Categories
BUDAYA RENCANA

Jenaka bah kepada rimba

menteri-menteri dipangkas
ditumbangkan demi selera
terjual secara pukal
kepada kilang-kilang ternama

hutan mendedahkan auratnya
urat-urat lembah, payudaranya
terhidang di lensa jelata.

berita sampai di pagar keraton
gegarkah kayu peterana
atau berita menambah derita?

batang-batang balak
tersusun rapi, tegak
diam di dewan parlimen
kedinginan dalam kebingungan

jenaka pun terjun maha lebatnya
di kepala rakyat
melimpahi sungai dan kota
entah mengapa
seorang wartawan tua
menangis tiba-tiba.

 

Shafiq Said

 

 

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Suatu malam rawak

sisa debu usia
yang kasar menompokkan
semusim duka setia menandai
retak nyawa, bergetar
perlahan dalam pusaran
mengemaraukan liurnya
memaraukan syahadahnya
telahpun sepi. tahulah kami
lenanya abadi

seharusnya embun
terbenih menjadi
tengkujuh di dada
tetapi cuaca ringkas
dengan bayu selembut bayi
resah terdesah esak terserak
dalam frekuensi dan biru yang asing. tuhan
mampukah dakapan berbentuk ku
menghimpunkan apa-apa? kerana hanya itu
yang kumengerti tentang hampir. tuhan
telah kufasihi setiap huruf air; lemas dalam
untuk hidup semula dari setasik kalimatnya
tetapi kali akhir, tiada bumi dan tanah
tiada hujan       tiada bah      tiada darah
yang menyanggupi hakikat basah
tinggal kaku dan kelu melata
segala makna kembali ke sebelum bahasa

dalam keringat malam
seribu mimpi mendidih
yang tak melarut
satu-satunya:

kesedaranku.

 

Meor Izzat Mohamad

Categories
BUDAYA RENCANA

Membina khalayak sastera

Oleh Lokman Hakim

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Menelusuri Netflix membawa saya kepada kisah kejayaan Blackpink. Sepanjang menonton dokumentari itu saya tertanya-tanya apakah faktor utama Blackpink begitu berjaya? Adakah suara mereka begitu sedap? Adakah tarian mereka begitu hebat? Adakah paras rupa yang cantik menjadi penentu? Dalam paparan dokumentari itu, saya tertarik dengan kaedah produser utama Blackpink bernama Teddy Park. Beliau meneliti trend muzik di seluruh dunia dan menebak gaya muzik segar yang berkeberangkalian boleh menembusi pasaran antarabangsa. Pendek kata, beliau tidak sewenang-wenangnya menggubah lagu tanpa memahami landskap muzik dunia dan dinamiknya. Itulah kekuatan Blackpink yang terletak pada individu bervisi ini.

Saya fikir sastera perlukan orang macam Teddy Park. Sastera tidak perlukan gimik tarian aneh di TikTok. Tidak perlu pengarang melaram sekacak atau secantiknya di media sosial. Tidak perlu juga pengarang menayangkan kehidupan peribadinya di media sosial demi secebis konten yang dipercayai dapat memperkenalkan dirinya kepada khalayak umum. Orang seperti Teddy Park akan mengkaji dinamik dunia buku dan membuat perbandingan di antara khalayak sastera di setiap negara sebelum menggariskan strategi khusus langkah-langkah untuk mempopularkan sastera itu. Adakah dunia sastera tempatan memiliki individu seperti ini? Saya meraguinya.

Saya baru sahaja selesai menulis cerpen yang akan saya kirimkan kepada majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pulangannya agak lumayan jika cerpen disiarkan. Namun tiada jaminan sama ada cerpen yang saya hantar itu akan tersiar dalam waktu terdekat. Tidak mustahil juga cerpen itu akan ditolak tanpa sebarang makluman. Menulis karya kreatif setakat ini amat sukar untuk disinonimkan selaku suatu pekerjaan bermaruah yang memberikan pendapatan stabil kepada pengarang. Terlalu banyak yang harus diubah dalam ekosistem sastera tempatan. Sistemnya tidak mampu membantu pengarang. Seorang Teddy Park tidak mampu menyelamatkan sastera. Ia perlu reformasi menyeluruh.

Ketika menonton filem Snowpiercer (2013) arahan Bong Joon-Ho, saya terlihat penglibatan Korean Cultural Centre dalam menjayakan pembikinan filem antarabangsa itu. Saya juga menerima naskhah percuma majalah Korean Literature yang dihantar terus dari Korea. Kerja-kerja mengangkat sastera itu sebenarnya sangat memerlukan iltizam politik yang tinggi. Penglibatan kerajaan secara agresif dalam usaha pengantarabangsaan sastera akan menentukan nasib penggiat sastera Malaysia sama ada berhasil menjadikan ia suatu kerjaya bermaruah.

Okay, adakah semua itu memadai?

Jujur cakap, di atas kertas semuanya kelihatan mudah. Teddy Park sendiri mungkin akan menyerah kalah apabila diberi tugasan mengangkat martabat sastera negara ini. Pendekatan yang lebih mesra masyarakat menjurus kepada penyediaan bahan bacaan yang berkualiti rendah. Hal ini juga berkait rapat dengan isu pendidikan yang tidak diladeni usaha bersungguh-sungguh untuk membudayakan kecintaan pada ilmu. Selagi pendidikan berorientasikan kehendak pasaran sehingga mengenepikan kepentingan ilmu, tiada apa sangat yang boleh dilakukan.

Jadi budaya

Saya mahu bina khalayak sastera. Asasnya tidak ada. Barangkali memberikan definisi baharu terhadap sastera itu lebih mudah. Bilangan ciapan tentang sastera di Twitter. Ulasan buku di TikTok. Perbincangan tentang hal-ehwal sastera di Twitterspace. Lambakan audio siar diskusi sastera di Spotify. Justeru, seorang sasterawan mungkin tidak lagi dilihat keaktifan berkarya melalui jumlah buku yang ditulisnya. Barangkali kejayaan seorang sasterawan boleh dinilai melalui penglibatannya di media sosial selaku pejuang bahasa. Namun kita harus berpijak di dunia nyata. Kelompok peminat sastera masih terbatas. Meskipun kelihatannya rancak diskusi di Twitterspace atau Clubhouse atau perkongsian ulasan buku di laman YouTube kelolaan milik booktuber, kita faham bahawa tidak mudah untuk kelompok bukan-pembaca mengikuti pengisian konten sebegini. Sastera harus jadi budaya. Membaca buku harus jadi gaya hidup masyarakat umum.

Di media sosial, kebenaran dan kebatilan berkongsi spektrum yang sama. Acapkali masyarakat diprovokasi dengan hal-hal sepele yang tidak sahih. Wajarkah buku dipromosi dengan cara ini? Saya boleh saja agaknya meletakkan ciapan tentang buku saya dengan naratif sebegini: Gambar longgokan buku (yang tidak terjual) dalam sampul penghantaran dengan kapsyen lebih kurang begini “Setiap hari sastera terjual sampai tak menang tangan”. Tetapi saya tidak selesa dengan pembohongan. Saya tidak menulis untuk membohongi masyarakat. Satu-satunya pembohongan yang saya sukai selaku pengarang hanyalah ketika menulis fiksyen.

Memperkenalkan sastera memerlukan komitmen setiap pihak. Malangnya tidak semua orang peduli kepentingan sastera dalam melembutkan nubari manusia yang sarat materialistik. Saya enggan membina khalayak sastera dengan kudrat sendiri. Selagi tiada sokongan kerajaan dan tiada sistem pendidikan yang berwawasan, rasanya elok saya tidak begitu menaruh harapan pada sastera selaku sumber pendapatan.

Okay adakah ia memadai untuk saya selaku pengarang? Semestinya tidak. Setiap kali buku baharu terbit saya akan menghitung hari buku tersebut beredaran di pasaran sebelum dihentikan cetakan. Pada buku yang ke-24, saya tidak lagi teruja mendengar perihal buku saya diterbitkan. Namun saya tetap berpuas hati dengan apa yang dihasilkan meskipun khalayaknya samar-samar kewujudannya.

Suatu ketika dahulu, kugiran yang saya sertai diletakkan giliran persembahan di penghujung gig. Ketika itu, ramai pengunjung gig yang sudah pulang sehingga tiada siapapun bertenggek di depan pentas menonton persembahan kami. Saya terus mengingatkan rakan-rakan pemuzik ketika itu yang tengah merudum semangat untuk meneruskan persembahan supaya anggap sahaja ini sesi latihan studio. Begitulah juga mengarang karya sastera di Malaysia ini. Saya tidak mengharapkan khalayak untuk tegar menulis, tetapi saya beriman pada kepengarangan diri. Mungkin pada buku yang ke-34 ataupun ke-100 sekalipun, saya harus percaya pada daya kepengarangan saya selaku satu-satunya kekuatan saya untuk menulis. Khalayak sastera adalah bayangan diri dan ia akan kekal begitu.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan pinggirkan bahasa, budaya dan sastera – Anwar

SHAH ALAM, 30 DIS: Aspek bahasa, budaya dan sastera tidak harus diremehkan memandangkan ia merupakan asas kehidupan manusia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata masyarakat kini dilihat lebih mengutamakan bidang ekonomi dan teknologi dan menganggap ia tuntutan penting negara.

“Ini tidak salah tapi bila isu seni, budaya diremehkan, ia akan mengakibatkan nilai akhlak dan etika asas manusia dipinggirkan,” katanya ketika berucap di Majlis Peluncuran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011 karya Datuk Che Shamsudin Osman atau Dinsman.

Menurutnya, karya sastera merupakan satu penyampaian indah serta tulus yang tidak mungkin dapat dihasilkan setiap individu.

“Terpancar dari hati berkenaan visi dan wawasan. Ini menjadikannya indah dan bukan hanya luahan rasa peribadi. Bila digabungkan ia menghasilkan mutu seni yang amat tinggi nilainya,” kata Anwar.

Datuk Che Shamsudin Osman atau Dinsman berucap ketika majlis Peluncuran Buku “100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008 – 2011” di Institut Darul Ehsan, Shah Alam pada 29 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Dinsman berkata buku beliau memuatkan hasil karya yang menggambarkan dunia gelap dalam bidang seni dan sastera.

Katanya, sebahagian kandungan buku terbabit tidak diketahui memandangkan ia hanya dikeluarkan di akhbar Harakah sahaja.

“Saya mahu menganjurkan seminar era reformasi yang cuba digelapkan pihak tertentu namun ia agak sukar.

“Sepatutnya seminar ini dijadualkan berlangsung sebelum Covid-19 namun terpaksa ditunda. Ia mendapat kerjasama dari Akademi Pengajian Melayu di UM (Universiti Malaya). Saya tidak tahu sama ada orang lain berani mengadakannya (selepas ini),” katanya.

Karya Dinsman itu mempunyai keunikan tersendiri yang menceritakan latar proses reformasi negara sepanjang 2008 hingga 2011.

Isi kandungan buku itu turut memuatkan pengalaman perjuangannya dalam membentuk masyarakat, polisi dan negara dari pelbagai sudut selain terdapat nukilan khas untuk Anwar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pustaka bergerak Ba-Ku perkenal sastera, budaya Taiwan di Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Taipei Economic and Cultural Office (Teco) dan Persatuan Kebudayaan Han menganjurkan Projek Perpustakaan Bergerak Ba-Ku (Baca Buku) Bersama sempena sambutan Kuala Lumpur Ibu Kota Dunia 2020 dan Dekad Membaca Kebangsaan.

Wakil Teco di Malaysia, Anne Hung berkata objektif penganjuran projek ini adalah untuk memperkenalkan buku Malaysia dan Taiwan kepada pembaca muda di negara ini.

“Kami memilih 135 jenis buku dari Malaysia dan Taiwan untuk memperkenalkan kesusasteraan dan kebudayaan Taiwan kepada murid dan pelajar bersama buku-buku pelbagai bahasa yang diterbitkan di negara ini,” katanya ketika berucap semasa majlis perasmian projek berkenaan hari ini.

Projek Perpustakaan Bergerak Ba-Ku (Baca Buku) Bersama itu dirasmikan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Mengulas lanjut, Anne berkata sebagai permulaan, projek perpustakaan bergerak itu akan menjelajah 20 sekolah rendah dan menengah terpilih di Semenanjung Malaysia bermula 17 Ogos hingga 4 Sept ini.

“…ia adalah sebagai usaha menyemarakkan budaya membaca di sekolah dan harus dilihat sebagai pembinaan jambatan interaksi dan komunikasi.

“Ekoran pandemik Covid-19, kami turut menganjurkan sesi perkongsian secara dalam talian dengan menjemput panel-panel terpilih untuk berkongsi pengalaman mereka dalam industri buku,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BUDAYA RENCANA

Hari tanpa kepala

 Oleh Tramizi Hussin

 

SAYA patut mulakan dengan sesuatu yang luar biasa.

Misalnya, pagi tadi saya bangkit tanpa kepala selepas matahari hampir membuka separuh matanya.

Saya gagau telefon bimbit, walaupun saya maklum benar yang tidak pernah ada mesej diterima selain daripada kumpulan borak “Geng Encik Bos” yang terpaksa saya bisukan selepas setiap kali habis waktu bekerja. Setengah jam di atas tilam, membuka media sosial yang sepi sapaan dan membaca berita terkini pagi hari yang saya cuba ambil peduli. Bagaimana saya melihat semua itu tanpa mata yang letaknya di kepala? Saya tidak pasti.

Waktu saya berdiri di depan cermin di dalam bilik air, mengelak mata bertemu bayangan sendiri, saya masih tidak sedar saya sudah tidak berkepala. Hanya waktu saya ingin menggosok gigi, barulah saya sedar mulut sudah tiada. Bukan sekadar mulut, tetapi juga seluruh kepala. Yang tinggal hanyalah leher dengan halkum bergerak naik turun. Sesak.

Saya kejur, bagaimana hendak hadapi dunia? Tidak, saya tidak rindukan kepala berwajah saya itu. Apalah yang hendak dirindukan kepada wajah bukan hero filem? Orang tidak berupa tidak patut melihat cermin selepas bangun tidur.

Anehnya, saya masih boleh melihat walaupun tidak bermata. Di cermin, leher berlapis lemak saya masih berombak mengagau nafas dan berusaha menahan tarikan graviti daripada menariknya lembik ke bahu. Saya masih boleh menghidu bau nasi lemak ditanak jiran sebelah dan saya masih mendengar anjing mengggonggong di luar rumah.  Adakah saya sudah jadi amoeba yang tidak perlukan organ?

Terlalu banyak pertanyaan pagi hari adalah perkara yang memenatkan. Jadi saya teruskan mandi membasuh badan tanpa kepala.

Saya mahu minta cuti hari ini. Tetapi, cuti tahunan sudah habis, mahu ambil MC adalah penyeksaan kerana pintu klinik terhampir rumah saya terpampang poster Dr Mahathir tersengih dengan tulisan Comis Sans besar warna merah darah: “Saya 93 tahun masih bekerja, awak mahu minta MC?”

Jadi, saya terus bersiap untuk bekerja. Keluar bilik, teman serumah sedang berlari-lari anak keliling ruang tamu. Dia mahu sihat untuk hidup seribu tahun lagi, saya tidak mahu. Di rumah bujang, kami mengelak bertembung muka di awal pagi, sesuatu yang tidak mengasyikkan untuk dipandang. Jadi, dia tidak sedar saya sudah tidak berkepala.

Kerana saya tidak berkepala, saya tidak memandang ke bawah, juga tidak mendongak ke atas di pejabat. Saya hanya memastikan leher stabil dan tidak terlesu di bahu.

Bos saya masuk kerja dengan marah-marah, menjerkah: “Mana otak kau? Buat kerja macam ni!”

Saya hanya tegakkan leher tanpa kepala.

Selepas itu, tiada siapa lagi yang menganggu. Seperti lipas, orang tidak halau kerana bimbang terbang mengacau, tetapi juga tidak hampir kerana kotor. Lipas boleh hidup tanpa kepala selama seminggu. Mungkin juga saya boleh.

Saya patut mulakan dengan sesuatu yang luar biasa.

Misalnya, di stesen KL Sentral selepas habis kerja, walau sudah sepuluh buah gerabak berlalu, saya masih tidak berganjak.

Saya menunggu Dia. Saya tidak berkepala, tetapi saya masih berdada yang dalamnya ada jantung berdegup kencang. Hati saya masih berdiam menjalankan kerjanya supaya saya tidak jadi manusia kuning tanpa kepala.

Dia selalu muncul tepat jam enam petang, menunggu di platform yang sama dengan saya. Bertahun, saya setia menanti tetapi tidak sekalipun bertegur.

Saya turun di stesen sebelum Dia, saya tidak pasti Dia turun di mana. Dia mungkin turun di stesen terakhir, mungkin juga di salah sebuah stesen sebelum yang terakhir, saya tidak tahu.

Hari ini, saya berdiri di sebelahnya dan buat pertama kali Dia memandang. Tetapi kerana saya tidak bermata walaupun leher saya berputar ke arahnya, pandangan itu tidak jatuh ke jantung. Barulah saya menyesal tidak berkepala dan bermata hari ini. Tetapi, bukankah lebih menyakitkan jika saya berkepala?

Gerabak tiba dan pintu terbuka. Dia masuk ke dalam dan saya membontotinya, lagak lelaki penyumbaleweng cari peluang. Di dalam gerabak, manusia kepam berhimpit menolak saya ke arahnya. Dia memalingkan badan ke luar gerabak, tidak mahu mendepani saya.

Leher saya longlai ke bahu, mahu masuk ke dada membelit jantung pecah. Mungkin saya tidak perlukan jantung, seperti obor-obor yang hanya ikut arus. Obor-obor tanpa jantung boleh hidup berpuluh tahun. Mungkin juga saya begitu.

Saya patut mulakan dengan sesuatu yang luar biasa.

Misalnya, waktu saya duduk luar rumah mengharapkan ada mulut untuk merokok, ada hantu yang mengensot datang. Hantu itu rambutnya panjang lurus menutup muka, sekurang-kurangya dia ada kepala, cuma tidak berkaki. Saya tidak pasti tentang jantung, saya tidak tanya.

“Berikan aku kaki kau, bukan kau guna pun. Aku datang pun kau tak lari,” katanya.

Saya berdehem tanda tidak senang dan tidak mahu.

“Bolehlahhhh,” rayunya dan mengengsot makin dekat.

Saya tidak jadi berdehem untuk kali kedua.

Perlahan-lahan hantu itu melilit kaki saya dengan tubuh bawahnya yang seperti ekor ular itu.

Bunyi tulang pecah kedengaran. Saya tidak berasa sakit dan saya tidak mahu melawan. Saya hanya mahu merokok sebenarnya.

Tahu-tahu sahaja, kaki saya sudah tiada. Saya pula yang kini mengengsot. Hantu itu sudah berdiri dengan kaki yang pernah jadi milik saya. Tersenyum lebar menampakkan deretan gigi tajamnya. Mukanya masih pucat lesu, matanya merah menyala. Saya tidak tahu apa jenis hantu, jangan tanya.

Dalam ruang kesedaran yang hampir lenyap, saya bertelapati kepadanya.

“Aku tiada kepala, tiada jantung, tiada kaki, apa aku nak buat?”

“Dasar pemalas. Meninggal je lah,” ejeknya sebelum berlari-lari anak masuk ke dalam semak.

Mungkin saya boleh hidup seribu tahun lagi.

Categories
BUDAYA RENCANA

Kemudian, lahir sesuatu yang dinamakan Semporna (2)

Mulut asing bercerita tentang laut
dan daratan jauh. kami tersesat di perkampungan kayu.
– dihakis dokumen dan prasangka.

suara menghibur ibu
melanglangkan ajal ke negeri dongeng
sampan ayah yang selalu beroleng
di dalam tidur. entah kelalap di ombak mana.

(O bayi yang mungil. ibumu kering susu. ayahmu kering wang di saku. dan dunia kurang peduli padamu)

yang menakjubkan tentang mimpi adalah segala yang tidak ada.
soalnya, kita boleh membayangkan yang tiada: luar biasanya.

(senang sekali kalian dilahirkan dengan sekeping pengenalan)

***
melihat atas

Oh, kami tak boleh mencurigai campur tangan-Mu, bukan?

***
melihat kamu
sehingga huruf terakhir sajak ini
kau yang harus bertanggungjawab
atas air mataku.

Iman Danial Hakim

Categories
SELANGOR SENI

Exco anggap isu ‘Budaya Budiman’ selesai

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 26 DIS: Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari menganggap isu penganjuran Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Serantau selesai.

Beliau berkata, sebarang keperluan untuk mengulas isu itu tidak munasabah selepas mengambil kira sambutan penyertaan umum dalam program itu.

“Saya sudah berikan kenyataan (sebelum ini) kerana Kerajaan Negeri sentiasa mengikut peraturan. Program itu dihadiri tiga Sasterawan Negara termasuk Sasterawan Negara yang baru, Dr Zurinah Hassan.

“Tidak dilupakan beberapa budayawan lain dari luar turut hadir dan menarik lebih 1,000 hadirin.

“Jadi tidak mengapalah, ada pihak bertanya. Tetapi dakwaan kononnya program itu tidak dapat sambutan itu saya sanggah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang menyifatkan program berkenaan sebagai ‘syok sendiri’ dan gagal.

Budiman mendakwa, pemilihan penganjur program juga dibuat secara terus kepada Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional (PUSAKA).

Bagaimanapun Amirudin sebelum ini dalam satu kenyataan di Twitter menegaskan, proses pelantikan dibuat secara tertib dengan kebenaran pihak kewangan negeri.

“Budiman harus semak fakta sebelum memberi komen. Beliau tidak hadir sekali pun dalam sesi dan lantas anggap program itu gagal, walaupun sebenarnya beliau tidak layak untuk komen,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi penganjuran program diadakan bermula 7 hingga 10 Disember lalu.

Difahamkan, 30 program kesenian, sastera dan kebudayaan diaturkan sepanjang festival berlangsung.

=EZY=

Categories
SELANGOR

RM5.2 juta semarak aktiviti budaya dan seni

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sejumlah RM5.2 juta untuk memajukan kegiatan dan aktiviti budaya dan seni dalam kalangan masyarakat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara inisiatif baru bakal dilaksanakan termasuk pementasan teater bagi karya sasterawan negara, persembahan simfoni Selangor dan pameran seni halus.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan program pembangunan bakat muda untuk merancakkan perkembangan seni dan budaya termasuk kegiatan penulisan kreatif diilhamkan karya Rehman Rashid.

“Kerja menaik taraf bekas bangunan Pejabat Agama Islam Daerah Klang juga akan bermula hujung tahun ini untuk dijadikan Galeri Seni Lukis Negeri Selangor.

“Ia akan menjadi pusat pameran karya seni halus, seni lukis dan seni tampak serta menyediakan ruang untuk menjalankan aktiviti seni dan mempamerkan hasil karya bakat baru,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, inisiatif baru juga akan diperkenal bagi memberi pencerahan kepada rakyat dengan fakta dan ilmu melalui program pengukuhan minda rakyat, dengan peruntukan RM12.3 juta.

Katanya, ia bertujuan menyuburkan masyarakat bermaklumat bagi melawan fenomena berita palsu dan politik kotor.

“Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan pameran adat dan warisan bertaraf antarabangsa bermula akhir tahun ini dengan kerjasama Sekretariat Nasional Perkerisan Indonesia (SNKI).

“Pameran ini diadakan bagi meningkatkan minat dan kecintaan masyarakat kepada sejarah, adat dan warisan masyarakat Bugis yang menghasilkan epik La Galigo, di samping melahirkan pahlawan seperti Raja Haji dan pendeta Raja Ali Haji,” katanya.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Hari pertama 1436 Hijrah Kg Banda Dalam panas dengan puisi penentangan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 26 OKT: Hari pertama tahun baru 1436 Hijrah di Kampung Banda Dalam malam tadi dipanaskan dengan lebih 16 penyair mendeklamasikan puisi masing-masing.

Antara penyair terkenal yang memeriahkan Himpunan Budayawan 1 Muharam 1436 Hijrah malam tadi adalah, Noor Rahmat Shah, Yassin Salleh, Nik Jidan, HMS Abu Bakar, Zuhaili Zuhairi, Sharifah Aisiah Syed Mahazar, dan Mat Yassin Salleh.

_MG_3337

Sesi deklamasikan puisi malam tadi turut dihangatkan lagi apabila Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari turut membacakan dua puisi bertajuk ‘Dongeng Pilihan Raya’ dan ‘Kafetaria Sabtu Pagi’.

_MG_3530

Barisan puisi yang sarat dengan mesej kemanusiaan, berkisar isu kehidupan golongan marhaen dan kritikan tajam kepada golongan penguasa malam tadi bertambah panas dengan lolongan ‘Selamat Datang Nuklear’ oleh Noor Rahmat Shah.

Nik Jidan pula mempersembahkan puisi bertajuk Untuk Orang Islam, Dendang Orang Berani dan Bunyi Gitar.

_MG_3475

Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Chan Yong Sin pula mengimbau kembali kehidupan beliau selama 10 tahun hidup dalam tahanan ISA termasuk peristiwa mogok lapar.

_MG_3571

Suasana program digamatkan lagi apabila wartawan akhbar Harakah, Arif Atan menyampaikan puisi ‘Najib Selfie, Kampung Dan Tercabut Gigi’ dan tidak ketinggalan Melati dengan puisi bertajuk ‘Tanah dan Air Mata’ karya Ketua Editor Selangor Kini, Fazalah Pit.

_MG_3484

Acara yang dianjurkan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dan penduduk Kampung Banda Dalam itu diakhiri dengan pidato Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

20141026_002856

Categories
BERITA UTAMA

Misi pemberdayaan wanita Selangor ke arah masyarakat madani

Oleh: ADEEBA ADNI

Misi Pemberdayaan Wanita Selangor telah dirangka bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dengan segolongan aktivis, cendekiawan, ahli profesional, ahli politik, ahli perniagaan, wakil golongan wanita seperti ibu tunggal, orang asli, OKU, wanita ladang & luar bandar, wanita muda dan lain-lain golongan wanita.

Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita telah merangka sebuah misi pemberdayaan wanita Selangor ke arah pembinaan masyarakat madani.

Masyarakat madani bercirikan sebuah masyarakat yang:

– menjamin keadilan untuk semua ahlinya

– menjunjung prinsip-prinsip perlembagaan

– mengukuhkan institusi kehakiman

– mengangkat darjat kemuliaan insan, kebebasan dan haknya

Objektif Misi Pemberdayaan Wanita Selangor ialah membentuk wanita dengan:

– membina jati diri wanita yang dinamik

– memupuk sifat daya saing wanita

– membangun sifat berperi kemanusiaan

– mengembang ilmu yang diperlukan

– melahirkan wanita yang berketrampilan dan berupaya mendorong individu di sekeliling mereka ke arah menghayati prinsip-prinsip masyarakat madani

diskusi muslimat rodziah 20 ju 04Wanita yang berdaya ialah wanita yang mampu membuat keputusan-keputusan yang terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakatnya. Keputusan-keputusan itu dibuat berlandaskan ilmu pengetahuan dan tanpa sebarang kekangan, sekatan, ancaman atau diskriminasi.

Saban hari wanita perlu membuat keputusan-keputusan yang mesti menjamin keselamatan, kesihatan, keperluan kewangan, pendidikan dan masa depan dirinya, keluarga dan masyarakat sekeliling. Ia menghendaki wanita berilmu pengetahuan dalam aspek kewangan, undang-undang, enakmen, peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan/agensi kerajaan dan pihak swasta.

Wanita era kini wajarlah melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu yang boleh membantu mendidik secara menyeluruh anak-anak generasi masa depan negeri Selangor dan negara Malaysia. Justeru itu juga, celik dalam ICT telah menjadi suatu kemestian dalam kehidupan manusia di kala ini.

Wanita sering bertemu anggota-anggota masyarakat setempatnya – di pasar, di stesen minyak, tempat-tempat pembayaran bil, kedai-kedai, restoran, surau, masjid, tempat ibadah, di program-program/majlis-majlis rakyat, sambil menunggu mengambil anak pulang dari sekolah/pusat tiusyen dan banyak lagi tempat. Maka wanita berdaya boleh terus menyampaikan ilmu yang telah mereka perolehi kepada anggota masyarakat yang saban hari mereka temui itu.

Budaya mewar-warkan dan berkongsi ilmu itu adalah salah satu ciri tamadun yang cemerlang.

YB Rodziah Kursus Latihan Taska De Palma Hotel Shah Alam 01Pelaksanaan sesuatu ilmu itu menjadi berkesan sekiranya ia dilakukan bersama kelompok atau komuniti. Seperti peribahasa, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Ia ingin mengembalikan budaya kebersamaan dalam hal-hal kemasyarakatan, kejiranan dan sesama wanita agar permasalahan dan cabaran yang dihadapi dapat dikongsikan dan bersama mencari jalan bagaimana untuk mengatasinya, seperti yang dihasratkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail yang juga terkandung dalam dasar yang beliau ketengahkan, Memasyarakatkan Kebajikan.

Dasar Memasyarakatkan Kebajikan ingin mengembalikan budaya anggota masyarakat untuk bertindak secara sedar bahawa cabaran-cabaran yang terbit dalam masyarakat itu merupakan cabaran-cabaran yang wajar di atasi bersama-sama masyarakat sekeliling, golongan kepentingan yang lain, iaitu kerajaan negeri, kerajaan tempatan, jabatan dan agensi kerajaan, NGO, institusi penghulu dan ketua kampung, pejabat-pejabat daerah, dan pusat wanita berdaya.

Setiap cabaran dan permasalahan itu dimiliki bersama dan diatasi bersama.

Proses pemberdayaan wanita tentunya melibatkan advokasi, latihan dan bimbingan yang berterusan. Ia menjadi usaha penting di kesemua Pusat Wanita Berdaya di negeri Selangor. Kefahaman tentang sesuatu perkara itu akan menjadi kunci kepada tindakan-tindakan yang tepat dan berkesan.

Lanjutan itu, ialah mengaplikasi ilmu itu dalam situasi-situasi yang wujud dalam keluarga dan masyarakat agar dapat diperbaiki keadaannya. Wanita berdaya adalah wanita yang mampu membuat keputusan yang baik dan proaktif memperbaiki keadaan diri, keluarga dan masyarakatnya. Justeru itu, wanita berdaya adalah agen yang aktif ke arah membawa dan melaksanakan perubahan yang berkesan dan berpanjangan.

Jelas bahawa proses pemberdayaan wanita itu hanya akan menambahbaik status dan kualiti hidup rakyat. Oleh yang demikian, pelaburan dalam membangun dan memberdaya wanita Selangor adalah suatu keutamaan yang perlu dititikberatkan oleh semua peringkat pembuatan keputusan dan pengoperasian perancangan kerajaan negeri Selangor. Ia termasuk menyediakan peruntukan-peruntukan yang wajar dan didokong oleh pasukan sistem kewangan yang peka gender.

gender rodziah 02Sememangnya, kepekaan gender adalah gandingan yang tidak dapat dipisahkan dengan proses pemberdayaan wanita. Kepekaan sedemikian dikehendaki bukan sahaja oleh jentera perbendaharaan negeri, tetapi semua jentera, dasar dan sistem kerajaan negeri.

 

Gender hanyalah suatu perkataan yang telah dipilih di peringkat antarabangsa untuk mencapai sesuatu tujuan. Kerajaan Negeri Selangor telah mengungkapkan definisi dan penjelasannya dalam buku yang bertajuk “Ada Apa Dengan Gender?” (2012). Ia merupakan ucaptama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail di Seminar “Ada Apa Dengan Gender?” di Sabak Bernam pada 15 Oktober 2012.

Asas konsep gender itu bertujuan untuk memberi keadilan dan akses terhadap semua perkhidmatan dan peluang yang wujud kepada semua rakyat, lelaki dan wanita tanpa sebarang kekurangan (disadvantage) dan diskriminasi. Ia meminta agar setiap perancangan, perkhidmatan, peluang, program dan aktiviti itu diteliti golongan sasarannya kerana keperluan lelaki dan wanita itu berbeza.

Ia memberi implikasi bahawa profail golongan-golongan yang ada di negeri Selangor perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum merencana sebarang perancangan dan pelaksanaan.

Apakah tahap kesihatan, pendidikan wanita di negeri Selangor?

Adakah sama status wanita di bandar dan luar bandar?

Bagaimana wanita di Selangor menggunakan masa seharian mereka? Bagaimanakah lelaki di Selangor menggunakan masa seharian mereka?

Adakah suri rumah menyumbang kepada pendapatan dan ekonomi negeri Selangor? Adakah ianya boleh diukur secara kuantitatif? Adakah ianya boleh diukur dalam GDP?

pet soho rodziah batu caves 01Ini kerana dalam konteks ekonomi, hanya yang diukur dalam matawang ringgit (RM) saja yang diiktiraf sebagai penyumbang kepada sistem, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi. Suri rumah tiada pendapatan dan kesemua tugasannya adalah berdasarkan keikhlasan dan kasih sayang, tiada nilai ringgit.

Tanpa menyebut peranan dan sumbangan suri rumah, golongan ini sering dilupakan dan dalam perbincangan tentang sosio-politik dan ekonomi kepentingan golongan ini sering terlepas pandang. Mereka adalah golongan yang sering menghadapi masalah khususnya apabila secara tiba-tiba menjadi ibu tunggal dengan sebab-sebab yang tertentu, seperti perceraian dan kematian.

Mereka terjebak dalam berbagai permasalahan: kemiskinan, pengabaian pendidikan anak-anak, stigma masyarakat, tiada pekerjaan, tiada kemahiran tertentu, dan banyak lagi.

Oleh yang demikian, kerajaan yang peka gender akan memberi perhatian segera terhadap golongan ini dengan skim-skim yang bersesuaian dan berkesan, bukan hanya terhenti dengan memberi sumbangan kewangan berkala atau meraikan mereka dalam majlis-majlis tertentu, tetapi meneruskan usaha memberdayakan status ekonomi mereka sebagaimana yang dianjurkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail dalam dasar Berkebajikan Kepada Berpendapatan (Welfare to Workfare). Ia suatu usaha yang serius dan berpanjangan yang memerlukan jentera kerajaan yang kompeten dan mesra rakyat untuk menjayakannya.

Pentadbiran kerajaan yang berjaya mencipta pekerjaan untuk rakyatnya adalah pentadbiran yang cekap, amanah, berkesan dan benar-benar berorientasikan kepentingan rakyat.

Pemberdayaan wanita Selangor adalah suatu proses perubahan pemikiran, budaya dan gerak-kerja. “Kita perlu memulakannya, dan kita telah pun memulakannya dengan menjadikan Pusat Wanita Berdaya (PWB) sebagai mekanisme yang akan melaksanakan proses itu. Wanita digesa untuk mengambil peluang itu, mendaftarkan diri di PWB berhampiran dan mengikuti program-program dan aktiviti yang disediakan.

Wanita juga haruslah ikhlas dalam membina jaringan dari kalangan mereka dan mengambil manafaat dari jaringan tersebut,“ ujar Rodziah Ismail. Keberkatan itu bersama kumpulan/jamaah/jaringan, di mana sumber-sumber, kekuatan, pemikiran dan kepakaran boleh disinergikan untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik atau terbaik dari wanita hanya menjalani kehidupan mereka bersendirian.

Di Amerika Syarikat, ada ratusan ribu NGO wanita, yang bergiat dalam pelbagai bidang, menyuarakan kepentingan mereka untuk didengari dan diambil tindakan oleh wakil-wakil rakyat mereka. Wanita yang ramai dan bersatu akan menjadikan isu-isu wanita itu diberi perhatian. Sejahtera wanita, sejahteralah masyarakat dan negara. Pemberdayaan wanita menatijahkan para aktivis yang sememangnya diperlukan oleh setiap masyarakat di dunia ini.

Seminar Wanita Masjid Negeri Selangor 01Wanita aktivis adalah harapan keluarga dan masyarakat untuk melihat dan memastikan setiap anggota terbela, dilayani dengan hak dan mendapat apa yang wajar diperolehinya, diimbangi dengan amanah dan tanggungjawab yang wajar disempurnakan.

Wanita berdaya memberdaya orang lain juga.

Misi Pemberdayaan Wanita Selangor berhasrat untuk mencapai yang terbaik yang boleh diperolehi oleh wanita Selangor. Untuk itu, kesanggupan politik perlu digandingi oleh elemen-elemen yang berkepentingan dalam masyarakat, pentadbiran negeri dan negara serta organisasi bukan kerajaan dan para aktivis.

Paling utama ialah wanita itu sendiri ingin diberdayakan.

 

Categories
SELANGOR

MBSA anjur Festival Budaya Mahasiswa 23-28 Jan cungkil bakat baru

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 22 JAN : Dalam usaha untuk memartabatkan seni dan budaya di kalangan anak muda, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam akan menganjurkan Festival Budaya Mahasiswa bermula pada 23 hingga 28 Januari ini.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, penganjuran festival ini bertujuan mencari bakat baru dalam bidang kebudayaan dan kesenian untuk diketengahkan bagi melahirkan pengamal seni yang berbakat, cemerlang dan berpengetahuan dalam bidang seni yang diceburi.

MBSASelain itu, kata Shahrin penganjuran festival kali ini juga memberi peluang kepada para pelajar dan orang ramai menonjolkan bakat seni yang terpendam dalam diri mereka.

“Festival ini merupakan salah satu agenda sempena program Tahun Melawat Malaysia 2014 yang bakal menarik pelancong dalam dan luar negara bagi mempelajari dan menghayati persembahan seni tanah air.

“Ini secara tidak langsung dapat mempromosikan Shah Alam sebagai sebuah bandar raya yang kaya dengan budaya,” kata Shahrin dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau menjemput orang ramai untuk hadir di UiTM Shah Alam bagi memeriahkan festival yang akan bermula jam 8.00 malam hingga 11.00 malam dan masuk adalah percuma.

“Acara kemuncak akan berlangsung di Dewan Sri Budiman dengan pelbagai persembahan kesenian seperti muzikal, penyampaian puisi dan tarian.

“Sementara itu, persembahan teater pula akan berlangsung di Dewan Resital Panca Sakti, Bangunan Budisiswa (HEP), UiTM Shah Alam,” katanya lagi.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Kebudayaan MBSA, Mohd Zulfahmee Ismail di talian 013 350 7888.

EZY