Categories
AGENDA NASIONAL

Waris korban banjir mahu kongsi bantuan RM10,000 dengan anggota bomba

KUALA LANGAT, 4 JAN: Seorang waris mangsa korban banjir berhasrat memberi sebahagian bantuan RM10,000 kepada anggota bomba yang menjumpai mayat bapanya pada 22 Disember.

Hanya mahu dikenali sebagai Tan, beliau menjelaskan keputusan tersebut dipersetujui ahli keluarganya sebagai penghargaan kepada petugas hadapan dalam insiden banjir di Bukit Changgang di sini.

“Kita akan bagi sumbangan kepada anggota bomba yang jumpa ayah. Saya ada tanya polis siapa yang jumpa dan kami perlu cari kerana anggota itu difahamkan dari Melaka,” katanya kepada Selangorkini.

Mengimbau tragedi berkenaan, Tan berkata mereka sekeluarga tidak menyedari bapa mereka ke kebun bunga yang diusahakan bersama rakan.

“Kami termasuk ayah tinggal di Kuala Lumpur. Kalau tahu dia ke kebun memang (kami) tidak benarkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fadil Md Safi, 36, yang menerima bantuan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri berhasrat membeli tilam untuk lima anaknya selepas mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Beliau turut berterima kasih atas inisiatif Selangor mengecualikan bayaran bil air selama sebulan, yang meringankan bebannya selepas perlu membersihkan rumah pascabanjir.

“Saya fikir anak sahaja sekarang ini, kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dengan mereka tidur beralaskan kotak sebelum menerima toto sumbangan orang ramai,” kata pemandu lori itu.

Hampir 700 keluarga yang terjejas banjir di Kuala Langat dan Sepang hari ini menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diserahkan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Air pasang besar: Keadaan terkawal, tiada rumah penduduk terjejas

SHAH ALAM, 4 JAN: Fenomena air pasang besar yang melanda beberapa kawasan di negeri ini terkawal serta tidak menjejaskan rumah penduduk pada hari ketiga, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata berdasarkan laporan dan pemantauan di Klang dan Kuala Selangor, air pasang berada di paras ketinggian lima meter pada pagi tadi.

“Pemantauan di Kuala Selangor iaitu di Pantai Remis, Pantai Jeram dan jeti jambatan Kuala Selangor antara jam 6.50 pagi hingga 8 pagi mendapati terdapat peningkatan air pasang tetapi tidak membahayakan penduduk berhampiran.

“Manakala di Klang iaitu Jeti Nelayan Kampung Tok Muda dan Jeti Nelayan Jalan Kunci Air Kapar pada jam 6 pagi hingga 7 pagi mendapati air pasang berada paras lima meter dengan rumah penduduk tidak dinaiki air dan surut pada jam 6.55 pagi,” katanya menerusi kenyataan.

Norazam pada Ahad lalu memaklumkan pihaknya menempatkan enam anggota di kawasan berisiko bagi melakukan rondaan sepanjang fenomena air pasang besar.

Ia susulan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan beberapa kawasan di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian) akan mengalami fenomena itu bermula 2 Januari (Ahad) hingga 5 Januari (esok).

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba kenal pasti 272 lokasi berpotensi berlaku banjir

PUTRAJAYA, 31 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti sejumlah 272 lokasi dengan paras air yang mudah meningkat dan berpotensi menyumbang kepada banjir di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata 272 lokasi berkenaan melibatkan sungai, persisiran pantai, air terjun dan tali air.

Beliau berkata kesemua lokasi itu dipantau JBPM sejak September lepas namun disebabkan taburan hujan di luar jangkaan pada 18 hingga 20 Dis lepas di sembilan daerah di Selangor, menyebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terbatas.

Sememangnya di Selangor ini pada peringkat awalnya, kami respons tetapi dengan keluasan daerah dan kepantasan paras air yang naik di negeri itu maka logistik dan keanggotaan pada ketika itu tidak boleh menampung keperluan keadaan (banjir) yang berlaku,” katanya kepada Bernama di pejabatnya semalam.

Mohammad Hamdan berkata pihaknya pergi ke Hulu Langat, Shah Alam dan Klang dan mendapati kawasan itu terjejas banjir serta memerlukan banyak bantuan.

Sementara itu, mengulas mengenai SAR dalam menyelamatkan mangsa banjir, beliau berkata ia memberi cabaran kepada JBPM kerana JBPM mengambil masa yang lama untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir kerana di Selangor terdapat banyak daerah dan puluhan ribu mangsa terjejas ketika itu.

Mengulas mengenai sama ada anggota JBPM mencukupi atau sebaliknya semasa operasi SAR mangsa banjir, Mohammad Hamdan mengakui terdapat kekangan dari segi jumlah anggotanya dan berterima kasih kepada komuniti setempat, sukarelawan, badan bukan kerajaan yang turut membantu dalam aspek menyelamatkan nyawa, pengurusan dan pemindahan mangsa banjir.

Dalam perkembangan lain, JBPM dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi dan Agensi Pengurusan Bencana Negara akan mempergiatkan pemantauan berterusan khususnya fenomena alam yang kerap berubah.

“Kami bukan sahaja melihat ‘hotspot’ sahaja tetapi juga aliran sungai lain yang bertembung di antara satu sama lain yang menjadikan kawasan persekitaran lebih berbahaya.

Apabila kami mengenal pasti ‘hotspot’ ini, kami akan membuat penilaian risiko dan mengambil tindakan bagi mengawal risiko ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gelombang kedua banjir: Bomba sedia lima khemah bantuan di Hulu Langat

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menempatkan lima buah khemah bantuan banjir di Daerah Hulu Langat, dekat sini, sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua banjir di kawasan berkenaan.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata pihaknya menempatkan khemah berkenaan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua, Pejabat Penghulu Batu 14, Sekolah Rendah Sungai Serai, Dewan Orang Ramai Sungai Lui dan Agro Night Market Nanding di Hulu Langat.

Beliau berkata pihaknya turut menempatkan bot-bot bantuan sebagai langkah persediaan awal.

“Kami bimbang sekiranya kejadian banjir di Hulu Langat berulang semula. Oleh itu, anggota serta aset bot bomba sudah bersedia di daerah berkenaan susulan kilat dan awan mendung dilaporkan di lokasi terbabit,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas mengenai situasi semasa paras air di Sungai Lui, Norazam berkata paras air kembali normal namun bomba sentiasa membuat pemantauan paras air di sungai berkenaan.

Semalam, di media sosial tular beberapa gambar dan rakaman video berkaitan limpahan air yang berlaku di Sungai Lui dan penduduk di lokasi berkenaan dikatakan dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang berlaku semula banjir.

Sementara itu, mengulas mengenai banjir di Kajang, Norazam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.35 petang tadi daripada orang awam, memaklumkan berlaku limpahan air dari kolam berhampiran menyebabkan banjir kilat di kawasan perumahan Taman Lembah Mewah dan di Jalan Semenyih, Kajang.

Beliau berkata kejadian di kedua-dua lokasi berkenaan tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa dan banjir telah surut sepenuhnya pada kira-kira 7 malam hari ini.

“Tiada kerosakan yang serius dilaporkan oleh anggota bomba bertugas serta tiada pemindahan penduduk dilakukan di kedua-dua kawasan berkenaan,” katanya.

Hari ini, tular di media sosial beberapa video berdurasi di antara 10 hingga ke 15 saat memaparkan berlaku banjir kilat di lokaliti berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: 128 penghuni asrama UIAM diarah kosongkan bangunan

KUALA LUMPUR, 27 DIS:  Kira-kira 128 penghuni asrama lelaki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak diarah mengosongkan bangunan asrama itu selepas satu kejadian mendapan jalan serta tanah runtuh dikesan berhampiran dengan bangunan berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya bergegas ke lokasi untuk membuat pemantauan selepas menerima laporan pada kira-kira pukul 9 malam tadi mengenai kejadian itu.

Beliau berkata kejadian dikesan berlaku kira-kira pukul 6.45 petang semalam berikutan aduan pelajar di kawasan berkenaan, dan tinjauan mendapati keluasan mendapan jalan adalah sekitar lima meter persegi melibatkan kedalaman kira-kira tiga meter.

.”Setakat ini tiada kesan rekahan pada dinding atau lantai (bangunan) ditemui,” katanya kepada Bernama hari ini.

Norazam berkata pihak pengurusan UIAM telah bertindak menutup kawasan itu dengan kon serta pita keselamatan.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam UIAM Roslan Rusly berkata kejadian tanah runtuh berkenaan dikesan di Mahallah Zubair Al-Awwam, sementara mendapan tanah berlaku berhampiran Mahallah Ruqayyah berikutan hujan lebat selama kira-kira 45 minit di kawasan itu semalam.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba: Banjir di Lembah Klang mula surut secara berperingkat

SHAH ALAM, 19 DIS: Banjir yang melanda Lembah Klang akibat hujan lebat bermula Jumaat pagi hingga awal pagi tadi mulai surut secara berperingkat sejak pagi tadi, kata Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis.

“Kebanyakan kawasan sudah mulai surut namun ada kawasan yang berdekatan dengan sungai boleh dilihat keadaan airnya statik seperti di Taman Sri Muda, di sini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, tinjauan udara Bernama menggunakan helikopter mendapati keadaan banjir masih belum surut di sesetengah kawasan Lembah Klang.

Di kawasan Taman Sri Muda, kebanyakan laluan dan kawasan perumahan teres masih terjejas banjir.

Tinjauan di sekitar Seksyen 13, di sini turut menyaksikan sebahagian kawasan di situ masih digenangi air sehingga menyukarkan mana-mana kenderaan untuk melaluinya.

Kawasan lain yang masih terjejas termasuk Taman Sri Nanding dan Batu 18 di Hulu Langat.

Kebanyakan mangsa didapati tidak perlu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, sebaliknya hanya terdesak untuk mendapatkan bantuan makanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba saran orang ramai tangguh perjalanan sekitar Lembah Klang

KLANG, 19 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyarankan orang ramai menangguhkan perjalanan di sekitar Lembah Klang bagi mengelak kenderaan terkandas berikutan situasi banjir ketika ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata ia susulan beberapa kawasan Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur dan Selangor masih menerima hujan yang menyebabkan paras air banjir meningkat.

“Buat masa ini tangguhkan dahulu perjalanan di kawasan khususnya di Lembah Klang memandangkan kita lihat ada beberapa kes mereka ini (pengguna jalan raya) terperangkap sampai berbelas jam dan tiada makanan serta minuman di dalam kereta.

“Kalau nak merancang perjalanan, kenal pasti dahulu lokasi yang dirasakan selamat dan tanyalah orang yang berada di kawasan persekitaran (yang ingin dituju itu),” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Teluk Gong di sini hari ini.

Mohammad Hamdan turut mengingatkan pegawai dan anggotanya supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri ketika menjalankan tugas dalam keadaan banjir ketika pandemik Covid-19.

Beliau berkata arahan itu telah dikeluarkan kepada semua pengarah bomba negeri terutama negeri yang terlibat dengan banjir.

“Kita percaya banyak tempat memerlukan bantuan dan kita akan memberikan bantuan sebaik mungkin. Kita juga akan pastikan dari segi giliran kerja, kebajikan, kesihatan serta keselamatan anggota diberi perhatian.

“Saya minta untuk dibuat penggiliran dan kita telah bekukan cuti di kawasan negeri yang terlibat dengan banjir,” katanya sambil menambah seramai 27 anggota bomba juga sedang menjalani proses kuarantin ekoran dijangkiti Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba guna helikopter selamatkan mangsa banjir di Hulu Langat, Bentong

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersedia menggerakkan lima buah helikopter bagi melaksanakan operasi membantu mangsa di beberapa negeri yang terjejas akibat banjir.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata seramai 40 anggota dan pegawai dikerahkan untuk melaksanakan operasi membantu mangsa banjir menggunakan helikopter bermula awal lagi ini.

Beliau berkata dua lokasi tumpuan pasukan tersebut setakat ini adalah di Hulu Langat, Selangor dan Bentong, Pahang.

“Setakat ini kita memberi tumpuan kepada dua kawasan tersebut kerana arus sungai yang deras dan ada mangsa terperangkap, tetapi mereka dilaporkan selamat kerana berada di kawasan tinggi bersama tujuh hingga lapan anggota bomba yang turut sama terkandas,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Nor Hisham berkata keadaan cuaca hujan dan angin kuat turut diambil kira sebelum aset helikopter diatur gerak bagi melaksanakan operasi membantu mangsa banjir.

Beliau berkata anggota diarahkan untuk mengenal pasti lokasi dan keadaan cuaca cerah sebelum melaksanakan operasi itu, bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini berlaku terutamanya apabila keadaan hujan.

Beliau berkata dalam tempoh 24 jam, pihaknya menerima 1,800 panggilan kecemasan di seluruh negara, dengan 1,600 adalah dari kawasan Selangor yang terjejas akibat banjir.

“Cabaran utama kita adalah untuk memberi respon cepat dan halangan utama adalah bagaimana untuk masuk ke kawasan terjejas dengan jalan yang ditutup, serta ada kereta yang terperangkap di atas jalan.

“Kita mohon mangsa untuk bersabar dan kita akan cuba masuk untuk membantu,” katanya.

Lembah Klang dilanda banjir menyebabkan lebih 3,600 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara setakat malam tadi, serta sejumlah pengguna jalan raya terkandas akibat laluan dan lebuh raya ditutup setelah dinaiki air.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Lebih 3,000 mangsa banjir dipindah ke pusat pemindahan sementara

SHAH ALAM, 18 DIS: Seramai 3,086 mangsa banjir setakat ini dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ni membabitkan daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang ekoran hujan lebat tanpa henti sejak semalam.

Pengarah Bomba negeri Norazam Khamis berkata di Klang sebanyak 20 PPS dibuka dengan jumlah membabitkan seramai 2,604 mangsa.

Katanya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong dan SK Johan Setia di Klang mencatatkan jumlah penempatan mangsa tertinggi iaitu masing-masing 681 dan 793 orang.

Di Sepang dan Kuala Langat sebanyak 10 PPS dibuka membabitkan 482 mangsa.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapannya di Twitter berkata pada masa sama, sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) sedang digerakkan bagi mengedarkan bantuan kepada mangsa banjir.

Katanya kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa dan membuka lebih banyak PPS sekiranya diperlukan.

Jabatan Meteorologi Malaysia meletakkan amaran hujan berterusan (waspada) untuk Selangor.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

113 mangsa banjir ditempatkan di tiga pusat pemindahan

SHAH ALAM, 17 DIS: Seramai 113 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kejadian banjir di sekitar Jenjarom, Teluk Panglima Garang dan Pelabuhan Klang petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata tiga PPS dibuka iaitu di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek, SRA Pulau Indah dan Sekolah Kebangsaan Telok Gong.

“Rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter akibat hujan berterusan. Kampung Nelayan Telok Gong mencatatkan jumlah mangsa seramai 106 orang.

“Pihak bomba juga memindahkan dua keluarga termasuk empat kanak-kanak di Jalan Nangka, Banting dan Taman Dato’ Hormat, Telok Panglima Garang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata piihak bomba memantau keadaan dari semasa ke semasa sekiranya ada mangsa banjir terperangkap.

Categories
AGENDA NASIONAL

Seorang lagi mangsa insiden kebakaran kilang di Segamat meninggal dunia

SEGAMAT, 13 DIS: Anggota pasukan tindakan khas kecemasan (ERT) kilang memproses habuk kayu, yang cedera parah akibat letupan kebakaran kilang berkenaan di sini Sabtu lepas, meninggal dunia di Hospital Segamat, pukul 9.24 pagi tadi.

Dalam kejadian pada 5.15 pagi itu, Mohamad Azuraini Mahrani, 40, dan seorang pegawai bomba yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat Mohd Firdaus Sulaiman, 32, cedera parah ketika operasi memadam kebakaran di kilang tersebut.

Mohd Firdaus meninggal dunia kira-kira pukul 4.10 pagi tadi di hospital sama.

Adik Mohamad Azuraini, Azizul Mahrani, 36, yang mengesahkan perkara itu berkata dia menerima berita kematian abangnya daripada pihak hospital pada 9.30 pagi tadi.

Dia yang kebetulan bercuti di kampungnya di Felda Redong, dekat sini, berasa terkilan apabila hasrat mereka sekeluarga termasuk arwah untuk bercuti ke Selangor pada hujung minggu ini tidak kesampaian.

“Bagaimanapun kami reda menerima ketentuan ini dan jenazah abang dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Redong selepas solat asar, hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Azizul berkata arwah yang telah bertugas di kilang itu selama 10 tahun, meninggalkan seorang isteri, Normala Sudirman, 40, dan tiga anak berusia antara lapan hingga 12 tahun.

Sementara itu, rakan setugas Mohd Firdaus, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Syed Putra Syed Mohd Al Atas, menyifatkan pemergian kawan karibnya itu sebagai satu kehilangan besar.

Syed Putra, 52, yang melecur pada tengkuk pada kejadian tersebut, bagaimanapun hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dilepaskan selepas tiga jam dirawat.

Dia yang mengenali Mohd Firdaus selama hampir 10 tahun di balai yang sama berkata mereka sering bergurau serta berkongsi susah senang bersama terutamanya dalam hal berkaitan soal kerja.

Katanya, arwah merupakan sorang yang periang dan sering dianggap sebagai ‘pembakar semangat’ kepada mereka semua kerana dia seorang pegawai yang mengambil berat kepada setiap anggota yang bertugas di balai tersebut.

“Antara perkara yang saya dan anggota lain di sini paling ingati ialah ketika penularan pandemik Covid-19, arwah sering memberikan semangat kepada kami untuk terus bertugas sekali gus dapat menunaikan amanah sebagai petugas barisan hadapan.

“Hubungan kami di balai ini, bukan sahaja sebagai rakan setugas malah boleh dianggap sebagai satu keluarga, kami banyak menghabiskan masa bersama, bersarapan bersama dan selepas ini ia hanya tinggal kenangan untuk kami semua,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat.

Mohd Firdaus yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan tengah hari tadi, meninggalkan seorang balu dan anak perempuan yang berusia tiga tahun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pegawai bomba cedera terkena letupan di Segamat meninggal dunia

JOHOR BAHRU, 13 DIS: Pegawai Bomba Mohd Firdaus Sulaiman yang cedera parah akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat, Sabtu lepas, meninggal dunia di Hospital Segamat, awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira pukul 4.10 pagi tadi akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Beliau berkata Mohd Firdaus, 32, yang telah berkhidmat di balai bomba berkenaan sejak 2013, meninggalkan seorang isteri, Nurul Jannah Abd Hamid Khan, 29, dan anak perempuan Aisy Alisha Mohd Firdaus, 3.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan buat seluruh pasukan balai bomba ini dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, amnya.

“Beliau merupakan seorang pegawai yang baik, berdisiplin dan bertanggungjawab. Seluruh keluarga JBPM menyanjung tinggi jasa Allahyarham kerana sentiasa setia dan komited menjalankan tugas,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Mazuki berkata jenazah kini berada di Jabatan Forensik di hospital berkenaan untuk proses mandi dan kafan sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya.

Jenazah Mohd Firdaus dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5.15 pagi Sabtu lepas, Mohd Firdaus dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah manakala seorang lagi pegawai bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu.

– BERNAMA