Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Warga Bukit Antarabangsa terima vaksin Selangor mulai hari ini

SHAH ALAM, 4 JULAI: Seramai 3,000 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa bakal mendapat suntikan pelalian mulai hari ini.

Penyelaras DUN Suzana Shaharudin berkata suntikan bawah program Vaksin Selangor (Selvax) berlangsung di Dewan Serbaguna MPAJ AU5 sehingga esok.

“Semua penerima merupakan yang berdaftar dengan pusat khidmat masyarakat sewaktu Saringan Komuniti fasa tiga DUN Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa, baru-baru ini.

“Selain penerima Skim Mesra Usia Emas, Kasih Ibu Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat, kita juga memberi keutamaan kepada golongan penjaja dan berpendapatan rendah,” katanya ketika dihubungi.

Pada 30 Jun, Kerajaan Negeri memperkenal Selvax Komuniti yang menyasar warga emas dan B40 serta Selvax Industri bagi memelihara pekerja.

Sebanyak 2.5 juta dos vaksin disediakan bagi tujuan itu yang akan memanfaatkan 1.25 juta penduduk bagi mempercepat sasaran vaksinasi 80 peratus golongan dewasa pada Oktober.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 1-800-22-6600 atau layari vax.selangkah.my.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pembinaan Lebuhraya SUKE punca gangguan bekalan elektrik di Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kerja pengorekan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dikenal pasti sebagai punca berlaku gangguan bekalan elektrik di Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana baru-baru ini.

Ketua (Operasi) Rangkaian Pembahagian TNB Mohd Yusof Ibrahim berkata siasatan awal TNB mendapati kerosakan pada kabel TNB berlaku pada 1 Feb telah dibaiki, namun kerosakan sama berulang di laluan kabel sama pada 2 dan 7 Feb lepas.

“Situasi tersebut memaksa TNB menyalurkan bekalan kepada pengguna melalui set jana kuasa bergerak sementara kerosakan kabel diperbaiki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, TNB menyerahkan notis arahan berhenti kerja dan tuntutan balik kos pembaikan serta akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Kami memohon kerjasama semua pihak yang menjalankan kerja pengorekan agar merujuk dengan TNB terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat pemetaan dan khidmat nasihat untuk mengurangkan kebarangkalian kejadian seumpama berulang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata semakan awal boleh mengurangkan risiko kejadian kerosakan kabel bawah tanah TNB selain mengurangkan gangguan bekalan elektrik.

Katanya, pihak kontraktor boleh memaklumkan kerja pengorekan yang bakal dilakukan melalui portal ‘Call Before You Dig’ (www.cbyd.com.my), serta menyemak dengan pembekal utiliti mengenai saluran kabel atau paip di kawasan yang bakal dilaksanakan kerja pengorekan.

Untuk rekod, beliau berkata bagi lima minggu pertama tahun ini sahaja, lebih 45,000 pengguna TNB terkesan akibat kerja pengorekan pihak ketiga.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MPAJ pasang besi penahan di kawasan tanah runtuh Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Kerja-kerja pemasangan besi penahan tanah sedang dijalankan di belakang kawasan perumahan Jalan Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa, di sini, susulan kejadian tanah runtuh awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata kerja membaik pulih berkenaan dilaksanakan segera oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

”Pihak bomba ketika ini hanya membantu para penduduk terjejas untuk memindahkan barangan mereka.

“Bomba akan memantau keadaan selama 24 jam di kawasan terjejas bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh yang berikutnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk terjejas, Ahmad Zulhairi Mahadi, 36, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memindahkan barangan rumahnya ke tempat selamat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantu dan kini kami menetap sementara waktu di rumah ibu saudara saya di Keramat,” katanya.

Selain itu, Normal Seirin, 55, berpuas hati dengan bantuan semua pihak terlibat dalam membantu seperti menyediakan kemudahan tempat tinggal sementara di Hotel De Palma Ampang.

“Setakat ini saya amat berpuas hati tetapi pada masa akan datang saya akan lihat perkembangan lain dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati Jabatan Kerja Raya (JKR) dan MPAJ berada di lokasi kejadian bagi memantau dan melihat perkembangan semasa kerja-kerja membaik pulih kawasan terjejas berikutan tanah runtuh yang berlaku kira-kira 2.21 pagi tadi.

Setakat pukul 6.11 petang ini, pemerhatian Bernama mendapati kerja-kerja memasang besi penahan tanah giat berjalan dan diawasi oleh JKR.

Difahamkan kerja pemasangan besi penahan tanah itu dijangka siap dalam tempoh seminggu mengikut keadaan cuaca.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin hari ini memperuntukkan sejumlah RM2 juta untuk membina tembok penahan di kawasan tanah runtuh yang menjejaskan tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, di sini.

Berikutan itu, kesemua penduduk terjejas menginap sementara di Hotel De Palma sebelum mereka memilih tempat tinggal untuk tempoh enam bulan sama ada di apartmen atau sebagainya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri bertindak segera, bina tembok penahan

SHAH ALAM, 30 MEI: Kerajaan Negeri mengambil langkah segera menangani kejadian tanah runtuh di Taman Ukay, Bukit Antarabangsa dengan mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membina tembok penahan dekat kawasan tersebut hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri juga akan berbincang penyelesaian jangka panjang insiden terbabit dengan MPAJ serta agensi berkaitan pada kadar segera.

“Antara langkah segera yang akan diambil adalah pembinaan tembok penahan oleh MPAJ pada hari ini dengan anggaran kos berjumlah RM2 juta dan akan dibiayai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pekerja kontraktor sedang membersih sekitar kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Bukit Antarabangsa, Ukay Perdana pada 30 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor akan turut memperbaiki anak sungai di bawah cerun bermula hari ini dengan anggaran kos sebanyak RM400,000,” katanya selepas melawat kawasan lokasi kejadian hari ini.

Sehubungan itu, Amirudin berharap penduduk terjejas bersabar sementara kerja pembaikan siap dalam tempoh enam bulan.

Kira-kira 40 penghuni daripada tujuh rumah di Taman Kelab Ukay Bukit Antarabangsa diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah mereka pada pukul 2.21 pagi tadi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Negeri pantau kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Kerajaan Negeri akan memantau lokasi berisiko berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan Bukit Antarabangsa, di sini, dari semasa ke semasa bagi mengelak insiden berkenaan berulang dan menjejaskan penduduk setempat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insiden tanah runtuh pernah berlaku di kawasan tersebut antaranya pada 2008 dan tahun lepas.

“Kawasan ini sedia maklum memang agak tidak kukuh, tapi sebahagian rumah telah dibuat sejak 80-an, jadi apa yang dibuat Kerajaan Negeri kita akan pantau dari semasa ke semasa untuk elak kejadian begini berlaku atau bencana lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau lokasi tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, di sini, hari ini yang menjejaskan tujuh rumah melibatkan kira-kira 40 penghuni.

Pada Disember tahun lepas, sebuah banglo di taman itu diarah untuk dirobohkan susulan berlaku pergerakan tanah yang serius dan penghuni rumah terbabit serta dua rumah berhampiran turut diarah dikosongkan serta-merta.

Amirudin berkata Jabatan Pengairan dan Saliran akan membaik pulih Sungai Sering dan anak sungai itu yang tersumbat bagi mengelakkan berlakunya banjir.

“Projek ini sedang berlangsung tapi sebab Perintah Kawalan Pergerakan kita tidak dapat teruskan…Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan membawa hal ini ke Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Khamis depan,” katanya.

Kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Bukit Antarabangsa, Ukay Perdana dipasang pita kuning di sekitar kawasan yang terjejas pada 30 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengulas mengenai kebajikan penduduk yang terjejas susulan kejadian tanah runtuh hari ini, beliau berkata mereka akan dipindahkan ke hotel berdekatan selama tujuh hari.

“Kerajaan negeri akan membantu seadanya mangsa yang terjejas dan dianggarkan proses baik pulih akan memakan masa selama enam bulan…itu jangka masa lama dan MPAJ akan melakukannya dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pada sidang media sama berkata kerajaan negeri mungkin perlu menambah peruntukan menambah baik aliran Sungai Sering dan anak sungai itu yang sebelum ini telah menerima peruntukan RM100,000.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang turut meminta wakil penduduk di kawasan berkenaan supaya berwaspada dengan memantau keadaan cerun di kediaman sekitar mereka terutama apabila hujan.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MPAJ Datuk Abd Hamid Hussain berkata tembok penahan setinggi empat meter dengan kepanjangan 70 meter akan dibina untuk membaik pulih cerun yang terjejas.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Azmin yakin pertahan Bukit Antarabangsa dengan majoriti besar

 

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 3 MEI: Komuniti di kawasan baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa memberikan reaksi positif dan menyambut baik kehadiran Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Calon PAKATAN bagi DUN itu yakin Pakatan Harapan (PAKATAN) terus menjadi pilihan komuniti disitu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Saya yakin mampu mempertahankan Bukit Antarabangsa dengan majoriti besar setelah melihat mood pengundi yang amat baik hari ini.

“Saya tidak bimbang dengan saingan daripada calon lain kerana kebiasaannya masyarakat di sini sebagai pengundi mereka tahu menilai dan membuat keputusan dalam PRU berpandukan rekod Kerajaan Negeri yang cemerlang,” katanya semasa berkunjung kawasan sekitar Ampang dan kawasan baharu, Taman Dagang, di sini.

Dalam program itu, Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar itu turut menyantuni masyarakat dalam program ‘walkabout’ di Ampang dan sarapan pagi di Flat Taman Dagang dalam DUN Bukit Antarabangsa, hari ini.

Beliau berkata, hasil persempadanan semula kawasan PRU menyaksikan Taman Dagang dan Taman Cahaya berpindah masuk ke DUN itu daripada Chempaka (kini Pandan Indah).

Katanya, Taman Dagang adalah kawasan campuran dengan kira-kira 50 peratus Melayu dan bukan Melayu dengan majoriti pengundi adalah penghuni rumah kos sederhana dan rendah.

“Terdapat beberapa isu perlu diselesaikan dan saya mengambil maklum daripada wakil penduduk berkaitan isu pemilikan atau Memorandum of Transfer (MOT) kerana pemaju sudah tiada atau ‘gulung tikar’.

“Kita akan menumpukan perkara ini selepas PRU dan ia bukan tidak boleh diselesaikan kerana saya telah buktikan di AU1, Hulu Klang dan pinggiran Batu Caves yang dapat diatasi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jom jahit beg guna barang kitar semula

SHAH ALAM, 2 SEP: Pusat Wanita Berdaya (PWB) Bukit Antarabangsa mengajak orang ramai khususnya golongan wanita menyertai program menjahit beg menggunakan barangan kitar semula.

Program terbabit bertujuan meningkatkan tahap kesedaran aktiviti kitar semula selain menerapkan sikap mencintai alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

11903868_160615700937966_6575115699532564088_nIa akan diadakan di Dewan Sri Tanjung, Kampung Melayu, Ampang bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang, pada 6 September ini.

“Kreativiti kitar semula memperlihatkan idea kreatif penggunaan barang terbuang yang dikitar menjadi satu barangan lain berbeza rupa dan fungsi.

“Penyertaan program ini terbuka kepada sekurang-kurangnya 20 peserta, namun setakat ini kita sudah menerima lebih 30 orang. Ini menunjukkan ia mendapat sambutan,” menurut laman sosial Facebook PWB DUN terbabit.

Segala peralatan jahitan dan barangan kitar semula seperti benang, beg beras dan plastik sabun disediakan. manakala sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 016-8205134 (Zawiah) atau 017-2937593 (Zaiton).

-NFN-

Categories
NASIONAL

PKR Selangor Lancar Kempen Jelajah Selangor Tawan Malaysia

PETALING JAYA 21 SEPT : Bagi memastikan Pakatan Rakyat (PR) terus menerajui Selangor, PKR Selangor akan melancarkan kempen ?Jelajah Selangor Tawan Malaysia? yang akan bermula pada 14 Oktober depan.

Ketua Penerangan PKR, Shuhaimi Shafiei berkata program gerak gempur yang bertemakan ‘perkukuhkan kemenangan rakyat dan tawan Malaysia’ itu akan memfokuskan kawasan tumpuan.

Antaranya, kawasan Parlimen Selayang, Pandan, Bandar Tun Razak, Kuala Langat, Kapar, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Ampang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan dan Subang.

Kawasan DUN yang terbabit adalah Kuang, Rawang, Sementa, Kota Anggerik, Batu Tiga, Batang Kali, Permatang, Sri Muda, Sri Andalas, Batu Caves, Bukit Antarabangsa, Ijok, Melawati, Seri Setia, Taman Medan, Bukit Lanjan, Dengkil, Semenyih, Kajang dan Pelabuhan Klang.

Beliau berkata PKR akan berbincang dengan DAP dan PAS sekiranya mereka ingin dengan PKR dalam program itu.

“Selain mempertahankan kerusi dimenangi pada pilihan raya 2008, parti itu juga akan menawan kerusi Parlimen dan DUN milik Umno-BN.

?Salah satu misi pilihan raya umum ke-12, PKR Selangor menyasarkan sebanyak 11 kerusi Parlimen untuk dimenangi.
?Berdasarkan statistik terkini kami mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan lapan kerusi Parlimen sedia ada dengan tambahan tiga kerusi milik BN iaitu Sabar Bernam, Pandan dan Hulu Selangor.

?PKR juga akan mempertahankan 14 kerusi DUN dan menawan tujuh kerusi DUN milik Umno-BN iaitu di kawasan Batang Kali, Permatang, Kuang, Semenyih, Dengkil, Sementa dan Pelabuhan Klang,? katanya.

Shuhaimi berkata PKR juga yakin majoriti kemenangan akan meningkat berdasarkan kajian dilakukan parti itu.

?Parlimen Selayang, Gombak, Ampang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Subang, Kapar dan Kuala Langat kita yakin jumlah majoriti akan bertambah.?

Ketika ini Pakatan memperoleh 35 daripada 56 kerusi DUN manakala BN sebanyak 20 dan seorang Adun Bebas.

Di peringkat kerusi Parlimen pula PR memperoleh 17 daripada 22 kerusi di Selangor.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, mesyuarat agung tahunan AMK Cabang PKR akan bermula pada 22 September hingga 13 Oktober depan.

Ia akan melibatkan 22 kawasan cabang PKR.

Categories
NASIONAL SELANGOR

“Projek Wahyu”, Jual Tanah Rizab Melayu Gegar Dewan Negeri Selangor

ULASAN Sidang DUN kali ini melihatkan bukan sahaja lagi dedahan tentang salahlaku Umno-BN tetapi usaha pentadbiran Pakatan Rakyat yang baru untuk memperbaiki kelemahan dan ketirisan era sebelumnya.

Dua amalan yang menimbul banyak persoalan adalah amalan kerajaan Umno-BN yang menganugerahkan projek kerajaan secara rundingan terus dan penjualan tanah rizab Melayu.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pentadbiran Umno-BN telah membelanjakan RM759 juta dalam tempoh tiga tahun (2005-2007) dalam kontrak-kontrak yang dianugerahkan terus kepada syarikat tertentu.

Manakala kerajaan di bawah Pakatan Rakyat (PR) hari ini, hanya membelanjakan RM116.2 juta sahaja dalam empat tahun (2008-2011), suatu perbezaan yang amat ketara.

Tetapi ramai yang menyoal tentang kepentingan fakta tersebut dan apa makna dan kaitannya dengan kehidupan seharian orang ramai?

Ramai juga yang kurang faham dengan takrifan kontrak yang diberi secara rundingan terus berbanding yang diberi mengikut tender terbuka.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, rundingan terus mengundang pelbagai risiko yang mampu menyebabkan pihak pemberi projek mengalami kerugian.

“Rundingan terus akan menimbulkan risiko antaranya, ketirisan, pembaziran, terlebih pembayaran dan terbagi kontrak kepada syarikat yang tak layak atau tak berkemampuan.

“Semua risiko yang saya sebutkan tadi boleh berlaku berbanding tender terbuka.?

Di dalam proses tender terbuka, kerajaan akan menjemput syarikat untuk mengemukan cadangan bagi melaksana projek.

Setiap syarikat yang layak akan mengemukan permohonan yang lengkap tentang bagaimana ia akan menyiapkan projek termasuk kos yang akan ditanggung.

“Dalam cadangan itu juga kita dapat tahu jenis bahan dan berapa banyak bahan mentah yang terlibat, kita tahu berapa banyak yang kita kena belanja,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor pagi tadi.

Kata Azrul lagi, tender terbuka mengelakkan pembaziran dan amalan kroninisme.

“Kaedah terbaik yang boleh jamin ketelusan, akauntabiliti dan integriti hanyalah melalui tender terbuka.

“Kalau rundingan terus biasanya tentulah kroni atau pihak yang rapat dengan orang yang membuat keputusan biasanya akan dapat projek.

Pokoknya, tender terbuka dapat memastikan yang duit rakyat dimanfaatkan dengan berkesan dalam perlaksanaan projek.

Isu hak milik tanah rizab Melayu muncul di dalam perbahasan apabila ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali memberitahu sebanyak 76 ekar tanah dikawasan Parlimen Gombak dirampas oleh Umno-BN.

Tanah tersebut diserahkan serta dipindah milik ke salah satu syarikat, Triumph City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian di kawasan lain.

Selain Azmin, ADUN Sri Muda Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei dan ADUN Sri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad turut mendedahkan salah laku berkaitan rizab Melayu yang dilakukan pentadbiran Umno-BN.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang lama bergelumang dengan  isu tanah rizab Melayu berkata Umno tidak pernah menjaga tanah milik komuniti itu.

“Semenjak bila Umno dah tak gadai tanah Melayu? Dari sebelum merdeka lagi sampai sekarang tanah milik orang Melayu semakin terhakis tetapi apa yang Umno buat. Jawabnya, tiada, sebabnya merekalah yang menggadainya.

“Umno gunakan isu Melayu untuk perangkap pihak lain tetapi mereka tak pernah pertahankan hak Melayu seperti tanah Melayu, tanah rizab Melayu dan saham-saham Melayu,” beliau berkata ketika dihubungi.

Belia mendakwa selama 54 tahun parti nasionalis Melayu itu memerintah Malaysia keluasan tanah rizab Melayu hanya tinggal 1.7 juta hektar berbanding 300 juta hektar pada awal kemerdekaan.

Bagaimanapun setelah Pakatan mengambil alih pentadbiran Negeri Abdul Khalid mengambil keputusan merampas kembali kesemua tanah rizab di parlimen Gombak yang diberi ke syarikat Triumph City Development Sdn Bhd.

Abdul Khalid juga menolak permohonan yang dibuat oleh Ketua Umno Puchong Datuk Satim Diman untuk menjual tanah rizab Melayu kepada Lagi Gemilang Sdn. Bhd yang 75 peratus ahlinya  terdiri dari bukan bumiputera.