Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bomba Selangor siap sedia hadapi fenomena air pasang besar

SHAH ALAM 20 SEPT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor kini bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan jangkaan berlakunya banjir besar akibat fenomena air pasang.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata fenomena itu yang dijangka berlaku secara berperingkat mulai hari ini hingga 5 Disember depan.

“Antara beberapa langkah yang diambil bagi menghadapi fenomena ini adalah persiapan bot menyelamat dan kenderaan utiliti, rondaan berkala di kawasan yang dijangka berlaku fenomena dan persiapan bantuan pemindahan mangsa.

“Selain itu, kami turut membuat penjadualan semula syif anggota bertugas serta bekerjasama penuh dengan agensi berkaitan secara berterusan sepanjang tempoh fenomena berlaku,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

air-pasang-besar-3Beliau berkata sebanyak 15 lokasi membabitkan lima daerah di Selangor iaitu Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diramal terjejas oleh fenomena air pasang tersebut.

Lokasi terbabit adalah Pengkalan Tok Muda, Batu 4 Jalan Kapar, Pelabuhan Klang, Jalan Pandamaran Banting dan Taman Selat Damai di Klang; Tebuk Mendeling, Sungai Air Tawar dan Sungai Panjang (Sabak Bernam); Tanjung Karang, Kampung Kuantan, Pantai Remis dan Pekan Sungai Buloh (Kuala Selangor); Pesisir Pantai Bagan Lalang (Sepang) serta pesisiran Pantai Kelanang dan Pantai Tanjung Sepat di Kuala Langat.

Alimaddia berkata, 15 balai bomba dan penyelamat dari lima daerah terbabit telah diarahkan untuk turun padang bagi menjalankan operasi menyelamat dan pemindahan mangsa sepanjang fenomena air pasang besar berlaku.

Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya juga sedang melakukan pemantauan di kawasan berhampiran pantai dan kawasan yang cenderung dinaiki air.

SUMBER: BERNAMA