Categories
SELANGOR

Peluang Selangor ke separuh akhir cerah – Sathianathan

IPOH, 23 SEPT: Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan optimis pasukannya berpeluang cerah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas hanya tewas tipis 0-1 kepada Perak pada aksi suku akhir pertama di Stadium Perak di sini, Ahad malam.

Beliau berkata sasaran itu mampu dicapai lebih-lebih lagi skuad The Red Giants akan beraksi di Stadium Shah Alam untuk aksi timbal balik pada 29 September ini.

“Dalam bola sepak, apa pun boleh berlaku, kita nak bangkit dalam pusingan kedua (suku akhir), kalah 0-1 lebih baik daripada dibolosi 0-3.

“Dengan sokongan penyokong The Red Giants, saya berani cakap ia akan beri kelebihan dan motivasi kepada barisan pemain. Lagi pun, tiada pasukan yang nak kalah kalau beraksi di tempat sendiri,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Perak di Stadium Perak, malam tadi.

Pada perlawanan itu, gol tunggal skuad The Bos Gaurus dijaringkan pemain kebangsaan, Brendan Gan pada minit ke-13.

Mengulas aksi yang ditampilkan pasukannya, Sathianathan berkata beliau berpuas hati meskipun ada pemain utama yang diturunkan masih di belenggu masalah kecederaan.

“Misalnya Abdul Halim Saari dan Mohd Syazwan Zainon, mereka bermain dalam keadaan (prestasi) 50 peratus. Sandro Da Silva tidak diturunkan sebab masalah sama. Jadi, bagi saya pemain telah tunjukkan satu persembahan yang baik,” katanya.

Sementara itu, pengendali Perak, Mehmed Durakovic mengakui pasukannya bakal berdepan tugas berat pada aksi suku akhir kedua di gelanggang lawan susulan kemenangan tipis pada perlawanan malam tadi.

Beliau, bagaimanapun yakin anak buahnya akan berjuang habis-habisan untuk mengekalkan kelebihan yang dimiliki sekali gus berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir.

“Bukan mudah berdepan mereka (Selangor) di Shah Alam…pemain perlu memberikan komitmen 100 peratus di atas padang untuk perlawanan itu nanti. Saya percaya jika itu dilakukan, kita akan berjaya mencatat keputusan positif,” katanya.

-BERNAMA