menyeluruh.

“Maka wajarlah BN ditolak bukan sahaja di Selangor, malah seluruh negara demi kepentingan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Barisan Nasional Selangor berjanji tidak akan meneruskan caj beg plastik sebanyak 20 sen sekiranya menang di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ia kononnya sebagai manifesto Kerajaan BN, melaksanakan dasar sedia ada yang mula dilaksanakan Kerajaan Pakatan dengan memperkenalkan pelaksanaan bebas polisterina Januari lalu.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Apa nasib Malaysia jika BN menang dua pertiga?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka melaksanakan persempadanan semula membabitkan pertambahan kerusi untuk meningkatkan penguasaan Umno-Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat, pada masa akan datang.

Ketua Penganalisis Politik dan Sosial Penang Institute, Dr Wong Chin Huat berkata, persempadanan yang dijangka bermula hujung tahun ini membolehkan Umno-BN akan terus kekal berkuasa dalam tempoh panjang.

“Kali ini mereka tidak dapat tambah kerusi kerana tiada dua pertiga tetapi jika pilihan raya akan datang kadar mengundi turun hingga 70 peratus dan BN dapat dua pertiga, Najib akan tambah kerusi Parlimen juga negeri.

“Maka, persempadanan (semula) pasti berlaku. Adakah kita akan mempunyai tenaga untuk lawan seperti sekarang? Jika kita tidak mengundi, kita bukan sahaja membantu SPR tetapi membuka pintu untuk persempadanan lebih teruk. Inilah bahaya paling besar yang ramai orang tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata, persempadanan semula membabitkan pertambahan kerusi pasti berlaku jika BN menang dengan majoriti dua pertiga, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Chin Huat berkata, keputusan memboikot undi, pada PRU14 bukan sahaja membantu Umno-BN untuk berkuasa bagi tempoh lima tahun tetapi dalam satu tempoh panjang.

“Kali ini kita lawan hingga ke mahkamah dan berjaya menggagalkan sebahagian usaha SPR tetapi jika semuanya menjadi kosong-kosong semula tiada siapa mampu lawan,” katanya.

Categories
NASIONAL

BN menang dua pertiga jika kurang 70% mengundi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JAN: Barisan Nasional (BN) memiliki peluang cerah memenangi dua pertiga kerusi, di Dewan Rakyat jika kadar keluar mengundi, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jatuh sehingga 70 peratus.

Ketua Penganalisis Politik dan Sosial Penang Institute, Dr Wong Chin Huat berkata, kajian menunjukkan peratusan keluar mengundi banyak bergantung kepada ‘mood’ rakyat terhadap kerajaan memerintah.

“Sama ada BN boleh dapat dua pertiga atau boleh ditumbangkan bergantung kepada kadar mengundi yang mana jika ia tinggi, lazimnya kerana wujud gerakan marah kepada kerajaan, sekali gus merugikan kerajaan dan menggagalkan ‘gerrymandering’.

“Jika kadar keluar mengundi jatuh sehingga 70 peratus, kemungkinan besar lebih daripada separuh BN akan dapat dua pertiga,” katanya pada Forum Demokrasi: “Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Untuk Mengekalkan Kemenangan BN: Dimana Hak Pengundi”, di Auditorium Institut Darul Ehsan (IDE) di sini, semalam.

Beliau berkata, kajian itu berdasarkan keputusan PRU13 dengan BN, pada masa itu memperolehi 133 kerusi dengan kekurangan 15 kerusi bagi membentuk majoriti dua pertiga, di Dewan Rakyat.

Chin Huat berkata, rakyat disaran tidak melepaskan peluang untuk menggunakan sepenuhnya kuasa memilih yang diperuntukan dalam perlembagaan dengan bijak bagi menyatakan pilihan masing-masing.

“Pada masa ini, Pakatan Harapan (PAKATAN) masih berpeluang meningkatkan jumlah kerusi dimenangi atau menang PRU14 ekoran persempadanan semula yang cuba dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh membabitkan pertambahan kerusi,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kekalkan BN boleh bawa kehancuran

Keterdesakan dan panik Umno BN makin terserlah sejak akhir-akhir ini dengan ucapan-ucapan dan kenyataan oleh pemimpin mereka.

Pada mulanya, saya jangkakan ia akan surut setelah lebih seminggu selesainya Konvensyen Pakatan Harapan dan pengumuman Mufakat Pakatan Harapan, namun jelas ia masih menjadi buah mulut mereka.

Pada 19 Januari lalu di Pensiangan, Sabah, Dato’ Seri Najib Tun Razak memberi ucapan berapi-api memercikkan ugutan dengan penuh emosi agar rakyat di sana jangan menukar kerajaan kerana jika silap menukar kerajaan, negeri atau negara boleh hancur.

Beliau membawa kembali modal kestabilan politik dan keamanan sebagai modal kempen. Katanya, rakyat di negara ini tidak boleh leka atau ambil mudah terhadap kestabilan politik yang dikecapi selama ini di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN). Beliau turut menyindir pembangkang apabila menamakan seorang yang berumur 93 tahun sebagai perdana menteri.

Beberapa hari sebelum itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan mengugut guru dan pegawai kerajaan yang menyokong pihak pembangkang bahawa mereka akan dipecat daripada jawatan. Beliau memberi peringatan kepada guru di negara ini supaya berpada-pada dalam berpolitik agar tidak melanggar peraturan sebagai penjawat awam.

“Kita tidak benarkan mereka bekerja dalam agensi kerajaan ketika menjadi pembangkang atau memegang jawatan parti,” katanya. “Bagaimanapun, katanya, mereka yang menyertai dan memegang jawatan dalam parti pemerintah dibenarkan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Lanjutan kecaman orang awam, Menteri berkenaan menafikan dakwaan amaran tersebut. Malah pasukan komunikasi Kementerian Pendidikan cuba ‘cover line’ dengan menyatakan bahawa Menteri hanya berniat memberi nasihat seperti seorang ‘bapa’.

Tetapi yang anehnya, pada 3 Oktober tahun lalu, Setiausaha Agung Umno dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berucap dengan penuh semangat di hadapan guru di Presint 14 Putrajaya, menjemput dan menyambut baik guru yang ingin aktif dalam politik, termasuk menjadi ketua bahagian, ketua cawangan atau bertanding dalam mana-mana jawatan dalam Umno.

Ucapan dan kenyataan mengelirukan begini tidak akan keluar melainkan apabila keadaan sudah terdesak. Amaran, ugutan dan ancaman kepada penjawat awam bukan perkara atau modal baru parti pemerintah. Apabila dekat musim pilihan raya maka penjawat awam akan selalu diingatkan tentang tanggungjawab dan siapa ‘boss’ mereka sama ada secara halus atau kasar.

Rakyat akan sentiasa diingatkan tentang kestabilan, keamanan dan pembangunan sebagai langkah meraih sokongan. Ancaman-ancaman seperti komunis, negara hancur dan huru-hara juga seringkali diungkitkan.

Seiring dengan itu, kekeliruan antara kerajaan dan parti pemerintah seringkali dimainkan. Dalam erti kata lain, kerajaan dan parti pemerintah dianggap sama. Ketaatan dan khidmat dalam kerajaan dianggap sama seperti ketaatan dan khidmat kepada parti pemerintah, apatah lagi di negara kita parti pemerintahnya sudah berkuasa bagi tempoh yang terlalu lama.

Sebenarnya, jika diteliti, penjawat awam termasuk guru-guru telah lama berganjak daripada pemikiran dan budaya lapuk bahawa parti pemerintah itu kerajaan dan kerajaan itu parti pemerintah. Itulah antara sebabnya pembangkang telah berjaya menafikan dua pertiga majoriti di Parlimen sejak Pilihan Raya Umum (PRU)-12 2008 dan memenangi beberapa negeri.

Tidak pula kedengaran kehancuran atau huru-hara di Negeri-negeri Selangor atau Pulau Pinang sehingga menyebabkan rakyat lari atau keluar dari negeri berkenaan. Tambah maju dan mesra rakyat lagi ada.

Hakikatnya, kehancuran negara bukan berlaku akibat pertukaran kerajaan, sebaliknya mengekalkan kerajaan parti pemerintah Umno BN yang boleh menyebabkan negara terjerumus ke gaung kehancuran.

Biarlah kita jelas bahawa dalam mana-mana sistem pemerintahan negara, meskipun pelantikan Perdana Menteri, Menteri kabinet dan sewaktu dengannya dianggap sebagai sebahagian daripada kerajaan parti pemerintah, namun perubahan pelantikan itu tidak sewajarnya menjejaskan perkhidmatan oleh penjawat awam.

Kerajaan dan penjawat awam tetap kekal walaupun berlaku peralihan parti pemerintah. Ini kerana antara peranan utama penjawat awam ialah untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Harus diingat, dalam sistem demokrasi dan pilihan raya negara, mana-mana warganegara Malaysia yang layak mengundi termasuk penjawat awam bebas untuk memilih wakil rakyat mereka daripada mana-mana parti yang bertanding.

Justeru, tidak salah untuk berbeza pandangan daripada parti pemerintah malah menjadi tanggungjawab mereka untuk membetulkan keadaan jika berlaku kesalahan, kesilapan atau kepincangan sama ada dari dalam atau dari luar. Pokok pangkalnya, suruhan amar makruf nahi mungkar atau berpesan-pesan dengan hak dan kesabaran dilakukan atas prinsip besar keadilan, kebenaran dan pertanggungjawaban.

Parti-parti politik merupakan entiti rakyat yang ingin meraih kuasa atas matlamat dan perjuangan tertentu. Kejayaan parti politik dalam pilihan raya ialah suara terbanyak rakyat berdasarkan prinsip, pegangan dan janji. Jika menang, maka tidak kira sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Harapan atau lain-lain gabungan, mereka wajib menggalas tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Tidak ada sebuah parti politik pun yang boleh mendakwa kerajaan itu seolah-olah milik mereka walaupun parti itu memperolehi majoriti untuk menguasai kerajaan. Kerana parti politik bukanlah kerajaan. Parti politik hanya mampu menjadi parti yang memerintah dalam sesebuah kerajaan.

Justeru, meskipun parti pemerintah dan kerajaan saling berkait terutama dalam pelaksanaan dasar dan pertadbiran negara, namun menjadi tanggungjawab wajib bagi kerajaan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan awam untuk kesejahteraan masyarakat. Contohnya penyediaan prasarana seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik; penjagaan kesihatan asas, perumahan subsidi, pendidikan awam dan kemudahan awam yang lain.

Sesiapa pun yang menjadi kerajaan, selain menjaga ekonomi dan pembangunan negara, memang menjadi amanah dan tugas mereka untuk menyediakan setiap prasarana yang kondusif demi kesejahteraan rakyat.

Sebagai kerajaan parti pemerintah, mereka wajib menguruskan dan mentadbir negara dengan adil, saksama dan bertanggungjawab bersama-sama dengan penjawat awam. Parti pemerintah tidak boleh bertindak sesuka hati menyalahgunakan kuasa, kedudukan, wang, agensi kerajaan dan penjawat awam untuk kepentingan peribadi atau parti mereka.

Sekiranya parti pemerintah melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik, maka rakyat dan penjawat awam boleh menyokong malah membantu menjayakan agenda parti pemerintah.

Tetapi jika sebaliknya berlaku, yakni parti pemerintah melakukan rasuah, mencuri harta rakyat dan negara, mengamalkan kronisme, menipu rakyat dan membebankan kehidupan rakyat maka rakyat wajib menukar kerajaan tersebut malah penjawat awam wajar bertindak membetulkan keadaan kerana ‘tuan’ mereka bukan parti pemerintah tetapi rakyat. Negara ini milik kita bersama dan wajib dibina semula di atas asas yang betul.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat

Categories
NASIONAL

Matlamat PAKATAN jatuhkan Umno-BN, selamatkan negara dan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan tujuan utama menjatuhkan Umno-Barisan Nasional (BN) serta menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya.

Ketua Biro Guaman PAKATAN Wilayah Persekutuan, Zulhazmi Shariff berkata, PAKATAN dianggotai KEADILAN, PPBM, AMANAH dan DAP tidak berpaksikan perjuangan individu seperti digambarkan pihak tertentu khususnya Umno-BN.

“Tujuan utama menjatuhkan Umno-BN adalah untuk menyelamatkan Malaysia daripada terus terjerumus dalam krisis ekonomi lebih teruk dan imej Malaysia lebih negatif di mata dunia. Menyelamatkan masa depan Malaysia daripada dijahanamkan pemimpin Umno-BN.

“Jika Umno-BN berjaya dijatuhkan nanti, yang akan menerima faedahnya bukan hanya mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu tetapi semua orang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ia bukan retorik dan mengajak semua pihak termasuk rakyat berfikir secara positif sekiranya melantik Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri semula boleh memperbaiki Malaysia, bahkan ia lebih baik daripada membiarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Rzak serta Umno-BN terus merosakkan negara.

Jika membebaskan Anwar dan seterusnya mengangkat beliau sebagai perdana menteri, katanya, akan menjadikan Malaysia lebih baik, malahan ia suatu yang mesti diusahakan daripada tidak berbuat apa-apa juga hanya riuh sana sini yang akhirnya membiarkan Najib serta Umno-BN terus berkuasa.

“Malaysia ini kita punya. Malaysia ini hak kita bersama. Tanggungjawab kita mempertahankan hak daripada terus dirosakkan Najib dan Umno-BN,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kenyataan Isham dangkal, polisi BN penyebab kos meningkat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 DIS: Kenyataan bekas pegawai Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Isham Jalil kononnya polisi Kerajaan Negeri menyebabkan kos sara hidup di Selangor meningkat adalah terlalu dangkal dan tidak benar sama sekali.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Dato’ Menteri Besar, Yin Shao Loong berkata, Kerajaan Negeri sebaliknya mengambil inisiatif mengecualikan cukai pintu terhadap 790,443 rumah kampung dan kos rendah dengan impak kos RM113 juta.

Katanya, fi lesen niaga juga dikecualikan terhadap 162,010 peniaga dengan kos RM19.3 juta, sejak 2016 dan hanya bayaran nominal RM1,000 dikenakan bagi pemilikan tanah kediaman kepada 5,317 peneroka tanah yang tidak mampu membayar premium.

“Kerajaan Negeri juga tidak pernah meminda Kaedah-kaedah Tanah Selangor 2003 dan kekal komited dengan tarif cukai tanah semasa bagi semua jenis hartanah di Selangor sejak 14 tahun lalu.

“Kenyataan Isham itu andaian semata-mata kerana hakikatnya, punca kos sara hidup meningkat adalah disebabkan penarikan subsidi barangan memasak dan petrol, kemerosotan ringgit serta pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Shao Loong berkata, Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2016 oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan penduduk Putrajaya dan Kuala Lumpur di bawah Barisan Nasional (BN) adalah yang paling banyak mengeluarkan perbelanjaan bulanan isi rumah.

“Adakah ia berpunca daripada cukai dan kos berkaitan hartanah, perumahan dan premis perniagaan di Wilayah Persekutuan?

“Dijangkakan, kos sara hidup rakyat bakal naik mendadak, susulan arahan Kerajaan Persekutuan mahu majikan membayar levi pekerja asing, berkuatkuasa 1 Januari 2018.

“Pastinya, majikan terpaksa memindahkan kos itu kepada pengguna dan menyebabkan saiz poket rakyat terus menguncup,” katanya.

Pada 26 Disember lalu, Isham mendakwa kenaikan kos sara hidup di Selangor berpunca daripada cukai dan kos berkaitan hartanah, perumahan dan premis perniagaan dikenakan Kerajaan Negeri.

Katanya, di bawah pemerintahan BN, kadar bagi cukai berkaitan hartanah dan premis perniagaan di Selangor dan Pulau Pinang tidak setinggi apa yang dikenakan sekarang.

Beliau dilapor berkata demikian pada program Ruang Bicara bertajuk ‘Trend Pemikiran Pengundi Cina’, terbitan Bernama News Channel.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Anwar: Cukai baru & GST naik jika BN menang PRU-14

SHAH ALAM 3 NOV: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 mereka mereka akan segera mengumumkan cukai baru atau peningkatan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Anwar berkata pelbagai janji ditabur dalam usaha yang tidak berselindung untuk memperdaya rakyat untuk menyokong BN pada PRU akan datang.

“Tetapi ada kelompangan cukup besar di dalam bajet pra-pilihan raya ini; ia gagal menunjukkan bagaimana Kerajaan Persekutan akan mengimbangkan perbelanjaan dengan pendapatan.

“Bagaimanakah Kerajaan Persekutuan ini akan menepati janji-janji bajet ini, walhal ia belum menunjukkan bagaimana pendapatan kerajaan akan ditambah? Ini langsung tidak ditunjukkan dalam mana-mana bahagian bajet ini,” kata Anwar dalam kenyataan media.

Anwar berkata maka, hanya ada satu penjelasan untuk hal ini; cukai-cukai baru atau peningkatan dan perluasan GST akan dikenakan ke atas rakyat.

“Rakyat lah yang akan menderita dan yang akan menanggung beban ini untuk membolehkan BN melaksana segala janji yang dibuat di dalam bajet ini,” katanya.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

MCA didakwa beli tanah RM1 sekaki persegi

OLEH LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 18 SEPT: MCA didakwa membeli tanah milik kerajaan dengan harga RM1 sekaki persegi di Kampung Chempaka, di sini, dakwa Yeo Bee Yin.

Ahli Dewan Negeri Damansara Utama itu berkata, ia dilakukan pada 2007 ketika Kerajaan Negeri masih diteraju Barisan Nasional (BN).

Katanya, tanah berkenaan yang pada asalnya dizonkan sebagai ‘water body’ juga dijual kepada MCA tanpa perlu membayar premium semasa.

“Kita berasa sangat pelik bagaimana MCA boleh memiliki tanah diklasifikasikan sebagai ‘water body’.

“Betapa beraninya BN melakukan perkara sedemikian, malah mereka juga berani membuat permohonan penukaran zon walaupun Kerajaan Negeri kini diteraju Pakatan,” katanya menerusi Instagram @yeobeeyin.

Bee Yin mendedahkan perkara itu ‘kantoi’ apabila MCA membuat permohonan bagi menukar status ‘water body’ kepada status komersial kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), awal tahun ini.

“BN sangat sakit, rakyat diharap menolak ahli politik yang menyalah guna kuasa untuk mengkayakan mereka dan kroni mereka,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa penjualan berkenaan dilakukan menerusi bekas ahli parlimen MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Katanya, tanah itu bernilai sekurang-kurangnya RM400 sekaki persegi dengan nilai keseluruhan RM18 juta namun dijual pada harga RM50,000 sahaja kepada MCA.

“Kami menggesa tanah itu dikembalikan kepada Selangor atau MCA bayar harga semasa tanah berkenaan,” katanya dipetik Malay Mail Online.

Categories
KENYATAAN MEDIA

BN lulus kilang sawit, penduduk derita bau busuk

OLEH DATO’ SERI DR SANTHARA

Kewujudan kilang sawit di sempadan Jementah dan Kebun Baharu, Johor telah mengakibatkan pencemaran udara sehingga menimbulkan rasa kurang senang terhadap penduduk setempat.

Penduduk sekitar terpaksa menghadapi masalah bau busuk khususnya waktu pagi dan selepas hujan kerana jarak kilang dari jalan utama dan rumah penduduk lebih kurang 500 meter sahaja.

Setelah satu bantahan penduduk bersama pimpinan Pakatan Harapan Johor diadakan pada 10 Jun lepas, saya dimaklumkan bahawa Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Subramaniam telah mengarahkan penutupan kilang tersebut serta-merta selama sebulan.

Saya difahamkan pihak pengurusan kilang telah bersetuju untuk mengadakan sesi perbincangan secara bersama dalam masa terdekat. Apa yang saya mahukan ialah wakil-wakil yang terlibat mestilah mereka yang terdiri daripada pimpinan kerajaan, pimpinan pembangkang, Majlis Perbandaran dan wakil komuniti di Jementah.

Masalah utama setelah pembinaan kilang ini wujud adalah lebih membawa kesan negatif apabila berlakunya pencemaran alam sekitar yang berkemungkinan menjadi lebih serius dan menjejaskan kesihatan penduduk.

Mungkin setelah tiada jalan penyelesaian diperolehi, penduduk terpaksa menanggung penderitaan seperti mendapat penyakit kulit manakala kanak-kanak pula sering batuk dan selsema akibat menghidu udara yang tercemar.

Saya menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri untuk menyiasat aduan yang telah dibuat oleh penduduk akibat pencemaran air longkang dan parit yang dipercayai berpunca daripada kilang kelapa sawit tersebut.

Bukankah amalan pertanian dan pemprosesan sawit di negara ini dikawal ketat oleh beberapa badan kerajaan di mana ianya tertakluk kepada undang-undang, peraturan dan akta-akta tertentu.

Saya berharap pihak pengurusan kilang dapat menghentikan operasinya sehingga penyelesaian jangka panjang dicapai dan segala permasalahan rakyat dapat diselesaikan dan bukannya mengutamakan keuntungan sebelah pihak sahaja.

# Dato’ Seri Dr Santhara adalah Pengerusi Biro Integrasi Nasional KEADILAN

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kezaliman BN melebihi jasa ditabur kepada rakyat

OLEH DATIN PADUKA DR TAN YEE KEW

Saya merujuk kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyeru semua pihak khususnya pengundi Parlimen Bandar Tun Razak agar ingat jasa BN dan meminta mereka memberikan undi kepada parti pemerintah itu.

1. Saya ingin tanya disini apa jasa BN kepada rakyat? Adakah dengan memungkiri janjinya untuk menurunkan harga kereta seperti dijanjikan manifesto PRU13? Adakah dengan harga rumah semakin naik? Harga tol semakin naik? Bajet pendidikan dipotong? Subsidi petrol dimansuhkan? Rakyat dikenakan GST?

2. Apa yang saya lihat hari ini kezaliman Barisan Nasional (BN) lebih besar daripada jasa mereka kepada rakyat. Banyak tindakan zalim Umno dan BN berbanding daripada jasa-jasa yang dilakukan oleh parti itu sejak Malaysia mendapat kemerdekaan. Rakyat semakin hari semakin tertekan dan tertindas di bawah pentadbiran mereka ini.

3. Saya juga perhatikan pemimpin-pemimpin Umno BN juga tidak sering turun padang dan memberi bantuan kepada penduduk terutama yang memerlukan melainkan pada ketika ini apabila Pilihan Raya Umum (PRU) kian menjelang. Ketika ini baru lah kita nampak wakil-wakil rakyat menunjukkan batang hidung mereka bersama-sama rakyat melakukan pelbagai kerja dan aktiviti.

4. Hakikatnya setelah berbelas kali pilihan raya berlalu dan mandat berterusan kepada BN sebelum ini, yang dijanjikan hanya tinggal janji. Rakyat akan dilupakan selepas mereka mengecapi kemenangan.

5. Sebaliknya, sekiranya pemimpin daripada Pakatan Harapan yang dipilih oleh rakyat untuk berbakti di kawasan yang dimenanginya, sudah tentu tanggungjawab yang dimanahkan oleh rakyat setempat dimanfaat dengan sebaiknya. Ini sama sekali berbeza dengan pemimpin Umno BN yg tidak mengenang jasa.

Oleh itu, saya menyeru semua rakyat untuk bijak memilih wakil rakyat yang betul-betul membantu mereka bukannya yang hadirkan diri di saat PRU menjelang tiba sahaja.

*Datin Paduka Dr Tan Yee Kew adalah Bendahari Agung KEADILAN